Anda di halaman 1dari 13

PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

Kajian Kelas Menengah Cina Muslim di


Malaysia: Satu Kajian Bibliografi
dan Anotasi

ABDUL QAYYUM ABDUL RAZAK, WAN KAMAL MUJANI


& HANIF MD LATEH @ JUNID

Pengenalan
Kajian mengenai kelas menengah telah banyak dibincangkan diperingkat global
dan domestik. Perbincangan mengenainya mula mendapat perhatian dua sarjana
awal iaitu Karl Marx pada abad ke-19 dan Max Weber pada awal abad ke 20. Ia
diikuti dengan munculnya golongan pemikir dan pemerhati (observer)
terkemudian yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Neo-Marxian’ dan ‘Neo-
Weberian’. Sebelum kedua tokoh ini, ketidaksamaan sosial dan stratifikasi telah
awal dibincangkan oleh ahli falsafah politik seperti Thomas Hobbes, John
Locke, Jean-Jacques Rousseau dan Henri de Saint-Simon (Encyclopaedia
Britannica 2011). Ahli sosiologi seperti Karl Marx yang terkenal kemudiannya
telah memperkenalkan teori struktur sosialnya berdasarkan pengalamannya
semasa zaman revolusi industri di Eropah yang bermula pada akhir abad ke-19.
Karl Marx menjelaskan tentang teori ‘kelas’ dan menerangkan bagaimana
terjadinya perbezaan antara kelas yang disebabkan aktiviti hubungan
pengeluaran (the relation of production) dalam masyarakat (The Encyclopedia
American International Edition 1998: 22). Kemudian muncul Max Weber yang
dilihat cuba memperbaiki teori Karl Marx dengan mengemukakan beberapa
pendekatan baru seperti pendekatan pertamanya kelas, yang mewakili
penguasaan seseorang dalam pasaran, keduanya status, yang menjadikan
seseorang itu dipandang tinggi dan dihormati; dan ketiga ialah kuasa, yang
memberikan seseorang itu kemampuan untuk mempengaruhi orang lain.
Bagaimanapun perbincangan sarjana-sarjana ini dilihat lebih tertumpu
kepada kelas atasan dan kelas bawahan sahaja berbanding kelas menengah. Ini
mungkin ianya dipengaruhi oleh kemunculan Revolusi Industri di Barat yang
hanya menonjolkan kelas atasan (bourgeoisie) dan bawahan (working class).
Revolusi Industri berlaku pada 1760 sehingga 1850 di England dan merupakan

 20 
PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

revolusi dalam sektor pengeluaran dalam pelbagai bidang serta tidak tertumpu
dalam bidang pertanian sahaja. Perubahan ini juga berlaku dengan perubahan
kaedah penggunaan tenaga manusia iaitu tangan kepada proses pengeluaran
yang menggunakan jentera dan bahan kimia. Perubahan ini berlaku dalam
pembuatan, pengangkutan, politik, komunikasi, pertanian dan penukaran aktiviti
ekonomi daripada sara diri kepada perdagangan yang berskala besar (Littlefield
1873: 123).
Perbincangan mengenai Kelas Menengah diteruskan dengan kemunculan
golongan neo-Marxist dan neo-Weberian. Kumpulan ini dilihat cuba untuk
menerangkan atau memperincikannya dengan lebih terperinci. Contohnya
seperti Goldthorpe dan Lockwood dalam Abdul Rahman Embong (2002: 10)
menyatakan:
…that the new middle class (or service class I and II in their schema) consists of those with high
qualifications and skills, who make up ‘the salariat’ – that is, professional, managerial and
administrative employees who share a distinctive employment status whose principal feature is
the ‘trust’ that employers necessarily have to place in these employees whose delegated or
specialized tasks give them a considerable autonomy.

Selain itu, neo-Weberian turut menambah ciri seperti kemahiran dan


pengalaman lebih daripada kebanyakan orang lain seperti buruh disamping skill
atau kemahiran seseorang yang mempunyai nilai pasarannya ketika itu.
Di Malaysia, revolusi industri di Barat juga memberi kesan kepada
pembentukan kelas masyarakat tempatan. Ianya bermula apabila pihak kolonial
British yang membawa banyak imigran dari Cina dan India ke Tanah Melayu
untuk mengusahakan bijih timah dan getah yang kemudiannya dieksport ke luar
negara. Dasar penjajah seperti dasar pecah dan perintah ini akhirnya
membentuk masyarakat fungsi ekonomi lantas mewujudkan jurang dalam
struktur sosial masyarakat Malaysia. Hasilnya, wujud masyarakat kelas kapitalis
asing, kelas raja dan bangsawan, kelas komprador, kelas menengah kolar putih,
kelas menengah peniaga, kelas pekerja dan kelas tani (Abdul Rahman Embong
2000: 126-127). Pada zaman pasca-kolonial pula, proses transformasi dan
pembentukan kelas masyarakat Malaysia berkembang dengan pelaksanaan
Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1971. Dengan bermulanya dasar ini, maka
golongan kelas yang dilihat berkembang cepat ialah golongan kelas menengah
sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Perindustrian dan pertumbuhan ekonomi ini turut mengembangkan kelas
menengah baru masyarakat yang terdiri daripada para pentadbir, pengurus dan
profesional iaitu daripada hanya 4.0 peratus pada 1957 hingga 13.0 peratus pada
1995 (Abdul Rahman Embong 2000: 131). Perkembangan kelas menengah ini
secara tidak langsung turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi
masyarakat Islam di Malaysia umumnya kerana majoriti daripada golongan ini
ialah berbangsa Melayu. Bagaimanapun, wujud juga saudara Muslim dari
bangsa lain seperti Cina, India dan sebagainya yang terlibat dalam aktiviti
ekonomi dan sosial. Antaranya seperti restoran Mohd Chan Abdullah, restoran
Hj. Sharin Low, gedung membeli belah Mydin dan lain-lain. Selain itu, turut

