Anda di halaman 1dari 14

HARI MALAYSIA

selamat-hari-malaysia

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan
persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama
Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya
ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari
kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk
pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama.
Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia
bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mulai tahun 2010, Hari Malaysia
juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

Mencari Nilai Hari Malaysia

TANGGAL 16 September tahun ini, usia Malaysia sebenarnya baharu mencecah 46 tahun. Tarikh ini
pada tahun 1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku
Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu,
Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat jelata.Penubuhan
Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan
penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan
"Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.

Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara
Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan
Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan
besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.

Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai
di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80
peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan
bersama Persekutuan Tanah Melayu.
Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31
Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut pula
ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina emperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan
Persekutuan Malaysia. Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan
Malaysia ditubuhkan.

Namun, Hari Malaysia dan sejarahnya ini akan hanyut ditelan zaman. Sekalipun tidak hilang, tetapi
apalah nilai Hari Malaysia jika sejarahnya hanya tersimpan di arkib, perpustakaan dan memori
generasi lama? Apakah generasi muda sedar akan kewujudan Hari Malaysia?

Jawapan yang ada mungkin ya dan mungkin tidak, kerana tiada kajian rasmi yang menunjukkan
persepsi ini. Namun, cubalah kita bertanya-tanya dengan anak-anak kita, cucu-cucu kita atau tanya
sahaja dengan belia remaja yang kita temui di pusat-pusat membeli belah, yang sedang meladeni diri
di kaki-kaki jalan dan yang terperuk di rumah memaku matanya pada skrin TV atau komputer.
Jawapan yang kita terima, mungkin boleh dijadikan sebagai gambaran persepsi di atas.

Tulisan ini gambaran persepsi yang diterima melalui jawapan-jawapan daripada belia remaja
sekeliling penulis. Hasilnya, penulis kecewa dan gusar akan nasib Hari Malaysia dan sejarahnya di
masa mendatang. Ya, ada yang sedar akan kewujudan Hari Malaysia, tetapi apakah nilaiannya pada
mereka? Apatah lagi yang tidak sedar akan kewujudan Hari Malaysia. Ini merupakan satu fenomena
tidak sihat dalam perkembangan diri generasi muda. Buta sejarah akan menjadikan mereka rapuh jati
diri yang akan merendahkan semangat patriotik pada diri mereka.

Permasalahan ini tidak dapat hanya kita sandarkan penyelesaiannya melalui pengajaran dan
pembelajaran subjek Sejarah dan Pendidikan Sivik di sekolah. Kesedaran tentang kewujudan Hari
Malaysia tidak boleh hanya terkurung dalam kurikulum pendidikan formal di sekolah.
Penghayatannya perlu dalam bentuk interpretasi dalam kehidupan realiti.

Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos saban tahun merupakan contoh terbaik kesedaran melalui kurikulum
pendidikan sekolah dan penghayatan melalui interpretasi dalam kehidupan realiti. Kita belajar akan
Hari Kemerdekaan di sekolah dan kita lihat betapa pentingnya tarikh tersebut melalui sambutan
gilang-gemilang menyambut tarikh tersebut.

Nah, tentu sahaja memberi kesan yang membekas pada diri generasi muda untuk memahami bahawa
Hari Kemerdekaan merupakan satu peristiwa penting dan sejarahnya akan terus hidup dalam diri
mereka. Justeru, cadangan menaik taraf penghargaan terhadap Hari Malaysia merupakan satu
cadangan yang praktikal dan signifikan demi memastikan Hari Malaysia dan sejarahnya akan terus
wujud dan hidup dalam diri generasi muda.

Penarafan semula penghargaan terhadap Hari Malaysia boleh sahaja dilaksanakan melalui sambutan
rasmi sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu, hebahan melalui media cetak
mahupun televisyen melalui pemaparan imbauan sejarah juga penting untuk menyebarkan kesedaran
dan menanam penghayatan akan peristiwa penting pada tarikh tersebut. Bukan hanya setakat
sebagai bahan bualan oleh hos rancangan televisyen atau tajuk rencana akhbar, Hari Malaysia perlu
dijadikan sebagai tema rasmi dalam media cetak dan televisyen untuk tarikh 16 September tersebut.

