Anda di halaman 1dari 18

Topik  Konflik dan

8 Stres

HASIL PEMBELAJARAN

Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:


1. Menyatakan maksud konflik dan stres;
2. Mengenal pasti dua jenis stres dan puncanya;
3. Menghuraikan cara mengawal stres; dan
4. Membincangkan cara meminimumkan risiko stres.

 PENGENALAN
Pernahkah kening anda berkerut, kepala berasa pening dan tertekan apabila
melihat himpunan tugasan atau kertas kerja yang harus diselesaikan seperti dalam
Rajah 8.1?

Rajah 8.1: Stres

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES  167

Adakah anda pernah dimarahi bos atau pensyarah kerana prestasi kerja atau
pembelajaran anda merosot? Adakah anda berasa bosan dengan rutin harian yang
sama setiap hari? Jika ya, jangan terburu-buru mengambil tindakan. Namun, jika
anda lambat membuat sesuatu, anda mungkin menyesal pada masa hadapan
kerana tidak mengambil tindakan awal untuk mengatasinya.

Kebolehan mengawal konflik dan stres adalah amat penting untuk amalan gaya
hidup yang sihat bagi seseorang. Tiada manusia yang terhindar daripada konflik
dan stres. Seorang pakar sakit jiwa bernama Maxwell Malts menyatakan bahawa
abad ini merupakan abad stres.

Kerisauan, rasa lemas, resah, insomnia dan pelbagai penyakit lain tidak dapat
dipisahkan daripada kehidupan seharian kita. Terdapat banyak keburukan
disebabkan oleh gejala stres ini. Stres bukan sahaja boleh mengganggu kesihatan
anda tetapi juga mengganggu tumpuan anda terhadap pekerjaan, pembelajaran
dan rutin harian.

Kita sering mendengar tentang cara menangani stres supaya tidak membawa
padah pada kesihatan kita dan seterusnya mengakibatkan pelbagai penyakit
seperti tekanan perasaan, kemurungan (depresi), tekanan darah tinggi, ulser dan
sakit jantung.

Oleh yang demikian, cara terbaik untuk menangani gejala stres ialah memahami
punca yang boleh menyebabkan stres. Dengan itu, kita boleh bersedia dan berhati-
hati apabila stres berlaku.

Oleh itu, topik ini memfokuskan konflik dan stres dari segi definisi, jenis dan
puncanya, cara mengawal stres dan cara meminimumkan risiko stres. Jadi, mari
kita jauhi stres!

8.1 DEFINISI
Sedarkah anda konflik dan stres sangat berkait rapat antara satu sama lain? Hal
ini demikian kerana kebanyakan stres berpunca daripada konflik. Apakah
perbezaan antara konflik dengan stres?

Konflik berasal daripada perkataan Latin, configere yang bererti memukul.


Dalam konteks biasa, konflik ialah proses sosial yang melibatkan dua atau
lebih pihak, iaitu salah satu pihak berusaha menyingkirkan pihak yang lain.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


168  TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES

Apakah faktor penyebab konflik? Antara faktor penyebab konflik dinyatakan


dalam Rajah 8.2.

Rajah 8.2: Tiga faktor penyebab konflik

Pelbagai faktor ini haruslah sentiasa diawasi dan diingati selalu. Hal ini demikian
kerana apabila sesuatu konflik itu tidak diselesaikan dengan cara yang positif atau
baik, konflik itu akan terjerumus ke dalam gejala stres.

Seterusnya, ini boleh menyebabkan gangguan kesihatan, mental dan juga


pergaduhan. Sebaik-baiknya, apabila berdepan dengan sesuatu konflik, anda
harus bertenang, berfikiran terbuka dan bertolak ansur.

Stres boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira masa dan tempat.
Terdapat pelbagai definisi mengenai stres. Pertama, menurut Hans Selye (1976),
stres boleh dilihat sebagai desakan atau tekanan yang dihadapi oleh individu
berikutan suatu peristiwa yang berlaku kepadanya. Tekanan ini memerlukan
seseorang untuk menyeimbangkan tuntutan perubahan dengan keupayaan yang
ada pada dirinya. Kegagalan untuk mencapai keseimbangan inilah yang akan
menyebabkan stres.