 21 
PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

terdapat dalam kalangan mereka yang bekerja dalam bidang profesional,


pengurusan dan pentadbiran seperti pensyarah di Institut Pengajian Tinggi
Awam, pegawai di syarikat-syarikat perniagaan dan sebagainya.
Justeru dalam kajian ini, penulis melihat penting untuk melihat sejauh
manakah peranan yang dimainkan oleh kelas menengah Cina Muslim dalam
menjana pembangunan ekonomi negara umumnya dan umat Islam khususnya.
Persoalan mengenai sumbangan mereka juga tidak diketengahkan dalam kajian-
kajian terdahulu. Bagaimanapun, kajian awal mengenai Cina Muslim dilihat
hanya tertumpu kepada sejarah migrasi, identiti, perkembangan dan cabaran
masyarakat ini seperti dalam kajian Laurence Siaw (1973), Judith A. Nagata
(1978 & 1984), Rosey Wang Ma (2003, 2005 & 2009) dan Liang Liji (2009).
Penulis turut menyenaraikan dan menerangkan beberapa sumber dan rujukan
yang boleh digunakan bagi mengkaji golongan masyarakat ini.

Kajian Bibliografi dan Anotasi


Bagi mengkaji mengenai golongan ini, penulis memilih beberapa kajian
terdahulu yang telah membincang dan membahas isu-isu berkaitan kelas
menengah dan masyarakat Cina Muslim. Antara kajian terdahulu ialah:
Kajian Umran (1991) antara kajian yang membincangkan sosio-ekonomi
dan budaya politik masyarakat kelas menengah. Dalam kajian beliau, wujud
kaitan antara status ekonomi dan peranan serta fungsi mereka dalam organisasi
politik, dimana kajian beliau ini tertumpu kepada masyarakat kelas menengah
profesional bandar. Anas mengemukakan pandangannya mengenai masyarakat
kelas menengah secara konseptual dengan melakukan beberapa analisis
terhadap kajian-kajian terdahulu seperti Ralf Dahrendorf (1959), C. W. Mills
(1959), Daniel Bell (1974), Terence J. Johnson (1972), Syed Husin Ali (1962),
Jomo K. S. (1986) dan Nordin Selat (1976).
Dari beberapa kajian terdahulu di atas, Umran membuat kesimpulan dalam
menentukan kelas menengah perlu kepada penyukat seperti berikut; pertama)
pekerjaan, kedua) pendapatan ketiga) status sosial, keempat) gaya hidup dan
kelima) komunikasi sosial. Penulis melihat kajian dan analisis Umran ini
tentang perbahasan kelas menengah amat baik dan boleh diimplementasikan
dalam kajian penulis.
Antara tesis Doktor Falsafah lain yang berkaitan dengan kelas menengah
yang digunakan penulis sebagai kajian literatur ialah tulisan Hafazah Abdul
Karim (1993). Kajian beliau ialah berkenaan sosio-budaya masyarakat kelas
menengah dan kesannya terhadap kehidupan masyarakat bandar. Kajian ini
turut melihat sosial masyarakat dan implikasi kepada perancangan sosial yang
boleh disediakan untuk memenuhi kepuasan penduduk setempat pada masa
hadapan. Dapatan kajian mendapati bahawa karakter masyaakat bandar kelas
menengah antaranya ialah mereka dari kumpulan migrasi dari desa ke bandar,
kebanyakannya pula masih muda, terdiri daripada pelbagai bangsa, mempunyai

