Anda di halaman 1dari 4

PERTANDINGAN PIDATO SEKOLAH RENDAH

TAJUK PIDATO :
MAKNA SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN
MAKNA SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera;


Yang saya hormati saudari pengerusi;
Kombinasi intelektual kehakiman berintegriti yang sedang menjunjung mahkota
keadilannya;
Penjaga masa yang sentiasa peka dengan detik jamnya;
Rakan – rakan seperjuangan yang cukup berkredibiliti;
Seterusnya warga dewan yang dekat di hati.

Berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan
sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana menerusi mauduk pidato saya,
“Makna Sambutan Bulan Kemerdekaan”.

Pragmatik dewan sekalian,

Kamus Dewan Edisi Keempat :

“Makna” didefinasikan sebagai “erti” atau “maksud”.

“Sambutan” pula didefinisikan sebagai “perhatian yang diberikan terhadap sesuatu


hari atau tarikh”.

Manakala, “Kemerdekaan” pula merujuk kepada “kebebasan”.

Lalu saya simpulkan “Makna Sambutan Bulan Kemerdekaan” sebagai sambutan


yang diraikan pada 31 Ogos setiap tahun, membuktikan kita memliki sebuah negara yang
berdaulat tanpa sebarang bibit perpecahan.

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Itulah laungan penuh keramat oleh Allahyarham


Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan kita sewaktu negara menikmati kebebasan
daripada belenggu penjajah.
Para pendengar yang budiman,

Melalaui sambutan hari kemerdekaan yang diadakan saban tahun, setiap


warganegara di tanah yang berdaulat ini akan dapat memupuk semangat patriotik atau
cinta akan negara. “Tak kenal maka tak cinta”, setiap warganegara yang cinta akan
negaranya sudah pasti akan lebih menghayati erti kemerdekaan apabila terlibat sama
dalam sambutan tersebut pada setiap tahun sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Masihkah hadirin semua ingat bait-bait lagu Warisan nyanyian Sudirman Haji
Arshad? Tidak terkesan lagikah dengan Filem Bukit Kepong hasil lakonan Allahyarham
Datuk Dr Jins Shamsuddin. Semuanya cukup untuk membakar api di dada,
menyemarakkan semangat yang membara, cuma satu suara yang bergema di dalam diri
kita, “Aku Bangga Menjadi Anak Malaysia’.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Di samping itu, kemerdekaan bermaksud rakyat hidup bersatu dalam keadaan yang
harmoni. Perpaduan kaum merupakan faktor utama untuk kemerdekaan dan juga
pembangunan negara. Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2018,
jumlah penduduk di negara ini adalah seramai 32.4 juta orang dan yang uniknya terdiri
daripada pelbagai kaum.

Untuk membentuk perpaduan ini, kerajaan telah mewujudkan Sekolah Wawasan.


Konsep sekolah wawasan adalah untuk memelihara perpaduan kaum yang dipupuk sejak
awal lagi iaitu dalam kalangan kanak-kanak. Bukankah ”melentur buluh biarlah waktu
rebungnya”. Biarlah peristiwa 13 Mei 1969 tersimpan rapi dalam lipatan sejarah.

Para hadirin yang dihormati,

Nilai murni harus dibenihkan ke dalam jiwa rakyat sedari kecil lagi agar dapat
melahirkan modal insan yang gemilang sekaligus dapat menghasilkan rakyat yang
mempunyai minda kelas pertama. Justeru, adalah wajar kita mendidik anak bangsa agar
dapat menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara. Bukankah itu
erti kemerdekaan yang sebenar kerana tanpa mereka sudah pasti kita tidak dapat
menghirup udara damai di bumi bertuah ini.
Usahlah meratapi muram durja, meratapi keagungan bumi Parameswara gugur
rebah dimamah penjajah durjana. Sesungguhnya sejarah “tak lapuk dek hujan, tak lekang
dek panas”. Ingatlah, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan
nama”.

Sidang saksi bermisi, sudara dan saudari,

Pada penghujung bicara, jelas tertera, tatkala kita hayati makna kemerdekaan
sebenar maka impaknya bangsa yang dulu tertiarap dimamah, kini kembali tegak
bermaruah.  Sesungguhnya penjajahan selama 446 tahun meninggalkan parut yang amat
mendalam. Seandainya saat ini, kemerdekaan yang ada tidak kita hargai, ingatlah,
“tatkala ayam direban disambar helang, padi di tangan menjadi lalang, sejarah mungkin
akan berulang”.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai