Anda di halaman 1dari 1

KELUARGA IMPIAN SAYA

"Rumahku, syurgaku". Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ahli keluarga dalam
kehidupan seseorang. Keluarga impian saya ialah keluarga bahagia. Apakah ciri-ciri yang harus ada
pada sesebuah keluarga bahagia? Cuba fikirkan sejenak! Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut,
setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipannya untuk mewujudkan keluarga bahagia.

Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga.
Ibu bapalah yang akan membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak. Ibu bapalah yang akan
membekalkan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Anak diibaratkan sebagai sehelai kain putih,
ibu bapalah yang akan mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa
depannya. Ibu bapanya yang merupakan guru terdekat harus menunjukkan teladan yang baik. Ibu
bapa ialah teladan anak-anak, bak kata pepatah ,”bagaimana acuan, begitulah kuihnya”.

Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak untuk membezakan “yang
mana intan, yang mana kaca”. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar
anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak
terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan
sebaya yang buruk akhlak. Selain itu, ibu bapa harus mencurah kasih sayang sepenuhnya kepada
anak-anak seperti “menatang minyak yang penuh” . Didikan agama dan moral yang teguh harus
disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi, bak kata pepatah “melentur buluh, biarlah dari
rebungnya”. Seseorang yang tidak mempunyai pegangan agama dan moral yang teguh diibaratkan
seperti “kapal tanpa nakhoda”.

Tambahan pula, ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani anak-anak dan memahami
masalah mereka di samping berusaha menyelesaikannya. Ibu bapa hendaklah mengambil berat
terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa janganlah begitu rakus mengejar fatamorgana mereka dalam
aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Hukuma-hakam
Arab pernah mengatakan bahawa anak- anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang
sibuk adalah yatim.

Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak hendaklah menuruti ajaran ibu bapa. Anak-anak
harus belajar bersungguh-sungguh, mendapatkan keputusan cemerlang untuk membalas jasa ibu bapa.
Anak-anak sepatutnya memuliakan dan menjaga maruah diri dan keluarga dengan tidak melibatkan
diri dalam kegiatan yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, menagih dadah dan sebagainya.
Anak-anak yang berjaya hendaklah mengenang jasa ibu bapa dan janganlah bersikap seperti “kacang
lupakan kulit”. Anak-anak janganlah lupa bahawa ibu bapalah yang mendidik, membimbing, dan
menjaga mereka. Kalau bukan ibu bapa, siapakah kita?

Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa. Dalam sesebuah keluarga, ahli-ahli keluarga saling
menghormati dan memahami. Ahli-ahli keluarga sepatutnya bertolak-ansur dan mengawal diri bagi
mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham. Keluarga bahagia ialah keluarga
yang harmani, aman dan damai. Ahli-ahli keluarga akan saling membantu dan bekerjasama, bak kata
pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Natijahnya, semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga bahagia. Institusi keluarga boleh
diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Keluarga bahagia banyak
memerlukan unsur juga. Contohnya, kasih sayang, kerjasama, toleransi dan sebagainya. “Rumahku,
syurgaku.” Keluarga bahagia ialah keluarga impian saya.

Anda mungkin juga menyukai