 22 
PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

tahap pendidikan yang tinggi dan masing-masing dari mereka mempunyai


pendapatan yang tinggi.
Selain itu, kajian beliau juga melihat hubungan sosial antara kelas
menengah Muslim dan non-Muslim atau boleh dikatakan hubungan etnik.
Hasilnya kajian mendapati bahawa hubungan mereka bersifat positif di mana
tidak ada prejudis antara mereka, saling berbincang, tolong menolong dan
ziarah-menziarahi. Selain itu, non-Muslim juga tidak bersikap prejudis terhadap
bunyi azan dan tidak merasakan mereka didominasi oleh bangsa lain walaupun
mereka golongan yang minoriti. Kajian ini memperlihatkan kepada penulis
bagaimana hubungan sosial masyarakat kelas menengah sesama mereka
termasuklah Muslim dan non-Muslim dan hubungan etnik dimana penulis dapat
memanfaatkan dalam penulisan penulis. Ini kerana dapatan kajian ini juga
menunjukkan bahawa kelas menengah mempunyai pemikiran dan pandangan
berbeza sesama mereka walaupun dalam etnik yang berbeza, ini dalam masa
yang sama menunjukkan masyarakat kelas menengah tidak bersikap prejudis.
Fatimah Abdullah (1994) mengkaji struktur dan hubungan dalam keluarga
kelas menengah di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Dalam kajiannya,
Fatimah Abdullah menggunakan dua faktor ekonomi bagi menentukan
masyarakat kelas menengah di kawasan tersebut, iaitu pendapatan penghuninya
(pemilik atau penyewa) dan harga rumah (serta sewanya). Dapatan kajian ini
mendapati bahawa urbanisasi dan perindustrian bukanlah satu-satunya faktor
yang mempengaruhi bentuk dan hubungan dalam keluarga. Kajian ini juga
menunjukkan faktor seperti kelas sosial, nilai dan sikap disamping ideologi
politik serta dasar-dasar yang berkaitan dengan kependudukan dan keluarga
turut sama mempengaruhi pola dan struktur keluarga. Selain itu, pola
kekeluargaan juga boleh dilihat sebagai faktor yang mempercepatkan urbanisasi
(dan perindustrian).
Kajian ini turut mendapati bahawa kelas menengah hidup dalam
kemewahan. Bagaimanapun, ada dalam kalangan mereka yang tidak tinggal
bersama kerana ingin memenuhi kehendak dan tuntutan persekolahan atau
kerjaya. Mereka juga dilihat tiada masa lapang untuk berinteraksi antara satu
sama lain. Namun, dalam kajian Fatimah Abdullah ini, penulis melihat bahawa
beliau tidak menghuraikan kumpulan sasaran iaitu golongan kelas menengah
secara konseptual. Dengan kata lain, apakah teori pandangan sarjana terdahulu
terhadap golongan ini? Apakah pendapat atau konsep yang sesuai digunakan
pada masa kini?. Walau bagaimanapun, kajian ini tetap memberi maklumat
tambahan mengenai kekeluargaan dalam kelas menengah walaupun tidak
berkenaan kelas menengah Cina Muslim secara khusus.
Rosey Wang Ma pada tahun 1995 telah menjalankan kajian bertajuk
‘Difficulties faced by Chinese Msulim converts in Malaysia and the need to go
through education and counselling to overcome the problems’. Dalam kajian
beliau, Rosey ingin menyingkap kebenaran dan perkara pokok permasalah yang
dihadapi oleh masyarakat Cina yang memeluk Islam. Rosey juga menyarankan
beberapa pendekatan pendidikan dan kaunseling bagi menjadikan masyarakat

 23 
PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

ini berasa selesa dengan masyarakat awam yang lain. Antara masalah yang
dihadapi oleh golongan ini ialah masalah keluarga, penerimaan masyarakat,
masalah perkahwinan antara budaya berlainan, pertukaran nama dan
penerimaan masyarakat Cina sendiri terhadapa mereka.
Dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa seramai 71 peratus bahawa
mereka tidak perlu untuk mengamalkan adat orang Melayu untuk membiarkan
mereka merasa selesa dengan masyarakat Melayu (majoriti). Selain itu, 31.4
dari responden pula melaporkan bahawa mereka dilayan oleh masyarakat
berbangsa Cina sebagai seorang Melayu. Walaupun tidak mewakili majoriti,
31.4 peratus tetap menjadikan mereka berasa kurang selesa walaupun mereka
ingin mengekalkan identiti kecinaan. Walaupun kajian ini tidak menjurus
kepada masyarakat kelas menengah secara khusus, namun ia tetap memberi
maklumat kepada penulis bagi mengetahui karakter masyarakat ini dan masalah
yang dihadapi mereka.
Dalam pada itu, ia turut menjelaskan kedudukan masyarakat Cina Muslim
dipandangan masyarakat Melayu dan Cina. Justeru, kajian yang lebih terperinci
akan dilakukan penulis dalam bab yang seterusnya bagi mengetahui karakter
ekonomi masyarakat ini.
Buku Nordin Selat (1976) bertajuk Kelas Menengah Pentadbir Melayu
ialah buku yang terhasil daripada kajian tesis beliau. Buku ini terbahagi kepada
lima bahagian. Bahagian pertama membicarakan benih kelas itu-benih kacukan
dari unsure-unsur Melayu dan unsur-unsur Barat. Bahagian kedua
membicarakan pahit getir, pedih perit dalam liku-liku mencapai status kelas
menengah. Bahagian ketiga membicarakan latarbelakang sosiso-ekonomi
responden. Bahagian keempat membicarakan kegilaan hidup cara kelas
menengah. Bahagian kelima memperlihatkan dilema kelas itu, iaitu ke mana
arah tuju atau harapan mereka di masa hadapan. Kajian dilihat tertumpu kepada
persoalan budaya hidup mereka termasuklah pendidikan, pendirian mereka
terhadap sesuatu perkara, perbelanjaan, latar belakang keluarga sebelum
menjadi golongan kelas menengah.
Nordin Selat menyatakan bahawa kelas menengah pasca-kemerdekaan
dipengaruhi dengan gaya hidup Barat. Ini berdasarkan temubual dan soal selidik
yang dilakukan terhadap 105 orang yang berumur antara 29 hingga 54 tahun.
Selain itu, beliau juga mendapati golongan ini mempunyai setidak-tidaknyanya
sebuah kereta dan 41 peratus mempunyai lebih dari sebuah kereta. Bahasa
bahan bacaaan mereka pula ialah berbahasa Inggeris dan hanya sedikit yang
berbahasa Melayu.
Bagaimanapun, kajian Nordin Selat dilihat hanya bersifat deskriptif atau
dengan kata lain hanya penerangan semata-mata tanpa menghasilkan dapatan
baru seperti konsep, teori dan sebagainya. Namun, buku ini tetap memberi input
yang berguna kepada pengkaji-pengkaji kelas menengah terkemudian.
Judith A. Nagata (1978) dalam makalah bertajuk ‘the Chinese Muslim of
Malaysia: New Malay or new associates? A problem of religion and ethnicity’
membuat analisis terperinci tentang bagaimana masalah yang dihadapi oleh

