Anda di halaman 1dari 13

ASIAN PEOPLE JOURNAL 2019, VOL 2(2), 18-30

e-ISSN: 2600-8971 ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30


http://dx.doi.org/
https://journal.unisza.edu.my/apj

DOMAIN KEPERCAYAAN BAHASA HALUS MASYARAKAT IBAN SEBUYAU: ANALISIS


METAFORA KONSEPSI

(Faith Domain Of Subtle Language Among Iban Sebuyau Ethnic: Conceptual Metaphor Analysis)

Clinton Ringit1*, Hamidah Abdul Wahab1, Remmy Gedat1


1
Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak, Sarawak, Malaysia

*Corresponding author: clintonringit@gmail.com

Received: 12 November 2019 • Accepted: 12 December 2019 • Published: 30 December 2019

Abstract

The use of euphemism in daily interactions especially in the Iban community is seen as a significant
challenge. This is a projection of slang, roar or coarse language usage. The phenomenon of euphemism is
a very valuable medium for strengthening relationships, personal virtues or western cultures. The Iban
people are no exception to using this fine language. Therefore, this paper is intended to identify the
euphemism of the Iban Sebuyau based on the belief domains. Second, this paper also investigates the
Sebuyau Iban community's euphemism based on the domain of belief using the Conceptual Metaphor
approach. This study uses structured interviews while in the field to make the data obtained more
systematic. In addition, the researcher also records the data in-situ by recording it with informants. This
study found that the domain language's euphemism data is more influenced by the experience and
environment of the speakers. This paper discusses the five domain of belief data as an understanding of the
phenomenon of Iban Sebuyau's refined language use.

Keywords: Metaphor Conceptual, euphemisme, Iban Sebuyau, domain, belief

Abstrak

Penerapan bahasa halus dalam interaksi harian khususnya dalam masyarakat Iban dilihat mempunyai cabaran
yang sangat ketara. Perkara ini unjuran daripada pemakaian bahasa slanga, rojak atau kasar yang semakin
berleluasa. Fenomena bahasa halus merupakan wadah yang sangat tinggi nilainya untuk mengeratkan
hubungan, peribadi mulia atau budaya ketimuran. Masyarakat Iban tidak terkecuali daripada menggunakan
bahasa halus ini. Oleh itu, makalah ini dilakukan untuk mengenal pasti bahasa halus Iban Sebuyau

18
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30

berpandukan domain kepercayaan. Kedua, penulisan ini turut menganalisis bahasa halus masyarakat Iban
Sebuyau melalui domain kepercayaan menggunakan pendekatan Metafora Konsepsi. Kajian ini menggunakan
temu bual secara berstruktur semasa di lapangan agar data yang diperoleh lebih sistematik. Selain itu, pengkaji
juga mencatatkan data secara in-situ melalui rakaman dengan informan. Kajian ini mendapati bahawa data
bahasa halus domain kepercayaan lebih dipengaruhi oleh pengalaman dan persekitaran penutur. Pemakaian
bahasa halus Iban Sebuyau ini menunjukkan pencerapan kata-katanya melalui pengalaman dan persekitaran
penutur.

Kata Kunci: Metafora Konsepsi, bahasa halus, Iban Sebuyau, domain, kepercayaan

Cite as: Ringit, C., Wahab, H.A., Gedat, R. (2019). Faith Domain Of Subtle Language Among Iban Sebuyau
Ethnic: Conceptual Metaphor Analysis. Asian People Journal, 2(2), 18-30.

PENGENALAN

Kesantunan berbahasa merupakan satu kunci yang menjadi penghubung kepada kemesraan kedua-dua pihak yang
berkomunikasi. Masyarakat Timur khususnya sangat menitikberatkan pemakaian bahasa yang indah dan sopan
dalam pertuturan. Masyarakat Iban tidak terkecuali dalam penggunaan bahasa yang sopan apabila bertutur antara
satu sama lain. Perkara ini dapat mempamerkan jati diri seseorang seperti yang dinyatakan oleh Awang (2007),
iaitu kesantunan berbahasa seseorang termasuklah penguasaan bahasa indah, bersopan, beradab, memaparkan
keperibadian yang mulia dan menunjukkan sikap yang hormat kepada teman bercakap. Justeru, pengguna bahasa
merupakan pelaku yang sepatutnya mempraktiskan penggunaan bahasa yang sopan apabila bertutur dengan pihak
lain. Sehubungan dengan itu, pemilihan leksikal yang menjadi medium dalam pertuturan merupakan strategi yang
menghindari sebarang prasangka atau keadaan yang kurang sesuai untuk mengujarkan ayat tersebut. Suhaizi
(2016) berpendapat bahawa pertuturan yang tidak mempunyai kiasan mungkin mempunyai unsur yang kasar,
menakutkan, menghina, atau menyinggung perasaan seseorang. Oleh kerana bahasa dilihat sebagai sesuatu yang
lazim dalam rutin harian manusia, ianya jarang sekali diteliti oleh pengguna bahasa sebagaimana penggunaan
bahasa slanga yang semakin berleluasa.

Clinton dan Hamidah (2019) menyatakan bahawa penggunaan bahasa rojak yang meluas dalam seseuatu
interaksi dapat memberi kesan keindahan bahasa yang dimiliki oleh masyarakat Timur. Dalam konteks kajian ini,
eufemisme merupakan platform terbaik bagi mengawal situasi dan memupuk hubungan harmoni antara pihak yang
berkomunikasi. Apabila dua pihak berkomunikasi, kata-kata yang dikeluarkan itu mempunyai unsur yang sopan,
halus atau berkias disifatkan sebagai satu wahana yang bijak daripada mengeluarkan kata-kata yang berterus
terang dan kasar (Ainal et al., 2016). Penggunaan eufemisme ini merupakan fenomena bahasa yang sangat
menarik dan unik untuk dikaji.

