Anda di halaman 1dari 20

Anwar Ridhwan : Arah dan Cabaran Penulis Muda

Dibentangkan dalam ‘Perhimpunan Penulis Muda 2009’ anjuran PENA dengan


Kerjasama DBP, dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah,
22-24 Mei 2009, di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka.

A. PENDAHULUAN

Fitrah Tuhan mentakdirkan proses pengenerasian terus berlaku. Proses tersebut


dialami bukan sahaja oleh flora, fauna, dan peralatan-peralatan moden , malah yang
lebih penting turut dialami oleh manusia. Sebagai hayawan natiq[i], yakni makhluk
berbahasa, manusia turut belajar daripada bahasa alam, melihat bagaimana daunan
hijau muda perlahan-lahan berubah warna menjadi coklat perang; melihat
bagaimana telur menetaskan burung yang kemudian melesat terbang; melihat
bagaimana peralatan moden mengecil dan menipiskan bentuknya.
Pengenerasian manusia selalu menghadirkan polemik ‘kaum tua’ dan ‘kaum muda’,
bukan sahaja yang mengkhusus dalam ranah keagamaan seperti yang pernah
terjadi di negara kita, malah meluaskan ranahnya ke medan-medan kehidupan yang
lain.
Pengenerasian tidak terjadi dalam vakum atau kekosongan. Pengenerasian terjadi
bersama-sama gerak kebudayaan sesebuah masyarakat. Justeru itu, golongan yang
telah mapan, atau berasa dirinya mapan, akan selalu bersemuka dan berdialog
dengan generasi muda, tentang pelbagai aspek dalam kehidupan yang bergerak
pantas ini.
B. PERJUANGAN, ARAH DAN CABARAN

Kesusasteraan Melayu moden telah mengalami pembaharuan atau pengenerasian


genre beberapa kali. Salah satu dekad yang penting ialah 1970-an. Dekad itu
menyaksikan kemunculan puisi-puisi Melayu yang lebih baik, cerpen-cerpen
eksperimental yang segar, novel-novel dengan teknik serta persoalan yang lebih
mendalam, dan drama-drama non-realisme. Karya-karya tersebut muncul dari latar
belakang sosial, budaya, dan sejarah zamannya.
Kini kesusasteraan Melayu moden muncul dari latar sosial, budaya dan zaman yang
terus berubah. Di sekitar kita terjadi perubahan-perubahan penting, yang bukan
sahaja melibatkan anggota masyarakat, malah para penulis dan karya mereka.
Dalam ruangan yang terbatas ini, hanya beberapa perubahan yang dapat
diketengahkan dalam wacana kali ini. Oleh sebab zaman ini memberikan lebih
banyak ‘saham’nya kepada penulis-penulis muda, maka penulis-penulis muda wajar
menanggapi perubahan-perubahan berikut dalam konteks cabaran dan tantangan
yang harus ditangani dengan bijaksana.
Memetakan Perjuangan Seni

Sama ada seseorang penulis muda itu mahu menggariskan perjuangan seninya
(yang sekali gus bererti bersedia menghadapi cabaran), serta memetakan arah
perjuangan seninya, sangat bergantung kepada tujuan mengarang. Jika tujuan
seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk mencipta nama, maka namanya
akan diingat buat sementara waktu. Jika tujuan seorang penulis muda itu
mengarang hanya untuk mendapatkan wang, maka ringgit dan sennya akan habis di
dunia ini. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk seni, maka
ia hanya mengagungkan seni yang relatif. Akan tetapi Jika tujuan seorang penulis
muda itu mengarang kerana menggunakan bakat untuk menjadi pendakwah seni
mengandung ilmu, maka karyanya menjadi lebih bererti, dan lebih lestari. Dalam
hubungan ini Hassan Ahmad (2008) pernah menyatakan:
Penulis mesti tahu apakah tujuan dia menulis. Kalau dia ahli sains atau sarjana
dalam bidang ilmu tertentu, dia menulis untuk tujuan menyampaikan ilmunya kepada
orang lain, kepada masyarakat. Itu tujuannya. Dia tidak boleh main-main. Dia mesti
serius. Ini bukan kerja mudah. Dia mesti berfikir, mengolah ilmu. Tetapi bukan itu
sahaja. Dia juga harus menguasai alatnya dan teknik penulisan dengan baik. Alat
penting penulis ialah bahasa. Kalau dia tidak menguasai alat ini dengan baik, nanti
ilmu yang cuba disampaikan pun boleh keliru, tidak jelas, salah dan sukar difahami
pembaca. Tetapi menguasai bahasa sahaja belum cukup. Dia juga mesti menguasai
teknik penulisan, menguasai kebolehan menggunakan bahasa secara kreatif,
dengan gaya bahasa yang menarik, dan sebagainya… menulis buku yang bagus,
yang menarik, yang boleh memberangsangkan pembaca, membuka minda
pembaca, mengembangkan ilmu dan pemikiran pembaca.

Barangkali, cabaran pertama yang dihadapi oleh setiap penulis muda – iaitu cabaran
yang memerlukan jawapan – ialah memetakan perjuangan seninya terlebih dahulu.
Jika seseorang penulis muda itu menjadikan nama, ringgit dan seni semata-mata
sebagai matlamat tintanya, maka degup perjuangan yang lebih kuat dan besar
mungkin tidak akan kedengaran. Sebaliknya jika seseorang penulis muda itu
memanfaatkan bakatnya untuk menjadi pendakwah seni mengandung ilmu, maka
degup perjuangannya akan kedengaran lebih kencang. Perjuangan ini harus
bergerak sejajar dan seiring dengan penciptaan karya-karya sastera yang bermutu
tinggi.

Bukan Sekadar Watak dan Peristiwa : Idea Makin Ditagih

Tentang ciri-ciri karya sastera bermutu tinggi (yang antara lain melibatkan
pencernaan idea besar, ketrampilan seni dan komposisi, serta penguasaan bahasa
kreatif dan berkesan) tidak dapat dihuraikan di sini akibat ruang yang terbatas. Akan
tetapi pada umumnya peningkatan kualiti karya menanjak bersama-sama umur yang
meningkat, kecuali bagi penulis muda yang benar-benar genius.

Telah menjadi kebiasaan penulis muda yang mengejar nama, dan ringgit,
menghasilkan karya-karya popular yang memanipulasi watak dan peristiwa sahaja.
Bukanlah nama dan wang tidak penting, hanya kedua-duanya merupakan sesuatu
yang sekunder. Golongan ini melatarbelakangkan ‘idea’. Sesetengah penulis muda
yang tidak bersetuju dengan pendapat ini menyanggah, bahawa karya mereka juga
mengandung ‘idea’!
Marilah kita mendalami sedikit makna ‘idea’ dalam konteks pemikiran Melayu. Bagi
saran yang bermakna dan besar, orang Melayu menyebutnya gagasan atau ‘buah
fikiran’ – sesuatu yang bersifat metafora. Hanya buah yang baik, dan masak ranum,
memberi manfaat yang lebih kepada manusia. Bukan sesuatu daripada bunga dan
putik yang mentah, mengkal atau rosak – walaupun disebut ‘buah’ juga. Idea amat
erat kaitannya dengan akal, dan dalam konteks ini, menurut Hairudin Harun
(2001:504):
… akal Melayu menekankan peranan intellectus lebih daripada rasio. Intellectus
dalam epistemologi tradisional dikaitkan dengan “hati” atau naql, merupakan fakulti
yang menerima ilmu dan kebenaran yang bersifat metafizikal dan rohaniah.
Manakala rasio ialah fakulti rasional yang berpusat di otak merupakan tumpuan ilmu
fizik dan logik. Pemikiran tradisional sentiasa mengutamakan fakulti intellectus
holistik dan sintesis berbanding dengan rasio analitik dan redusionistik. Fakulti
intellect melihat alam ini sebagai kaya dengan simbol-simbol transenden semantik
berbanding dengan rasio yang lebih menekankan simbol sintaksis redusionistik.