 24 
PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

masyarakat Cina Muslim di Malaysia. Masalah tersebut ialah disebabkan oleh


sama ada ‘agama’ atau ‘etnik’. Ini kerana sebagaimana yang diketahui umum
bahawa Melayu dan Islam amat berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan.
Masalah mula timbul apabila masyarakat Cina Muslim ini muncul dalam
kelompok majoriti Melayu di mana walaupun mereka sudah lama memeluk
Islam (sejak dilahirkan), mereka tetap dikatakan sebagai saudara baru
sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.
Nagata berpendapat lagi, pada zaman masyarakat Melayu Tradisional,
status ‘etnik’ boleh dihilangkan dengan status ‘agama’. Dengan kata lain,
agama boleh menghilangkan status etnik sesebuah kumpulan (Cina, Indonesia,
Arab dan India). Bagaimanapun, status ‘etnik’ menjadi semakin ketara apabila
kuasa politik dan ekonomi masyarakat Melayu diancam dan ianya menjadi
semakin ketara hari demi hari hingga sukar untuk mendekatkannya kembali
(jurang perkauman Cina dan Melayu). Kajian ini dilihat memberi maklumat
mengenai situasi sebenar kedudukan masyarakat Cina Muslim di Malaysia dari
perspektif masyarakat Melayu. Disamping itu, masyarakat Cina Muslim di
Malaysia umumnya dikenali sebagai saudara baru (new associates).
Khasnor (1984) dalam kajiannya telah melihat bahawa penubuhan Malay
Administrative Service pada tahun 1910 adalah batu loncatan kepada
kemunculan golongan kelas menengah yang sekarang dikenali sebagai
Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (Malayan Administrative and Diplomatic
Service). Antara pusat pendidikan utama dalam negara yang dilihat sebagai
tempat kemunculan golongan ini ialah Malay College Kuala Kangsar (MCKK)
yang ditubuh pada tahun 1905. MCKK ditubuhkan ditubuh dan disediakan khas
kepada anak-anak Melayu terpilih. Dari kajian yang dibuat, Khasnor melihat
pelajar MCKK ini kemudiannya berkhidmat sebagai pegawai dan jumlah ini
meningkat dari 55 orang pada 1916 hingga 78 orang dalam 1928 dan 105 pada
tahun 1940. Manakala mereka yang didaftarkan di dalam Malaysia Civil
Service (MCS) juga mencatatkan peningkatan dari hanya seorang pada tahun
1921 dan menjelang kemerdekaan golongan ini meningkat sehingga 106.
Selepas kemerdekaan pula iaitu 1968, jumlah bertambah ke 706 orang dan 1137
pada tahun 1974.
Abdul Rahman Embong (2000) melihat perindustrian sebagai punca
kepada pembentukan kelas menengah di Malaysia. Ini kerana proses
perindustrian yang dirangka kerajaan dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru
dilihat telah berjaya membawa kepada pembentukan kelas menengah dalam
masyarakat berbilang kaum. Selain itu, menurut Abdul Rahman lagi,
pembentukan masyarakat juga berkait rapat dengan tiga kuasa besar dalam
masyarakat, iaitu hubungan produksi kapitalis (yakni kuasa pasaran), peranan
negara (developmentalist state) dan pengumpulan modal budaya. Dalam
makalah ini juga, penulis melihat bahawa Abdul Rahman Embong telah
menjelaskan sebaik mungkin sejarah pembentukan kelas di Malaysia dengan
mengemukakan beberapa peranan pemerintah terhadap syarikat-syarikat gergasi

