Anda di halaman 1dari 2

KELUARGA IMPIAN SAYA

"Rumahku, syurgaku". Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ahli keluarga


dalam kehidupan seseorang. Keluarga impian saya ialah keluarga bahagia. Apakah ciri-ciri yang
harus ada pada sesebuah keluarga bahagia? Cuba fikirkan sejenak! Bertitik tolak daripada
manifestasi tersebut, setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipannya untuk
mewujudkan keluarga bahagia.

Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan kebahagiaan dalam
keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak. Ibu bapalah
yang akan membekalkan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Anak diibaratkan sebagai
sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi
atau semalap masa depannya. Ibu bapanya yang merupakan guru terdekat harus menunjukkan
teladan yang baik. Ibu bapa ialah teladan anak-anak, bak kata pepatah ,”bagaimana acuan,
begitulah kuihnya”.

Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak untuk
membezakan “yang mana intan, yang mana kaca”. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan
memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah
setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak
tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Selain itu, ibu bapa harus mencurah kasih
sayang sepenuhnya kepada anak-anak seperti “menatang minyak yang penuh” . Didikan agama
dan moral yang teguh harus disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi, bak kata
pepatah “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Seseorang yang tidak mempunyai pegangan
agama dan moral yang teguh diibaratkan seperti “kapal tanpa nakhoda”.

Tambahan pula, ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani anak-anak dan memahami
masalah mereka di samping berusaha menyelesaikannya. Ibu bapa hendaklah mengambil berat
terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa janganlah begitu rakus mengejar fatamorgana mereka
dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak.
Hukuma-hakam Arab pernah mengatakan bahawa anak- anak yang kehilangan kasih sayang
daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim.

Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak hendaklah menuruti ajaran ibu bapa. Anak-
anak harus belajar bersungguh-sungguh, mendapatkan keputusan cemerlang untuk membalas
jasa ibu bapa. Anak-anak sepatutnya memuliakan dan menjaga maruah diri dan keluarga dengan
tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, menagih
dadah dan sebagainya. Anak-anak yang berjaya hendaklah mengenang jasa ibu bapa dan
janganlah bersikap seperti “kacang lupakan kulit”. Anak-anak janganlah lupa bahawa ibu
bapalah yang mendidik, membimbing, dan menjaga mereka. Kalau bukan ibu bapa, siapakah
kita?

Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa. Dalam sesebuah keluarga, ahli-ahli keluarga saling
menghormati dan memahami. Ahli-ahli keluarga sepatutnya bertolak-ansur dan mengawal diri
bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham. Keluarga bahagia ialah
keluarga yang harmani, aman dan damai. Ahli-ahli keluarga akan saling membantu dan
bekerjasama, bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Natijahnya, semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga bahagia. Institusi keluarga
boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Keluarga
bahagia banyak memerlukan unsur juga. Contohnya, kasih sayang, kerjasama, toleransi dan
sebagainya. “Rumahku, syurgaku.” Keluarga bahagia ialah keluarga impian saya.

Anda mungkin juga menyukai