Anda di halaman 1dari 3

COVID-19 : SATU PENGAJARAN

Pertengahan Disember 2019, satu wabak penyakit dikesan menular di Wuhan, Hubei, China.
Wabak tersebut juga dikenali sebagai penyakit pandemik COVID-19 atau pandemik penyakit
koronavirus yang berpunca daripada sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS – COV – 2). Pada 11
Mac 2020 wabak tersebut telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(W.H.O). Pandemik ini telah memberi impak kepada seluruh warga dunia termasuklah negara
Malaysia. Tanggal 18 Mac 2020, kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) fasa pertama selama dua minggu bagi mengurangkan penularan Covid – 19.
Rakyat juga diseru untuk mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian. Rentetan itu,
Covid – 19 telah memberi impak dan pengajaran yang disignifikan dalam diri kita khususnya.

Mari kita capahkan lensa perbincangan kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci
penjagaan kesihatan. Covid – 19 mengajar kita peri pentingnya menghargai nilai sebuah kesihatan.
Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Dua kenikmatan yang sering
dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan masa lapang”. Dahulu, mungkin kita selalu
ambil mudah mengenai kesihatan dan kebersihan diri. Kita selalu beranggapan bahawa menjaga
kesihatan dan kebersihan adalah suatu perkara yang remeh dan leceh. Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan telah menyenaraikan lima golongan yang perlu dilindungi
kerana memiliki sistem imuniti badan yang rendah dan berisiko tinggi dijangkiti Covid – 19.
Golongan tersebut merangkumi warga emas, kanak-kanak, wanita mengandung, pesakit kronik
seperti diabetes, hipertensi, jantung dan asma serta pesakit imuniti rendah iaitu kanser dan virus
kurang imun manusia (HIV). Rentetan itu, kita mengambil langkah awal dengan menjaga kesihatan
dan kebersihan diri pada tahap yang tinggi seperti kerap mencuci tangan. Menurut satu artikel
perbuatan mencuci tangan dengan sabun perlu dijadikan sebagai amalan seharian, bukan hanya
untuk mencegah penularan Covid-19 semata- mata. Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr.
Aizuriza Abdullah berkata, jika seseorang berada di luar rumah, mereka perlu mencuci tangan
sekerap mungkin terutama apabila menyentuh sebarang permukaan. Jika di rumah pula orang
ramai dinasihatkan mencuci tangan selepas selesai melakukan aktiviti dalam rumah seperti
memasak atau memegang permukaan yang kotor dan disyaki terdedah dengan kuman. Mahatma
Ghandi pernah berkata “harta sejati adalah kesihatan bukan emas dan perak”. Sementelahan pula,
menjaga kebersihan juga menjadi tuntutan bagi setiap agama. Oleh hal demikian, penjagaan
kesihatan dan kebersihan amatlah dititikberatkan dalam kehidupan seharian kita.

Seterusnya, membentuk perpaduan kaum. Tidak kira Melayu, Cina mahupun India semua
perlu berganding bahu dalam menangani krisis pandemik Covid – 19. Sebagai tamsilan, petugas
kesihatan khususnya merawat pesakit yang dijangkiti tidak mengira kaum mahupun agama
semuanya dirawat dan dijaga ibarat satu keluarga. Dalam masa yang sama, para askar, polis dan
RELA juga menjaga keamanan negara tidak kira siang mahupun malam bagi mengekang penularan
virus dari terus merebak. Tidak lupa juga pihak media yang merisikokan diri mereka untuk
membuat liputan dari masa ke semasa mengenai statistik Covid–19 demi menyampaikan berita
yang sahih dan terkini kepada masyarakat. Selain itu, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan
memberikan sumbangan dan melancarkan tabung bantuan bencana untuk membantu meringankan
beban petugas-petugas barisan hadapan. Misalnya Tabung Mercy Malaysia, Tabung Bantuan
Frontliners Covid – 19 Sinar Harian, Tabung Covid-19 KKM dan sebagainya. Selain bantuan
kepada petugas-petugas barisan hadapan, bantuan juga disalurkan kepada insaninsan yang
memerlukan dan terjejas akibat PKP. Tuntasnya, peribahasa berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing adalah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan ukhwah antara kaum di Malaysia
sepanjang menangani krisis pandemik Covid – 19.

Akhir sekali, kita dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Ghalibnya, kita
selalu kekangan masa untuk bersama keluarga akibat komitmen kerja dan anak-anak pula banyak
meluangkan masa di sekolah. Namun, krisis ini telah mengubah norma hidup kita. Kita lebih
banyak meluangkan masa bersama keluarga dan hanya menjalankan kerja dari rumah. Variasi
aktiviti sama ada di dalam atau luar rumah dilakukan bersama seperti belajar mengaji, solat
berjemaah, menonton televisyen, senaman kardio dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti fizikal dan
kerohanian seperti ini dapat merapatkan lagi ukhuwah antara satu sama lain di samping
mewujudkan keluarga yang bahagia dan harmoni. Kesimpulannya, krisis pandemik Covid – 19
telah mengajar kita nilai sebuah kekeluargaan.
Konklusinya, krisis Covid – 19 telah mengubah norma kehidupan kita pada hari ini.
Kendatipun begitu, pandemik ini telah memberi pengajaran yang signifikan dalam diri kita
khususnya. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya seperti firman Allah SWT dalam
surah Al-Insyirah ayat keenam, “Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan”. Akhir
kalam, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah harus kita jadikan sebagai pegangan
dalam menangani krisis pandemik Covid – 19.

Anda mungkin juga menyukai