 25 
PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

melalui tiga dasar liberalisasi, penswastaan dan deregulasi yang bermula pada
tahun 1983.
Oleh itu, pembentukan kelas menengah di Malaysia dapat dilihat hasilnya
pada masa kini dengan kemunculan kelas menengah baru yang terdiri daripada
bidang profesional, pengurusan dan pentadbiran. Abdul Rahman Embong turut
menjelaskan secara terperinci mengapa kriteria pekerjaan sesuai digunakan di
Malaysia yang bersifat sebagai negara pembangunan. Justeru, penulis melihat
amat sesuai digunakan kriteria pekerjaan sebagai kayu ukur masyarakat kelas
menengah dalam kajian ini sepertimana yang diterangkan secara terperinci oleh
Abdul Rahman Embong.
Abdul Rahman Embong (2002) membahaskan aspek aktiviti pemodenan
negara dalam menjana pembentukan kelas menengah masyarakat Malaysia.
Abdul Rahman Embong membahagikan penulisannya ini kepada sepuluh bab
yang dimulai dengan pendekatan metod dan konsep yang digunakan dalam
mendefinisikan kelas menengah di Malaysia sehinggalah pembentukan kelas
menengah Melayu baru yang terhasil dari proses transformasi (pemodenan)
selama lebih dari tiga dekad dan ianya masih lagi dalam proses pembentukan.
Menurut beliau lagi, kelas menengah melayu baru yang terhasil ini merupakan
generasi pertama dalam perkembangan mobiliti antara generasi.
Kajian Abdul Rahman Embong ini amat bermakna bagi pengkaji yang
ingin mengetahui segala yang berkaitan dengan karakter politik, sosial dan
ekonomi kelas menengah Melayu baru. Buku ini turut membincangkan dengan
terperinci bagaimana permasalahan dan cabaran yang dihadapi golongan ini
dalam menghadapi arus globalisasi dunia masa kini. Selain itu, teori dan konsep
kelas menengah yang diaplikasikan oleh Abdul Rahman Embong dalam
kajiannya terhadap masyarakat Melayu dilihat turut boleh digunakan terhadap
kaum lain. Ini kerana, dari segi sejarahnya, masyarakat Malaysia (Cina dan
India) keseluruhannya adalah pemboleh ubah dari dasar pemodenan yang
dilakukan oleh kerajaan. Namun, kajian Abdul Rahman Embong dilihat hanya
tertumpu kepada masyarakat Melayu sahaja serta tidak terperinci terhadap kaum
lain di Malaysia. Penulis tetap mendapat manfaat yang banyak dari buku ini
untuk diterapkan dalam kajian penulis.
Rosey Wang Ma (2003) dalam makalahnya melihat sejarah dan
perkembangan masyarakat Cina Muslim di Malaysia dari awal kedatangan
Cheng Ho hingga kini. Kajiannya tertumpu kepada masyarakat Cina Muslim
yang disertakan beberapa bukti kedatangannya dan beberapa contoh. Ini
termasuklah kisah keluarga Yunani di Terengganu, kaum Koay di Penang dan
Tianjin Hui Hui di Sabah. Selain itu, Rosey Wang Ma juga membincangkan
kehidupan masyarakat Cina Muslim ini apabila berhadapan dengan penduduk
tempatan termasuklah proses asimilasi melalui perkahwinan, pengekalan
budaya Cina dan cabaran yang dihadapi masyarakat Cina Muslim hari ini.
Banyak maklumat yang boleh dimanfaatkan dari makalah ini, lebih-lebih lagi
bagi mengetahui asal usul kemunculan masyarakat Cina Muslim di Malaysia.