KAJIAN LITERATUR

Bahasa halus mengandungi sistem maklumat yang memerlukan pentafsiran dengan mendalam untuk mengerti
makna yang sebenar. Palmer (1971) menegaskan bahawa bahasa dilihat sebagai satu mesej yang mempunyai

19
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30

hubungan akrab dengan set lambang untuk memerihalkan sesuatu makna. Fenomena berbahasa halus dapat
mendeskripsikan akal budi penutur masyarakat Timur dalam proses komunikasi. Masyarakat Iban di Sarawak
tidak terkecuali daripada penggunaan bahasa halus dalam interaksi harian mereka berdasarkan sesuatu keadaan
atau konteks tertentu. Lambakan bahasa halus yang digunakan oleh nenek moyang masyarakat Iban terdahulu
masih lagi diamalkan dan dituturkan sehingga kini biarpun mengalami perubahan dari sudut kosa kata dan
maknanya. Harishon dan Phylisia (2012) menyatakan bahawa bahasa halus yang dituturkan mengalami perubahan
dari bentuk bahasanya. Jadi, perkara ini dilihat sesuai dengan tinjauan dalam bahasa halus yang difokuskan dalam
kajian ini. Oleh itu, penelitian mengenai bahasa halus masyarakat Iban Sebuyau dilihat mempunyai hubungan
dengan pengalaman dan persekitaran yang wujud dalam konsepsi pemikiran penuturnya.

Penggunaan eufemisme bahasa Iban menarik perhatian sarjana lepas seperti Harishon dan Phylisia (2012)
dan Muhammad Zaid, Mohammad Shahrul Nizam dan Remmy (2017, 2018) untuk meneliti mengenainya. Kajian
yang dijalankan oleh Harishon dan Phylisia (2012) merupakan kajian mengenai penggunaan unsur-unsur bahasa
halus dan perumpamaan yang terdapat 3 buah hikayat masyarakat Iban. Sehubungan itu, kajian ini mendapati
bahawa bahasa halus dan perumpamaan yang digunakan dalam teks ini dilihat mengalami revolusi dari segi
bentuk bahasanya dan juga dipengaruhi oleh kepercayaan. Sementara itu, Muhammad Zaid, Mohammad Shahrul
Nizam dan Remmy (2017, 2018) menjalankan kajian kes untuk membuat perbincangan mengenai penggunaan
eufemisme Iban Remun yang mempunyai peranan tertentu. Menerusi kajian ini, eufemisme berfungsi untuk
menggantikan sesuatu perkataan yang dianggap mempunyai unsur yang boleh menimbulkan sensitiviti antara satu
sama lain. Meskipun kajian lepas menyentuh mengenai eufemisme bahasa Iban, tetapi penghuraiannya bersifat
permukaan sahaja, iaitu menterjemahkan secara tersirat kepada bentuk tersurat sahaja. Meskipun kajian
Muhammad Zaid, Mohammad Shahrul Nizam dan Remmy (2017, 2018) dilihat menyentuh mengenai sembilan
pengkategorian mandala yang disarankan oleh Allan dan Burridge (1991), tetapi dari sudut pemaknaan hanya
dihuraikan secara luaran dan dikategorikan berdasarkan domain.

Selain itu, Hamidah et al., (2016) membincangkan pertuturan eufemisme yang terdapat dalam dialek
Melayu Sarawak dari perspektif domain kematian memberi gambaran kepada pengkaji untuk menghuraikan data
eufemisme menggunakan Metafora Konsepsi (Lakoff, 1987) yang mempunyai kaitan dengan Skema Imej
(Lakoff, 1987). Penghuraian data eufemisme dalam kajian ini menjadi panduan kepada pengkaji untuk
menunjukkan bahasa halus komuniti Iban Sebuyau yang turut dipengaruhi oleh pengalaman dan persekitaran.
Seterusnya, Noriah dan Jamilah (2016) juga membincangkan eufemisme domain kematian bagi dialek Melayu
Kedah. Kajian ini mengaplikasikan pemetaforaan untuk melihat konsepsi masyarakat Melayu Kedah mengenai
topik kematian. Perkara ini memperlihatkan metafora dalam kajian pengkaji semasa yang mempunyai persamaan
dari sudut data meskipun dalam bahasa berlainan. Akal budi penutur Iban Sebuyau tidak hanya tertakluk kepada
domain kematian kerana kehalusan berbahasa juga boleh dilihat dari sudut domain ketakutan, kepercayaan dan
kejantinaan.

Seterusnya, Siti dan Ernawita (2017) membincangkan unsur eufemisme yang terkandung dalam novel
Jalan Retak yang memaparkan penggunaan bahasa halus bergantung kepada situasi atau konteks penggunaannya
serta berdasarkan usia penggunaan bahasa halus seperti golongan tua yang lebih mahir dalam menuturkan bahasa
halus tersebut. Dalam hal ini, penggunaan bahasa halus tidak tertakluk secara lisan sahaja, tetapi turut diterapkan
oleh penulis dalam karangan mereka. Begitu juga dengan penyelidikan Radulovic (2012), Ariffin, Djatmika dan
Wiratno (2017) dan Cornelissen et. al (2008) yang menggunakan data korpus. Kaedah penghuraian data dalam
kajian lepas ini menjadi rujukan pengkaji untuk melihat cara pengolahan data eufemisme yang membantu

20
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30

pengkaji menyelesaikan permasalahan yang dilihat dari sudut penggunaan teori tertentu. Kelompangan bahasa
yang berbeza dalam topik kajian memberi ruang kepada pengkaji untuk menyentuh mengenai bahasa Iban.
Misalnya, kajian oleh Li-na (2015) berfokus kepada kajian eufemisme America English, Agus (2012) pula
membincangkan eufemisme Bugis dan Sutana (2012) memfokuskan kajian beliau dalam bahasa Jawa.

