Anda di halaman 1dari 4

ULASAN BUKU (BAB 2)

Permulaan bab 2 dibuka oleh penulis dengan memberikan maksud akhlak dan nilai
budi pekerti dari pebagai perspektif. Penulis merasakan generasi masa kini mempunyai nilai
atau akhlak yang rendah yang mana tidak seharusnya berlaku. Ini adalah benar kerana
sekarang ini berita penuh dengan masalah keruntuhan akhlak dari kalangan anak muda dan
masalah ini semakin merundum dari hari ke hari. Penulis telah membahagikan bab ini kepada
beberapa bahagian yang boleh dijadikan panduan untuk membentuk satu peradaban yang
penuh dengan nilai akhlak yang tinggi.

Bahagian pertama adalah dari sudut pandang hak-hak. Hak merupakan satu garisan
penting untuk memastikan keharmonian seperti yang dituntut oeh Islam. Oleh disebabkan itu,
Islam sangat menekankan soal hak dan terdapat hukuman bagi yang melanggarnya. Sudut
pandangan hak-hak telah dibahagikan kepada 8 perspektif iaitu hak manusia, hak wanita, hak
pembantu atau pekerja, hak orang sakit dan memerlukan perhatian khusus, hak anak yatim,
orang miskin dan janda, hak minoriti, hak haiwan dan hak alam sekitar dan sekelilingnya.

Hak manusia merangkumi larangan membunuh diri, membunuh dan mencuri. Semua
manusia adalah sama disisi-Nya, yang membezakan adalah amal seseorang. serta perlu
berbahagi rezeki agar semuanya dapat menikmati. Hak wanita dan lelaki adalah sama, tidak
sedikit pun kurang dari segi apa pun. Wanita diangkat tinggi disisi Islam dan Rasullah juga
menyuruh memelihara wanita kerana mereka merupakan makhluk yang lemah. Sebelum
menyoal kenapa wanita ini perlu dihormati, penulis mengatakan lihat dulu keadaan wanita
pada zaman Jahiliyah dan sekarang juga wanita masih dizalimi. Seterusnya, perkerja
seharusnya dilayan dengan baik. Nabi Muhammad SAW sangat menyayangi pembantunya.
Jangan diberi kerja sehingga membebankan dan upahnya perlu setimpal dengan apa yang
dikerjakan. Selain itu, Rasullah menyegerakan apabila mendengar khabar orang sakit dan
sentiasa mendoakan, menghiburkan dan memberi keutamaan kepada orang sakit. Orang sakit
juga perlu menyembuhkan diri kerana kesihatan tubuh badan merupakan tanggungjawab dan
amanah Allah. Dalam pada itu anak yatim juga perlu dikasihi, orang miskin perlu dibantu
dari segi kewangan untuk meringankan beban mereka dan janda mesti dihormati dan dibantu
jika mereka memerlukan. Tambahan pula, minoriti merujuk kepada orang bukan Islam yang
tinggal dalam kelompok orang bukan Islam. Tidak dibenarkan untuk berlaku zalim terhadap
mereka biarpun mereka berbeza agama kerana mereka juga adalah manusia biasa dan
mempunyai hak untuk hidup. Yang terakhir, haiwan adalah sebahagian daripada ekosistem,
begitu juga alam sekitar Jadi sangat penting untuk menjaga hak haiwan seperti tidak berlaku
zalim atau mendera, memberikan makan dan minum, dan menyembelih dengan cara yang
betul, juga menjaga alam sekitar dengan sebaiknya.

Bahagian yang kedua adalah dari sudut pandang kebebasan. Hak kebebasan adalah
asas dan perlu diketahui jadi mereka yang rasa ditindas atau tidak bebas, boleh bertindak
mengikut keadaan. Kebebasan juga dibahagi kepada beberapa pandangan iaitu kebebasan
berkeyakinan, kebebasan berfikir, kebebasan berpendapat, kebebasan jiwa dan kebebasan
kepemilikan. Kebebasan berkeyakinan adalah kebebasan untuk memilih agama yang ingin
dianuti tanpa paksaan atau rasa takut akan disakiti, ditindas. Kebebasan berfikir pula dimana
Islam mengajar manusia untuk selalu berfikir berpandukan al-Quran and as-Sunnah.
Seterusnya, hak kebebasan untuk memberikan pendapat adalah penting untuk menegakkan
amar makruf nahi mungkar. Disamping itu, kebebasan jiwa ini merujuk kepada hamba. Pada
zaman Rasullah, banyak yang dijadikan hamba dan Islam pada dasarnya menganggap semua
orang bebas dan merdeka. Akhirnya, kebebasan kepemilikan pada asalnya merangkumi
kapitalisme dan komunisme yang mana kapitalisme ini memberikan kebebasan tanpa had
kepada individu untuk mengumpulkan kekayaan sehinggakan riba, tipu muslihat dalam
perniagaan dibenarkan, asalkan memberi keuntungan kerana itu merupakan matlamat
kapitalisme. Komunisme ini pula adalah segala sumber dan bentuk ekonomi dikawal
sepenuhnya oleh kerajaan, jadi rakyat tidak mempunyai kebebasan untuk memilih dan untuk
memiliki kekayaan. Kedua dua dasar ekonomi ini memberikan kesan yang buruk. Maka,
dasar ekonomi Islam muncul untuk menyeimbangkan kedua dua dasar ini.