Selain itu, stres adalah keadaan tegang yang boleh menyebabkan sistem badan
menjadi tidak stabil serta perasaan risau terhadap sesuatu perkara (Cardwell,
1999).

Menurut Lazarus (1991) pula, stres ialah pengalaman perasaan apabila seseorang
itu berfikir „permintaan melebihi sumber peribadi dan sosial yang mampu diberi
oleh individu itu.‰

Bagaimanakah stres terjadi? Apabila anda mengalami stres, badan anda akan
melalui tiga peringkat stres. Tiga peringkat stres ini diterangkan dalam Jadual 8.1.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES  169

Jadual 8.1: Tiga Peringkat Stres

Peringkat Huraian
Pertama: Fasa amaran Apabila anda mengalami stres, output tenaga turun seketika.
(alarm phase) Peringkat ini berlaku apabila stres merangsang otak anda.
Kedua: Fasa adaptasi Seterusnya, output tenaga meningkat daripada tahap normal;
(adaptation phase) lalu anda dirangsang untuk berdepan dengan situasi stres ini.
Ketiga: Fasa kelesuan Akhirnya, pada peringkat ini, tenaga anda habis digunakan
(exhaustion phase) lalu kapasiti anda untuk berfungsi seperti biasa akan terjejas.

Sebenarnya, adalah mustahil untuk kita menghindari stres. Dalam setiap aktiviti
kehidupan seharian kita seperti di tempat kerja di pejabat, di universiti, di rumah
dan keadaan lain, pasti sering kali terdapat sahaja cabaran yang harus kita lalui
dan selesaikan.

Namun, terdapat cara untuk kita mengatasi stres tersebut dengan sebaik mungkin
supaya tidak menimbulkan kesan yang negatif dalam kehidupan.

SEMAK KENDIRI 8.1

1. Dengan menggunakan perkataan anda sendiri, berikan maksud


konflik dan stres.

2. Nyatakan tiga faktor penyebab konflik.

3. Jelaskan tiga peringkat stres.

8.2 JENIS STRES


Secara amnya, stres boleh ditakrifkan sebagai respons badan dalam menghadapi
punca stres (stressor) sama ada secara fisiologi, mental atau fizikal. Stres boleh
memberi kesan kepada individu dalam pelbagai bentuk seperti stres fizikal, sosial
atau psikologi yang menyebabkan tubuh kita perlu untuk melakukan penyesuaian
untuk menghadapinya.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


170  TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES

Secara amnya, stres terbahagi kepada dua jenis seperti yang ditunjukkan
dalam Rajah 8.3.

Rajah 8.3: Dua jenis stres

Dua jenis stres ini dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Jadual 8.2.

Jadual 8.2: Dua Jenis Stres

Jenis Huraian
Eustres Eustres ialah stres yang menghasilkan kesan positif atau memberi faedah
dari segi psikologi, fizikal (seperti bersenam) dan kegembiraan (seperti
perkahwinan, naik pangkat, mendapat ahli keluarga baharu dan
berpindah rumah). Istilah ini telah diperkenalkan oleh Hans Selye.
Perkataan eustres berasal daripada perkataan Greek, eu, yang bermaksud
„baik‰ dan stres di sini bermaksud „stres yang baik.‰
Distres Distres pula ialah stres yang mengakibatkan kesan negatif kepada mangsa
seperti kematian, kemalangan jalan raya, berpenyakit dan beberapa
musibah lain.

Sebenarnya, setiap perubahan akan menyebabkan stres kerana individu perlu


menyesuaikan diri dengan keadaan baharu. Namun, tindakan wajar ialah kita
perlu bertenang apabila menghadapinya.

Hal ini ditegaskan oleh Selye (1956) yang menyatakan bahawa, „Stres bukanlah
sesuatu yang buruk atau jahat – ia bergantung pada cara anda mengatasinya. Stres
yang menggembirakan ialah yang memberikan kebaikan manakala stres yang
tidak menggembirakan ialah yang boleh memalukan diri sendiri atau yang boleh
mengganggu emosi.‰

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES  171

SEMAK KENDIRI 8.2

Nyatakan perbezaan antara eustres dengan distres.