Dari sudut Metafora Konsepsi pula, pengkaji menerapkan teori ini bagi melihat proses kognitif
masyarakat Iban Sebuyau yang menggunakan bahasa halus melalui pengalaman dan persekitaran yang dihadapi
oleh mereka. Perkara ini mengaitkan bahasa mempunyai hubungan yang akrab dengan pengalaman yang dibentuk
menjadi suatu luahan, mesej dan set lambang untuk menyatakan sesuatu konsep. Misalnya, dalam kajian
Simanjorang (2018), fungsi ‘x’ dan ‘y’ dalam subjek Matematik menggunakan perlambangan metafora bahasa
yang memrlukan pentafsiran yang tinggi mengenainya. Jadi, setiap domain yang dikaji dalam eufemisme Iban
Sebuyau juga mempunyai lambang yang menjurus kepada makna sasaran seperti udah nadai (meninggal dunia)
yang dikaitkan dengan kematian. Perkara yang dialami oleh penutur Iban Sebuyau menerangkan bahawa leksikal
eufemisme merujuk bahawa si mati sudah pergi ke dunia lain, akhirat dan dunya sebayan (dunia makhluk halus).
Silalahi (2005) dan Rahardian (2017) pula memfokus kepada eufemisme yang terdapat dalam bahasa Batak Toba
dan Jawa. Aspek ini memberi inspirasi kepada pengkaji bahawa bahasa halus Iban Sebuyau juga merupakan kajian
yang harus diteliti dari sudut linguistik. Sehubungan itu, teori Metafora Konsepsi dimanfaatkan untuk merungkai
penciptaan bahasa halus Iban Sebuyau.

Secara keseluruhannya, kajian-kajian lepas memaparkan pelbagai liputan topik, penggunaan data,
instrumen dan skop kajian yang diaplikasikan. Tinjauan literatur sarjana lepas menjadi rujukan penyelidik dalam
menentukan sasaran atau elemen dalam kajian, kaedah yang diterapkan, penggunaan teori dan cara pengolahan
data dalam penyelidikan ini. Hubungkait kajian pengkaji mungkin berfokus kepada bahasa yang sama, iaitu
penggunaan bahasa halus sama ada secara lisan atau tulisan, tetapi mempunyai perbezaan dari sudut pendekatan,
data kajian dan kawasan kajian yang akhirnya dapat menyumbang kepada bidang bahasa khususnya dalam bidang
linguistik atau semantik.

Umumnya, makalah ini bertujuan untuk meneliti kosa kata bahasa halus yang digunakan dalam
komunikasi harian masyarakat Iban Sebuyau, Sarawak. Secara khususnya, makalah ini mengidentifikasi leksikal
bahasa halus Iban Sebuyau melalui domain kepercayaan dan menganalisis bahasa halus Iban Sebuyau
berpandukan domain kepercayaan menggunakan pendekatan Metafora Konsepsi.

METODOLOGI KAJIAN

Penyelidikan ini menerapkan kaedah kualitatif, iaitu mendapatkan data bahasa secara lapangan. Asmah (2015)
menyatakan teknik lapangan ialah tempat sasaran pengkaji seperti kampung, hospital atau pasar kerana setiap
tempat mempunyai pola penggunaan bahasa yang tersendiri. Jadi, Dalam pada itu, pengkaji mendapatkan data
melalui temu bual secara berstruktur dan melakukan catatan in-situ sebagai rekod yang akan digunakan oleh
pengkaji. Menurut Piaw (2011), kaedah temu bual berstruktur merupakan satu teknik menemu ramah informan
secara ‘berterus terang’, iaitu berpandukan kepada objektif pengkaji. Dalam pada itu, pengkaji menyenaraikan
soalan berstruktur berpandukan kehendak objektif pengkaji agar setiap soalan-soalan yang ingin ditanyakan tidak
melompat-lompat Pengkaji mendapatkan data melalui kaedah temu bual secara berstruktur yang dirakam sebagai
rekod pengkaji. Semasa menjalankan penyelidikan ini, pengkaji berpandukan kepada pengkriterian yang

21
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30

disarankan oleh Chambers dan Trudgill (1980), iaitu nonmobile, older, rural, males, dan females (NORMF).
Informan lelaki dan wanita diperlukan dalam penyelidikan ini supaya setiap data yang dikumpulkan melalui temu
bual berstruktur dilihat seimbang dalam domain yang telah dipilih. Menurut Chambers dan Trudgill (1980)
informan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang mampu memaparkan data-data yang bervariasi. Sebagai
tambahan, Asmah (2015) berpendapat bahawa pemilihan informan melalui berlainan jantina bukanlah sesuatu
perkara yang memberi impak yang negatif, tetapi dapat menunjukkan pola penggunaan bahasa yang berbeza.
Dalam pada itu, kajian ini mensasarkan 10 informan lelaki dan 10 informan wanita yang berumur 40 ke 70 tahun.
Antara domain-domain yang dikemukakan oleh Allan dan Burridge (1991) ialah tubuh badan, jantina, kemarahan,
kebencian, penyakit, kematian, ketakutan, kepercayaan dan seks. Penyelidikan ini hanya terhad kepada empat
domain sahaja seperti domain ketakutan, kematian, kepercayaan, dan jantina ekoran daripada limitasi kajian yang
telah ditetapkan oleh pengkaji. Walau bagaimanapun, aspek yang diberi perhatian dalam makalah ini ialah
melibatkan mandala kepercayaan.

Teori Metafora Konsepsi (Lakoff & Johnson, 1980)


Menurut Lakoff dan Johnson (1980), teori ini ialah pemetaforaan yang merangkumi pemetaan kognitif merentasi
domain konsepsi dari sudut bentuk dan struktur set tetap perkaitan ontologi antara mandala sumber dan sasaran.
Terdapat tiga jenis subteori Metafora Konsepsi yang asas, iaitu orientasi, ontologi dan struktural. Lakoff dan
Johnson (1980) menyatakan, metafora orientasi merupakan peluasan sesuatu makna secara orientasi seperti
DALAM-LUAR, ATAS-BAWAH dan HADAPAN-BELAKANG. Orientasi ini digunakan untuk merujuk
konsep bukan ruang. Metafora ontologi pula merujuk pemerian makna benda bagi sesuatu yang
dikonseptualisasikan abstrak seperti emosi, idea, dan fenomena persekitaran kepada sesuatu yang konkrit. Ketiga,
iaitu metafora struktural merupakan pengadaptasian inti yang bersifat berstruktur dalam sesuatu pengalaman
hidup manusia sebagai sumber dan rujukan manusia untuk memahami idealisme yang lain (Rusmadi, 2005).
Dalam kajian ini, kerangka Metafora Konsepsi diaplikasikan untuk mengkaji hubungan antara leksikal eufemisme
Iban Sebuyau dengan pegalaman serta persekitaran manusia. Terdapat dua elemen yang penting dalam
pendekatan ini, iaitu domain sumber dan domain sasaran. Pemetaan domain konseptual ini meliputi hubungan
ontologi antara entiti dalam domain sumber dengan entiti dalam domain sasaran (Anida & Nor Hashimah, 2017).
Rajah berikut merupakan ringkasan bagi pemetaan domain sumber dan domain sasaran:

Entiti Sumber Entiti Sasaran

Rajah 1: Pemetaan Domain Metafora Konsepsi

HASIL KAJIAN

Bahagian ini membincangkan domain kepercayaan eufemisme penutur Iban Sebuyau, Sarawak. Terdapat 5 data
bahasa halus mandala kepercayaan yang akan diteliti, iaitu:

Matah ke lengan [matah kə ləŋãn]


Ungkapan bahasa halus matah ke lengan ini dalam masyarakat Iban Sebuyau, Sarawak merujuk kepada perbuatan
makan (makai). Gabungan dua perkataan ini diterbitkan daripada perkataan matah (mematahkan) dan lengan
(tangan). Menurut Bup Sereba Reti Jaku Iban (2011), kosa kata matah bermaksud landai lalu lengkap, lalu landai
baru (tanah yang pada awalnya rata, kemudian berubah menjadi tidak rata dan akhirnya menjadi rata semula) dan
22
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30

dipeleku’awakka patah (membengkokan supaya menjadi patah). Perkataan lengan pula ditakrifkan sebagai begian
tubuh ba’entara pun berang enggau perempung tapa’ jari, kaki mua jelu enggau jaku ti dikena’ nyebut tukuh
baka lengan (bahagian pasangan yang berada di antara bahu yang digunakan untuk menggenggam atau memegang
sesuatu) (Bup sereba Reti Jaku Iban, 2011). Jika dilihat secara dasar gabungan perkataan ini (matah ke lengan),
maknanya lari daripada penggunaan bahasa halus masyarakat Iban Sebuyau. Umpamanya, tangan dipatahkan
yang menimbulkan kecederaan seseorang. Berdasarkan temu bual yang telah dijalankan, Informan 5 menyatakan
bahasa halus matah ke lengan digunakan untuk merujuk kepada perbuatan makan disebabkan ciri-ciri tangan yang
dibengkokan ketika menyuapkan makanan ke dalam mulut. Lazimnya, penggunaan bahasa halus ini dituturkan
terutamanya apabila penutur berada di kebun, hutan, sungai dan tempat yang lain. Masyarakat Iban mempercayai
bahawa penggunaan bahasa yang berterus terang boleh mengakibatkan puni’ (kempunan) seperti kecederaan
tubuh badan. Sebagai tambahan, masyarakat Iban akan memegang makanan atau minuman atau enchuki’ terlebih
dahulu sekiranya tidak makan atau minum bagi mengelakkan kempunan. Contohnya, sekiranya penutur ingin
berhenti untuk merarau, mereka tidak menyebut secara berterus terang perkataan makai (makan), sebaliknya
mereka menggunakan bahasa halus matah ke lengan. Penggunaan bahasa halus digunakan bagi mengelakkan
penutur diganggu oleh buaya atau ular. Berikut merupakan situasi perbualan penutur yang berada di sungai bagi
menambahkan lagi kefahaman penggunaan bahasa halus matah ke lengan:

Ayah: Aram anak. Matah ke lengan dulu tua. (Mari anak. Makan dahulu kita berdua.)
Anak: Aku ka masu’ jari dulu’ Apai. (Saya hendak basuh tangan dulu Ayah.)

Menerusi perbualan tersebut, pentafsiran mengenai makna bahasa halus matah ke lengan memerlukan
kognitif yang tinggi. Misalnya, selain penutur bahasa Iban, berkemungkinan ungkapan ini dianggap sebagai
perbuatan untuk mematahkan lengan seseorang. Hal ini menimbulkan konsepsi masyarakat Iban terdahulu
mempunyai tahap pemikiran yang tinggi untuk menggantikan sesuatu perkataan yang dianggap janggal, tidak
sopan, kasar, kesat, dan negatif. Penciptaan bahasa halus mampu melindungi penutur daripada sesuatu yang buruk.
Pengalaman dan pengetahuan masyarakat Iban terdahulu menjadi gambaran kepada masyarakat sekarang bahawa
alam mempunyai kemistikan yang tersendiri. Dalam pada itu, bahasa halus ini didorong oleh metafora MAKAI
ADALAH MATAH KE LENGAN. Rajah 2 berikut memaparkan pemetaan domain bahasa halus matah ke lengan:

Makai Adalah Matah ke Lengan

(Entiti Sumber) Matah ke Lengan (Entiti Sasaran) Makai

Rajah 2: Pemetaan domain bahasa halus matah ke lengan

Rajah pemetaan domain tersebut memanfaatkan matah ke lengan sebagai entiti sumber dan makai sebagai entiti
sasaran. Dalam pada itu, pemahaman tentang pemetaforaan bahasa tersebut dapat digeneralisasikan sebagai
MAKAN ADALAH KEKUATAN. Dalam konteks konseptual perbuatan makan ini, organ tubuh badan yang
paling penting untuk menyuap makanan adalah tangan. Rasional penggunaan bahasa halus matah ke lengan ini
dalam masyarakat Iban memperlihatkan pergerakan tangan dibengkokan untuk menyuapkan makanan sebagai
satu usaha yang memberi tenaga kepada tubuh badan. Ironinya, tangan yang tidak dapat bergerak menyukarkan

23
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30

sesuatu makanan untuk sampai ke mulut. Jadi, sangat sesuai bahasa halus ini digunakan untuk merujuk perbuatan
makan yang digambarkan melalui tangan yang dibengkokan ke mulut. Selain itu, hubungan kognitif masyarakat
Iban Sebuyau menggunakan bahasa halus ini menunjukkan pembentukan kosa kata melalui pengalaman yang
nyata. Bahasa halus matah ke lengan bersifat ontologi yang memaparkan suatu idea yang dicipta melalui
pengalaman tubuh badan manusia untuk menunjukkan suatu usaha dalam rutin seharian manusia.

