Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN PERASMIAN (PENGETUA)

Salutasi…

Assalamualaikum wbt, salam Sejahtera dan salam Malaysia Madani

Pada saya kemerdekaan mempunyai makna dan sejarah

tersendiri. Pengalaman dan kehidupan saya yang penuh berliku dari

zaman kanak-kanak, sehinggalah ke hari ini, telah mengajar saya

banyak perkara. Antaranya ialah, betapa saya amat menghargai nilai

sebuah kebebasan dari belenggu kesusahan dan kemiskinan. Jika kita

tidak merdeka 66 tahun yang lalu, belum tentu kita dapat mengecapi

nikmat sebagaimana yang kita rasai sekarang.

Sememangnya kemerdekaan Malaysia adalah untuk semua

bangsa. Rakyat khususnya generasi kini perlu mendalami maksud

kemerdekaan untuk semua. Kita banyak belajar daripada apa yang

telah berlaku pada masa lampau kerana bangsa yang tidak

mengetahui sejarah masa lampaunya tidak akan mampu

membangunkan masa depannya.


Jika kita telusuri sejarah kemerdekaan, upacara sambutan

pemasyhuran kemerdekaan negara merupakan detik bersejarah yang

dinantikan setelah melalui perjalanan yang panjang menuju

kemerdekaan. Permulaan sambutan diraikan pada malam 30 Ogos

1957 di Padang Kelab Selangor. Menjelang tengah malam 30 Ogos

1957 pula, jalan sekitar bandar Kuala Lumpur dipenuhi kenderaan.

Jalan sesak dengan kereta, bas, beca, basikal serta pejalan kaki

menuju ke Padang Kelab Selangor. Suasana malam penuh meriah

diterangi lampu hiasan dan kedai dibuka sehingga larut malam.

Sehingga kini, sambutan yang meriah ini diteruskan setiap tahun

pada setiap tanggal 31 Ogos untuk menyemarakkan semangat cinta

akan negara.

Sidang dewan yang dikasihi sekalian,

Harapan saya selaku pemimpin di SMK Permas Jaya tidak lain tidak

bukan adalah untuk memastikan bahawa seluruh warga SMK Permas

Jaya sentiasa menghidupkan bulan kemerdekaan ini dengan jiwa-jiwa

yang sentiasa cinta dan sayang akan negara. Pendek kata, tema
Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan yang

bertunjangkan sikap saling menghormati dan meraikan kepelbagaian

haruslah dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Di samping itu,

semangat tokoh pejuang kemerdekaan yang bermati-matian

mempertahankan negara haruslah mengalir dalam darah ‘tak lapuk

dek hujan, tak lekang dek panas’ agar tidak hanya menjadi lipatan

sejarah semata-mata.

Warga SMKPJ yang dikasihi sekalian,

Terinspirasi daripada detik-detik pemasyuran kemerdekaan 1957,

‘Maka, dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha

mengasihani, saya Madzian Bin Rahmat Pengetua SMK Permas Jaya

dengan ini merasmikan Sambutan Bulan Kemerdekaan SMK Permas

Jaya. Dengan limpah dan Rahmat Allah, semoga negara kekal menjadi

sebuah negara demokrasi yang Merdeka dan berdaulat serta

berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga

dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dalam

mengekalkan keamanan di antara segala bangsa.’


Sekian, terima kasih

Anda mungkin juga menyukai