8.3 PUNCA STRES


Punca stres adalah sangat penting untuk kita ketahui kerana melaluinya, ia dapat
membantu kita berhadapan dengan stres secara positif. Jika tidak, anda akan
menjadi keliru dan gagal mengatasi masalah yang dihadapi. Tekanan perasaan
atau stres boleh dihindari, jika anda berupaya meningkatkan kemampuan dan
keyakinan diri untuk mengatasinya.

Oleh yang demikian, cara termudah mengatasi stres adalah dengan mengenal
pasti puncanya. Mari kita lihat Jadual 8.3 yang menerangkannya.

Jadual 8.3: Stres dan Puncanya

Stres Punca
Di rumah • Kematian ahli keluarga, saudara atau kawan.
• Kecederaan atau penyakit yang dihadapi oleh orang yang disayangi.
• Hal rumah tangga kita, anak atau adik-beradik.
• Penceraian.
• Kehamilan atau kelahiran anak.
• Kelakuan anak-anak.
• Prestasi pembelajaran anak merosot.
• Anak yang hiperaktif.
• Gangguan seksual.
• Pertengkaran dengan pasangan, keluarga atau kawan-kawan.
• Masalah kewangan.
• Kes kecurian.
• Pindah rumah.
• Pertukaran tempat kerja, kawasan atau negara.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


172  TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES

Di tempat • Memenuhi permintaan pekerjaan.


kerja • Perhubungan dengan rakan sekerja.
• Mengawal orang bawahan.
• Melatih orang bawahan atau mengambil kerja mereka.
• Tekanan kerja yang banyak.
• Mengejar tarikh akhir tugasan.
• Menghasilkan penyelidikan terbaru, jika anda bekerja di bahagian
penyelidikan.
• Kerja lebih masa pada waktu cuti.
• Dibuang atau digantung kerja.
• Pergaduhan dengan majikan atau rakan sekerja.
• Penukaran pekerjaan.
• Bekerja melebihi kemampuan.
• Gangguan di tempat kerja.
• Gangguan seksual.
Lain • Ketakutan yang berpanjangan.
• Ancaman dari segi fizikal, sosial, kewangan dan ancaman lain.
• Ketidakpastian.
• Tidak cukup tidur.
• Pandangan orang lain.
• Keyakinan diri yang rendah.

Punca stres berinteraksi dengan sifat peribadi individu. Jadi, apakah kesan negatif
stres pada diri kita? Stres boleh menyebabkan kesihatan kita terjejas kerana ia
boleh mengakibatkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, kanser,
tekanan darah tinggi, strok, ulser peptik dan sakit jiwa.

AKTIVITI 8.1

Stres tidak dapat dielak dalam kehidupan kita. Bincangkan dalam


forum myINSPIRE pengalaman anda menghadapi stres dan cara anda
menanganinya.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES  173

8.4 CARA MENGAWAL KONFLIK DAN STRES


Secara biologinya, stres boleh melemahkan sistem imun badan kita dengan
berlakunya peningkatan hormon adrenalin yang boleh menjejaskan fungsi
leukosit. Stres juga boleh menyebabkan gangguan kognitif seperti melemahkan
daya ingatan dan tumpuan. Individu yang menghadapi stres akan turut
mengalami kekacauan emosi seperti resah-gelisah dan mempamerkan tingkah
laku yang keterlaluan.

Dalam mengkaji tindak balas badan terhadap stres, saintis bernama Hans Selye
telah mengemukakan teori yang dikenal sebagai General Adaptation Syndrome
(GAS). Mengikut teori tersebut, setiap individu yang berhadapan dengan stres
akan mengalami reaksi yang sama, cuma tahapnya berbeza bergantung pada jenis
punca stres dan personaliti individu. Contohnya, seseorang yang kematian
seorang daripada ahli keluarganya akan menghadapi stres yang jauh lebih teruk
daripada seorang yang gagal dalam peperiksaan.

Manusia kebiasaannya tidak boleh mengelak daripada mengalami stres. Semua


orang pernah atau akan mengalaminya. Namun, perkara yang paling penting
untuk kita fikirkan ialah cara kita hendak mengawal stres itu supaya tidak
memberi impak negatif kepada kita pada masa akan datang.

Jadi, apakah cara untuk mengawal konflik dan stres? Terdapat pelbagai cara untuk
mengawal stres mahupun konflik. Mari kita ketahui jawapannya dalam Rajah 8.4.