Rumah Sekut [rumãh səkʷut]


Jika diterjemahkan secara langsung kosa kata rumah sekut ke dalam bahasa Melayu Standard ialah merujuk
kepada ‘rumah yang sesak’. Perkataan sekut merujuk kepada suatu ruangan yang dilihat sangat padat, sempit dan
penuh dengan benda yang lain. Menurut Bup Sereba Reti Jaku Iban (2011), kosa kata sekut ialah nadai lapang,
nadai ruang, sempit, kelalu penuh, menat, bepaduk, enda’ lanchar pejalai, tesekat, enda’ senang idup,enggau
tusah. Perkataan rumah pula dimaksudkan sebagai endur ti’ digaga’ alai orang siku’ tauka sepintu bilik diau
mendam, ke sikap enggau atap, dinding enggau geladak (Bup Sereba Reti Jaku Iban, 2011) (binaan tempat tinggal
untuk didiami oleh seseorang yang terdiri daripada atap, dinding dan beranda, Kamus Dewan Edisi Keempat,
2015) . Dari sudut bahasa halus masyarakat Iban Sebuyau, Sarawak, ungkapan rumah sekut merujuk kepada jai’
mimpi (mimpi buruk). Hubungan semantik antara ungkapan bahasa halus rumah sekut dan bahasa biasa jai’ mimpi
dilihat sangat berbeza domainnya. Rumah sekut dilihat lebih kepada sesuatu entiti yang sangat konkrit, manakala
jai’ mimpi pula dilihat sangat abstrak. Menurut Informan 1, data eufemisme rumah sekut dalam ujaran penutur
Iban Sebuyau ini digunakan dalam situasi penutur lain yang mempersoalkan mengenai individu yang tidak turun
untuk pergi kerja pada hari kebiasaannya. Sehubungan dengan itu, bagi menggantikan perkataan yang biasa (jai’
mimpi), penutur menggunakan bahasa halus rumah sekut. Bahasa halus tersebut dilihat lebih sopan untuk
digunakan dalam pertuturan lebih-lebih lagi melibatkan kepercayaan orang Iban. Dalam pada itu, mimpi yang
buruk dialami oleh penutur merupakan pesanan atau arahan Tuhan orang Iban (Petara) agar tidak ingkar misalnya
untuk turun ke sawah, lautan atau kebun. Sebaliknya, bagi individu yang ingkar akan mimpi yang buruk tersebut,
kemungkinan individu itu boleh mengalami kecederaan, kemalangan atau kesakitan. Jadi, bagi mengelakkan
perkara yang buruk berlaku, penutur tidak mengerjakan aktiviti yang kebiasannya dan hanya tinggal di rumah.
Berikut merupakan penggunaan bahasa halus rumah sekut dalam konteks masyarakat Iban Sebuyau:

Ibu: Nadai aku mindah saritu. Rumah sekut ku malam tadi. (Hari ini saya tidak berkerja. Mimpi
buruk saya malam tadi)
Ayah: Anang mindah meh au’. (Tak payah berkerjalah.)

Meskipun perbualan yang menggunakan bahasa halus dalam konteks masyarakat Iban Sebuyau, Sarawak
dilihat sangat berbeza dari aspek entitinya, tetapi masyarakat Iban Sebuyau memahami tentang makna yang ingin
disampaikan. Ungkapan rumah sekut memberi pemahaman dalam kognitif penutur yang memaparkan ruangan
rumah yang dilihat sangat sempit sehingga sukar untuk bergerak. Jadi, keadaan tempat yang padat akan
menimbulkan perasaan yang resah, gelisah dan tidak selesa. Secara tidak langsung, fenomena sebegini merujuk
kepada sesuatu elemen yang negatif, iaitu melalui perasaan yang tidak selesa. Jika ditelusuri pengkonsepsian
bahasa halus tersebut, apabila melibatkan perasaan, sudah tentu akan disertai oleh entiti ‘hati’ yang memberi
gambaran kepada reruang yang sempit. Bahasa halus rumah sekut didasari oleh metafora konsepsi JAI’ MIMPI
ADALAH RUMAH SEKUT. Pemetaan domain bagi metafora tersebut adalah seperti Rajah 3 yang berikut:

24
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30

Jai’ Mimpi Adalah Rumah Sekut

(Entiti Sumber) Rumah Sekut (Entiti Sasaran) Jai’ Mimpi

Rajah 3: Pemetaan domain bahasa halus rumah sekut

Berdasarkan pemetaan domain metafora konsepsi JAI’ MIMPI ADALAH RUMAH SEKUT, pemaparan domain
tersebut memanfaatkan rumah sekut sebagai entiti sumber, manakala kosa kata jai’ mimpi merujuk kepada entiti
sasaran. Jika ditelusuri pemetaan domain tersebut, penutur memahami sesuatu pemetaforaan melalui sesuatu yang
konkrit kepada sesuatu yang abstrak. Secara dasarnya, makna rumah sekut ialah isi rumah yang dilihat
menimbulkan rasa tidak selsesa seseorang, manakala jai’ mimpi adalah suatu mainan tidur yang bersifat buruk
dan negatif. Walau bagaimanapun, dalam kepercayaan masyarakat Iban, mimpi merupakan petanda kepada
penutur Iban yang masih mengamalkan kepercayaan lama. Bahasa halus ini dapat digeneralisasikan sebagai
MIMPI ADALAH PERLINDUNGAN. Hubungan kognitif antara rumah dan mimpi dalam penggunaan bahasa
halus melibatkan rumah sebagai perlindungan untuk manusia berteduh daripada hujan, ribut atau panas, manakala
mimpi dikaitkan dengan petanda atau pesanan daripada Petara (Tuhan). Rumah dan mimpi berkaitan kerana
rumah yang selesa menimbulkan suasana yang aman, manakala rumah yang sesak menimbulkan rasa yang tidak
senang.