Maka menjadi cabaran penulis muda untuk menambah elemen gagasan dan ‘buah
fikiran’ yang besar, bermakna dan bernas di dalam karya-karya mereka; suatu
anjakan daripada medan teks yang hanya memanipulasi watak dan peristiwa.
Masukan ilmu menjadi bumbu penting di dalam karya sastera, yakni ilmu yang
teradun secara harmonis dan seimbang dalam sosok ciptaan karya kreatif yang
berespon kepada emosi, perasaan dan akal; bukan dalam sosok buku ilmu
pengetahuan yang hanya berespon kepada intelek. Karya sastera berbeza dengan
karya ilmiah. Tentang konteks ilmu ini, sedapat-dapatnya penulis boleh sampai ke
dasar makna ilmu seperti yang pernah disebut oleh Syed Othman Alhabshi
(2003:153):
Ilmu ialah sesuatu yang pasti yang terbit daripada kebenaran yang mutlak yang
harus kekal di sisi manusia dan diterima oleh hatinya (al-qalb). Konsep ilmu ini
datang daripada perkataan yaqin yang sememangnya mempunyai maksud benar
dan pada masa yang sama membina keamanan, keselamatan dan ketenangan
dalam hati. Oleh itu ilmu tidak boleh berada dalam bentuk tekaan yang bijak atau
sangkaan yang mungkin mengandungi unsure syak yang akan bertukar atau
berubah demi masa atau tempat. Apabila syak wujud walau sedikit sekali pun, ia
bukan lagi suatu kebenaran yang mutlak, ia juga tidak lagi akan menenangkan hati
dan dengan itu bukan lagi dianggap ilmu.
Bukanlah pendakwah sejati jika tidak menerima cabaran demi cabaran. Sehubungan
itu para penulis muda yang termasuk dalam golongan pendakwah seni mengandung
idea ini, harus mengamati fenomena seputar kehidupan kini. Terlalu banyak
fenomena yang kurang menyenangkan ‘orang tua’ seperti saya dewasa ini. Penulis
muda wajar berasa sensitif terhadap perkara-perkara berikut, dan mungkin pula
terdorong untuk mengangkatnya menjadi leitmotif di dalam karya.

Ruh Islam, Budaya Kehidupan Liberal dan Karya Sastera

Penjajahan Inggeris dan orientalisme telah memetakan pendidikan agama Islam di


Malaysia ke arah yang kelam dan berwarna kelabu. Sejak zaman penjajahan hingga
kini, pendidikan Islam tidak pernah berada di pentas perdana dunia pendidikan kita.
Sungguhpun diakui bahawa pendidikan Islam yang menyeluruh boleh membentuk
peribadi yang mulia atas asas tauhid, mencipta ketamadunan Islam, dan
menyelamatkan penganutnya di dunia dan akhirat, kelas-kelas agama masih
merupakan subjek kecil, atau ditolak ke sebelah petang yang telah mengambil
kesegaran pagi. Hanya di sana sini, secara terpecah-pecah dan pinggiran, muncul
pondok dan sekolah agama; tetapi jumlah yang kecil serta keupayaan yang terbatas,
tidak memungkinkan suatu perawatan jiwa dan sosial yang lebih menyeluruh.
Akibatnya, roh Islami menjauh daripada kehidupan sebahagian keluarga, yang
dititiskan pula sebagai pewarisan negatif kepada anak-anak generasi muda. Yang
terbentang luas adalah sebuah dunia sekular, yang menurut Mahmood Zuhdi
(2003:123) merupakan ‘sesuatu yang telah didekatkan’, yakni kehidupan dunia ‘yang
dekat dengan kesedaran, pengalaman dan pemikiran manusia.’ Lantaran itu,
antaranya, dunia hiburan dan hedonism menjadi tuhan baru dalam kehidupan
mereka. Budaya kehidupan liberal-sekular menyebabkan mereka lebih banyak
menghabiskan masa dan wang ringgit kepada tuhan baru kompromi, dan tuhan baru
bernama hedonism, berbanding masa dan wang yang diinfakkan ke jalan yang
diredai-Nya. Apakah penulis, termasuk penulis muda memandang sepi perkara ini?
Dalam sebuah tulisannya, Fadlullah Wilmot (Hamzah Hamdani, 2003:10) pernah
menyebut:
Selama peribadi manusia dikendalikan oleh keinginan duniawinya, selama dia tidak
tunduk kepada Allah dan menyucikan pandangan, selama itu juga seorang penyair
atau penulis tidak mungkin akan dapat melepaskan diri daripada kesempitan
kepentingan nafsunya. Hanya kalau si penulis mempunyai satu matlamat yang
mutlak maka dapatlah dia maju, mencapai, memperluas dan menyelesaikan perkara
tersebut. Kalau tidak dia cuma berpusing-pusing sahaja, walhal Islam memberikan
kepada manuisa matlamat untuk mencari keredaan Allah dalam hidupnya, dan tidak
ada matlamat yang lebih tinggi daripada matlamat ini. Dengan matlamat ini, seorang
penulis dapat maju dan menciptakan perkara-perkara yang memberi kesedaran baru
kepada umat manusia.
Sehubungan itu, yang diperlukan bukan sahaja sensitiviti terhadap isu-isu tersebut
yang menjadi sebahagian realiti alam Islam[ii], malahan kecintaan terhadap ilmu
yang dapat memandu kita ke jalan yang betul dan matlamat yang jelas. Peranan
kepemimpinan juga ditagih, kerana pendekatan kepemimpinannya akan
menentukan dimensi yang seimbang atau kecondongan ke arah keduniaan semata.
Mengulas perkara ini, Wan Mohd. Noor Wan Daud (2004:23) menyebut bahawa
“pemahaman dan penghayatan kerangka keilmuan dan pandangan alam Islam telah
berjaya mengangkat orang Melayu dan bahasanya sebagai bangsa dan bahasa
yang dihormati walaupun terpaksa menghadapi tentangan langsung daripada kuasa-
kuasa ketenteraan dan pentadbiran Barat.” ( Isu martabat bahasa tampak
kebenarannya dalam tempoh tertentu, dan ini akan disentuh lagi
kemudian).Sebaliknya, menurut Wan Mohd. Nor, akibat “kelemahan pemahaman
dan kelalaian pelaksanaan kerangka keilmuan dan akidah ini dalam kalangan
beberapa pemimpin menyebabkan akhlak mereka rapuh, tidak bersedia mendengar
nasihat, dan terlalu mementingkan kehendak duniawi.”
Terdapat gesaan tegas agar para penulis, termasuk penulis muda, menghadapi
fenomena sosial sebagai sesuatu yang nyata, dan memindahkan situasi itu ke dalam
teks yang bertanggungjawab. Dalam hubungan ini, Said Quthub (A.Hasjmy,
1977:72) dengan lantang menegaskan:
Islam mengghairahkan manusia agar berani menghadapi hakikat nyata dan jangan
lari daripadanya ke dunia khayal yang kabur. Kerana itu, tidak ada lagi dalam daya
manusia sisa untuk mimpi-mimpi kabur yang berterbangan, kerana Islam telah
menghabiskan daya ini untuk membuktikan mimpi yang tinggi sesuai dengan jalan-
Nya yang agung.

Masa Kini dan Masa Depan Pendidikan Sastera yang Mencemaskan


Kita, termasuk penulis muda, wajar berasa khuatir dengan situasi pengajaran dan
pembelajaran sastera di negara kita dewasa ini. Bayang hitam kesannya
menghorizontal jauh ke depan kita. Dalam sebuah tulisannya, Muhammad Haji
Salleh (1999: 597) menyebut:
Pelajar-pelajar digalakkan memilih sains dan teknologi dan mencari kehidupan
mereka di dunia itu, yang kononnya banyak menjanjikan kejayaan dan kemewahan.
Pelajar-pelajar yang kurang tinggi markahnya dikumpulkan dalam kelas-kelas yang
dinamakan sastera. Rasanya sudah muncul suatu keadaan yang memberat kepada
dunia sains dan tidak sedikit berprasangka kepada dunia sastera.