Rajah 8.4: Tiga cara umum mengawal stres dan konflik

Tiga cara ini akan diterangkan dengan lebih lanjut dalam subtopik yang
berikutnya.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


174  TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES

8.4.1 Menentukan Keutamaan


Anda mesti berfikiran terbuka dan positif apabila mengalami stres. Antara cara
untuk mengawal stres ialah dengan menetapkan keperluan yang penting dahulu.
Hal ini bermakna anda mesti memberi keutamaan pada tugas yang perlu
dibereskan dahulu berbanding dengan kerja penting yang lain.

Misalnya, majikan anda menyuruh anda menyiapkan suatu tugasan sebelum


minggu berikutnya. Seorang rakan sekerja anda pula meminta bantuan anda
untuk menyiapkan tugasnya. Di sini, anda mesti menyiapkan kerja yang diberi
oleh majikan anda sebelum membantu rakan sekerja anda. Berikan lebih perhatian
terhadapnya dan cubalah menyelesaikan setiap masalah yang timbul dengan
sebaik mungkin.

Buat jadual tugasan diri anda untuk mengelakkan daripada terlupa membuat
tugasan yang perlu dilakukan. Berikan keutamaan bagi tugasan yang penting
dahulu. Anda juga boleh meletakkan peringatan di atas meja atau dalam
komputer supaya anda tidak lupa.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian di sini adalah jangan menangguhkan
kerja anda. Jika tidak, ini akan menyebabkan kerja anda tertangguh dan
bertambah banyak. Anda akan mengalami stres apabila anda melihat banyak
tugasan yang belum disiapkan. Oleh itu, sentiasalah ingat dan peka terhadap
tugasan yang diberi.

8.4.2 Pengurusan Masa


Pengurusan masa yang bijak merupakan antara langkah yang memungkinkan anda
dapat mengatasi masalah stres. Secara amnya, terdapat tiga langkah dalam
pengurusan masa seperti yang dinyatakan dalam Rajah 8.5.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES  175

Rajah 8.5: Tiga langkah pengurusan masa

Kita semua mempunyai masa 24 jam sehari. Oleh itu, pengurusan masa mengikut
kepentingan sesuatu kerja harus kita amalkan. Kita boleh menyenaraikan sesuatu
kerja mengikut kepentingan dan keperluan berdasarkan pengelasan seperti „tugasan
yang perlu disegerakan‰ sehingga „tugasan tidak segera.‰ Dengan kata lain, agihkan
tugas dan kepentingan anda secara berkesan.

Untuk itu, anda mesti bijak mengatur rutin seharian anda. Anda juga mestilah
sentiasa memahami rutin harian anda supaya segala permasalahan yang timbul
dapat diselesaikan dengan bijak dan positif. Anda juga perlu ingat untuk tidak
membuat tugasan pada saat akhir.

Contohnya, jika pensyarah anda memberikan anda tugasan pada minggu ini, anda
seharusnya menyiapkannya minggu ini juga dan tidak menangguhkannya ke
minggu hadapan. Hal ini demikian kerana anda mungkin tidak akan mempunyai
masa yang cukup untuk menyiapkannya kerana anda tidak akan mengetahui
perkara lain yang akan berlaku.

Oleh itu, pengurusan masa amatlah penting kerana dapat membantu anda
mengawal stres dengan cara yang terbaik. Anda mesti ingat bahawa „masa itu
emas‰ dan tidak ternilai. Maka, hargailah masa anda dengan melakukan aktiviti
dengan efektif. Ingat, sentiasalah berfikir sebelum bertindak.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


176  TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES

8.4.3 Teknik Relaksasi


Antara cara lain mengawal stres adalah melalui teknik relaksasi. Teknik ini boleh
dilakukan pada bila-bila masa tanpa mengira tempat. Teknik relaksasi dapat
mengatur balik peredaran darah dalam tubuh badan anda dan membuatkan anda
berasa lebih segar, seterusnya mengurangkan stres.

Anda boleh melakukan relaksasi otot secara progresif dan sistematik pada waktu
rehat. Renggangkan otot tubuh anda dengan memberi tumpuan pada tangan,
lengan, muka, kepala, leher, bahu, dada, lambung dan punggung bawah dan
akhirnya ke daerah kaki (lihat Rajah 8.6).

