Anda di halaman 1dari 2

Karangan Dimensi Keluarga 2

Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting bagi menggalakkan anak-anak
menggunakan barangan buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam
menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.

Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju menjelang
2020, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta
produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita agar tidak lagi mengagung-agungkan
barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi
kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik.
Walaubagaimanapun, masih ramai lagi yang tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan
dan kualiti sebenar barangan buatan negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya
mempunyai cita rasa yang tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu
bapa dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu bapa
perlulah menjadi role model kepada anak-anak mereka kerana anak-anak akan sentiasa mengikuti
jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan bahawa bagaimana acuan,
begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang paling dikagumi kerana ibu bapalah orang yang
terdekat dengan anak-anak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu
bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan bersinar.
Walaubagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan
dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang rasa kagum dan kepercayaan kepada
ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli kereta buatan Malaysia seperti kereta dari kilang
Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic, Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah
menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan menyokong barangan buatan Malaysia yang
berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-anak
mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian
kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya mereka terpanggil
untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga boleh menanam
minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan
Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan
negara, taat setia kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk negara kepada generasi
muda kita. Ibu bapa patut menyeru anak-anak untuk mencontohi warganegara Jepun dan Korea
kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya,
dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti
jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan
Perdana Menteri Malaysia yang keempat malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan
mencontohi sifat baik negara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf
baru. Jika anak-anak telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan
Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa
golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga
merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika
mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.

1|mzz@bmspm
Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa membawa anak-
anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak
ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia
dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival sebegini telah ditetapkan hanya barangan
Malaysia yang mempunyai tawaran potongan harga yang istimewa. Sebagai contoh, kraf tangan
dan batik, yang merupakan budaya yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu
mendedahkan anak-anak dengan pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada pelbagai
bentuk dan keunikannya yang tersendiri. Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak
keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah merupakan
barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis pertandingan.
Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan-pertandingan
seperti menulis esei, melukis poster dan menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara
tidak langsung dapat mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan
barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak
kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan Malaysia untuk
didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia
kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya, menyokong dan
menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak tentang
kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja kualitinya setanding dengan produk-produk
luar negara, malah harganya juga cukup murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh
menunjukkan kempen-kempen yang telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada
anak-anak untuk memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-
barangan Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah barangan tempatan dari sudut pemikiran
juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus diwujudkan pada anak-anak
mereka, tetapi, sebaliknya, membinakan semangat Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal
kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting dalam
menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada anak-anak supaya mereka sedar
dan bijak memilih benda yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang merupakan
insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya yang amat penting
dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan menggunakan barangan buatan
Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita bukan sahaja mengimport barangan luar
negara malah juga mengeksport barangan buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa
barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah
mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Walalau bagaimanapun, usaha daripada ibu bapa
semata-mata adalah tidak mencukupi. Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan;
1Malaysia Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai
satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia.
Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat agar kita berbangga
dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.

2|mzz@bmspm

Anda mungkin juga menyukai