Anda di halaman 1dari 16

Kerajaan Benin

Inti Sari

oleh Mark Cartwright, diterjemahkan oleh Amir Zayyanid


disiarkan pada 02 April 2019

Teks asal dalam Bahasa Inggeris: Kingdom of Benin

Benin Ivory Hip Pendant Mask

by The British Museum (Copyright)

Kerajaan Benin yang terletak di hutan belantara wilayah selatan Afrika Barat
(Nigeria moden) dan dibentuk oleh kaum Edo, berkembang pesat pada kurun ke-13
hingga kurun ke-19 M. Ibu kotanya yang turut dipanggil sebagai Benin adalah
sebuah hab rangkaian perdagangan yang dikawal secara eksklusif oleh raja
atau oba  dan melibatkan hubungan perdagangan dengan para pedagang Portugis
yang datang mencari emas dan hamba sahaya. Benin mengalami kemunduran pada
kurun ke-18 M lantaran kerajaan itu dilanda perang saudara, dan ia ditakluk secara
muktamad oleh British pada tahun 1897 M. Pada hari ini, Kerajaan Benin paling
diingati menerusi patung-patung dan plak-plak loyangnya yang kebanyakannya
mempamerkan imej para pemerintah dan kerabat diraja: barangan ini dianggap
sebagai antara hasil seni terbaik yang pernah dihasilkan di Afrika.

Asal-Usul: Tradisi Nok & Ife


Rantau Afrika Barat, khususnya di bahagian selatan, diperkenalkan (atau
membangunkan secara sendiri) dengan teknologi pertukangan besi setidak-tidaknya
seawal kurun ke-9 M. Dengan alatan pertanian yang lebih baik, hasil tuaian mereka
pun dapat ditingkatkan. Penduduk di lingkaran hutan hujan dan kering yang
terbentang di seluruh wilayah selatan Afrika Barat masing-masing mengusahakan
kampung mereka dan berupaya mengeluarkan hasil tanaman seperti keladi, pisang,
dan minyak kelapa.

SISIHKAN IKLAN

ADVERTISEMENT

KERAJAAN INI MEMPEROLEH KEKAYAAN


MENERUSI PERDAGANGAN SERANTAU DI
MANA BENIN BERTINDAK SELAKU PIHAK
TENGAH ANTARA KERAJAAN-KERAJAAN
LAIN.
Kerajaan Ife yang terletak di Nigeria moden sama seperti Kerajaan Benin,
berkembang pesat pada kurun ke-11 hingga kurun ke-15 M. Kerajaan ini
menghasilkan banyak patung gangsa berkualiti, terutama patung berbentuk kepala
manusia. Ife mungkin menerima pengaruh daripada Kebudayaan Nok (kurun ke-5
SM hingga kurun ke-2 M) dan Ibgo Ukwu (mencapai zaman kemuncak pada kurun
ke-9 M) yang lahir lebih awal. Dalam tradisi lisan Benin, raja Ife merupakan
individu yang bertanggungjawab menghantar bijakpandai dan artisan ke wilayah
selatan, khususnya Benin pada lewat kurun ke-13 M bagi tujuan menyebarkan
kemahiran memahat. Legenda ini mungkin cerminan kepada pergerakan kaum
Yoruba si penempa-besi dalam wilayah kaum Edo di Benin. Tradisi Edo juga
menyatakan bahawa merekalah yang menjemput Putera Oranmiyan dari Ife untuk
memerintah mereka. Tambahan lagi, kononnya putera kepada Oranmiyan inilah,
iaitu Eweka, yang menjadi raja pertama Benin.

Menukil pernyataan sejarahwan P. Garlake, “Mitos-mitos dan tradisi-tradisi kota


Benin mengisyaratkan Ife sebagai leluhur kerajaan dan budaya penempaan tembaga
mereka” (139). Isyarat-isyarat tentang persamaan kesenian antara dua budaya itu
melibatkan penggunaan imej harimau bintang yang dikaitkan dengan kematian dan
ular, sepertimana ular yang melilit gabel istana Benin dan sebuah relif dari Ife.
Namun, bidang arkeologi masih belum mengesahkan sebarang kaitan jitu antara
kedua-dua budaya yang secara berterusan mendominasi wilayah selatan Afrika
Barat di atas Lengkungan Benin ini.