Rajah 8.6: Teknik relaksasi seperti yoga

Setiap otot ditegangkan selama lima hingga tujuh saat kemudian relaks selama 12
hingga 15 saat. Ulang prosedur ini lima kali. Kaedah relaksasi ini dipercayai
mampu membantu meredakan stres yang anda alami.

Teknik ini bukan sahaja membantu anda mengawal stres tetapi juga dapat
meningkatkan kesihatan dari segi fizikal dan psikologi. Teknik relaksasi juga
terdapat hubung kaitnya dengan senaman. Seperti yang kita semua ketahui,
senaman amat baik untuk kesihatan dan relaksasi pula amat mudah dilaksanakan.
Aktiviti ini tidak memerlukan tempat yang luas atau masa yang lama.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES  177

SEMAK KENDIRI 8.3

Nyatakan tiga cara umum mengawal konflik dan stres.

AKTIVITI 8.2

Bincangkan dalam forum myINSPIRE cara lain yang sesuai untuk


mengawal stres di tempat kerja.

8.5 MEMINIMUMKAN RISIKO STRES


Akhirnya, mari kita pelajari tentang cara meminimumkan risiko stres. Stres
merupakan gejala negatif yang boleh menjadi serius, jika tidak ditangani dengan
baik. Stres bukan sahaja memberi kesan kepada psikologi tetapi juga fizikal kita.

Namun begitu, setiap permasalahan mempunyai jalan penyelesaiannya. Oleh itu,


anda harus membuat dan mengambil tindakan yang praktikal apabila
menghadapi masalah. Elakkan daripada membuat keputusan yang terburu-buru
atau melulu. Fikir dahulu sebelum bertindak kerana anda mempunyai pilihan.

Jadi, apakah cara meminimumkan risiko stres? Secara umumnya, terdapat tiga
cara untuk meminimumkan risiko stres seperti yang dinyatakan dalam Rajah 8.7.

Rajah 8.7: Tiga cara umum meminimumkan risiko stres

Subtopik yang seterusnya akan menerangkan tiga cara ini dengan lebih lanjut.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


178  TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES

8.5.1 Mengelakkan Fenomena Laih (Burnout)


Fenomena lain (burnout) ialah sindrom yang sering kali dikaitkan dengan stres.
Apakah maksudnya? Mari kita lihat Jadual 8.4 yang menerangkannya.

Jadual 8.4: Maksud Fenomena Laih

Sumber Maksud
Freudenberger Keadaan keletihan emosi, mental dan fizikal yang disebabkan oleh
(1975) tekanan yang berlebihan dan berpanjangan.
Maslach dan Sindrom keletihan emosi dan sinis yang sering terjadi dalam
Jackson (1981) kalangan individu yang melakukan „kerja orang.‰
Fender (1989) Situasi yang dihadapi oleh individu yang bekerja terlalu keras, lama
dan bersungguh-sungguh dalam apa-apa sahaja yang dilakukan
mereka.

Apakah kesan fenomena laih? Fenomena laih yang berlaku dalam jangka masa
yang panjang menyebabkan kepenatan fizikal, mental dan emosi; selanjutnya
menjejaskan keyakinan diri serta bersikap negatif terhadap kerja, kehidupan dan
orang lain.

Maka, penting bagi kita untuk mengelakkan diri daripada mengalami fenomena
laih. Kebiasaannya, anda tidak akan menyedari bahawa anda sedang mengalami
fenomena laih sehingga sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku.

Oleh itu, anda harus sentiasa bersedia menghadapinya. Anda mesti bijak
menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Apabila anda bekerja,
janganlah terlalu memaksa diri sehingga menyebabkan tekanan kepada diri anda.
Anda seharusnya melakukannya dengan bijak, tenang dan mengikut kemampuan
diri.

AKTIVITI 8.3

Pernahkah anda mengalami situasi fenomena laih? Apakah cadangan


anda untuk menanganinya? Bincangkan persoalan ini dalam forum
myINSPIRE.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES  179

8.5.2 Menghindari Rokok, Dadah dan Alkohol


Selain amalan gaya hidup yang sihat menerusi senaman dan amalan pemakanan
yang seimbang, amalan hidup sihat tanpa merokok dan minum minuman
beralkohol juga dapat menghindarkan diri daripada penyakit berbahaya.
Malahan, dapat memenuhi tuntutan agama yang melarang umatnya daripada
memudaratkan diri sendiri. Penuhi hidup anda dengan aktiviti bermakna seperti
berjumpa dengan rakan, beriadah atau berekreasi bersama keluarga dan lain-lain.