NGO atau organisasi masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan penting dalam
menyebarkan kesedaran dan penghayatan Hari Malaysia di peringkat akar umbi masyarakat. Melalui
penganjuran sambutan Hari Malaysia di peringkat kampung, kawasan perumahan atau dengan acara
forum, ceramah, tayangan filem dan lain-lain akan membantu masyarakat khususnya generasi muda
untuk memahami mesej betapa taikh 16 September merupakan tarikh penting yang mengandungi
peristiwa yang cukup signifikan untuk Malaysia.

Mungkin juga pengisytiharan tarikh 16 September setiap tahun sebagai hari cuti umum untuk seluruh
negeri akan menunjukkan betapa kerajaan Malaysia benar-benar serius dalam menghargai Hari
Malaysia. Pengisytiharan cuti umum ini akan membuka ruang untuk sambutan gilang-gemilang
sempena Hari Malaysia dilaksanakan.

Tentu sahaja rakyat di Sarawak dan Sabah akan lebih merasakan kebersamaan mereka sebagai
sebahagian daripada rakyat Malaysia secara keseluruhan. Maka Hari Malaysia akan dirai bersama
sebagai bukti kesedaran dan penghayatan seluruh rakyat daripada seluruh negeri yang membentuk
Persekutuan Malaysia.

Seperti mana generasi muda sedar akan Hari Kemerdekaan tanggal 31 Ogos setiap tahun, maka
begitu jugalah mereka akan sedar akan peri penting tarikh 16 September dalam lipatan sejarah
Malaysia melalui penghayatan yang selayaknya untuk Hari Malaysia.

Jangan biarkan generasi muda terus dilupakan tentang sejarah Malaysia yang dipenuhi dengan
warna-warni perjuangan generasi terdahulu. Penghargaan yang setimpal harus diraikan untuk
peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Malaysia yang membentuk Malaysia seperti yang kita lihat
hari ini. Melalui kesedaran sejarah, maka generasi muda akan mampu menghayati nilai sebenar
Malaysia.

PENULIS ialah Yang Dipertua, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (Perkepis)

sumber : Berita Harian

Penubuhan Malaysia 16 September 1963 Membawa Perubahan Kepada Negara

TARIKH 16 September 1963 sememangnya memberi perubahan kepada negara khususnya dalam
penyatuan 14 buah negeri sebagai Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah
Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak di samping jumlah penduduknya yang menjangkau 10
juta orang.
Menyusur semula pembentukan Malaysia yang direalisasikan oleh Perdana Menteri Persekutuan
Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebenarnya telah disuarakan pada bulan Mei 1961
lagi melalui satu ucapannya dalam Persatuan Wartawan Asing Asia-Tenggara di Singapura.

Dalam ucapan tersebut, beliau telah mencadangkan agar Persekutuan Tanah Melayu, Singapura,
Sabah, Sarawak dan Brunei digabungkan dalam satu kesatuan atau satu negara yang disebut sebagai
Malaysia.Kata Tunku dalam ucapannya, “Persekutuan Tanah Melayu tidak mampu wujud secara
bersendirian tanpa kerjasama politik dan ekonomi dengan Singapura, Sabah dan Sarawak.”

Selepas cadangan tersebut disuarakan oleh Tunku, pelbagai pihak mula menyuarakan pendapat
mereka hinggakan penubuhan Malaysia tersebut menjadi topik perbincangan hinggalah ke peringkat
antarabangsa. Ramai pihak yang menyokong cadangan tersebut khususnya pemimpin-pemimpin
rakyat dalam negeri-negeri Singapura, Sarawak dan Sabah yang menganggap cadangan tersebut akan
dapat membantu mereka membebaskan diri dari kuasa penjajah Inggeris.

Lanjutan dari cadangan penubuhan gagasan Malaysia ini, Tunku Abdul Rahman telah mengambil
tindakan dengan mengadakan rundingan bersama Perdana Menteri British di London. Hasilnya,
sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi memastikan rancangan tersebut berjaya dan mendapat
persetujuan semua pihak.Suruhanjaya tersebut telah dipengerusikan oleh Lord Cobbold dengan
diwakili oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu dan Kerajaan British.

Tujuan utama suruhanjaya tersebut dibentuk adalah untuk menyiasat pendapat dan persetujuan
rakyat Sabah dan Sarawak mengenai penubuhan gagasan Malaysia ini. Usaha untuk menyatukan
negeri-negeri tersebut di bawah satu gagasan mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya
dari para penduduk di Sabah dan Sarawak sendiri.