SISIHKAN IKLAN
ADVERTISEMENT

Map of Ancient & Medieval Sub-Saharan African States

by Mark Cartwright (CC BY-NC-SA)

Tinjauan Sejarah
Kerajaan Benin terletak berhampiran pantai selatan Afrika Barat, di rantau yang kini
membentuk wilayah selatan negara Nigeria (negara Benin moden terletak lebih jauh
di sepanjang pantai ke barat dan meraih nama bersempena Lengkungan Benin).
Wilayah ini merangkumi hutan hujan, hutan kering, dan paya bakau. Kerajaan
Benin terbentuk pada kurun ke-13 dan dihuni oleh kaum Edo yang menuturkan
bahasa Kwa. Pada masa-masa kemuncaknya, kerajaan ini meliputi kawasan seluas
400 km (250 batu) panjang dan 200 km lebar. Wilayah pusatnya pula terdiri daripada
sebuah bulatan yang mengelilingi ibu kota, yang turut dinamakan sebagai Benin,
dan merentang sehingga 60 kilometer ke segenap arah. Wilayah pusat ini diperintah
secara langsung oleh raja. Menyusuli wilayah pusat adalah lingkungan wilayah luar
yang ditadbir oleh putera-putera raja. Lapisan ketiga, iaitu lapisan terakhir pula
terdiri daripada suku-suku yang membayar ufti namun tidak diperintah secara
langsung oleh raja Benin.

SISIHKAN IKLAN

ADVERTISEMENT

Brass Manilla Currency

by The British Museum (Copyright)


Kerajaan ini memperoleh kekayaan menerusi perdagangan serantau, di mana Benin
bertindak selaku pihak tengah antara kerajaan-kerajaan lain dengan memainkan
peranan mengangkut barangan yang bukanlah hasilan mereka sendiri. Antaranya
seperti kapas dan batu manik separa-berharga. Barang dagangan lain yang dijual-
beli dalam kalangan masyarakat Afrika Barat termasuklah ikan, garam, keladi, dan
haiwan ternakan. Betapa lancarnya hubungan perdagangan ini hinggakan terdapat
bukti matawang tempatan digunakan, antaranya seperti manila (gelang berat yang
berbentuk seperti ladam kuda), dawai dan batang yang kesemuanya itu diperbuat
daripada tembaga, loyang dan gangsa. Terdapat juga bukti di mana
cengkerang cowrie  – yang datang dari Parsi dan Maldives – digunakan sebagai
matawang di Benin sebelum interaksi langsung dengan orang Eropah berlaku. Bukti
ini mengisyaratkan berlakunya hubungan perdagangan dengan kerajaan-kerajaan
savannah di Afrika Utara yang mungkin berlangsung melalui jalan darat.

BENIN MENJALINKAN HUBUNGAN


PERDAGANGAN DENGAN PORTUGIS YANG
MENEGUHKAN POSISI MEREKA DI UGHOTON
SELAMA 30 TAHUN SEJAK TAHUN 1487 M.
Bermula sekitar tahun 1450 M, kapal-kapal Portugis berlayar ke pantai Atlantik
Afrika sekaligus menawarkan alternatif kepada laluan kafilah trans-Sahara dan
segala rangkaian perdagangan sesama kerajaan-kerajaan pedalaman Afrika. Sejak
tahun 1471 M, kapal-kapal ini memasuki Pantai Emas di wilayah selatan Afrika
Barat bagi tujuan mencari emas yang pernah membekalkan kekayaan buat Empayar
Mali (1240-1645) dan Empayar Songhai (sekitar 1460-1591 M). Tanpa semena-mena,
penduduk wilayah selatan Afrika Barat yang selama ini berada di penghujung
rantaian perdagangan yang bermula di Eropah dan kemudian turun ke Afrika
Utara, Sahara, dan savannah Afrika Barat, kini berada di penghujung yang
sebaliknya pula dalam suasana kepesatan perdagangan maritim, lantaran kapal-
kapal dagang berlabuh langsung dari Eropah. Benin bukanlah sebuah kerajaan
pinggir pantai, namun ia tetap mengekalkan interaksi maritim melalui pelabuhan
Ughoton yang terletak di Sungai Benin.