 26 
PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

Ann Wan Seng (2008) memberikan banyak maklumat mengenai


perniagaan bangsa Cina, khususnya prinsip, matlamat, pemikiran dan budaya
perniagaan orang Cina. Buku ini turut mendedahkan beberapa sebab mengapa
bangsa Cina merupakan bangsa yang berjaya dalam kehidupan mereka lebih-
lebih lagi dalam bidang perniagaan. Walaupun buku ini bersifat deskriptif
mengenai cara perniagaan bangsa Cina, namun ia turut memberikan maklumat
yang berguna kepada penulis untuk memahami falsafah perniagaan bangsa ini.
Selain dari buku-buku yang menjelaskan mengenai golongan kelas
menengah, buku-buku bersifat sejarah turut dipilih untuk memahami
perkembangan masyarakat Cina Muslim di Malaysia. Antara buku yang
membincangkan sejarah awal masyarakat ini ialah buku bertajuk ‘Hubungan
empayar Melaka-Dinasti Ming abad ke-15’. Profesor Liang Liji (2009) melihat
sejarah hubungan dua wilayah ini sejak sebelum tahun Masihi sehinggalah
hubungan keduanya pada abad ke-15. Bagi menyokong hujahnya, beliau
mengemukakan contoh dari sumber-sumber Cina dan daripada sumber Alam
Melayu. Oleh itu, pendapatnya dilihat begitu berautoriti (valid) disebabkan
sumber yang diperolehinya dari manuskrip Cina sendiri. Dari penulisan buku
ini, ia menunjukkan bahawa sudah terdapat hubungan yang erat antara
keduanya, lebih-lebih lagi apabila terdapat bukti kedatangan Cina Muslim ke
Alam Melayu. Contohnya semasa perutusan Cina menghantar laksamana Zheng
He (Cheng Ho) yang membawa bersamanya ketika itu Ma Huan (jurubahasa)
yang beragama Islam. Kisah pelayaran ini dicatat di dalam buku yang bertajuk
Ying Ya Shen Lan (Pemandangan Indah di Tepi Laut).
Penulis melihat banyak maklumat yang diperolehi dalam karya Profesor
Liang Liji ini kerana ianya memberi input bermakna mengenai hubungan awal
masyarakat Cina dengan Alam Melayu.
Mastuki HS (2010) dalam kajiannya yang bertajuk ‘Kebangkitan Kelas
Menengah Santri’ menyentuh aspek kemunculan golongan ini dalam
masyarakat Indonesia. Disamping itu, kajian Mastuki juga tertumpu kepada
sebab-sebab yang mana boleh merancakkan proses pengembangan golongan
santri dalam mencapai peringkat kelas menengah. Kekuatan dari buku ini dilihat
apabila Mastuki menggunakan pendekatan konsep ‘kelas’ menurut dua tokoh
sosiologi terkenal iaitu Karl Marx dan Max Weber terhadap kelas menengah di
Indonesia. Dalam masa yang sama, beliau turut menerangkan secara terperinci
proses mobiliti sosial masyarakat ini. Beliau juga menyenaraikan fenomena-
fenomena baru yang berkembang dalam kalangan ‘Generasi Santri Baru’
kepada empat iaitu; pertama, munculnya para aktivis santri muda yang terlibat
dalam kelompok-kelompok usrah di kampus umum, kedua fenomena Islam di
Indonesia juga dikejutkan dengan kemunculan anak-anak muda yang
bermazhab Islam Liberal, ketiga, lahir dan tumbuhnya generasi santri yang
bersifat hibride culture dari kalangan anak-anak muda Nahdatul Ulama,
keempat, wacana dan gerakan Islam di Indonesia juga dikejutkan oleh
kehadiran kelompok ‘radikal-fundamental’ yang disebut atau menyebut dirinya
‘santri’ dan pada awalnya terlibat dalam serangan bom di berbagai wilayah.

 27 
PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

Menurutnya lagi, pendidikan merupakan medium terpenting kepada


kemunculan kelas menengah santri yang dapat dilihat melalui persatuan-
persatuan atau gerakan-gerakan pelajar seperti Pelajar Islam Indonesia (PII),
Pergerakan Mahasiswa Islam Indonesia (PMII), Ikatan Mahasiswa
Muhammadiyah (IMM) dan sebagainya. Bagaimanapun, konsep ‘kelas
menengah santri’ yang dimaksudkan oleh Mastuki dilihat tidak merangkumi
konsep ‘kelas menengah Muslim’ keseluruhannya. Ianya hanya berkisar dengan
golongan santri sahaja tanpa memasukkan ‘Muslim’ iaitu orang Islam. Akan
tetapi, buku ini telah memberi manfaat kepada penulis untuk merangka konsep,
pendekatan dan metode yang serupa dalam penulisan kajian ini.
Abdul Rahman Embong pada tahun 1995 membandingkan dua kajian oleh
dua tokoh tempatan iaitu Khan dan Saravanamuttu. Abdul Rahman Embong
melihat bahawa Khan berpendapat perkembangan kelas menengah berpunca
dari pembangunan Negara manakala Saravanamuttu pula berpendapat
perkembangan ekonomi kapitalis sebagai puncanya. Abdul Rahman Embong
kemudian berpendapat bahawa kedua-duanya ini ialah punca utama kepada
perkembangan golongan ini. Tokoh-tokoh ini cuba menjawab soalan ‘apakah
faktor dari segi sejarahnya yang menyumbang kepada perkembangan golongan
ini di Malaysia’?. Namun, beliau menambah faktor lain seperti persoalan
budaya (kelayakan dalam aspek pendidikan, gaya hidup dan sebagainya) juga
perlu diambil kira sebagai faktornya.
Saravanamuttu (1989) dalam kajiannya cuba menyentuh persoalan lain
sama ada kelas menengah di Malaysia menjelaskan etnik atau kesedaran kelas,
dan dalam masa yang sama adakah ianya sebagai ejen pendemokrasian.
Saravamuttu berpendapat bahawa kelas menengah di Malaysia yang terdiri dari
pelbagai etnik merupakan ejen pembentukan demokrasi yang ideal bagi
sesebuah Negara. Beliau menguji seramai 464 responden (60 peratus Melayu
dan selebihnya bukan Melayu). Kebanyakan responden yang diuji terdiri dari
mereka yang menyertai persatuan-persatuan professional, kesatuan-kesatuan
perniagaan, koperasi dan persatuan-persatuan pekebun atau ladang. Dalam pada
itu, beliau mengemukakan beberapa contoh bagi mendokong pendapatnya
seperti penentangan kumpulan ini terhadap beberapa akta-akta Negara iaitu akta
masyarakat, Akta Rahsia Rasmi pada tahun 1980-an dan pada tahun 1987 pula
terhadap Akta Keselamatan dalam Negara.
Dalam kajian terkini oleh Department of Foreign Affairs and Trade,
Australia (2007), keluaran September yang bertajuk APEC and the Rise of the
Global Middle Class menyimpulkan global middle class sebagai:
The definition used in this report is a broad one, with mainly economic basis. We refer to a global
‘middle class’, which consists of those who have scope for discretionary expenditure over and
above the basic necessities of life such as food, clothing and shelter; but who at the same time,
face some constraint on that expenditure. Members of this group may, for example have access to
items such as consumer electronics, cars, the possibility of owning their own housing, leisure
travel – whether domestically or internationally – and, perhaps most importantly, the ability to
invest in higher levels of education for the next generation. At the same time, their access to these
things ia, in general, restricted by some significant budgetary constraint – unlike the ‘rich’.