Enda’ Lantang [əndaɁ lantaŋ]


Dalam budaya berbahasa sopan masyarakat Iban, adat dan kepercayaan amat diutamakan dalam kehidupan
seharian. Oleh itu, setiap tutur kata yang dikeluarkan harus mengandungi entiti menghormati kepercayaan
meskipun benda itu bersifat abstrak dan tidak nyata. Dalam perkara ini, masyarakat Iban amat patuh terhadap
sesuatu mimpi yang membawa petanda baik atau buruk. Bagi mengelakkan daripada menggunakan ungkapan
mimpi jai’ (mimpi buruk), masyarakat Iban Sebuyau menggantikannya dengan ungkapan enda’ lantang (tidak
selesa). Menurut Bup Sereba Reti Jaku Iban (2011), enda’ (tidak) bermaksud dikena’ madahka utai nya’ ukai,
enggai tauka nadai, manakala lantang (selesa) pula bermaksud besai ruang, enda’ beguai, enda’ merinsa’ idup,
enggau enda’ kachau runding (Bup Sereba Reti Jaku Iban, 2011). Informan 1 menyatakan penggunaan eufemisme
enda’ lantang memberi gambaran bahawa kesusahan hati yang dimiliki oleh orang yang bermimpi buruk tersebut.
Dalam kepercayaan masyarakat Iban, mimpi merupakan perantara dunia nyata dengan dunia ghaib. Petara
menggunakan mimpi untuk menyampaikan sesuatu pesanan kepada manusia yang berada di alam nyata.
Ungkapan tersebut digunakan bagi menghormati kepercayaan masyarakat Iban lebih-lebih menghormati pesanan
yang disampaikan oleh Petara (Tuhan). Selain itu, masyarakat Iban Sebuyau juga menggunakan ungkapan
eufemisme ini untuk menunjukkan kearifan dalam menggunakan bahasa halus khususnya apabila melibatkan hal-
hal kepercayaan. Contohnya, “saritu aku enda’ bejalai laban aku enda’ lantang.” (Hari ini saya tak berjalan ke
mana-mana sebab mimpi buruk). Dari sudut semantik kognitif pula, penggunaan bahasa halus ini didasari oleh
metafora konsepsi MIMPI JAI’ ITU ENDA’ LANTANG:

25
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30

Mimpi Jai’ Itu Enda’ Lantang

(Entiti Sumber) Enda’ Lantang (Entiti Sasaran) Mimpi Jai’

Rajah 4: Pemetaan domain bahasa halus enda’ lantang

Berdasarkan Rajah 4 pemetaan domain metafora konsepsi tersebut, ungkapan bahasa halus ini memanfaatkan
frasa enda’ lantang sebagai entiti sumber yang digunakan oleh penutur Iban Sebuyau untuk memahami sesuatu
kognitif entiti sasaran mimpi jai’. Konseptualisasi ini dapat digeneralisasikan sebagai MIMPI ADALAH ENTITI
PERASAAN. Sifat negatif yang diunjurkan daripada mimpi buruk adalah sesuatu entiti yang menerangkan
implikasi yang buruk apabila penutur cuba untuk mengingkari petanda yang buruk daripada Petara (Tuhan).
Mimpi menunjukkan mainan perasaan yang menimbulkan rasa takut, resah, gelisah, atau khuatir bagi yang
mengalami mimpi buruk. Konsep enda’ lantang digunakan oleh masyarakat Iban Sebuyau mengambil ciri sifat
‘ketidakselesaan’ penutur Iban yang mengalami mimpi buruk tersebut. Penutur Iban Sebuyau membayangkan
bahawa mimpi buruk mengakibatkan mereka akan menghadapi sesuatu yang kurang baik seandainya mereka
ingkar akan mimpi tersebut. Jadi, penutur lebih memilih untuk tidak melakukan sebarang pekerjaan pada waktu
itu.

Igi’ Putih [igiɁ pʷutih]


Dalam kepercayaan masyarakat Iban juga, menghormati segala makanan dan minuman amat dititikberatkan dalam
tutur kata. Malah, sesetengah kawasan tidak dibenarkan menyebut secara terus terang makanan tersebut. Bagi
penutur Iban Sebuyau, asi’ (nasi) tidak dibenarkan disebut secara berterus terang sekiranya berada di umai
(sawah), kebun, kampung jerung (hutan dalam), sungai atau alai ti’ agi’ latung (kawasan yang jarang dilawati).
Bagi menggantikan perkataan asi’ tersebut, masyarakat Iban Sebuyau menggunakan istilah igi’ putih (biji putih)
untuk mengungkapan makanan tersebut. Menurut Bup Sereba Reti Jaku Iban (2011), igi’ bermaksud leka buah
kayu’ tauka rumput ti’ tumbuh nyadi anak iya dan pengenap tesa’ dikena’ ke utai ke begamal segala tauka ka’-
ka’ segala baka buah, leka mata, leka utai, telu’ batu, tajau, enggau ti’ bukai. Perkataan putih pula ditakrifkan
sebagai chura’ ti’ pemadu’ terang, burak, labang enggau perebesak (Bup Sereba Reti Jaku Iban, 2011). Informan
7 berpendapat bahawa ungkapan eufemisme igi’ putih digunakan ketika berada di kawasan sawah, bukit, hutan,
sungai, dan kawasan yang jarang dilawat mampu mengundang bahaya kepada diri sendiri, iaitu puni’ (kempunan).
Misalnya, sekiranya seseorang berada di sungai dengan mengujarkan perkataan nasi dengan tidak berlapik,
berkemungkinan mengundang kecederaan. Beras yang dituai hasil titik peluh pesawah menjadi lambang
kehormatan penutur Iban untuk menggunakan bahasa yang sopan ketika mengungkapannya di kawasan yang telah
dinyatakan. Contohnya, “Dini di’ ngengkah igi’ putih tadi’?” (Di mana kamu letak nasi tadi?). Jika dikaji dari
sudut semantik, penggunaan bahasa halus igi’ putih dalam pemikiran masyarakat Iban memaparkan kemurnian
mereka dalam berbahasa halus bagi menghormati alam dan juga titik peluh mereka sendiri. Dalam pada itu, bahasa
halus ini didorong oleh metafora konsepsi ASI’ ADALAH IGI’ PUTIH:

26
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30

Asi’ Adalah Igi’ Putih

(Entiti Sumber) Igi’ Putih (Entiti Sasaran) Asi’