SISIHKAN IKLAN
ADVERTISEMENT

Pada kurun ke-15 dan ke-16 M, Benin menjalinkan hubungan perdagangan dengan
Portugis yang meneguhkan posisi mereka di Ughoton selama 30 tahun sejak tahun
1487 M. Orang Eropah menaruh minat terhadap manik, kain kapas, gading gajah
dan hamba sahaya, di mana mereka kemudiannya melakukan perdagangan lanjut
dengan masyarakat Afrika Barat lain dengan menukarkan barang dagangan tadi
dengan barang yang paling mereka inginkan: emas dan lada hitam (dua barang
yang meraih permintaan tinggi di Eropah). Suku-suku di Afrika Barat juga mencari
kain kapas India, manik-manik kaca, dan cengkerang cowrie  yang dibawa oleh
pedagang Portugis ke Afrika. Benin turut menunjukkan permintaan yang tinggi
terhadap tembaga dan gangsa bagi tujuan pembuatan loyang, di mana loyang ini
kemudiannya digunakan bagi menghasilkan patung-patung mereka yang masyhur.
Raja Benin mengenakan kawalan yang ketat ke atas dasar perdagangan kerajaannya,
sekaligus melahirkan monopoli diraja. Sememangnya, raja secara jelas mempunyai
kedudukan yang kuat dalam berurusan dengan pihak Eropah kerana beliau
berupaya mengharamkan penjualan hamba lelaki sesudah tahun 1516 M lantaran
beliau memerlukan mereka bagi membentuk pasukan tenteranya sendiri.
Benin Brass Head

by The British Museum (Copyright)

Pada tahun 1514 M, raja Benin memulakan hubungan diplomatik dengan


pentadbiran Portugis melalui pengutusan delegasi ke Eropah. Hubungan ini dilihat
bertujuan untuk memeterai perjanjian penghantaran senjata api ke kerajaannya.
Portugis pula dilihat tidak cenderung untuk membekalkan senjata kepada pihak
yang berpotensi menjadi musuhnya, justeru mereka cenderung menghantar
sejumlah mubaligh Kristian untuk cuba memujuk pemerintah sekaligus rakyat agar
memeluk agama Kristian, sebagaimana yang dilakukan di wilayah-wilayah Afrika
yang lain. Raja kekal setia dengan kepercayaan tradisinya. Walaupun sejumlah
gereja dibina dan sejumlah warga Afrika berjaya ditukarkan agamanya, projek
penyebaran agama Kristian ditinggalkan tujuan asalnya, dan hanya digunakan bagi
mentiraikan dasar Portugis yang mahu merampas segala kekayaan dengan sepantas
dan semurah mungkin. Sebarang cubaan untuk memasukkan asas-asas pentadbiran
juga tidak dilakukan, di mana cita-cita ini direncatkan oleh kadar kematian orang
Eropah yang tinggi tatkala mereka berdepan dengan wabak tempatan. Hanya pada
kurun ke-19 M barulah mubaligh-mubaligh Eropah benar-benar mula menyerang
kepercayaan asli di Afrika Barat.

Raja Atau Oba
Raja-raja Benin menyandang gelaran oba dan dianggap mempunyai mandat
kurniaan dewa untuk memerintah. Raja tidak hanya mengawal segala aktiviti
perdagangan dengan orang luar, namun mereka juga secara peribadi memiliki
hampir kesemua barang bernilai tinggi yang ada dalam kerajaan seperti kulit
harimau bintang, lada hitam, batu karang dan gading gajah. Kebanyakan
pemerintah diingati namanya menerusi penghasilan barang seni buatan Benin.
Topeng-topeng gading gajah yang dipakai di pinggang para pemerintah
mempunyai ukiran yang menggambarkan raja memakai mahkota dan rantai leher
dari kepala manusia, mungkin kepala orang Eropah, dan hal ini mengisyaratkan
maksudnya kepada monopoli oba  ke atas hubungan perdagangan ataupun
kekuasaannya ke atas orang asing. Imej raja-raja juga sering tampil dalam plak-plak
loyang yang menghiasi istana Benin, di mana mereka digambarkan sebagai ketua
pahlawan. Gambaran terhadap mereka juga kadangkala dipamerkan menerusi
simbol raja seperti bintik harimau bintang dan rantai leher yang diperbuat daripada
gigi harimau bintang. Harimau bintang merupakan simbol yang sesuai
bagi oba  memandangkan haiwan itu dianggap sebagai ‘Raja Rimba’ dan hanya raja
sahaja yang dibenarkan untuk membunuh haiwan itu, di mana hal ini lazim
dilakukan semasa upacara korban tahunan. Simbol-simbol diraja lain yang terdapat
dalam gambaran para raja Benin adalah topi keledar yang dihiasi batu karang dan
perhiasan topeng yang dipakai di pinggang, di mana simbol-simbol ini diwarnakan
dengan warna putih, yakni warna yang menyimbolkan kesucian dan dewa Olokun
si dewa lautan yang dipercayai menjadi sumber kekayaan dan kesuburan. Sama
seperti dewa-dewa dan semangat nenek-moyang, raja juga diberikan sembah
korban, termasuklah berupa manusia, sesudah mereka mangkat.