Merokok merupakan penyebab utama kanser paru-paru. Sebatang rokok


mengandungi 4,000 jenis bahan kimia dan racun. Daripada jumlah ini, 63
daripadanya boleh menyebabkan penyakit barah. Asap rokok pula boleh
menyebabkan keguguran rambut, katarak mata, kulit berkedut, pekak, kanser
kulit, reput gigi dan pelbagai penyakit lagi.

Sebanyak 75 peratus daripada asap rokok yang dihembuskan oleh perokok akan
disedut oleh orang yang tidak merokok di sekelilingnya (perokok pasif).
Sementara mereka yang menghisap rokok (perokok aktif) akan menyedut
25 peratus daripada asap rokok yang dihisapnya. Racun daripada asap rokok akan
terus masuk ke dalam tubuh badan dan mendatangkan lebih daripada 20 jenis
penyakit yang berbahaya. Kepekatan racun yang disedut amat tinggi dan berisiko
tinggi.

Alkohol dan dadah juga amat berbahaya kepada kesihatan kita. Kita mesti
mengelak daripada terjebak dari amalan yang tidak sihat ini yang boleh
mendatangkan keburukan kepada kesihatan kita. Seperti amalan merokok,
alkohol juga boleh menyebabkan anda mendapat kanser, strok, sakit jantung,
darah tinggi dan sebagainya.

Maka, apabila anda menghadapi stres, anda mesti elakkan diri daripada merokok,
minum alkohol dan mengambil dadah. Anda mesti ingat bahawa dengan berbuat
demikian, masalah anda tidak akan selesai. Malahan, amalan ini akan
memburukkan lagi keadaan.

Anda mesti berdepan dengan masalah anda sendiri. Hal ini demikian kerana tiada
seorang pun manusia di dunia ini yang tidak mempunyai masalah dan setiap
masalah mempunyai jalan penyelesaiannya. Namun, yang paling penting ialah
cara kita menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dadah dan alkohol boleh
membuatkan seseorang itu berkhayal.

Ingat, anda tidak boleh mengharapkan sesuatu ubat ajaib untuk menyelesaikan
masalah anda. Hal ini demikian kerana anda yang bertanggungjawab terhadap
diri anda.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


180  TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES

8.5.3 Sesi Kaunseling


Pada umumnya, terdapat pelbagai cara untuk anda mengatasi masalah stres.
Orang di sekeliling kita hanya boleh membantu atau memberi petunjuk kepada
kita tetapi yang menentukannya ialah diri kita sendiri.

Pada ketika ini, anda sudah mengetahui jenis dan punca stres. Anda juga
mengetahui stres biasanya berpunca daripada konflik, tekanan kerja, fenomena
laih dan sebagainya. Cara lain bagi mengurangkan stres adalah menyertai sesi
kaunseling (lihat Rajah 8.8).

Rajah 8.8: Sesi kaunseling boleh membantu anda mengawal stres

Sesi kaunseling selalunya akan memberi kesan positif kepada mereka yang
bermasalah kerana kaedah ini memberi kesan terus kepada mangsa. Kaedah ini
juga membolehkan anda meluahkan segala masalah anda.

Pada masa ini, terdapat ramai kaunselor termasuk di sekolah, di universiti dan di
tempat kerja. Sesi ini tidak memerlukan masa yang panjang dan bergantung pada
masalah yang anda hadapi.

Anda harus ingat, kaunselor hanya boleh menunjukkan jalan keluar atau memberi
pilihan kepada masalah anda tetapi yang menentukannya ialah diri anda sendiri.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES  181

Oleh itu, anda mestilah berfikiran terbuka dan positif semasa sesi kaunseling
berlangsung. Selepas sesi kaunseling, biasanya anda akan berasa lebih cergas dan
bertenaga kerana anda sudah mempunyai jalan penyelesaian terhadap masalah
anda. Peredaran darah anda juga akan kembali normal dan anda akan bertambah
yakin mengharungi segala dugaan yang akan datang pada masa hadapan.