Menurut Penyata Tahunan Perhimpunan Agung UMNO 1963/64, pada 23 Ogos 1961, persetujuan
telah dicapai di antara kerajaan Singapura dan Tanah Melayu yang meletakkan Kerajaan Pusat
mempunyai kuasa autonomi dalam lapangan pelajaran dan buruh sahaja dengan persetujuan sebuah
jawatankuasa antara Kerajaan Singapura dan Tanah Melayu.

Namun begitu, usaha murni untuk menuju kepada penubuhan sebuah negara baru Malaysia
terhalang apabila berlaku pemberontakan yang dilakukan oleh Sheikh Azhari di Brunei pada 8
Disember 1962. Ini diikuti dengan pengisytiharan konfrantasi Indonesia yang dilancarkan oleh
Presiden Sukarno sebagai tentangan terhadap gagasan Malaysia.

Manakala di Manila pula, terdapat tuntutan ke atas Sabah dikembalikan kepada Filipina atas alasan ia
adalah milik keturunan Sultan Solo yang telah membuat perjanjian dengan Kerajaan British pada
tahun 1878. Perselisihan pendapat dan pertikaian ini telah berlarutan dan semakin meruncing hingga
memecahbelahkan keamanan yang ada di Asia Tenggara.

Konfrantasi yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno juga telah berterusan selama tiga tahun hingga
mengakibatkan berlaku pertumpahan darah dan memaksa kepada campur tangan tentera.
Penubuhan Malaysia menerima tentangan keras dari Indonesia di bawah Presiden slogan “Ganyang
Malaysia”. Misalnya dapat dilihat dalam pertempuran di antara Tentera Darat dengan angkatan rejim
Sukarno di satu Pos Sementara tentera di Kalabakan, Tawau, Sabah.

Serangan yang berlaku pada waktu maghrib ini telah mengorbankan seramai tujuh orang dan
mencederakan 16 orang yang lain. Begitu juga dengan serangan yang berlangsung di Pontian, Labis,
Kota Tinggi dan Batu Pahat di Johor. Tentangan ke atas penubuhan Malaysia mengakibatkan
pertempuran yang hebat antara tentera kedua-dua negara. Bagi menyelesaikan masalah berikut dan
memulihkan keamanan di rantau Asia Tenggara, maka suatu persidangan kemuncak telah diadakan
antara ketua-ketua tiga negara yang terlibat dalam pertikaian iaitu Tanah Melayu, Indonesia dan
Filipina.

Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan jayanya walaupun
mendapat tentangan dalam bentuk ketenteraan dari negara lain. Dalam persidangan kemuncak di
Manila yang berlangsung pada akhir bulan Julai 1963, tolak ansur telah berlaku antara negara-negara
terbabit dan tarikh pengisytiharan negara baru Malaysia akan diumumkan selepas Setiausaha Agong
Bangsa-bangsa Bersatu berpuas hati dengan kehendak rakyat dari wilayah Sabah dan Sarawak. Dalam
pada itu, Brunei tidak turut sama dalam pembentukan Malaysia kerana gagal mencapai persetujuan
mengenai negerinya.

Walaupun pembentukan Malaysia telah mendapat persetujuan PBB, tetapi Indonesia seakan
berusaha untuk menggagalkan rancangan tersebut malah sengaja melewatkan ketibaan wakilnya
sebagai pemerhati kerja-kerja rombongan PBB ke Sabah dan Sarawak. Akhirnya PBB telah bersetuju
mengeluarkan laporannya mengakui 80 peratus dari rakyat Sabah dan Sarawak menyokong
penubuhan Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman.

Tentangan dari Indonesia tidak habis di situ sahaja sebaliknya melancarkan kembali konfrontasinya
dengan menarik kembali Duta Besarnya di Malaysia serta mengugut nyawa rakyat Malaysia yang ada
di Indonesia. Filipina turut bertindak keras apabila cuba menurunkan taraf kedutaannya di Malaysia
menjadi konsul sahaja. Akibat tindakan tersebut, maka Kerajaan Malaysia terpaksa mengambil
tindakan tegas dengan memutuskan hubungan diplomatic dengan Indonesia dan Filipina dua hari
selepas kelahiran negara Malaysia dilancarkan.

