Anda di halaman 1dari 2

dalam negeri

ARKIB : 09/02/2001

Pemuda digesa bantu peniaga dapatkan lesen

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Semua pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO bahagian hari ini digesa
membantu para peniaga kecil dan penjaja Melayu mendapatkan lesen perniagaan di kawasan
masing-masing.

Pengerusi Biro Pembangunan Ekonomi Pemuda UMNO, Wan Mohammad Khairil Wan Ahmad
berkata, setiap pemimpin Pemuda perlu turun ke padang bertemu dengan golongan berkenaan bagi
membolehkan masalah yang ada diatasi segera.

Katanya, mereka juga perlu menyediakan khidmat nasihat membantu golongan terbabit memenuhi
segala kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan lesen.

Beliau berkata, pendekatan seumpama itu perlu digerakkan segera demi memastikan orang Melayu
tidak terus terpinggir dalam perniagaan berskala kecil terutama di kawasan bandar di seluruh
negara.

``Masalah yang ada sekarang adalah serius. Jika semua bahagian memainkan peranan mereka
dengan baik, saya yakin dalam tempoh setahun dua, lebih 50 peratus daripada 150,000 peniaga kecil
Melayu tanpa lesen sekarang akan mendapat lesen mereka,'' katanya kepada Utusan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu
Malaysia, Bahrim A. Razak mendedahkan, sebanyak 150,000 daripada 250,000 peniaga kecil dan
penjaja tanpa lesen di seluruh negara kini terdiri daripada orang Melayu.

Menurut Bahrim, kelemahan itu begitu ketara dan menuntut kerajaan mengatasi segera bagi
mengelakkan mereka terus menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa anggota penguat kuasa PBT.

Mengulas lanjut, Wan Mohammad Khairil menambah, pihaknya akan turut mendesak semua ahli
pergerakan itu yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat atau Ahli Majlis PBT memainkan
peranan untuk membantu para peniaga tersebut.

Tegasnya, mereka yang telah diamanahkan tanggungjawab itu, harus membantu peniaga kecil
Melayu sehingga mendapat lesen perniagaan yang sah mengikut prosedur yang ditetapkan.

Malah katanya, pemimpin ini juga harus memainkan peranan menyedarkan segera para peniaga
yang masih belum memohon lesen agar berbuat demikian demi kebaikan mereka.

Wan Mohammad Khairil memberitahu, Pemuda UMNO prihatin dengan masalah yang dihadapi
peniaga kecil ini dan berharap semua PBT dapat mengendurkan sedikit birokrasi yang mereka
wujudkan demi memudahkan pengeluaran lesen dilakukan.

``Misalnya, kita harap semua PBT akan memproses permohonan lesen yang ada dengan lebih cepat
dan kelulusan diberikan tidak lewat dua minggu selepas pemprosesan selesai,'' katanya.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2001&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm#ixzz45p55KKUL 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anda mungkin juga menyukai