Dengan kelas-kelas sastera hampir dianak-tirikan, dikurangkan bilangannya oleh


kebanyakan pihak sekolah atas nama menjaga prestasi keputusan peperiksaan
sekolah, dengan meletakkan guru-guru yang pada umumnya kurang sesuai, dan
dengan pelajar-pelajar yang kurang cemerlang mendiami kelas-kelas sastera, kita
dapat membayangkan masa depan sastera kita, jika semata-mata bergantung pada
situasi pendidikan sastera masa kini! Lebih parah, jika pihak-pihak yang
bertanggungjawab, membiarkan situasi ini dibawa arus masa, tanpa apa-apa
perubahan.
Tamadun Islam dan tamadun Barat yang masih berkembang, sentiasa
menggalakkan perkembangan sastera yang sihat bersama-sama perkembangan
teknologi dan materialisme. Pemikiran kreatif, objektif dan saintifik, sentiasa
bergerak seiring. Peranan serta fungsi hemisfera otak kanan, dan hemisfera otak
kiri, sentiasa mendapat makanannya. Malah terdapat tradisi menghayati sastera
sebagai pelengkap kepada proses ketamadunan, termasuk kepada para pentadbir
bagi suatu tadbir urus yang lebih manusiawi sifatnya. Muhammad Haji Salleh (1999 :
599/ 613) juga pernah menyebut:
Sastera yang tumbuh dalam jiwa dan bahasa sesuatu bangsa akhirnya menjadi alat,
bukti dan unsur jati dirinya. Akar tuanya tertanam dalam nilai, cara berfikir dan
perasaan bangsa itu, termasuk dalam manifestasi yang lebih akaliah dan seni
sifatnya, seperti yang terlihat dalam sejarah, syair, pantun dan seni pertunjukan.
Setelah beberapa lama menyumbang kepada budaya maka sastera itu menjadi
sebahagian daripada wajah dan jiwa bangsa kita…
Sastera membina manusia yang berfikir dan beretika, manusia yang halus
pertimbangannya, yang bersikap adil dan saksama, dan dapat membayangkan
perasaan orang lain. Seorang pembaca yang baik mungkin lebih prihatin terhadap
mereka yang harus melalui keperitan hidup, manusia yang peka kepada manusia
dan persekitarannya. Manusia begini amat diperlukan untuk membina sebuah
masyarakat atau dunia yang baik.