Konfrantasi ini berlanjutan hingga perjanjian damai dimeterai pada Ogos 1966. Perjanjian penubuhan
Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 dan diisytiharkan secara rasmi pada 16
September 1963 oleh Tunku Abdul Rahman.

Pengisytiharan Malaysia dilakukan di Stadium Merdeka di hadapan DYMM Seri Paduka Yang Di
Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak
dengan disaksikan kira-kira 30,000 rakyat Malaysia. Kini, setelah 46 tahun Malaysia ditubuhkan,
pelbagai kemajuan dapat dilihat dari pelbagai aspek bukan sahaja dalam bidang ekonomi, politik dan
sosial malah hubungan antarabangsa dengan negara-negara jiran terbabit juga telah pulih.
Seharusnya, keharmonian dan kesejahteraan yang di kecapi sejak sekian lama wajar dipelihara dan
dikekalkan agar dapat terus di kecapi oleh generasi akan datang.

sumber : http://umno-online.com

Penubuhan Malaysia 16 September 1963

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di
Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi,
Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan
untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam
satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.

Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang
semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah
berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh
golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk,
meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei,
Borneo Utara dan Sarawak.

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23
Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan
dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk
menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk
Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada
ahli-ahli Parlimen.

Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli
parti pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu
juga dengan Sabah. Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan
perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos
1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962.
Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu
Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya
dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.

Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting


untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya
perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang
dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam
hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama
rasmi.

Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan
keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan di antara kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan
Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah)
dan Sarawak tentang gagasan Malaysia.

Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas
gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin
Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David
Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan
menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli
Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum,
majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan
pandangan.

Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara
menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan
Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain
itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung
beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan
Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang
telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu
juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold.

Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan
oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana
Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri
Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).

Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman
dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan
tersebut telah berlangsung selama 2 minggu. Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah
ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London.

Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British,
Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah di peroleh untuk
menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang
dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa
Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16
September 1963. Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur
pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong,
Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga
dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman
Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut.
Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh
rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji
Ahmad bin Mohammad Said.

Rentetan Peristiwa

27 Mei 1961

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia
Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu
rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak
kedalam satu bentuk kerjasama politik

23 Julai 1961

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah
bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald
Stephen.

Ogos 1961

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Sabah

18-20 Disember 1961

Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Kuching Sarawak


6-7 Januari 1962

Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Selangor Legislative


Assembly Chamber, Kuala Lumpur

17 Januari 1962

Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo
Utara(Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Lord Cobbold, Dato’
Wong Pow Nee, En. Mohd Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Mr H. Harris
bertindak sebagai Setiausaha

3-4 Februari 1962

Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia

21 Jun 1962

Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu

Julai 1962

Kata sepakat dicapai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Tuan
Harold MacMillan Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan.

9 Julai 1963

Perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House,


London. Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan
British,Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.
16 September 1963

Upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Pengisytiharan


penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dihadapan lebih
kurang 30 000 rakyat Malaysia

sumber : www.arkib.gov.my

Mengiktiraf Tanggal 16 September Sebagai Hari Malaysia

SETELAH 46 tahun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan
Malaysia, semalam adalah hari penuh sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Pengumuman yang
dinanti-nantikan muncul jua. Berkat sabar, akhirnya tanggal 16 September diiktiraf sepenuhnya
sebagai Hari Malaysia. Sejajar dengan itu ia diumumkan hari cuti umum yang bermula tahun 2010.

Rakyat Malaysia berbilang kaum harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak. Kita amat bersetuju tarikh itu dipilih sebagai cuti umum. Selepas ini tiada alasan lagi
untuk kita lupa daripada mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan
Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.

Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat
Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. Perdana Menteri ketika mengumumkannya di
Dewan Rakyat semalam berkata, Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar
iaitu Hari Merdeka pada 31 Ogos bagi mengingatkan rakyat akan perjuangan mencapai kemerdekaan
dan Hari Malaysia yang akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan dan
persefahaman antara kaum sejajar dengan semangat 1Malaysia.

Kita percaya apabila Hari Malaysia diraikan pada tahun hadapan, banyak acara mengeratkan
perpaduan, persefahaman antara kaum menerusi aktiviti sukan, sosio-budaya dan kesenian diadakan
bagi menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia. Dengan perisytiharan cuti umum Hari Malaysia maka
diharapkan kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang
berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis.