Benin Warriors Plaque

by Metropolitan Museum of Art, New York (Copyright)

Raja Benin yang dianggap paling agung ialah Ewuare Agung (memerintah 1440-
1474 M). Beliau tidak hanya dipandang sebagai seorang pahlawan yang hebat, tetapi
juga sebagai ahli sihir yang mahir. Beliau bertanggungjawab membawa kerajaannya
ke sebuah zaman kemewahan dan meluaskan wilayah pada tahap kemuncak.
Namun, beliau turut dituding sebagai dalang pembunuhan saudaranya di samping
bertanggungjawab menetapkan peranan oba sebagai monarki muktamad. Malahan,
Ewuare berjasa dalam membentuk sistem pentadbiran yang bertahan sepanjang
pemerintahan Kerajaan Benin. Setiap raja mempunyai sekumpulan bangsawan dan
ketua istiadat sebagai penasihatnya. Begitu juga dengan beberapa orang menteri lain
lantikan raja yang berperanan mentadbir bandar-bandar tertentu. Tambahan,
Ewuare menggubal satu tradisi di mana putera sulung mewarisi takhta daripada
ayahandanya. Pada tahun 1553 M, seorang pegawai laut Inggeris yang bernama
Thomas Windham melawat Benin dan catatannya tentang istana Raja Benin adalah
sebagaimana berikut:

… raja bersemayam di sebuah dewan besar (bersama para bangsawan)… di atas punggung
mereka dengan siku mereka diletakkan di atas lutut mereka dan tangan mereka pula
didepakan ke hadapan muka mereka, tidak memandang ke atas sehinggalah diperintah oleh
raja. (dipetik dalam Fage, 517)

Kota Benin
Benin, ibu kota kerajaan, terletak kira-kira 30 kilometer (18.6 batu) dari pantai dan
bahagian barat Sungai Niger. Usaha-usaha ekskavasi di bandar berkenaan
mendapati ia pernah dikelilingi oleh binaan tanah yang tinggi. Namun,
memandangkan terdapat banyak jurang antara satu binaan dan satu binaan, maka ia
tidak dianggap memiliki tujuan pertahanan. Tembok-tembok itu mungkin berfungsi
sebagai sempadan antara satu-satu kumpulan keluarga yang berbeza dalam ibu
kota, di mana setiap satunya menumpahkan kesetiaan kepada raja namun masing-
masing mempunyai kawasan pertanian tersendiri. Kota dibahagikan dengan lanjut
kepada beberapa buah kawasan buat golongan artisan yang masing-masing
mempunyai persatuan tersendiri.

Raja, barisan menteri dan istananya masing-masing memainkan kefungsian penting


baik pada sudut politik mahupun spiritual bagi kerajaan Benin. Istana mempunyai
banyak perkarangan dan beberapa buah galeri, di mana tiang-tiang kayu didirikan
bagi menyokong bumbung. Pada tiang-tiang itu pula tercantum plak-plak loyang
yang dianggap sebagai salah satu pencapaian tertinggi Afrika Barat dalam bidang
kesenian sepanjang sejarah mereka.
Gangsa & Hasil Seni Lain Benin
Patung-patung hasilan Benin yang diperbuat daripada loyang (kadangkala disebut
‘gangsa’) meraih kemasyhuran di seantero dunia kerana kualiti penghasilan dan
nilai keseniannya yang tinggi.  Pembuatan patung-patung ini mencapai tahap yang
tinggi pada penghujung kurun ke-15 M lantaran Portugis tiba membawa bekalan
loyang dalam kuantiti yang banyak. Teknik lilin-hilang digunakan pada era ini
(berbeza dengan teknik penempaan pada tempoh sebelum kurun ke-16 M) bagi
menghasilkan segala jenis patung, namun tentunya yang paling khusus ialah
pembuatan plak. Dengan bentuk segi empat tepat dan ketinggian sekitar 45 cm,
panel-panel ini menggambarkan imej figura-figura dalam relif yang tinggi,
kebiasaannya figura pahlawan dan pemerintah. Plak-plak ini pada asalnya dicantum
pada tiang-tiang kayu yang terdapat di istana diraja Benin, dan kebanyakannya
adalah bagi memperingati konflik-konflik bersejarah, babak-babak kehidupan di
dalam istana, dan ritual-ritual keagamaan di Benin.