Akan tetapi mengapakah nasib pengajaran dan pembelajaran sastera di negara kita
tampak terpinggir? Mengapakah produk sastera seakan-akan tidak mempunyai
pengaruh dan kesan terhadap industri kreatif yang terus berkembang?
Nilai industri kreatif di Malaysia dianggarkan RM6 bilion setahun, dan akan terus
meningkat. Sebagaimana diketahui umum, industri kreatif dijana daripada unsur dan
sumber sastera. Kini, seperti perkembangan di negara-negara maju, industri kreatif
mempengaruhi sebahagian besar aspek kehidupan manusia, umpamanya melalui
program-program media elektronik, media cetak, dan penerbitan web. Semuanya itu
mempunyai nilai ekonomi yang sangat tinggi.
Akan tetapi di sebalik fakta-fakta tersebut, mengapakah jumlah kelas-kelas sastera
di sekolah menengah di negara kita makin mengecil? Malah di beberapa buah
sekolah, kelas sastera telah ditutup atas pelbagai alasan yang tidak munasabah?
Mengapakah subjek sastera dianggap sebagai subjek yang tidak menjanjikan
pekerjaan, serta tiada nilai ekonomi? Jika gambaran sastera yang suram di sekolah-
sekolah menengah itu kita jajarkan dengan nilai industri kreatif negara ini yang
bernilai RM6 bilion setahun dan akan terus berkembang, nyatalah ada sesuatu yang
amat tidak kena dengan pendidikan sastera di sekolah-sekolah. Malah tidak kena
dengan slogan ‘modal insan’ bagi sekurang-kurangnya 40% pelajar kita.
Dalam jangka pendek dan jangka panjang, mutu industri kreatif ditentukan oleh
mereka yang terdidik dalam bidang sastera, yang turut terlibat dalam industri ini
dalam pelbagai peringkat. Jika sistem pendidikan sastera negara dapat melahirkan
tenaga kerja industri kreatif yang berkualiti, maka mutu industri kreatif negara akan
meningkat. Sebaliknya, jika sistem pendidikan sastera negara gagal melahirkan
tenaga kerja industri kreatif yang bermutu, maka tiada nilai yang dapat diharapkan
daripada industri kreatif negara. Ini sangat membimbangkan kita.
Jika perkara yang terakhir itu berlaku (dan sebenarnya sedang berlaku di Malaysia),
masyarakat tidak memberi ‘rating’ yang tinggi kepada produk industri kreatif
tempatan. Akibatnya, industri kreatif kita terpaksa membuka ruang kepada produk
industri kreatif negara asing. Produk industri kreatif negara asing, sebahagiannya
memang bermutu daripada aspek estetika. Malangnya, produk industri kreatif
negara asing juga turut membawa dan mengembangkan pelbagai unsur negatif
seperti keganasan, seram, lucah, anti agama dan sebagainya. Gejala-gejala negatif
itu pastilah merisaukan pimpinan politik, agama, budayawan dan tokoh masyarakat
yang ingin melihat pembentukan nilai akhlak dan moral yang tinggi dalam
masyarakat kita, khususnya di kalangan generasi muda.
Sayangnya, pendidikan sastera di sekolah-sekolah kita tidak menjurus ke arah
pendekatan terapan sastera yang boleh memperkasakan industri kreatif negara, dan
menyediakan tenaga kerja bagi pasaran tersebut. Sastera lebih banyak dipelajari
bentuknya, tanpa dilihat potensinya yang boleh dieksploitasi bagi industri kreatif. Jika
kesilapan masa kini tidak dibetulkan dengan segera, industri kreatif negara akan
terus mundur, di samping terus bergantung pada produk industri kreatif asing yang
boleh memusnahkan jati diri bangsa. ‘Sistem’ pendidikan sastera kita sekarang, jika
boleh dikatakan suatu sistem, juga akan gagal melahirkan penulis-penulis yang
berkualiti.
Justeru itu sudah tibalah masanya dilakukan rombakan besar-besaran terhadap
pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah-sekolah. Tujuan
utama daripada rombakan drastik dan berskala besar itu ialah melahirkan pelajar-
pelajar sastera yang bermutu. Mereka boleh menjadi penulis yang baik, atau
pelbagai tenaga produksi yang diperlukan oleh industri kreatif negara. Mereka
(pelajar-pelajar sastera) akan dibentuk sedemikian rupa untuk mengisi keperluan
tenaga kerja industri kreatif yang menyediakan peruntukan lebih RM6 bilion setahun.
Untuk mencapai tujuan tersebut, pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran
sastera perlu dilihat, dikaji dan dinilai semula.
Pada lewat 1960-an dan awal 1970-an, buku-buku teks sastera memang merupakan
karya-karya yang hebat. Sejarah sastera, menggunakan buku Zubir Usman. Pelajar
sastera diwajibkan juga membaca karya-karya penting seperti Patah Tumbuh (Keris
Mas), Warna Suasana (Masuri S.N), Salah Asuhan (Abdul Muis),Siti Nurbaya
(Marah Rusli), Keluarga Gerilya (Pramoedya Ananta Toer), Atheis (Achdiat K.
Miharja) dan sebagainya.
Pada ketika itu, dan inilah yang sewajarnya, pembuat keputusan di kementerian
tampaknya tidak bertolak ansur terhadap pemilihan dan penggunaan teks sastera
yang bermutu. Hal ini turut dijadikan tradisi pemilihan teks sastera di sekolah-
sekolah negara maju seperti Britain, Jepun, Perancis, Amerika Syarikat dan
sebagainya. Biasanya, hanya teks karangan pengarang-pengarang yang ternama,
yang mutu karya mereka telah melalui ujian zaman, dipilih untuk dipelajari. Dengan
demikian para pelajar didedahkan kepada kualiti karya zaman klasik, dan klasik-
moden yang benar-benar terpilih.
Teks sastera di negara kita, mutakhir ini tidak menunjukkan suatu keputusan yang
ketat, yang berpegang kepada prinsip pemilihan teks yang benar-benar telah diuji
zaman kerana nilai estetika serta pemberi pengalaman intelektualnya. Sungguhpun
beberapa teks tampak agak terpilih, tetapi pemilihan beberapa karya atau teks lain
kelihatan agak sembarangan sahaja. Sehingga beberapa karya penulis muda, yang
sesetengahnya amat kurang dikenal, turut terpilih. Ini memancarkan sikap
pemahaman yang dangkal terhadap ‘peranan’ teks sastera sebenar di kalangan
pemilih teks, dan malah menimbulkan beberapa tohmahan yang tidak sedap
didengar.
Pemilihan teks atau karya penulis muda (sebagai teks sastera), lebih-lebih lagi
apabila karya itu tidak memenangi apa-apa hadiah sastera yang utama seperti
Hadiah Sastera Perdana, mungkin hanya akan menjadi bahan jenaka. Ia akhirnya
menjadi suatu ‘komedi-tragik’. Adalah suatu yang tidak adil untuk menempatkan teks
yang bukan hak sebagai teks sastera yang wajib dipelajari, sementara teks
sepatutnya dari zaman klasik dan era klasik-moden dipinggirkan.
Akibatnya para pelajar sastera hanya mempelajari teks yang belum diuji zaman,
yang nilai estetika dan pengungkapan pengalaman intelektualnya belum diukur oleh
kematangan peradaban bangsanya.
Sehubungan itu wajarlah teks sastera di negara kita, daripada komsas hingga
peringkat sekolah menengah dan IPT, menggunakan karya sastera yang benar-
benar terpilih. Untuk pembelajaran sejarah sastera (tradisional dan moden), buku
yang paling representatif umpamanya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, yang
disusun dan ditulis oleh sekumpulan profesor dan sarjana sastera tanahair. Karya-
karya yang dipelajari, mestilah mengutamakan teks prosa dan puisi yang merupakan
genius bangsa, di samping tidak melupakan karya pengarang-pengarang penting
zaman tradisional seperti Hamzah Fansuri, dan Raja Ali Haji; serta karya para
pengarang era klasik-moden, sejak Abdullah Munsyi hingga beberapa karya
Sasterawan Negara.
Sejak sekian lama, corak soalan peperiksaan subjek sastera tampaknya tidak
dibezakan dengan soalan subjek-subjek lain seperti geografi, sejarah dan
sebagainya. Soalan subjek sastera mestilah jauh berbeza dengan soalan subjek-
subjek lain, kerana subjek sastera berespond kepada emosi, intelektual, dan
kreativiti – tiga komponen yang tidak boleh dilihat secara terpisah-pisah. Perubahan
ini mesti dilakukan jika sistem pendidikan sastera kita mahu melahirkan penulis
kreatif dan non-kreatif yang baik, dan yang sesuai bagi industri kreatif kita.
Malangnya sejak sekian lama, soalan subjek sastera hanya berlegar pada perkara-
perkara struktural dalam teks (tema, plot, watak, latar, bahasa, sudut pandangan
dan sebagainya), di samping sedikit ulasan atau pendapat. Tidak hairanlah jika
proses pengajaran dan pembelajaran subjek ini begitu menjemukan, tidak menarik
minat pelajar cerdik, tertutup dan dalam kegelapan tanpa terlihat sinar harapan di
hujung terowong pembelajaran.
Lebih parah apabila guru bukan-sastera, atas sebab-sebab dalaman yang kronik,
diminta mengajar subjek sastera! Oleh sebab banyak aspek struktural yang timbul