Jika tahun 1981 pemisahan itu dirapatkan melalui penyeragaman waktu dan kini dimantapkan dengan
sambutan Hari Malaysia. Pengertian Hari Malaysia perlu disebar luaskan kepada rakyat supaya
pemahaman mengenainya lebih mendalam. Kita perlu fahami, emosi menyambut Hari Malaysia
adalah berlainan dengan perasaan menyambut Hari Kemerdekaan.

Pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti umum adalah dialu-alukan, pun begitu sambutan hari
tersebut perlu ada pengisian yang bermakna dan berkesan. Tanggal 16 September diraikan sebagai
memperingati hari bersejarah

bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu
untuk mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.

Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum
dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu
menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya. Di samping itu kita ingin menasihatkan kepada
majikan di sektor swasta supaya menghormati hari cuti umum tersebut. Mereka mesti mematuhi
keputusan terbaru kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia mulai 2010.

sumber : Utusan Malaysia

Sabah Bakal Jadi Tuan Rumah Hari Malaysia 16 September Ini

KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung di
sini pada 16 Sept, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Beliau berkata demikian dalam teks
ucapannya pada pelancaran bulan kemerdekaan dan kempen mengibar Jalur Gemilang di
perkarangan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.Pada 19
Oktober tahun lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 16 Sept sebagai cuti
umum mulai tahun ini bagi menyambut Hari Malaysia. Sementara itu, sempena bulan kemerdekaan
ini Musa meminta rakyat negeri ini untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

Kempen mengibar jalur gemilang boleh menjadi wadah untuk menyemarakkan lagi semangat
patriotisme dan cintakan negara serta memupuk perpaduan di kalangan pelbagai lapisan rakyat,
katanya.Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana masih banyak premis yang tidak mengibarkan jalur
gemilang walaupun arahan secara bertulis telah dikeluarkan. –

sumber : BERNAMA
Empat Tokoh Terima Anugerah Tokoh Malaysia

Seramai empat tokoh akan menerima Anugerah Tokoh Malaysia pada sambutan Hari Malaysia 16
September ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Rais
berkata, dua tokoh akan dipilih dari Semenanjung dan masing-masing satu dari Sabah dan Sarawak
oleh jawatankuasa berkenaan. Tambah beliau lagi, mereka sedang cari tokoh-tokoh dari Sabah,
Sarawak dan Semenanjung untuk menerima anugerah Tokoh Malaysia pada hari tersebut.

Rais berkata, anugerah ini adalah sesuatu yang boleh dianggap sebagai pengiktirafan kepada jasa dan
sumbangan dan rekod perjuangan seseorang berkaitan dengan negara ini. Katanya, keempat-empat
tokoh ini akan menerima anugerah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas
beliau menyampaikan ucapan pada sambutan yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.

sumber : Bernama

Hari Malaysia

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan
persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama
Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya
ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari
kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk
pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama.
Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia
bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mulai tahun 2010, Hari Malaysia
juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

sumber : Wikipedia

Blog 1Malaysia (www.1malaysia.com)

Pada hari ini (16 September) empat puluh enam tahun yang lalu, Malaysia mengalu-alukan
keanggotaan negeri Sabah dan Sarawak dan mula mengatur langkah untuk menjadi salah sebuah
negara terpenting di dunia. Beliau ketika itu baru berusia 10 tahun ketika ayahanda nya, Tun Abdul
Razak Hussein, menjadi saksi kepada perisytiharan bersejarah kemerdekaan Sabah pada 1963, tetapi
saya ingat bagaimana bangganya beliau saat peristiwa penting itu berlangsung. Sabah dan Sarawak
memenuhi satu sudut yang istimewa di hati saya kerana peristiwa bersejarah itu.

Komitmen Dato' Sri terhadap 1Malaysia – kepada gagasan bahawa perbezaan pada bangsa dan
agama itulah yang menjadikan negara kita lain daripada yang lain – telah diilhamkan daripada apa
yang saya lihat di Sabah dan Sarawak. Kelainan rakyat kita ini telah menjadi asas kepada banyak dasar
awam yang hebat-hebat yang akan dilaksanakan oleh pentadbiran saya, kesemuanya dengan
matlamat memanfaatkan kekuatan rakyat kita daripada kumpulan etnik dan anutan kepercayaan
yang berbeza untuk membentuk satu asas daya saing global dan identiti budaya.