 28 
PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

Dalam laporan ini, global middle class merangkumi masyarakat kelas


menengah dunia. Menurut laporan ini, kelas menengah termasuklah mereka
yang mempunyai keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal,
disamping mempunyai material (tambahan) lain seperti barangan elektronik,
kereta, pemilikan rumah, kehendak ingin menjelajah (travel) sama ada dalam
atau luar negara. Golongan ini juga disifatkan dengan kehendak dan
kemampuan untuk melabur dalam pendidikan di peringkat tinggi (levels of
higher education). Walaupun kajian ini dilihat bersifat umum, ia turut memberi
manfaat kepada penulis kerana ia menyenaraikan sifat dan kriteria masyarakat
kelas menengah seperti mana yang dijelaskan di atas.
Johan Saravanamuttu, 2001, Is there a politics of the Malaysian Middle
Class? Dalam buku Abdul Rahman Embong, Southeast Asian Middle Classes:
Prospects for Social Change and Democratisation. Dalam makalah ini, Johan
Saravanamuttu mengkaji adakah terdapat ‘politik’ yang mana menunjuk,
menarik dan cenderung terhadap golongan kelas menengah di Malaysia? adakah
kumpulan-kumpulan kelas menengah di Malaysia ini berpolitik?.
Kajian Jomo K. S. (1988) pula adalah berkenaan pembangunan ekonomi
dan kelas sosial di Malaysia. Dalam buku ini beliau membincangkan hubungan
kelas dalam masyarakat Melayu pra-penjajahan, modal peredaran dan tani,
kerajaan kolonial dan tani, tanah dan tani, kolonialisme dan modal dagangan,
bijih timah: modal dan buruh cina, getah ladang: modal dan buruh india, modal
tempatan, modal industri dan perindustrian selepas merdeka dan pembangunan
kapitalis pemerintah. Kajian beliau yang lebih terperinci ini memudahkan
pengkaji kemudian melihat dengan lebih lanjut sejarah pembentukan kelas dan
perekonomian zaman pra-kolonial, kolonial dan pasca kemerdekaan Malaysia.
Apa yang penting, kajian beliau ini turut melihat kepada tumpuan, kaedah dan
kesan Dasar Ekonomi Baru terhadap masyarakat berbilang kaum yang
dilaksanakan pada tahun 1970, iaitu menstruktur semula masyarakat dan
pembasmian kemiskinan.
Jaffary Awang (2005) dalam makalahnya bertajuk ‘Peranan Malaysian
Chinese Muslim Association (MACMA) dalam Pengekalan Identiti Cina
Muslim di Malaysia: Satu Analisis Sosiologi’. Jaffary Awang melihat institusi
MACMA telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai medium pengekal
identiti masyarakat Cina Muslim di Malaysia. Pendekatan yang diambil ialah
seperti bahasa, hubungan diplomatik bersama masyarakat Muslim China,
membudayakan amalan-amalan masyarakat Cina atau tradisi Qigong,
menggiatkan aktiviti sosial, pendidikan, pameran dan buletin, pusat kegiatan
kegiatan penterjemahan, pembinaan masjid seni bina Cina, kegiatan ekonomi
dan dakwah dan program perbandingan agama dan dialog antara agama.
Kajian ini turut mendapati bahawa walaupun masyarakat Cina Muslim
berada dalam konteks pemodenan dan cabaran negara dalam era globalisasi ini,
kejayaan pengekalan identiti ini ialah melalui institusi yang mengenalpasti
kemahiran anggotanya untuk membina kekuatan identiti. Disamping itu, nilai
agama Islam juga boleh dijalankan seiring walaupun dalam kelompok