Rajah 5: Pemetaan domain bahasa halus igi’ putih

Rajah 5 pemetaan domain tersebut memaparkan konseptualisasi penutur Iban dalam mengambil ciri-ciri
mewujudkan bahasa halus tentang makanan tersebut. Dalam perkara ini, bahasa halus tersebut dapat
digeneralisasikan sebagai NASI ITU BIJIRIN. Entiti warna yang digunakan oleh penutur Iban dalam
menggantikan perkataan yang berterus terang tersebut kerana nasi juga berwarna keputihan. Selain itu, nasi juga
merupakan bijirin yang memberi tenaga dan khasiat kepada tubuh badan manusia. Oleh kerana nasi tersebut
merupakan semangat yang harus dihormati, jadi penutur Iban Sebuyau menuturkan bahasa halus ini ketika berada
di kawasan tanah seperti hutan, sawah, kebun, atau sungai bagi mengelakkan kempunan dan menghindari
kemalangan. Memandangkan masyarakat Iban Sebuyau lebih mudah mewujudkan bahasa yang berkias melalui
warna dan sesuatu yang dilihat nyata, jadi masyarakat Iban mengambil ciri-ciri warna dan sifatnya seperti biji
untuk menggantikan perkataan nasi tersebut.

Pansa’ Utai [pansaɁ utaj]


Dari sudut kepercayaan perihal gangguan roh jahat pula, masyarakat Iban Sebuyau tidak sewenang-wenangnya
menyebut perkataan yang dianggap kasar, iaitu kachau antu (gangguan roh jahat). Sebaliknya, masyarakat Iban
di Sebuyau menggantikan leksikal ini dengan perkataan yang dianggap lebih sopan, iaitu pansa’ utai (dilimpas
oleh sesuatu). Dalam Bup Sereba Reti Jaku Iban (2011), pansa’ (dilimpas) ialah lansa’ lalu, bejalai lanjur enda’
ngetu, lalu lanjur, bejalai tauka belanda’ betentang enggau enggau pangan, enggau limpas. Perkataan utai pula
dimaksudkan sebagai sebarang pekara tauka barang ti’ enda’ disebut kitai nama ketegal kitai nadai guna tauka
enggai nyebut, tauka ketegal enda’ nemu nama, barang tauka keresa ti’ enda’ idup baka pendiau mensia enggau
kayu’, barang, leka jaku’ ukai dikena’ enggau jaku’ nadai jadika pemendar tauka penekan jaku’ tauka penemu
(Bup Sereba Reti Jaku Iban, 2011). Jadi, frasa tersebut dapat ditafsirkan sebagai sesuatu benda yang tidak
diketahui nama melimpas ke arah seseorang. Informan 9 dalam temu bual yang telah dijalankan menyatakan setiap
perkara yang berkenaan dengan benda halus atau Petara (Tuhan) hendaklah dihormati bukan sahaja dari aspek
tindakan malah dari sudut ujaran. Penggunaan bahasa halus pansa’ utai dalam tutur kata dapat mengelakkan
seseorang daripada diganggu oleh roh-roh jahat. Sebagaimana kepercayaan masyarakat Iban, melalui tutur kata
sahaja dapat membuktikan kita sebagai orang rendah diri atau pun riak. Roh jahat dipercayai mendengar setiap
perbualan manusia disebabkan makhluk halus ini gemar untuk mengganggu manusia. Jadi, penggunaan bahasa
halus ini dapat melindungi manusia daripada dketahui perbualannya oleh makhluk halus. Misalnya, “Bai’ ngapa’
ubat engkerabun nyin, ngambi’ ke ngelindung di’ ari pansa’ utai.” (Bawa saja ubat pelindung tu, supaya tidak
diganggu oleh roh jahat.) Menerusi contoh ayat tersebut, penutur Iban bersifat berkias dalam tutur kata khususnya
dalam perihal kepercayaan. Dalam pada itu, dari sudut pemaknaan, bahasa halus ini didorong oleh metafora
konsepsi KACHAU ANTU ADALAH PANSA’ UTAI:

27
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30

Kachau Antu Adalah Pansa’ Utai

(Entiti Sumber) Pansa’ Utai (Entiti Sasaran) Kachau Antu

Rajah 6: Pemetaan domain bahasa halus pansa’ utai

Jika ditelusuri Rajah 6 pemetaan domain tersebut, penutur Iban Sebuyau memahami sesuatu yang abstrak melalui
idea yang diwujudkan melalui persekitaran. Dalam perihal pemetaforaan bahasa ini, penutur Iban memperlihatkan
konseptualisasi gerak geri yang memberikan kesan kepada tubuh badan. Hal ini diwujudkan melalui konsep roh
jahat yang mengganggu manusia khususnya kepada penutur Iban Sebuyau. Konseptualisasi ini dapat
digeneralisasikan sebagai HANTU ITU SIMBOLIK KEJAHATAN. Perkara ini memperincikan bahawa setiap
roh jahat akan menimbulkan rasa ketakutan, kesakitan atau kemudaratan. Bahasa halus masyarakat Iban Sebuyau
ini dicipta kerana hantu yang ‘melimpas’ bukan sahaja melalui manusia tetapi menyebabkan penutur yang terkena
mengalami rasa sakit. Informan 3 mengatakan roh jahat memberikan impak yang negatif kepada tubuh badan
manusia seperti demam, berpenyakit atau kurang waras. Keadaan sebegini sememangnya memberikan kesan yang
buruk kepada manusia. Gangguan-gangguan roh jahat ini diubat atau dicegah dengan menggunakan bomoh.

KESIMPULAN

Keindahan dalam mengeluarkan kata-kata bukan sahaja memberi impak yang positif kepada diri sendiri, malah
turut dirasai oleh ‘pihak’ yang lain seperti alam dan penutur yang lain. Fenomena berbahasa halus ini
menunjukkan sifat yang sangat bermaruah dalam diri kita kerana menghormati orang lain bukan sahaja dari
tindakan tetapi dilihat melalui pertuturan. Pendekatan Metafora Konsepsi oleh Lakoff dan Johnson (1980)
berupaya untuk menyumbangkan perungkaian eufemisme penutur Iban Sebuyau, iaitu bahasa halus penutur Iban
ini dikaitkan dengan pengalaman dan persekitarannya. Penyelidikan ini mempunyai signifikan yang tersendiri
seperti pendedahan fenomena berbahasa halus yang harus diterapkan dalam akal budi penutur Iban Sebuyau.
Selain itu, kajian ini berperanan untuk membantu penyusun bahasa khususnya dalam bidang linguistik bagi
memperhebatkan lagi kebudayaan Timur yang ada dalam setiap pelusuk bangsa.