Sumbangan Sabah dan Sarawak kepada Malaysia melebihi tauladan dalam perpaduan dan
permuafakatan. Malaysia menjadi syurga dunia pelancongan disebabkan oleh kepelbagaian ini dan
keajaiban alam semula jadi yang dipersembahkan kepada dunia oleh dua negeri ini. Banyak warisan
budaya negara kita terikat kepada ikon kehidupan di Sabah dan Sarawak. Rumah-rumah panjang kekal
menjadi tulang belakang kehidupan di dua negeri ini kerana ia ialah simbol kepada keperluan kita
sebagai rakyat Malaysia untuk mempelajari bagaimana untuk hidup di bawah satu bumbung dan
untuk membina tempat tinggal negara kita secara bersama-sama.

Apabila matahari terbit di langit Malaysia, ia menyinari Sabah dan Sarawak terlebih dahulu. Masa
hadapan kita sebagai sebuah negara bergantung kepada keupayaan kita untuk bekerja dan hidup
bersama-sama. Sabah dan Sarawak menunjukkan kepada kita jalan yang perlu kita lalui untuk menuju
pembangunan sivil dan saya percaya kita harus membalas budi dengan melabur dengan lebih banyak
lagi dalam pembangunan ekonomi di dua buah negeri ini. Apabila tiba masanya Sabah dan Sarawak
mengumumkan ulang tahun ke-47 mereka pada tahun hadapan, saya harap kita dapat mengotakan
janji-janji kita untuk memberikan pelaburan ekonomi, pendidikan dan prasarana yang lebih banyak di
kedua-dua buah negeri ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila lihat kenyataan peribadi saya tentang Hari Malaysia.

sumber : www.1malaysia.com

16 September Diisytihar Cuti Umum Hari Malaysia

Perdana menteri hari ini mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September
setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan. Datuk Seri
Najib Razak yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat berkata pembentukan
Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat
penting.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan
Malaysia apabila Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963. Najib berkata demikian
ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanya sejauh mana
penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dan jenis-jenis program yang difikirkan berkesan
untuk mencapai hasrat tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas bermula
tepat pukul 10 pagi ini dengan menyaksikan perdana menteri sebagai yang pertama memberikan
jawapan bagi sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pagi ini.

Perdana menteri berkata, dengan penyertaan Sabah dan Sarawak sejak 1963, maka adalah wajar
rakyat di kedua-dua negeri itu menikmati kemajuan pembangunan, pendidikan, ekonomi dan sosial
seperti di Semenanjung.

Beliau turut menegaskan, perpaduan antara kaum itu juga merangkumi integrasi nasional antara
rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang akan terus ditingkatkan.

Untuk meningkatkan perhubungan antara tiga wilayah itu, perdana menteri berkata, kekerapan dan
kapasiti penerbangan akan terus di pertingkatkan selain pembinaan prasarana asas bagi dua buah
negeri itu seperti jalan, bekalan air dan elektrik, sekolah, klinik dan hospital akan terus diberi
keutamaan dengan menambah lebih banyak peruntukan.

Najib berkata sesungguhnya perpaduan yang telah dicapai hingga ke saat ini telah membuahkan
keamanan di dalam negara lebih lima dekad lepas. Menjawab soalan tambahan Dr Marcus mengenai
identiti yang boleh dikaitkan dengan Malaysia seperti di Indonesia, Filipina atau Thailand, Najib
berkata identiti Malaysia boleh dilihat berdasarkan kemampuannya menerima unsur lain yang
dijadikan sebahagian daripada budaya setempat dan seterusnya kekuatan negara.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Najib berkata gagasan
1Malaysia dianggap sebagai kesinambungan dasar-dasar yang diperkenalkan sebelumnya. Abdul Hadi
bertanya sama ada dengan penerapan gagasan 1Malaysia, bermakna kerajaan mengetepikan
dasar-dasar terdahulu termasuk Islam Hadhari, Bersih Cekap dan Amanah dan Wawasan 2020.

Anda mungkin juga menyukai