Anda di halaman 1dari 5

HUBUNGAN diplomatik antara Malaysia dengan

China sudah dimeterai sejak 1974. Berpegang


kepada semangat kesaksamaan, kepercayaan dan
saling menghormati sepanjang 46 tahun,
persahabatan dua negara ini sebenarnya mencoret
sejarah kerjasama yang amat berjaya merangkumi
pelbagai bidang.
Malah, hasil usaha Kementerian Luar pimpinan
Datuk Seri Hishammuddin Hussein sejak Mac lalu,
hubungan Malaysia-China semakin akrab yang
seterusnya membawa kepada kerjasama dalam
memerangi COVID-19, memperkukuh semula
ekonomi dan perancangan kerjasama
pascapandemik.
China juga menjadi antara negara penyumbang
sumbangan bantuan COVID-19 terbesar kepada
Malaysia. Negara Tembok Besar itu turut menjadi
negara pertama menghantar pasukan perubatannya
ke Malaysia bagi membantu barisan hadapan kita
memerangi COVID-19 dan melandaikan lengkungan
penularan.
Malah, Menteri Luar China, Wang Yi antara Menteri
Luar terawal menghubungi Hishammuddin pada hari
pertama beliau di Wisma Putra.
Baru-baru ini, Yi juga menjadi Menteri Luar pertama
mengadakan lawatan rasmi ke negara ini untuk
bertemu Hishammuddin. Lawatan ini diadakan
dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)
pencegahan COVID-19 yang amat ketat seperti
ketetapan Kementerian Kesihatan (KKM).
Biarpun singkat dan perlu mematuhi SOP ketat,
lawatan ini amat berjaya. Menerusi pertemuan
empat mata antara Hishammuddin dengan Yi,
Malaysia-China mencapai beberapa kesepakatan
yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua
negara khususnya Malaysia.
Paling utama, China bersetuju mengutamakan
Malaysia sebagai negara penerima vaksin COVID-19
mereka sebaik sahaja ia berjaya dibangunkan.
Keputusan China itu sejajar dengan perancangan
Wisma Putra menerusi kerjasama Kementerian
Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta KKM
untuk menjadikan Malaysia sebagai first mover
advantage atau faedah penggerak pertama dalam
menerima vaksin COVID-19.
Ada sebahagian rakyat bertanya, apa pulangan yang
diterima China menerusi pemberian vaksin itu?
Pulangannya ialah Malaysia bersetuju memenuhi
hasrat China untuk membeli 1.7 juta tan minyak
sawit negara sehingga 2023. Pembelian ini bukan
sahaja memberi manfaat kepada China dari sudut
keperluan minyak sawit mereka, bahkan berupaya
meningkatkan ekonomi negara dan mengukuhkan
FELDA.
Lebih bermakna, kesepakatan ini bakal
memanfaatkan lebih 650,000 pekebun kecil sawit
dan 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara.
Tidak hanya vaksin serta pembelian minyak sawit,
Malaysia dan China turut bersetuju memeterai
memorandum persefahaman (MoU) berhubung
kerjasama pascaCOVID-19 dan mewujudkan
Jawatankuasa Peringkat Tertinggi berhubung
kerjasama pascaCOVID-19 yang akan
dipengerusikan Menteri Luar kedua-dua negara.
China juga komited untuk menggalakkan pihak
perusahaannya meningkatkan jumlah import minyak
sawit dan produk lain yang dihasilkan negara ini.
Amat jelas, kesepakatan ini bukan sahaja
membuktikan penghormatan China terhadap
Malaysia. Malah, ia menyerlahkan kepada dunia
bahawa biarpun Malaysia sebuah negara kecil dan
sedang membangun, kita tetap mempunyai
pengaruh serta berperanan penting kepada negara
maju dan kuasa besar.
Malaysia juga negara yang mempunyai prinsip dan
pendirian teguh yang tidak akan berganjak walaupun
kita perlu berhadapan dengan negara kuasa besar.
Misalnya dalam isu pembukaan sempadan, China
ada menyatakan hasrat untuk memulakan inisiatif
Laluan Hijau Timbal Balik dengan negara kita bagi
membolehkan rakyat kedua-dua negara memasuki
China serta Malaysia atas tujuan rasmi dan penting.
Bagaimanapun, Malaysia bertegas tidak akan
melaksanakan inisiatif ini selagi situasi COVID-19
belum benar-benar reda.
Dalam isu Laut China Selatan, pendirian Malaysia
kekal teguh. Pada beberapa bulan ini sahaja
Malaysia beberapa kali menyuarakan ketegasan
bahawa perairan berkenaan mesti kekal sebagai
keamanan dan perdagangan.
Sebarang perbezaan dan pertikaian di perairan
berkenaan perlu ditangani menerusi dialog serta
jalan rundingan. Malaysia juga bertegas dalam
melindungi kepentingan dan haknya di Laut China
Selatan.
Malaysia bukan negara yang gemar memilih kaedah
ketenteraan, namun konsisten mengemukakan nota
bantahan kepada negara yang kapal mereka
menceroboh perairan negara.
Malaysia juga tidak akan melayan sebarang tuntutan
pihak asing ke atas perairan negara. Jika dilayan,
maka secara tidak langsung kita mengiktiraf
tuntutan mereka. Justeru, melayan tuntutan tidak
akan Malaysia lakukan sampai bila-bila.
Pendekatan Malaysia dalam isu kedaulatan dan hak
kedaulatan juga sangat konsisten. Kita tidak
memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia.
Malaysia akan terus komited untuk mencapai
penyelesaian damai, di samping menjunjung
kedaulatan negara.
Kepentingan Malaysia tetap kerajaan pertahankan
sebaik mungkin walau dengan negara manapun kita
bekerjasama.
Namun, Malaysia dan China akan terus mengharungi
susah senang demi mencapai pelbagai lagi manfaat
bersama. Bak pepatah Melayu, berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing dan bukit sama didaki, lurah
sama dituruni.

Anda mungkin juga menyukai