Selain plak, artisan Benin juga menghasilkan patung loyang berbentuk kepala
dengan saiz manusia sebenar, patung manusia dan haiwan yang penuh tetapi
bersaiz kecil, dan loceng-loceng upacara. Gading gajah juga merupakan antara
medium yang digemari oleh artisan Benin, di mana ia diukir menjadi topeng-topeng
pinggang seperti yang disebutkan di atas, selain kotak-kotak berhias, sikat dan
perhiasan tangan. Seperti yang telah disebutkan, topeng-topeng yang diukir
daripada gading gajah ini dipakai pada pinggang para raja, dan sepasang
daripadanya terselamat sehingga kini, di mana satunya disimpan di Muzium British
London dan satu yang lain berada di Muzium Metropolitan New York. Kedua-dua
topeng ini mungkin mempamerkan imej Idia, ibu kepada Raja Esigie yang
memerintah pada kurun ke-16 M.
Benin Brass Plaque

by The British Museum (Copyright)

Terdapat juga kemungkinan bahawa kebanyakan artisan Benin turut menghasilkan


barang seni dengan menggunakan kayu. Namun, bahan ini tidak tahan lama bagi
menghadapi serangga perosak dan cuaca yang kasar di Afrika. Artisan Benin juga
sentiasa sudi untuk mengeluarkan hasil seni khusus untuk pasaran Portugis, di
mana mereka mengukir barangan seperti gading salt cellar dengan figura
penunggang kuda Eropah atau patung askar yang memikul musket, diperbuat
daripada loyang, yang kesemua ini diberikan sentuhan unik Afrika.
Kemunduran & Sejarah Lanjut
Selain Portugis, negara-negara Eropah lain turut mencurahkan minat terhadap
Afrika Barat menjelang lewat kurun ke-16 M, antaranya seperti British, Perancis, dan
Belanda. Dengan tekad untuk melonggarkan dominasi raja-raja Benin dalam sektor
perdagangan, British bertindak menakluki kerajaan itu pada tahun 1897 M, di mana
Benin sendiri sudah dilemahkan oleh pertelagahan dalaman dan perang saudara
yang panjang. Namun, raja-rajanya tidak digulingkan sepenuhnya dan keturunan
dinasti diraja Benin masih menyandang gelaran oba pada hari ini lantaran mereka
memainkan peranan sebagai penasihat bagi kerajaan Nigeria. Nama Benin juga
masih terus hidup, di mana koloni Perancis di Dahomey mengisytiharkan
kemerdekaan pada 1975 M sekaligus membentuk Republik Benin.

Daftar Pustaka
 Anonymous. Chambers Dictionary of World History. Larousse Kingfisher Chambers, 2000.
 Curtin, P. African History. Pearson, 1995.
 Fage, J.D. (ed). The Cambridge History of Africa, Vol. 3. Cambridge University Press, 2001.
 Garlake, P. Early Art and Architecture of Africa. Oxford University Press, 2002.
 Hrbek, I. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. III, Abridged Edition. University of
California Press, 1992.
 Ki-Zerbo, J. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. IV, Abridged Edition. University of
California Press, 1998.
 McEvedy, C. The Penguin Atlas of African History. Penguin Books, 1996.
 Ogot, B.A. (ed). UNESCO General History of Africa, Vol. V, Abridged Edition. University of
California Press, 1999.
 Oliver, R. (ed). Cambridge Encyclopedia of Africa. Cambridge University Press, 1981.
 Plankensteiner, B. "Benin: Kings and Rituals: Court Arts from Nigeria." African Arts, Vol. 40,
No. 4 (Winter, 2007), pp. 74-87.

SISIHKAN IKLAN
PENGIKLANAN

Darihal Penterjemah
Kesalahan! Nama file tidak ditentukan.

Amir Zayyanid
A freelance writer and translator at The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur.

Darihal Penulis
Kesalahan! Nama file tidak ditentukan.

Mark Cartwright
Mark is a history writer based in Italy. His special interests include pottery, architecture,
world mythology and discovering the ideas that all civilizations share in common. He holds
an MA in Political Philosophy and is the Publishing Director at AHE.

License
Written by Mark Cartwright, published on 02 April 2019 under the following
license: Creative Commons Attribution-NonCommercial-ShareAlike. This license lets
others remix, tweak, and build upon this content non-commercially, as long as they credit the
author and license their new creations under the identical terms. Please note that content
linked from this page may have different licensing terms.
Rencana Asal

Inti Sari

Kingdom of Benin
The Kingdom of Benin, located in the southern forests of West Africa...

https://www.ancient.eu/trans/ms/1-18066/kerajaan-benin/

Anda mungkin juga menyukai