Bahagian ketiga adalah dari sudut pandang keluarga dimana kemakmuran sesuatu
masyarakat itu bergantung dan bermula dari keluarga. Setiap satu perlu memainkan peranan
mereka dalam keluarga. Suami isteri merupakan asas kepada suatu keluarga. Perkahwin
merupakan satu sunnah. Perlu ada sikap sayang dan saling membantu bagi memastikan
sebuah keluarga yag harmoni. Selain itu, hak anak anak. Ibu bapa memainkan peranan yang
penting dalam membentuk akhlak dan peribadi anak anak. Hak anak anak; larangan
menggugurkan selepas 4 bulan, menyusukan, mengazan selepas bayi itu lahir, bercukur,
aqiqah, memberikan pendidikan dan memberikan kasih sayang. Disamping itu. Anak juga
perlu berbakti dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa kerana mereka telah menjaga sejak
kecil dengan susah payah. Jangan melukakan hati mereka walaupun dengan perkataan "Ah".
Akhir sekali, pentingnya untuk menjaga hubungan silaturrahim antara saudara mara.
Bergurau senda, bertanya khabar, membantu apabila dalam kesusahan, menziarahi adalah
cara untuk merapatkan hubungan antara saudara mara.

Bahagian keempat, dari sudut pandang masyarakat. Masyarakat adalah satu komuniti
yang besar dan perlu saling membantu. Masing masing mempunyai peranan tersendiri dan
saling bergantung untuk memastikan hidup dalam keadaan harmoni dan aman. Persaudaraan
adalah aspek paling penting dalam masyarakat harmoni. Sikap saling membantu, peduli, dan
melindungi yang dizalimi adalah cara untuk memelihara persaudaraan. Larangan untuk
memecahkan belahkan masyarakt seperti bermusuhan, gossip, fitnah. Seterusnya, sikap
tolong menolong boleh ditafsirkan dalam bentuk sedekah, membayar zakat dan menutup aib
orang lain sekalipun. Tambahan pula, menegakkan keadilan adalah mesti dan dituntut dan
keadilan itu tidak mengira sesiapa pun, mahupun ahli keluarga, orang kaya, pemimpin dan
diri sendiri. Keadilan itu tidak boleh berdasarkan kebencian dan kasih sayang. Ia mestilah
berasaskan jiwa. Akhirnya, kasih sayang sangat dititik beratkan sehingga kalimah Rahman
dan Rahim diulang banyak kali di dalam al-Quran. Mengasihi tanpa mengira kaum, bangsa,
agama, manusia dan haiwan sekalipun.

Bahagian terakhir adalah dari sudut kaum muslimin dan hubungan antara negara.
Peradaban Islam tidak hanya terhad di dalam satu negara dan di dalam satu kelompok
masyarakat sahaja. Penting juga untuk mempunyai hubungan baik dengan bangsa dari negara
lain. Perdamaian adalah dasar Islam; Islam sangat menyukai perdamaian. Maka jika boleh
berdamai, berdamailah sesama bangsa dari negara lain. Jika mereka berdamai tetapi ada tipu
muslihat, berdamailah dan minta pertolongan dari-Nya. Begitu tinggi Islam mementingkan
perdamaian. Selain itu, perjanjian dengan non-muslim perlu dibuat sekiranya mereka ingin
berdamai dan penting untuk berlaku adil di dalam perjanjian tersebut. Penting juga untuk
tidak melanggar perjanjian yang telah dibuat. Islam sangat suka akan perdamaian.
Sehubungan dengan itu sebab dan tujuan perang dalam Islam adalah penting kerana
peperangan adalah langkah terakhir dalam Islam dan peperangan itu hanya boleh dilakukan
atas sebab tertentu. Adab berperang dalam Islam juga mustahak kerana tidak boleh
melampaui batas dalam berperang dan perlu bersikap adil.

Kesimpulannya bab ini benar benar membantu untuk mengukuhkan akhlak dan nilai
dalam diri untuk membentuk peradaban yang berjaya. Penulis membahagikan bab ini kepada
bahagian untuk memudahkan para pembaca memahami dan bahasa yang digunakan juga
mudah dan penuh dengan kelembutan. Aspek aspek yang dibincangkan juga menepati
matlamat membina akhlak dan penulis juga memberikan penyelesaian dan cara yang boleh
dilakukan oleh setiap individu berdasarkan peranan masing masing. Akhirnya, penggunaan
ayat al-Quran dan Hadis menguatkan lagi isi isi dalam bab ini.

RUJUKAN

Sirjānī, R., Sonif, Irham, M., & Supar, M. (2012). Sumbangan peradaban Islam pada dunia.
Jakarta: Pustaka Al-Kautsar.

Fitri, A., Riana, A., & Fedryansyah, M. (2015). PERLINDUNGAN HAK-HAK ANAK
DALAM UPAYA PENINGKATAN KESEJAHTERAAN ANAK. Prosiding Penelitian Dan
Pengabdian Kepada Masyarakat, 2(1). https://doi.org/10.24198/jppm.v2i1.13235

Anda mungkin juga menyukai