Anda di halaman 1dari 2

Pengenalan

Komunikasi dan kerja berpasukan merupakan dua kemahiran penting yang perlu ada pada
setiap pelajar khususnya dalam era globalisasi masa kini. Pencapaian akademik semata-mata tidak akan
menjamin pelajar untuk diterima terus ke pasaran kerjaya. Kini majikan mengharapkan setiap pelajar
yang ingin memasuki pasaran pekerjaan memiliki lebih daripada prestasi cemerlang dalam akademik.
Elemen tambahan yang diinginkan oleh setiap majikan ialah kemahiran insaniah atau modal insan yang
dimiliki oleh setiap pelajar (Sabran, et al., 2009). Ini sejajar dengan hasrat Lonjakan 1 PPPM(PT) dalam
melahirkan graduan holistik, seimbang dan berciri keusahawanan . Berasaskan psikologi pendidikan,
pelajar perlu diberi perhatian dan bimbingan mengenai arah tuju yang jelas serta memupuk rasa yakin
diri dan bersemangat dalam mencapai kecemerlangan dan menggunakan potensi diri yang ada. Pelajar
kini terdedah dengan pelbagai cabaran dalam memenuhi tuntutan remaja yang sudah pasti amat
memerlukan sokongan, bimbingan, panduan dan perhatian bagi membolehkan mereka menikmati
kehidupan yang lebih optimis dan menyeronokkan. Semua orang mahukan yang terbaik dan mahukan
dirinya menjadi yang terbaik mengikut tafsiran masing-masing. Mengikut Teori keperluan Maslow
misalnya menjelaskan bagaimana usaha individu adalah ke arah kesempurnaan kendiri (Ahmad Rozelan
& Amir, 2016). Pelajar Kolej Komuniti kebanyakannya terdiri daripada remaja lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM). Remaja adalah satu tempoh masa antara kebergantungan zaman kanakkanak dengan
zaman dewasa yang sudah ada unsur berdikari. Ianya adalah satu tempoh masa di mana berlakunya
perubahan yang hadir secara perlahan-lahan, ada unsur eksperimen dan persediaan untuk perkara-
perkara yang akan datang. Setiap tema perkembangan dan behavioral ini penting untuk dianalisis demi
mengenalpasti perkembangan remaja yang positif atau negatif supaya kita dapat tawarkan sosiolisasi
yang berkesan dan wujudkan asas positif bagi transisi ke alam dewasa yang berjaya (Jas laile, 2002).
Selain daripada perubahan struktur fizikal dan kognitif, zaman remaja turut memperlihatkan perubahan
daripada segi sosial dan emosi yang terbentuk daripada personaliti remaja itu sendiri. Dalam
memperkembangkan sosio-emosinya, remaja perlu mengukuhkan personaliti diri dengan cara
membentuk identiti diri, mempunyai nilai hidup, mempunyai imbangan antara diri dan sosial serta
mempunyai persepsi yang sihat pada orang lain (Shahizan et al., 2005). Ahli psikologi mendefinisikan
remaja sebagai satu tempoh perkembangan fizikal , satu konsep yang abstrak, satu fenomena
sosiobudaya atau berdasarkan sikap remaja terhadap hidup. Ianya merupakan satu zaman peralihan
atau transisi antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa (Azizi et al., 2005). Remaja banyak
menghabiskan masa dengan rakan sebaya berbanding dengan keluarga. Rakan sebaya merujuk kepada
kanak-kanak atau remaja yang sama umur atau paras kematangan yang salah satu fungsinya memberi
maklumat tentang dunia di luar keluarga. Hubungan rakan sebaya yang baik memang perlu untuk
perkembangan sosial yang normal bagi remaja. Dari rakan sebaya juga, mereka mendapat maklumbalas
tentang keupayaan mereka. Sesetengah remaja akan buat apa saja untuk diterima masuk dalam
kelompok rakan sebaya. Bagaimana rakan sebaya melihat diri merupakan satu aspek yang paling penting
dalam hidup remaja (Jas laile, 2002). Kebelakangan ini pelbagai isu berkaitan salah laku pelajar di dalam
media massa. Krisis identiti remaja sering berlaku dalam proses pembentukan peribadi diri. Faktor-
faktor luaran khasnya rakan sebaya akan banyak mempengaruhi pembentukan peribadi diri mereka
pada ketika ini sekiranya ibu bapa tidak memberi tumpuan kepada mereka. Pendidik juga boleh
membantu pelajar membentuk personaliti diri pada ketika usia sebegini melalui pendekatan sistem
mentor (Tiwi, 2004). Istilah mentoring berasal daripada perkataan Yunani (Greek) yang bermakna
perhubungan yang kukuh antara remaja dengan orang dewasa. Daripada sudut sejarah, ia menceritakan
pahlawan bernama Ulysses yang pergi berjuang semasa perang Trojan pada zaman itu. Ketika Ulysses
hendak pergi berjuang di medan perang, beliau mengarahkan sahabat karibnya yang bernama Mentor
supaya menjaga anak remajanya bernama Telemachus. Mentor menjaga Telemachus dengan begitu
teliti. Beliau membimbing dan melatih Telemachus hingga menjadi remaja perkasa. Dengan penjagaan
Mentor itu, maka perkataan mentor digunakan sehingga kini dalam konteks bimbingan dan latihan
(Shahizan et al., 2005). Terdapat dua perkara utama dalam sistem mentor iaitu merujuk kepada
seseorang individu yang berinteraksi dengan individu yang lain. Interaksi ini melibatkan
tindakantindakan iaitu membimbing, menyokong, memberi nasihat dan menjalankan kaunseling.
Mentor adalah individu yang lebih tua, berpengalaman dan berkelayakan untuk membantu seseorang
yang lebih muda dan kurang berpengalaman. Konsep sistem mentor bolehlah dianggap seperti konsep
kakak, abang atau ibubapa angkat kepada pelajar (Tiwi, 2004). Interaksi dan komunikasi sangat penting
dalam kehidupan seharian. Komunikasi ialah perpindahan maklumat daripada penyampaian kepada
penerima tanpa berlaku sebarang penambahan dan pengurangan kepada maklumat asal. Dalam
komunikasi, perkara yang perlu diberi keutamaan ialah mesej atau kandungan maklumat itu. Kaedah
penyampaian mungkin berbeza tetapi mesej yang hendak disampaikan perlulah tepat dan sama seperti
maklumat asal (Sabran, et al., 2009).

Anda mungkin juga menyukai