sebagai soalan peperiksaan, maka pihak guru dan pelajar lebih mudah bergantung
pada buku-buku panduan yang banyak dijual di pasaran. Akan tetapi subjek sastera
bukanlah subjek teknikal yang ‘mati’, yang tiada hubungkaitnya dengan kehidupan
ini, serta tidak boleh diindustrikan. Malangnya itulah yang sedang terjadi di sekolah-
sekolah kita. Pelajar sastera secara sinis dianggap sebagai golongan ‘ekor’ yang
akan pupus. Hal seperti ini tidak terjadi di negara-negara maju. Selain mereka (di
negara maju) hampir tidak membuat tembok dikotomi yang jelas antara aliran sains
dan sastera, mereka juga lebih pintar memilih bahan teks, kaedah pengajaran, serta
hala tuju ke arah pasaran kerja.
Antara ciri sistem pendidikan yang baik ialah melihat semua ilmu berpotensi untuk
berkembang, dan para pelajar setiap ilmu itu dapat memanfaatkan ilmu tersebut
untuk kegunaan diri sendiri, masyarakatnya, atau malah dikomersialkan.
Pihak Kementerian Pelajaran, sesuai dengan dasar kerajaan mahu menjadikan
Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020, mula mempertegas aliran sains dan
sastera kepada para pelajar, dengan nisbah 60% sains dan 40% sastera. Nisbah
bagi sastera mungkin akan terus dikecilkan, dengan ‘sangkaan’ bahawa sastera
tidak menyumbang kepada kemajuan negara.
Memanglah aliran sastera tidak menyediakan tenaga kerja profesional yang dapat
membangunkan negara secara fizikal. Akan tetapi pembangunan serta kemajuan
sesebuah negara juga turut diukur dengan kemajuan intelektual, sastera dan
kebudayaannya. Jumlah pelajar yang mewakili 40% aliran sastera adalah suatu
jumlah yang besar. Jika jumlah ini tidak dirancang pembangunan ‘modal insan’nya,
negara kerugian sumber tenaga manusianya. Justeru itu sudah sampai masanya
semua aspek pengajaran dan pembelajaran sastera dinilai semula.
Sejarah sastera tradisional dan moden masih perlu dipelajari, kerana subjek ini
memerikan tokoh, aliran, persoalan serta karya-karya penting yang telah menjadi
‘kanun’ dalam disiplin ini. Akan tetapi ketika mengajar puisi mahupun prosa, yang
lebih ditekankan bukan pada bentuk atau strukturalnya, pada hal sastera lebih
daripada itu.
Aspek struktural hanyalah peranti yang disesuaikan bagi membawa muatan
persoalan dalam sesebuah karya. Jadi mengapa selama ini aspek struktural begitu
ditekankan dalam peperiksaan?
Bagi keperluan industri kreatif, memang pada lapisan pertama para pelajar perlu
memahami struktur puisi dan prosa. Tetapi selepas itu para pelajar mestilah diajak
untuk memahami mengapa struktur sedemikian sesuai bagi membawa muatan
persoalan karya. Kemudian memahami pula kekuatan seni dan pengalaman baru
yang boleh dikutip daripada sesebuah karya, termasuk aspek ‘kebenaran’nya
daripada pandangan agama, akhlak, dan moral.
Semua itu akan memberi suatu konsep ‘bentuk’ dan ‘isi sastera’ yang asas – yang
berguna jika seseorang pelajar ingin jadi penulis. Akan tetapi pengetahuan tentang
‘isi’ dan ‘bentuk sastera’ itu juga amat berguna untuk diaplikasikan dalam industri
kreatif. Sebagai contoh, dengan memahami bentuk dan isu puisi tradisional dan
moden, pengetahuan tersebut boleh gunakan untuk mencipta puisi lirik yang boleh
diangkat menjadi seni kata lagu dalam pelbagai genre. Ciptaan puisi lirik itu boleh
dikomersialkan, dan penciptanya berhak mendapat honorarium atau royalti di bawah
Akta Hak Cipta 1987. Tempoh hak karya dan royaltinya pula berpanjangan
hinggalah 50 tahun selepas penciptanya meninggal dunia. Ini bermakna pencipta
atau waris pencipta dijamin hak royaltinya di bawah perlindungan harta intelek.
Puisi lirik itu juga boleh dikembangkan kepada pelbagai bentuk terbitan yang boleh
menjana pendapatan, umpamanya puisi bermontaj, klip video lagu, diterbitkan bagi
acara-acara tertentu, dipersembahkan dalam konsert lagu puisi dan sebagainya lagi.
Memahami puisi yang ringkas, padat dan berkesan juga boleh dimanfaatkan bagi
penulisan copywriting yang berkesan bagi iklan. Pendek kata, puisi boleh
dimanfaatkan dalam pelbagai produk industri kreatif, bukan hanya dipelajari
strukturnya sahaja.
Begitu juga dengan memahami bentuk dan isi prosa. Pemahaman tersebut boleh
dikembangkan untuk penciptaan karya-karya baru bagi industri kreatif, seperti drama
radio, drama tv, skrip filem, skrip drama pentas, pelbagai bentuk penulisan prosa
kreatif, cereka dalam penerbitan elektronik, dan sebagainya lagi. Semua produk ini
bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah boleh dieksport ke negara-negara
yang menggunakan bahasa Melayu, atau ke negara-negara lain melalui
penterjemahan.
Pemahaman tentang ‘bentuk’ dan ‘isi sastera’, dalam konteks industri kreatif, boleh
menyediakan keperluan yang asas, iaitu penulisan. Akan tetapi penulisan sahaja
belum mencukupi bagi industri kreatif yang lebih mementingkan imejan dalam
bentuk lakaran atau persembahan. Ini membuka pelbagai aktiviti hiliran bagi industri
kreatif, yang wajar didedahkan kepada para pelajar sastera mulai peringkat sekolah
menengah.
Sebagaimana yang telah dinyatakan, subjek sastera itu berespond kepada emosi,
intelektual dan kreativiti. Ketiga-tiganya tidak boleh dilihat secara berasingan. Dalam
konteks kreativiti, pendidikan sastera dalam kaitannya dengan industri kreatif, mesti
turut dapat mengenalpasti kecenderungan kreativiti para pelajar. Kreaviti para
pelajar mesti dipupuk dan dikembangkan, untuk berperanan sebagai aktiviti hiliran
dalam industri kreatif. Sebagai contoh, terdapat pelajar yang cenderung kepada
kreativiti penulisan, maka pupuklah minat serta kecenderungan mereka untuk
menjadi penulis yang berjaya.
Akan tetapi pelajar-pelajar yang lain mungkin cenderung kepada seni lukis, lakonan,
penataan seni, pengarahan, aspek audio dan video, dan sebagainya. Semua
kecenderungan kreativiti itu mesti dipupuk dan diarahkan kepada keperluan-
keperluan industri kreatif, berdasarkan bahan penulisan yang dihasilkan. Secara
ringkas, pembelajaran sastera dibentuk semula untuk menjadi suatu pakej yang
sesuai bagi industri kreatif.
Jika perubahan ini dapat dilakukan sejak peringkat sekolah menengah – melalui
tahap, fasa, dan skala tertentu secara berperingkat-peringkat, subjek sastera akan
menjadi lebih menarik, dan relevan dengan keperluan pasaran masa kini. Dalam
jangka panjang, negara akan menghasilkan lulusan sastera yang bermutu sama ada
sebagai penulis mahupun profesyen lain. Di samping itu IPT akan turut menerima
mahasiswa sastera yang berkualiti.
Untuk mereformasikan pengajaran dan pembelajaran sastera bagi keperluan industri
kreatif, pelbagai perubahan mesti dilakukan. Perubahan tersebut termasuklah
penyusunan kurikulum baru, sukatan pelajaran yang lebih realistik dengan matlamat
yang ingin dicapai (termasuk mengambil kira pandangan pemain industri kreatif),
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan, mengembangkan bakat
setiap pelajar sesuai dengan kecenderungan seni masing-masing, mengubah cara
penilaian peperiksaan, memberi kredit kepada kreativiti pelajar, latihan-latihan
hands-on kepada para pelajar ketika sesi persekolahan atau ketika cuti penggal,
memberi ilmu asas tentang promosi dan pemasaran, dan sebagainya.
Jika langkah-langkah tersebut dilakukan, pendidikan sastera negara ini akan
melahirkan lulusan sastera yang lebih holistik, lebih berdaya saing, dan lebih relevan
dengan keperluan pasaran tenaga kerja. Secara ringkas, pelajar sastera akan
mendapati bahawa mereka mempunyai masa depan yang cerah dalam industri
kreatif yang turut menjanjikan ‘glamour’ serta kemasyhuran.
Perubahan yang drastik mesti dilakukan jika kita mahu melihat sastera dipelajari dan
diajar dengan cara yang sepatutnya. Sastera bukanlah subjek yang ‘hina’,
sebaliknya sesetengah daripada kita sendiri ‘menghina’ sastera melalui pemilihan
teks yang kurang sesuai, pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang kurang
berkesan, mencipta soalan-soalan peperiksaan yang tidak mencedikkan pelajar,
serta tidak mengaitkan subjek ini dengan keperluan pasaran tenaga kerja. Hijab
pihak pembuat keputusan tentang pelbagai aspek subjek ini tampaknya telah
tertutup, ketika di negara luar lulusan sastera ditunggu oleh industri kreatif, dan
saban tahun kemuncak dramatik pengumuman Hadiah Nobel adalah bagi bidang
kesusasteraannya.