Walau bagaimanapun, jika anda tidak bersedia untuk berjumpa kaunselor, anda
tetap mempunyai pilihan lain untuk menyelesaikan masalah anda. Anda boleh
menemui seseorang yang rapat dengan anda dan ceritakan masalah anda untuk
mendapatkan nasihat. Namun, cara yang terbaik adalah melalui sesi kaunseling
kerana kaunselor adalah lebih profesional.

SEMAK KENDIRI 8.4

1. Berikan maksud fenomena laih (burnout).

2. Nyatakan tiga cara umum meminimumkan risiko stres.

• Konflik dan stres sangat berkait rapat antara satu sama lain. Kebanyakan stres
berpunca daripada konflik.

• Konflik berasal daripada perkataan Latin, iaitu configere yang bererti


memukul. Dengan kata lain, konflik ialah proses sosial yang melibatkan dua
atau lebih pihak, iaitu salah satu pihak berusaha menyingkirkan pihak yang
lain.

• Menurut Hans Selye (1976), stres boleh dilihat sebagai desakan atau tekanan
yang dihadapi oleh individu berikutan suatu peristiwa yang berlaku
kepadanya.

• Apabila anda mengalami stres, badan anda akan melalui tiga peringkat stres,
iaitu fasa amaran, fasa adaptasi dan fasa kelesuan.

• Stres terbahagi kepada dua jenis, iaitu eustres dan distres.

• Eustres ialah stres yang menghasilkan kesan positif dan kegembiraan.

• Distres pula ialah stres yang mengakibatkan kesan negatif kepada mangsa.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


182  TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES

• Terdapat banyak punca yang menyebabkan stres di rumah, di tempat kerja


dan sebagainya. Contohnya, antara punca stres di rumah ialah perceraian,
masalah kewangan dan anak yang hiperaktif.

• Antara cara untuk mengawal konflik dan stres ialah menentukan keutamaan,
pengurusan masa dan teknik relaksasi.

• Antara cara meminimumkan risiko stres ialah mengelakkan keletihan mental,


emosi dan fizikal (fenomena laih), menghindari rokok, dadah dan alkohol
serta sesi kaunseling.

• Fenomena laih ialah keadaan keletihan emosi, mental dan fizikal yang
disebabkan oleh tekanan yang berlebihan dan berpanjangan.

Distres Konflik
Eustres Menentukan keutamaan
Fasa adaptasi Mengawal stres
Fasa amaran Pengurusan masa
Fasa kelesuan Punca
Fenomena laih (burnout) Stres
Kaunseling Teknik relaksasi
Kepentingan masa

Cardwell, M. (1999). Dictionary of psychology. Oxford, United Kingdom: Taylor


& Francis.

Fender, L. K. (1989). Athlete burnout: Potential for research and intervention


strategies. The Sport Psychologist, 3(1), 63–71.

Freudenberger, H. J. (1975). The staff burn-out syndrome in alternative


institutions. Psychotherapy: Theory, Research and Practice, 12(1), 73–82.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 8 KONFLIK DAN STRES  183

Jordan, E. A., & Porath, M. J. (2006). Educational psychology a problem-based


approach. Boston, MA: Pearson.

Kottler, J., & Chen, D. (2011). Stress management and prevention applications to
everyday life (Ed. ke-2). New York, NY: Brunner-Routledge.

Lazarus, R. S. (1991). Psychological stress in the workplace. Journal of Social


Behavior & Personality, 6(7), 1–13.

Maslach, C., & Jackson, S. E. (1981). The measurement of experienced burnout.


Journal of Occupational Behaviour, 2, 99–113.

Palmer, S., & Cooper, C. (2007). How to deal with stress. London, United Kingdom:
Kogan Press.

Pargman, D. (1998). Understanding sports behavior. Upper Saddle River, NJ:


Prentice Hall.

Selye, H. (1956). The stress of life. New York, NY: McGraw-Hill.

Selye, H. (1976). Stress in health and disease. Oxford, United Kingdom:


Butterworth-Heinemann.

Williams, J. M. (2001). Applied sports psychology: Personal growth to peak


performance. London, United Kingdom: Mayfield.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)

Anda mungkin juga menyukai