Hidup berpasangan adalah fitrah kehidupan dan Allah SWT menciptakan manusia
berpasang-pasangan kerana mereka saling memerlukan antara satu sama lain, sekali
gus mewujudkan perasaan kasih sayang (mawaddah wa rahmah).
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Di antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan
Allah adalah Dia menciptakan daripada sejenismu pasangan supaya (kamu) masing-
masing memperoleh ketenteraman daripadanya (pasangan), dan dijadikannya di antara
kamu mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat
tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah al-Rum ayat 21)
Jika diperhatikan, antara tiga kata kunci dalam perkahwinan digariskan dalam ayat itu
ialah 'litaskunu ilaiha' yang membawa maksud orang yang berkahwin berasa terlindung
dan dapat menjalani hidup dengan aman dan tenteram.
Umpamanya, suami yang mempunyai kuasa mutlak dalam keluarga seharusnya lebih
bertolak ansur dan memahami keadaan isterinya untuk menempuh arus kehidupan
zaman serba moden ini. Tekanan kerja dan kos kehidupan semakin mencabar.
Suami isteri yang beriman akan melaksanakan amal soleh dalam mengemudi bahtera
rumah tangga sehingga lahirlah kehidupan tenang.
Beriman merujuk mereka yang percaya, patuh kepada suruhan dan meninggalkan
segala larangan-Nya serta berjaya membentuk sifat kehambaan terhadap Allah SWT.
Dengan demikian, hati akan bersih daripada sifat mazmumah seperti takbur, dengki,
ujub dan suka membanggakan diri. Selanjutnya, ia akan menimbulkan keyakinan
bahawa segala sesuatu itu tiada memiliki daya dan upaya kecuali dengan pertolongan
Allah SWT.
Selain itu, suami perlu berani dan tegas membuat keputusan dan memastikan seluruh
ahli keluarga dijaga dan dibimbing sebaiknya mengikut jalan yang diredai Allah SWT.
Kehidupan berumah tangga banyak dugaan seperti tidak sefahaman, sikap angkuh
pasangan, campur tangan keluarga, penyakit, kewangan dan gagal menjalankan
tanggungjawab menjadi antara puncanya.
Keikhlasan penting kerana manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.
Justeru pasangan suami isteri disyariatkan untuk saling mengingati antara satu sama
lain dengan memberikan teguran secara beradab.