Martabat Bahasa Melayu di Negara Sendiri

Seperkara lagi yang amat penting kita teliti dan pantau, khususnya oleh penulis
muda penyambung generasi, ialah status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan
Bahasa Kebangsaan di negara ini. Hal ini penting kerana bahasa amat erat
kaitannya dengan sastera, dan jati diri bangsa.
Kita sedang menyaksikan akhbar-akhbar bukan berbahasa Melayu sedang
mendominasi edaran harian. Kita sedang menyaksikan program-program bahasa
Inggeris menjadi kuasa majoriti media elektronik. Kita sedang menyaksikan bahasa
Melayu mula dipinggirkan sebagai bahasa ilmu tinggi. Suatu hari kelak (mungkin
tempohnya sudah begitu hampir, berada di sudut blok kehidupan kita), mungkinkah
sastera Melayu juga akan tergeser daripada pentas kehidupan yang utama – diganti
oleh bangsa dan masyarakat kita dengan sastera bahasa lain?
Sehubungan itu, cabaran yang menanti di hadapan kita ialah untuk memulihkan
status bahasa Melayu di negara sendiri, dan memperkasakannya dalam setiap
ranah kehidupan. Mengapa isu kedudukan dan masa depan bahasa Melayu di
negara sendiri terus dipersoalkan? Sejak kira-kira sedekad yang lalu, isu bahasa
Melayu ini merupakan salah satu ujian besar bangsa Melayu sendiri. Segalanya
bermula dan berpangkal pada ada atau tidaknya rasa bangga terhadap bahasa
Melayu – terutamanya oleh pemimpin Melayu dan oleh orang Melayu sendiri.
Apabila disebut ‘pemimpin’, secara spontan kebanyakan kita akan
mengindentifikasikannya dengan pemimpin politik, terutama elit pemerintah.
Sungguhpun takrifannya tidak semestinya menjurus ke situ sahaja, tetapi begitulah
persepsi masyarakat Malaysia. Sejak sekian lama politik dan orang politik
mencitrakan diri sebagai panglima dan ‘juru selamat’ untuk apa-apa sahaja isu di
bawah matahari Malaysia ini. Bukan tidak sering, pendapat pakar tentang sesuatu
isu telah disisihkan oleh orang politik; dan mereka – secara demokratik atau pun
sebaliknya – mengketengahkan beberapa idea sendiri yang mesti diterima dan
dilaksanakan.
Dalam soal rasa bangga terhadap bahasa Melayu, orang Melayu terutamanya akan
terlebih dahulu melihat sikap serta peranan pemimpin politik Melayu mereka.
Masyarakat selalu bertanya, sejauh mana pemimpin politik Melayu yang berkuasa
meneguhkan dan menterjemahkan rasa bangga bahasa Melayu dalam kapasiti
mereka? Sejauh mana mereka memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi dan Bahasa Kebangsaan negara ini? Sejauh mana mereka memperteguhkan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu moden? Sejauh mana mereka memanfaatkan
bahasa Melayu yang sejak sekian lama menjadi lingua franca rantau ini untuk terus
menjadi bahasa perpaduan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak?
Sejak sedekad yang lalu, masyarakat Melayu pada umumnya meragui adanya rasa
bangga bahasa Melayu di kalangan ahli politik Melayu yang berkuasa. Berucap
dalam bahasa Inggeris dalam majlis rasmi atau majlis separa rasmi yang dihadiri
oleh rakyat Malaysia, melonggarkan penggunaan Bahasa Kebangsaan ketika pihak
swasta berurusan secara rasmi dengan kerajaan, menggunakan bahasa Inggeris
dalam pengajaran sains dan matematik – yang akan merebak kepada ilmu-ilmu
yang lain, menukar nama bahasa Melayu menjadi bahasa Malaysia, dan tiadanya
usaha bersungguh-sungguh untuk membenihkan jati diri kolektif sejak di sekolah
rendah bagi semua kaum melalui bahasa pengantar Melayu yang tunggal –
sebagaimana Indonesia dan Thailand membangga-bahasakan bahasa rasmi
mereka, adalah antara bukti bahawa pemimpin politik Melayu yang berkuasa kurang
atau tidak memiliki sikap rasa bangga bahasa Melayu dalam diri mereka. Mereka
mempunyai pertimbangan lain, termasuk politik, yang dilihat lebih besar dan wahid
berbanding bahasa bangsanya.
Adalah suatu ironi dan tragedi apabila bangsa yang sedang berkuasa di sesebuah
negara, tidak menggariskan wawasan yang besar dan realistik tentang masa depan
bahasanya, sebaliknya meminggirkan bahasanya ke sudut pentas kehidupan utama
bangsa dan negara.
Orang Melayu, termasuk pencinta dan pejuang bahasa Melayu tentu mengharapkan
ahli politik Melayu yang sedang berkuasa berbuat sesuatu untuk memperkasakan
bahasa Melayu dalam pelbagai lapangan kehidupan. Bahasa Melayu telah berakar,
tumbuh dan berkembang di Alam Melayu selama ribuan tahun, menjadi bahasa
pengucapan seni dan pemikiran tinggi termasuk dalam bidang agama, ilmu
pengetahuan dan falsafah. Sehubungan itu bahasa Melayu wajar disemarakkan
sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu moden (sebagaimana UKM telah
membuktikannya pada dekad 1980-an dan awal 1990-an), serta bahasa komunikasi
dan perpaduan rakyat negara ini.
Antagonis pemerkasaan bahasa Melayu yang kebanyakannya berselindung di balik
nama samaran, khususunya yang melibatkan isu PPSMI, menggunakan alasan
pentingnya bahasa Inggeris dalam kehidupan hari ini dan masa depan. Yang lebih
ekstrim dan sinikal, menuduh pejuang bahasa Melayu sebagai anti-bahasa Inggeris
dan tidak dapat melihat kepentingan bahasa Inggeris di dunia global hari ini.
Jawapan tegas daripada pejuang dan pencinta bahasa Melayu, yang sering
didengar, dan tidak pernah mencairkan semangatnya serta terasa kebenarannya
ialah, mereka tidak sekali-kali anti bahasa Inggeris. Hanya mereka mempersoalkan,
mengapa dalam upaya mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris yang dijadikan
mangsa serta korban ialah bahasa Melayu. Mereka berhujah lagi bahawa dengan
meminggirkan bahasa Melayu dalam P&P sains dan matematik – yang akan
merebak ke subjek-subjek sains yang lain – taraf bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu moden telah dinafikan oleh suatu dasar ciptaan ahli politik Melayu sendiri!
Pejuang dan pencinta bahasa Melayu meneruskan hujah yang selalu didengar,
bahawa subjek sains dan matematik bukanlah wadah yang sesuai bagi P&P bahasa
Inggeris. Mengapa tidak P&P subjek bahasa Inggeris itu sahaja yang dimantapkan,
termasuk mewujudkan sesi-sesi yang sistematik bagi menguasai bahasa Inggeris
sebagai bahasa komunikasi dan sebagainya.
Apabila bahasa Inggeris dijadikan dasar sebagai bahasa pengantar dalam subjek
sains dan matematik di seluruh negara, maka dasar itu secara automatik melibatkan
para pelajar di bandar, luar bandar, ceruk dan pedalaman. Bagi segelintir pelajar dan
ibu bapa di kawasan bandar, mereka menyambut baik dasar ini kerana mereka dan
anak mereka boleh menguasai bahasa Inggeris. Tetapi sesuatu dasar dicipta untuk
semua, bukan untuk kepentingan serta faedah segelintir pelajar. Bagaimana dengan
nasib pelajar-pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman – yang jumlahnya jauh lebih
besar daripada jumlah segelintir pelajar bandar?
Jika sesuatu dasar, seperti dasar PPSMI ini hanya memberi faedah kepada
segelintir pelajar, tetapi dalam masa yang sama mengecewakan begitu banyak
pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman, maka dasar itu boleh dianggap gagal.
Para pelajar di luar bandar, ceruk dan pedalaman bukan sahaja tidak dapat
mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui P&P sains dan
matematik, malah lebih malang lagi tidak dapat menguasai ilmu sains dan matematik
yang disampaikan bukan melalui bahasa ibunda mereka. Jika kegagalan itu
berterusan, dan dianggap remeh pula oleh kementerian yang berkenaan, maka satu
generasi pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman (kebanyakannya Melayu)
menjadi mangsa kepada dasar yang tidak adil ini. Akibat kegagalan itu, mereka akan
terlepas peluang pekerjaan yang lebih baik.
Terdengar cakap-cakap yang kurang menyenangkan bahawa kementerian yang
berkenaan sedaya mungkin mempertahankan dasar tersebut, dengan memanipulasi
keputusan peperiksaan. Khabarnya, tahap markah lulus telah direndahkan, supaya
dapat menunjukkan bahawa PPSMI telah melihatkan hasil yang membanggakan,
dan dengan itu wajar diteruskan. Jika cakap-cakap dan khabar ini benar, malang
sekali generasi pelajar Malaysia, kerana statistik lulus peperiksaan tidak
menceritakan situasi yang sebenar.
Pendidikan harus kembali kepada fitrah manusia dan bahasa ibundanya. Fitrah ini
lebih bermakna kepada para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.
Dengan ayat yang lain, pelajar sekolah rendah (terutamanya) lebih mudah
memahami dan menguasai sesuatu ilmu yang disampaikan melalui bahasa
ibundanya. Sebagai ilustrasi, jika kita (baca : ibu bapa Melayu) mempunyai
sepasang anak kembar berusia tujuh tahun, seorang belajar sains dan matematik
dalam bahasa Melayu, dan seorang lagi belajar melalui bahasa asing, tentulah anak
yang belajar melalui bahasa Melayu itu lebih mudah memahami dan menguasai
kedua-dua subjek tersebut berbanding kembarnya yang seorang lagi.
Sebab itulah sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina berkeras mahu mengajar sains
dan matematik dalam bahasa Mandarin. Bahasa Mandarin lebih merupakan ‘bahasa
ibunda’ kepada para pelajar Cina. Memang terdapat juga pelajar Melayu dan India di
sekolah Cina, tetapi mereka belajar bahasa Mandarin dalam kelas bahasa Mandarin,
bukan belajar Mandarin melalui sains dan matematik.
Belajar menguasai ilmu dan belajar bahasa asing adalah dua isu yang berbeza.
Segala ilmu pada hakikatnya lebih mudah dipelajari melalui bahasa ibunda. Akan
tetapi dalam masa yang sama para pelajar kita wajar digalakkan mempelajari dan
menguasai beberapa bahasa asing – melalui kelas-kelas bahasa, bukan melalui
subjek lain.
Sehubungan itu memang wajarlah jika terdapat desakan rasional agar dasar PPSMI
dimansuhkan, dan kedua-dua subjek tersebut kembali diajar dalam bahasa Melayu.
Dalam masa yang sama, pelajar-pelajar mesti didedahkan kepada P&P bahasa-
bahasa asing (Inggeris, Mandarin, Arab, Perancis, Itali, Sepanyol dll) , di dalam
kelas-kelas bahasa yang sistematik, menarik dan berkesan.
Jika pelajar-pelajar kita mula menguasai bahasa asing seperti Inggeris, Mandarin,
Arab dan sebagainya dengan baik, mereka bukan sahaja boleh berkomunikasi
melalui bahasa ini, malah boleh melanjutkan pelajaran dalam apa jua bidang ilmu
yang memerlukan penguasaan bahasa asing tersebut.
Dalam konteks Malaysia, penguasaan bahasa asing (bagi pelajar Melayu
khususnya) terutamanya penguasaan bahasa Inggeris dan Mandarin, memanglah
penting. Oleh kerana kepentingan itu, subjek dua bahasa ini wajar diajar secara
sistematik, menarik dan berkesan dalam kelas-kelas bahasa, bukan memparasit
subjek sains dan matematik. Jangan sampai ‘yang dikendong berciciran, yang
dikejar tiada dapat’, atau seperti ungkapan pilu yang diubah suai ‘Balik Pulau Bayan
Lepas, ilmu terpelau bahasa terlepas.’
Berbeza daripada dekad 1950-an hingga 1980-an yang menyaksikan ‘kerajaan’
merupakan majikan terbesar bagi orang Melayu berkelulusan, kini pihak ‘swasta’lah
yang merupakan majikan terbesar. Senario ini menuntut orang Melayu berkelulusan
untuk menguasai bahasa lingkaran bisnes tersebut – Inggeris, Mandarin dan
sebagainya.
Dengan ilmu yang dikuasai melalui bahasa ibunda (bahasa Melayu umpamanya),
dan bahasa asing yang dipelajari secara sistematik di dalam kelas bahasa,
gabungan ilmu dan bahasa ini boleh menjadi modal insan yang mengketegahkan
‘towering personality’. Kembalikan ilmu ke lidah bahasa ibunda generasi muda kita.
Kembalikan P&P bahasa asing ke dalam kelas-kelas bahasa yang sistematik,
menarik dan berkesan, bukan membiarkannya memparasit subjek-subjek yang lain.

