Anda di halaman 1dari 3

Buat pertama kali, laungan merdeka bergema dengan penuh kejutan dan sorakan gembira di

Stadium Merdeka.

Selepas selesai membacakan Perisytiharan Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman mengakhirinya


dengan laungan ‘Merdeka!’ sebanyak tujuh kali dan disambut dengan sahutan daripada rakyat
berbilang kaum.

Sudah pasti mereka yang berada di situ pada 31 Ogos 1957 cukup berbangga sewaktu pertama kali
melihat bendera Malaya berkibar megah di angkasa diikuti muzik lagu Negaraku yang dimainkan
band tentera dan disusuli dengan tembakan 21 das meriam, azan serta doa kesyukuran.

–– ADVERTISEMENT ––

Kemenangan dan kebebasan itu tidak akan tercapai tanpa usaha pelbagai pihak yang mahu negara
berdiri di atas pemerintahan sendiri tanpa campur tangan Barat.

Detik itu pasti akan disambut setiap tahun bagi memperingati ulang tahun kemerdekaan dan
bebasnya negara daripada belenggu penjajah.

Tahun ini, usia kemerdekaan negara sudah mencapai 59 tahun. Malah, sejak tahun lalu tema
sambutan Hari Kebangsaan iaitu ‘Sehati, Sejiwa’ dikekalkan bagi memupuk semangat bersatu padu
dalam kalangan rakyat Malaysia.

Logo dan lagu sambutan turut dikekalkan tahun ini selain mengekalkan penggunaan nama ‘Hari
Kebangsaan’ sebagai panggilan rasmi dengan tidak menyebut bilangan ulang tahun sambutan.

Bagaimanapun, sama ada mengekalkan penggunaan nama, tema, logo atau lagu sambutan Hari
Kebangsaan, sejauh mana pula kesedaran masyarakat mengenai sambutan ini terutama dalam
kalangan remaja.

Apatah lagi apabila dunia dilimpahi dengan pelbagai gajet sehingga mengaburi masyarakat dengan
capaian Internet lebih meluas membolehkan mereka menakluki dunia tanpa sempadan dengan
mudah.
Meskipun ‘jalur lebar’ dijadikan kayu pengukur sesebuah negara yang sudah mencapai kemodenan,
kealpaan masyarakat selepas mengenali Internet turut menyebabkan hilangnya nilai jati diri.

Wan Siti Nasirah Abdul Karim dari Kemaman, Terengganu berkata, generasi hari ini seharusnya
bersyukur kerana negara tetap aman meskipun didiami rakyat berbilang bangsa dan agama, malah
turut dikongsi dengan masyarakat asing yang berhijrah mencari rezeki di negara ini.

“Hasil kemakmuran hari ini dikutip daripada penat lelah masyarakat dahulu yang berusaha
membebaskan negara daripada penjajahan dan peperangan.

“Penjajahan pertama bermula pada 1511 oleh Portugis di Melaka, seterusnya merebak ke seluruh
Tanah Melayu sehinggalah pada 1909 hingga 1946 dengan wujudnya Negeri-Negeri Melayu Tak
Bersekutu.

“Kebanyakan kisah sejarah ini hanya mampu dibaca di dalam buku dan selebihnya diikuti menerusi
subjek Sejarah. Namun, jarang masyarakat hari ini benar-benar menghayati usaha negara untuk
merdeka.

“Disebabkan sudah dilimpahi kemakmuran dan pelbagai kesenangan, ramai masyarakat abad ini
buta sejarah, apatah lagi ibu bapa sendiri tidak memainkan peranan memupuk semangat
nasionalisme dalam jiwa anak-anak,” kata eksekutif akaun ini.

Beliau bersyukur kerana masih berpeluang meraikan kemerdekaan negara tahun ini dan menjadi
tanggungjawabnya membawa keluarga ke pameran kemerdekaan di Galeri 2, Muzium Negara.

Pameran Satu Malaysia, Satu Cerita yang berlangsung sehingga 30 September depan memberi
makna besar kepada rakyat Malaysia agar dapat menyelami suka duka pejuang dahulu mencari
penyelesaian ke arah kemerdekaan.

Ia dipaparkan menerusi segmen ‘Bersatu Kita Teguh’ yang mengetengahkan perjuangan,


pengorbanan, kebijaksanaan mengatur strategi serta penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang.

Memaparkan kejayaan negara bebas daripada penjajah British pada 1957 berikutan usaha dan
kerjasama antara kaum, seterusnya membawa kepada penubuhan Malaysia dengan penyertaan
Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963. Singapura
turut menyertainya pada tarikh sama tetapi keluar pada tahun 1965.
Meskipun bangsa dan agama berbeza, fahaman politik berlainan, pemikiran dan kerjaya tidak
serupa, kita mampu hidup bersama berlandaskan sikap saling hormat-menghormati dan berpegang
teguh pada nilai perpaduan.

Segmen kedua ‘Malaysia Gemilang’ pula memperlihatkan kegemilangan negara. Selepas hampir 60
tahun mencapai kemerdekaan, Malaysia muncul negara pesat membangun dan disegani di rantau
Asia.

Detik penting yang mencatat sejarah negara, cabaran dan kejayaan disoroti menerusi dekad sejak
1957 sehingga kejayaan ekonomi yang dirangsang menerusi pertanian dalam dekad 70-an,
pembuatan pada pertengahan dekad 80-an dan perkhidmatan moden pada dekad 90-an.

Segmen terakhir ‘Sehati Sejiwa’ menonjolkan kepelbagaian budaya dan agama berbilang kaum
yang menjadi sumber kekuatan Malaysia yang sering kita pamerkan kepada masyarakat dunia.

Perpaduan nasional akan terus menjadi faktor utama kejayaan negara untuk memacu kemajuan ke
tahap lebih tinggi pada masa hadapan.

Daripada sukan, makanan, pakaian, sains dan teknologi, festival sehinggalah seni bina - ia berjaya
menyatukan semua masyarakat di Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai