Anda di halaman 1dari 2

Peranan ibu bapa memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan anak-anak

Pada era pascaperindustrian dan globalisasi yang serba mencabar akal dan minda, Malaysia telah
menjadi sebuah negara yang sedang membangun di mata dunia selepas kemerdekaan yang disambut pada
tanggal 31 Ogos 1957.  Kini, Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara gergasi di
pentas antarabangsa.  Bertitik tolak daripada itu, semangat cinta akan negara perlu ada dalam diri setiap
masyarakat bagi menghargai jasa tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang bertungkus lumus dalam
mempertahankan negara yang berdaulat ini.  Oleh itu, keluarga perlu memainkan peranan yang sangat
signifikan dalam memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak mereka.
             
Pada realiti, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu perlu mengambil inisiatif utama dengan
membawa anak-anak mereka ke tempat bersejarah seperti muzium.  Di Malaysia, terdapat sebuah muzium
iaitu Muzium Negara yang mempunyai pelbagai khazanah orang pada zaman dahulu, pakaian istana, keris-
keris yang digunakan oleh tokoh terdahulu untuk menentang penjajah luar.  Anak-anak bukan sahaja dapat
mengenali tokoh-tokoh terdahulu malah menerapkan semangat keberanian perwira-perwira negara yang
mengamalkan peribahasa biar putih tulang, jangan putih mata dalam mempertahankan negara suatu ketika
dulu.  Salah satu tempat bersejarah yang tersohor ialah Melaka yang lebih dikenali sebagai Negeri Bersejarah.
Di Melaka, ibu bapa boleh menunjukkan tempat atau bangunan yang dibina oleh negara luar yang pernah
menjajah negara kita seperti bangunan Stadhyus.  Oleh itu, bolehlah kita akui bahawa semangat cinta akan
negara dapat disemai melalui lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang banyak terdapat di Malaysia.
             
Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, langkah yang seterusnya ialah
ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak.  Berdasarkan peribahasa, Bapa Borek, Anak Rintik, ibu
bapa perlu menjadi ikon kepada anak-anak dalam menerapkan semangat cinta akan negara.  Dalam konteks ini,
ibu bapa tidak sewajarnya menunjukkan etika yang bertentangan dengan semangat patriotisme itu sendiri.  Kita
boleh ambil contoh perlakuan yang pernah menjadi isu suatu ketika dahulu iaitu seorang warga Malaysia yang
mempersendakan lagu Negaraku malah ada yang berani memijak bendera Jalur Gemilang.  Ibu bapa perlu
menunjukkan semangat  cinta akan negara melalui kibaran Jalur Gemilang dengan bangga untuk diteladani
oleh anak-anak.  Secara tidak langsung, perbuatan ini akan menjadi ikutan kerana mana tumpahnya kuah kalau
tidak ke nasi.  Dengan cara ini juga, anak-anak akan sedar betapa pentingnya semangat patriotisme ini. 
Tambahan pula, ibu bapa boleh bercerita tentang perjuangan tokoh-tokoh tanah air yang berjuang hingga
titisan darah yang terakhir demi mempertahankan negara yang tercinta daripada ancaman penjajah.  Tegasnya,
peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya perlu dijadikan azimat oleh ibu bapa untuk melentur anak-
anak mereka menjadi seorang yang mempunyai semangat patriotisme sejak kecil lagi.
             
Selain itu, pada masa ini ramai ibu bapa yang membimbing anak-anak mereka dalam menguasai
subjek Sejarah.  Bagi segelintir pelajar, subjek Sejarah amat sukar dikuasai kerana banyak fakta yang perlu
dihafal dan diingati.  Tambahan pula,   mereka tidak pernah merasai keperitan tokoh-tokoh terdahulu yang
bermati-matian memperjuangkan tanah air yang bertuah ini.  Oleh itu, ibu bapa tidak boleh memberi tekanan
kepada anak-anak dengan memaksa dan memarahi mereka jika gagal dalam subjek sejarah.  Hal ini kerana,
anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang perlu mencorakkannya dengan menerapkan semangat cinta
akan negara.  Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlu menyokong anak-anak mereka agar mereka tidak
berasa tertekan malah semangat bersemangat dalam mempelajari subjek Sejarah.  Selain itu, ibu bapa boleh
menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tuisyen untuk menguasai subjek Sejarah demi meningkatkan
prestasi anak dalam subjek tersebut.  Rentetan itu, penguasaan dalam subjek ini akan membibitkan rasa cinta
terhadap subjek Sejarah seterusnya melahirkan kecintaan terhadap negara.
                       
Sebagai menggulung segala yang telah diperkataan di atas, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam
memupuk masyarakat yang mempunyai semangat cinta akan tanah air.  Pepohon pokok tidak akan berliuk
lentuk jikalau tiada angin yang meniupnya oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab memupuk semangat cinta akan
negara dalam diri anak-anak.  Sebenarnya, anak-anak merupakan tonggak utama dalam menjayakan visi kudsi
Wawasan 2020 pada masa hadapan.  Kita mengakui hakikat bahawa uslub ini perlu dilakukan dan boleh
dimulakan dengan langkah-langkah yang telah disarankan di atas.  Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat
memupuk malah menguatkan semangat cinta akan tanah air dalam diri mereka.  Nescaya, semangat
patriotisme yang telah sebati dalam diri anak-anak akan dapat melahirkan generasi muda yang mantap jati diri.

Anda mungkin juga menyukai