Endah Akan Harta Intelekual Anda dan Shara’

Berbanding karyawan seni yang lain seperti penyanyi, penulis lirik, penggubah lagu,
penulis skrip dan sebagainya, para penulis agak malang apabila dikaitkan dengan
bayaran honorarium atau royalti – yang ada hubungannya dengan harta intelekual
dan hak cipta. Penerbit-penerbit besar yang established biasanya mematuhi Akta
Hak Cipta 1987, termasuk membayar royalti kepadapa para penulis. Akan tetapi
penerbit-penerbit baru, dan yang belum bertapak kukuh, ada yang memanipulasi
penulis atau memangsakan penulis, terutamanya penulis muda.
Jumlah media penampungan karya sastera (seperti akhbar dan majalah) dewasa ini
amatlah banyak, berbanding beberapa dekad sebelumnya. Jumlah penulis juga
semakin banyak. Satu pihak memerlukan pihak yang lain. Tetapi pihak medialah
yang lebih memerlukan penulis. Dalam situasi penawaran – permintaan seperti ini,
sepatutnya penulis menerima haknya dalam bentuk royalti atau pun honorarium.
Namun realitinya, banyak cerpen, drama pendek, dan puisi yang disiarkan begitu
sahaja, dan penulis tidak mendapat apa-apa bayaran atas bakat, masa serta modal
yang telah dikeluarkannya.
Undang-undang berhubung hak cipta di Malaysia ialah Akta Hak Cipta 1987
(digazetkan pada 21 Mei 1987) yang memansuhkan dan menggantikan Akta Hak
Cipta 1969. Hak cipta didefinisikan sebagai “hak penguasaan yang dilindungi
undang-undang atas seluruh atau sebahagian daripada hasil ciptaan seseorang
pengarang yakni pencipta, penggubah dan lain-lain (Kamus Dewan, 1998 :428-429).
Definisi lain juga telah diberikan, iaitu “hak eksklusif yang diberikan oleh undang-
undang kepada pencipta atau penerima haknya untuk mengawal pengeluaran
semula atau berbagai-bagai bentuk penggunaan karya berkenaan bagi sesuatu
tempoh (Panduan Hak Cipta, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian) (Arieff
Salleh Rosman,2002 :21).
Tulisan ini memberikan penekanan serta kesedaran akan pentingnya harta
intelektual. Akan tetapi dalam masa yang sama penulis ingin menyentuh kesedaran
akan harta intelektual ini menurut fiqh Islam, seperti yang dinyatakan oleh Arieff
Salleh (2002 : 8):
Definisi harta intelektual menurut fiqh Islam ialah : Sekumpulan hak yang disabitkan
oleh shara’ untuk individu dalam bidang kuasa yang mengawal gambaran idea dan
dipastikan memenuhi kepentingan padanya dengan mengguna dan mentadbir dalam
ruang lingkup ketentuan-ketentuan shara’ yang telah ditetapkan.

Jelas melalui definisi di atas bahawa kita berhak menuntut dan memperoleh hasil
daripada harta intelektual kita, tetapi segala-galanya mesti diawali dengan
penciptaan karya yang memenuhi hukum shara’.

Pembawa Pembaharuan Idea dan Teknik

Penulis-penulis yang kini sudah established atau mapan, dahulunya adalah penulis-
penulis muda. Mereka telah mencipta karya dengan idea dan teknik yang terbaik
pada dekadnya. Sebagai penulis yang kreatif, mereka berusaha melakukan inovasi
dan eksperimental yang berterusan. Usaha mereka bukan sahaja merupakan suatu
proses ‘peremajaan’ kreativiti untuk diri sendiri, tetapi dalam masa yang sama
merupakan suatu proses yang bersemuka dengan keupayaan serta kemahiran seni
angkatan muda zamannya.
Proses pembaharuan dalam pelbagai aspek kehidupan berlaku setiap beberapa
dekad. Termasuk dalam tamadun Islam. Ketika hukum-hakam kekal tidak berubah,
pembaharu mencari dan menemukan jalan untuk terus memperkasa ilmu dan
budaya sebagai teras-teras penting kepada peradaban. Demikianlah sejarah
pemikiran Islam menemukan tokoh-tokoh pembaharuan seperti Muhammad Ibn
Taymiyyah (abad ketujuh Hijrah), Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Muhammad ibn “Abd al-
Wahhab, Muhammad Abduh dan sebagainya.
Ciri yang sama, walaupun bukan dalam konteks keagamaan, turut terlihat dalam
sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu moden. “Kemunculan Noordin
Hassan dalam bidang drama pada tahun 1970-an, terutama dengan dramanya
“Bukan Lalang Ditiup Angin” telah menggegarkan dunia drama tanah air.
Pemberontakan dan perlanggarannya terhadap aliran realism hasil tatapan Kala
Dewata dengan “Atap Genting Atap Rumbia” yang telah menjadi larian yang
dominan dan cukup besar pengaruhnya pada waktu itu sangat bermakna. Berbeza
dengan kelahiran Kala Dewata pada tahun 1960-an, yang melanggar tradisi
sandiwara dan merempuh drama sejarah beraliran romantisme yang dipelopori oleh
Shahrom Husain itu.” (Mana Sikana, 2006:20). Dalam konteks ini, drama Melayu
telah dibaharukan oleh penulis muda dalam tempoh masa kira-kira setiap 10 tahun
sahaja.
Puisi Melayu moden warisan ASAS 50, juga sajak-sajak ciptaan para penyair 1960-
an, telah dibaharukan oleh Muhammad Haji Salleh dengan puisi-puisi intelektualnya;
serta puisi-puisi yang lebih sarat idea Baha Zain, dan yang kaya dengan imejan
serta puitis seperti ciptaan A.Latif Mohidin. Sehingga dapatlah dikatakan bahawa
puisi Melayu juga diperbaharui dalam tempoh setiap kira-kira 10 tahun juga.
Perkembangan yang lebih kurang sama terlihat juga di dalam genre cereka seperti
cerpen dan novel. Sekadar mengambil dua tiga contoh, terlihat bagaimana konsep
novel Ishak Haji Muhammad Putera Gunung Tahan (1938) diperbaharui oleh Keris
Mas melalui Anak Titiwangsa (1967), yang kemudian diperbaharui pula oleh
Shahnon Ahmad dalam tempoh yang lebih pantas, dengan novel yang masuk ke
dunia id, superego, dan teknik aliran bawah sedar, melalui karya-karyanya seperti
Ranjau Sepanjang Jalan (1966), Menteri (1967), Protes (1967), Perdana (1969),
Srengenge (1973) dan sebagainya.
Proses pembaharuan dan ‘peremajaan’ dalam aspek teknik serta idea karya sastera
adalah suatu siklus yang terus berputar. Tiada sesiapa dapat menahannya daripada
berhenti, walaupun usaha itu pernah dibuat umpamanya oleh rejim komunis dan
sosialis yang mensyaratkan karya para seniman mesti melanggan ideologi
sosialisme serta humanisme universal.
Tulisan ini tidak mungkin menyenarai-panjangkan penulis-penulis muda Malaysia
(sebahagiannya mulai tidak muda lagi) yang dilihat telah memainkan peranan
membawa pembaharuan idea dan teknik dalam karya masing-masing. Akan tetapi
Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, SM Zakir, Faisal Tehrani, Mawar Shafie, Nisah
Harun, Namron adalah antara yang tergolong di dalam kelompok ini.
Pembaharuan menjadi suatu proses yang alamiah, kerana teks-teks sastera sendiri
kerap menampilkan watak-watak protagonis yang mencintai pembaharuan sikap,
pandangan hidup, serta berani menghadapi cabaran. Sekadar beberapa contoh,
sikap sedemikian tergambar pada watak Hanim (Adibah Amin, 1983. Tempat Jatuh
Lagi Dikenang), Anna (Adibah Amin, 1968. Seroja Masih Di Kolam), Sheirin
(Zaharah Nawawi, 1972. Sebelum Berhujungnya Musim Bunga), Hisyam, Rahmat
dan Munirah (Abdul Talib Mohd. Hassan, 1976. Saga), Pak Senik (Shahnon Ahmad,
1965. Rentong), Hassan (Abdullah Hussain, 1966. Rantau Selamat), Hashim
(A.Samad Ismail, 1966. Patah Sayap Terbang Jua), Panglima Awang (Harun
Aminurrashid, 1958. Panglima Awang), Mastura (Khadijah Hashim, 1981. Bila dan di
Mana), Salmah (Ahmad Rashid Talu, 1929. Iakah Salmah?) dan sebagainya lagi.