PENGHARGAAN

Ribuan terima kasih diucapkan atas segala curahan idea dan bimbingan yang tidak terhingga kepada penyelia
saya, iaitu Dr. Hamidah Abdul Wahab dan Dr. Remmy Gedat dalam proses penulisan makalah ini. Selain itu,
terima kasih juga atasa dorongan dan bimbingan ahli keluarga saya, lebih-lebih lagi kepada kedua-dua orang tua
saya, iaitu Ringit anak sebelai dan Uchin anak Ngaoh yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada diri saya.
Tidak dilupakan juga kepada sahabat perjuangan, iaitu Muhammad Zaid Daud yang selalu memotivasikan diri
saya untuk menyempurnakan artikel ini.

28
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30

RUJUKAN

Agus, N. (2012). Bentuk eufemisme dalam pertuturan bahasa Bugis. Sawerigading, 18(1), 25-34.
Ainal, A., A., Maizatul, A., Y., Nasihah H., & Noor A., M. (2016). Kesantunan berbahasa semasa berkomunikasi
di laman sosial. Proceeding of the International Conference on Government & Public Affair 2016
(ICOGPA2016) ISBN 97898344661-7-6 ©2016 ICOGPA2016.
Allan, K., & Burridge, K. (1991). Euphemisme and dyphemisme language used as shield and weapon. New York:
Oxford University Press.
Anida, S, & Nor Hashimah, J. (2017). Analisis Semantik Kognitif: Kata Serapan Arab-Melayu. Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Ariffin, D., Z, Djatmika & Wiratno, T. (2017). Analisis Terjemahan Eufemisme Organ Dan Aktifitas Seksual
Dalam Novel Fifty Shades of Grey. Journal of linguistic, 2(2), 198-203.
Asmah H, O. (2015). Kaedah Penyelidikan Bahasa Di Lapangan. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. (2007). Perkembangan Falsafah Bahasa dan Pemikiran Dalam Linguistik. Petaling Jaya:
SASBADI.
Sutlive, V. (2012). Janang anak Ensiring, Jantan Umbat, and Dr. Robert Menua Saleh, eds., 2011, Bup Sereba
Reti Jaku Iban. Borneo Research Bulletin, 43, 291-293.
Chambers, J., K., & Trudgill, P. (1980). Dialectology. London: Cambridge University Press.
Clinton, R., & Hamidah, A., W. (2019). Analisis Peluasan Makna Berdasarkan Kerangka Kategori Jaringan Radial
Melalui Slanga Remaja Iban Sebuyau. 1 MIRJO, 4(1), 17-30.
Cornelissen, J. P., Oswick, C., Christensen, L. T. & Phillips, N. (2008). Metaphor in organizational research:
Context, modalities and implications for research introduction. Organization Studies, 29(1), 7-22. doi:
10.1177/0170840607086634.
Hamidah, A.,W., Imran Ho, A., Mohammed Azlan, M., & Khazriyati, S. (2016). Analisis eufemisme kematian
masyarakat Melayu Sarawak dari perspektif Semantik Kognitif. GEMA Online® Journal of Language
Studies, 16(2), 54-68.
Harishon, R, & Phylisia, D. (2012). Unsur eufemisme dan perumpamaan dalam teks hikayat Iban. Jurnal
Linguistik, 16, 1-8.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lakoff, G., & Johnson, M. (1980). Metaphors we live by. Chicago: University of Chicago Press.
Lakoff, G. (1987). Women fire and dangerous things: What categories reveal about the mind. Chicago: Chicago
University Press.
Li-Na, Z. (2015). Euphemism in modern American English. Sino-US English teaching, 12(4), 265-270.
Daud, M. Z., Wahid, M. S. N. A., & Gedat, R. (2017). Eufemisme Dalam Bahasa Iban: Satu Kajian Kes Di
Kampung Lebor, Serian, Sarawak. Borneo Research Journal, 11, 87-105.
Daud, M. Z., Wahid, M. S. N. A., & Gedat, R. (2018). Penggunaan eufemisme dalam kalangan penutur
Iban. International Journal of Language Education and Applied Linguistics, 8(1), 27-40.
Noriah, M & Jamilah Bebe, M. (2016). Eufemisme leksikal dan metafora kematian dalam dialek Melayu Kedah.
Social Sciences, 4, 1-9.
Palmer, F., R. (1971). Semantics. New York University: Linguistics Institutes.
Piaw, Y., C. (2011). Kaedah Penyelidikan. McGraw-Hill Education (Asia).
Radulovic, M. (2012). Expressing values in positive and negative euphemism. Linguistics and literature, 10(1),
19-28.
Rahardian, E. (2017). Metafora emosi dalam tuturan bahasa Jawa. [online]

29
ASIAN PEOPLE JOURNAL, 2019, VOL 2(2), 18-30

http://eprints.undip.ac.id/51887/1/Ema_Rahardian_13020214420034.pdf .
Rusmadi, H., B. (2005). Pemerian polisemi ‘datang’: Satu analisis linguistik kognitif. Jurnal Bahasa, 5 (4), 23-
39.
Silalahi, R. (2005). Metafora dalam bahasa Batak Toba. Jurnal Ilmiah Bahasa dan Sastra, 1(2): 35-44.
Simanjorang, M. (2008). Metafora konseptual. Generasi Kampus, 1(2), 1-7.
Siti, N., M., K., & Ernawita, A. (2017). Unsur eufemisme dalam Novel Jalan Retak Karya A. Samad Said. Journal
of Business and Social Development, 5(1), 88-101.
Suhaizi, S. (2016). Sukarnya berbahasa santun! Pelita Bahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Sutana, D. (2012). Eufemisme sebagai tindak komunikasi yang beradab dalam bahasa Jawa. Madah. 3(1), 1-13.

30

Anda mungkin juga menyukai