Mencipta Karya Untuk Malaysia dan Dunia

Peranan seorang penulis, termasuk penulis muda, ialah untuk terus menulis. Akan
tetapi sumbangan seorang penulis muda bukan sahaja dinilai daripada kuantiti
karyanya, termasuk jika ia seorang penulis prolifik, tetapi yang lebih penting ialah
kualiti karyanya.
Antara kesedaran yang harus ada di kalangan penulis muda ialah untuk mencipta
karya-karya bermutu. Bermutu bukan sahaja menurut puitika sastera Melayu, malah
piawaian antarabangsa juga, yang seharusnya bebas daripada kontoversi serta
sensasi murahan. Memang terdapat beberapa kelompok antarabangsa yang
mencari desperado sastera, yang menobatkan karya-karya kontoversial
(terutamanya yang menghina Allah, ayat-Nya, serta Rasul-Nya). Ini bukanlah jalan
pintas yang mulia untuk menuju pentas sastera antarabangsa. Kita masih boleh
mengikuti dan menikmati karya-karya besar dunia yang sesungguhnya bebas
daripada kontroversial dan sensasi murahan. Sesungguhnya masih banyak
persoalan yang wajar kita ungkapkan dalam karya sastera, seperti saranan
Muhammad Haji Salleh (1999:607):
Masih banyak daerah yang harus kita masuki – keadilan, ideologi,
keantarabangsaan, masa depan manusia dan teknologi, ilmu tradisional dan
sampah sarap informasi multimedia dan sebagainya. Senario dan budaya terakhir ini
cepat menular ke dalam kehidupan harian serta jiwa anak-anak kita. Oleh itu kita
juga harus menulis tentang dilemma mereka seperti kita harus menulis tentang
mereka yang melarat kemiskinannya, atau malah melarat kerana kekayaannya.

Cabaran nyata dan terdekat yang dihadapi oleh penulis muda ialah untuk karya
mereka sama ada menjadi bermutu atau sebaliknya – melalui peranan editor; dan
sama ada karya mereka dinilai bermutu atau sebaliknya – melalui peranan
kritikawan. Ini tugas orang lain, yang dipanggil editor dan kritikawan sastera. Akan
tetapi kedua-dua profesion ini kurang menonjolkan jumlah yang membanggakan,
serta wibawa yang sepatutnya. Mujurlah, melalui penilaian kritikawan sastera yang
langka itu, kita dapat mengenalpasti karya-karya mutakhir yang bermutu.
Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB) mutakhir ini memperlihatkan
kesungguhan menterjemah, menerbit dan memasarkan karya-karya sastera Melayu
ke persada antarabangsa. Usaha ITNMB itu sewajarnya disambut oleh pihak-pihak
lain yang dipertanggungjawabkan, untuk bergerak seiring dalam usaha kritikan
karya, serta promosi pengarang dan karya-karya sastera Malaysia.

C. AKHIRULKALAM

Seperti yang telah dinyatakan di atas, kertas ini hanya membicarakan sebahagian
daripada arah dan cabaran yang ditempuh sebagai proses cabaran kepada penulis-
penulis muda hari ini. Sebahagian besar cabaran mungkin telah dibicarakan di sini,
tetapi pastilah ada cabaran-cabaran lain yang boleh dilihat daripada perspektif
pengkaryaan, penerbitan, khalayak dan sebagainya secara lebih mendalam (yang
kertas ini hanya menyentuh serba sedikit).
Kertas ini menekankan aspek pengenerasian dalam konteks bahawa sesuatu yang
mapan harus diperbaharui atau ‘diremajakan’ agar tidak berlaku dekadensi seni,
kebudayaan, dan ketamadunan Melayu pada umumnya. Lebih-lebih lagi
ketamadunan Melayu seperti yang digariskan oleh Wan Mohd. Nor (2004:2):

Tamadun Melayu bermakna hasil pencapaian manusia Melayu dalam pelbagai


bidang utama kehidupan kemanusiaan dan kebendaan selama beberapa generasi
dan melalui beberapa sistem pemerintahan. Keseluruhan hasil pencapaian ini
haruslah mencerminkan tata nilai utama orang Melayu … Tamadun Melayu adalah
sebahagian daripada tamadun induk yang lebih besar, yakni tamadun Islam, sebuah
tamadun yang berpaksikan ajaran Islam dan dipimpin oleh umat Islam tetapi sifatnya
yang inklusif , menayangkan juga sumbangan bermakna agama-agama dan
peranan masyarakat bukan Islam.

Kini peranan besar tersebut turut berada di gelanggang para penulis muda.
Sumbangan para penulis muda bukan sahaja mencorakkan rupa dan jiwa sastera
masa depan, mengelakkan budaya dekaden, malah yang lebih penting
memperkasakan tamadun Melayu-Islam.

Wallahualam.
Petaling Jaya,
3 Mei 2009.
NOTA HUJUNGAN
i Istilah ini antara lain diperkenalkan oleh Sidik Fadzil. Lihat Sidik Fadzil 2002.
“Peranan Islam dalam Pembinaan Bahasa dan Pencerdasan Bangsa : Rujukan
Kepada Pengalaman Dunia Melayu” dlm. Syed Muhammad Dawilah al-Edrus
(ed.)2002. Pemikiran Melayu Tentang Alam dan Hakikat Diri. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.i
ii Tentang alam Islam melalui sudut pandangan nazari, zahiri dan sebagainya, boleh
diikuti di dalam tulisan Syed Muhammad Naquib al-Attas 2003. “Tinjauan Ringkas
Peri Ilmu dan Pandangan Alam” dlm. Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat
Melayu Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

RUJUKAN

A. Hasjmy,1977. Sumbangan Kesusasteraan Aceh dalam Pembinaan


Kesusasteraan Indonesia. Jakarta : Penerbit Bulan Bintang.
Arieff Salleh Rosman,2002. Harta Intelektual Menurut Fiqh Islam : Pendekatan
Perbandingan dengan Undang-undang Malaysia. Skudai : Penerbit Universiti
Teknologi Malaysia.
Hadijah Rahmat,1998. Sastera & Manusia Melayu Baru : Kumpulan Esei &
Wawancara. Singapura : Persatuan Wartawan Melayu Singapura.
Hamzah Hamdani,2003. Kesusasteraan Islam : Konsep, Prinsip dan
Pengembangannya. Kuching : Badan Keluarga Dewan Bahasa dan Pustaka
Cawangan Sarawak.
Hassan Ahmad,2008. “Penerbitan Buku : Tuntutan Intelektual atau tarikan
Komersial?”, kertas kerja siri Wacana Intelektual, Dewan Bahasa dan Pustaka, (17
November 2008).
Mahmood Zuhdi Hj. Abd. Majid, 2003. “Sekularisme dan Islamisme : Kemunduran
dan Kemajuan Umat” dlm. Panel Penulis,2003. Isu dan Proses Pembukaan Minda
Umat Melayu Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mana Sikana,2006. “Dramatis Pascamoden” dlm Noordin Hassan (2006). Teater
Fitrah dan Esei Pilihan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Haji Salleh,1999. Menyeberang Sempadan : Kumpulan Esei Pilihan.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Panel Penulis, 2003. Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sidek Fadzil, 2003. “Minda Muslim : Ketegaran dan Keluwesannya” dlm. Panel
Penulis,2003. Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Muhammad Dawilah al-Edrus (peny),2002. Pemikiran Melayu Tentang Alam
dan Hakikat Diri. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Othman Alhabshi, 2003. “Masyarakat Ilmu, Ekonomi Ilmu dan Masyarakat
Islam” dlm. Panel Penulis, 2003. Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu
Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Mohd. Nor Wan Daud, 2004. Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Yaacob Harun(ed),2001. Kosmologi Melayu. Kuala Lumpur : Akademi Pengajian
Melayu Universiti Malaya.

Anda mungkin juga menyukai