 29 
PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

masyarakat majmuk. Antara kesimpulan lain yang dibuat ialah aspirasi etnik
perlu dibentuk mengikut tuntutan agama dan diterjemahkan dalam bentuk
program atau perancangan. Ia termasuklah jaringan kerjasama yang dijalankan
dengan pertubuhan lain seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia
(PERKIM). Makalah ini dilihat memberi gambaran umum kepada penulis bagi
mengetahui kedudukan bahasa, sosio-ekonomi, agama dan budaya masyarakat
Cina Muslim di Malaysia. Walaupun, ia tidak menjelaskan berkenaan golongan
kelas menengah masyarakat ini, maklumat yang didapati turut membantu
penulis mengenalpasti ciri-ciri masyarakat ini secara jelas.
Kajian lain yang menyentuh peranan MACMA ini ialah dalam makalah
Zamzuri Zakaria dan Mat Nor Mat Zain (2005) yang bertajuk ‘Peranan
MACMA dalam Pembangunan Masyarakat Cina Muslim di Malaysia’. Selain
objektif MACMA ini ditubuhkan iaitu untuk berdakwah kepada masyarakat
Cina di Malaysia, pertubuhan ini turut memainkan peranan dalam pembangunan
ekonomi masyarakat Cina Muslim Malaysia. Iaitu sebagai pusat penerima dana,
pengembang dana dan pengagih dana. Sumbangan ekonomi ini disumbangkan
dalam bentuk bantuan wang tunai dan barangan, memberi perkhidmatan yang
ada nilai ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan dan menyediakan
infrastruktur yang boleh menjana ekonomi seperti Pusat Cina Muslim atau
Masjid Senibina Cina. Peranan MACMA dilihat begitu penting oleh penulis
dalam kajian ini, ia memperlihatkan ekonomi masyarakat Cina Muslim akan
dapat berkembang maju dengan bantuan dan dana pertubuhan ini.

Kesimpulan
Kesimpulannya, beberapa kajian terdahulu seperti mana yang telah diterangkan
di atas dilihat dapat memberi gambaran awal dan maklumat kepada pengkaji-
pengkaji terkemudian untuk mengenalpasti masyarakat ini. Walaupun tiada
maklumat yang jelas mengenai kajian kelas menengah Cina Muslim di
Malaysia ini, penulis atau pengkaji lain turut dapat mengaplikasikan rujukan-
rujukan ini sama ada yang bersifat kajian sejarah mahupun kajian sosial.
Disamping itu, penulis mengakui masih terdapat banyak lagi buku, dokumen
atau maklumat lain yang dapat memberi maklumat berkenaan kajian ini yang
tidak dinyatakan dalam makalah ini.

Rujukan
Abdul Rahman Embong (pnyt.). 2001. Southeast Asia Middle Classes: Prospects for
Social Change and Democratization. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Abdul Rahman Embong. 2000. Perindustrian, peranan pemerintah dan pembentukan
kelas menengah. Dlm. Negara, Pasaran dan Pemodenan Malaysia. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

 30 
PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

Abdul Rahman Embong. 2002. State-led Modernization and the New Middle Class in
Malaysia. New York: Palgrave.
APEC and the Rise of the Global Middle Class. 2007. Laporan Department of Foreign
Affairs and Trade, Australia. September.
Fatimah Abdullah. 1994. Urbanisasi dan kekeluargaan: satu kajian kes kelas menengah
Melayu di Kuala Lumpur. Tesis PhD, Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti
Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Encyclopaedia Britannica. 2011. Social Class. http://www.britannica.com/EBchecked/
topic/550940/social-class. [1 April]
Encyclopedia of Diasporas: Immigrant and Refugee Cultures Around the World. 2005.
New York: Springer Sciences+Business Media Inc.
Hafazah Abdul Karim. 1993. Social relations in middle class urban setting: implications
for social planning. Tesis PhD. Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera
dan Sains Sosial, Uniersiti Malaya, Kuala Lumpur.
Henry W. Littlefield. 1873. History of Europe 1500-1848. New York: Barnes and Noble
Inc. Publisher Book Fleers.
Jaffary Awang. 2005. Peranan Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA)
dalam Pengekalan Identiti Cina Muslim di Malaysia: Satu Analisis Sosiologi.
Dlm. Wan Abd. Hamid Wan Teh, Jaffary Awang, Kamarudin Salleh, Ibrahim Abu
Bakar, Indriaty Ismail & Marsilawati Mohamad Rani (pnyt.). Budaya dan
Pemikiran dalam Masyarakat Global: Malaysia dan China. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jomo, K. S., 1988. Pembangunan Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung Malaysia.
Terj. Shamsul Bahriah Ku Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka &
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kamus Dewan. 2007. Ed. ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khasnor, Johan. 19984. The Emergence of the Modern Malay Adinistrative Elite.
Singapore: Oxford University Press.
Liang Liji. 2009. Lembaran Gemilang Sejarah Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Lockwood, David. 1995, ‘Introduction: Marking out the Middle Class(es)’, Dlm. Tim
Butler & Mike Savage (pnyt.). Social Change and the Middle Classes. London:
UCL Press.
Matsuki, HS. 2010. Kebangkitan Kelas Menengah Santri: Dari Tradisionalisme,
Liberisme, Post-Tradisionalisme hingga Fundamentalisme. Jakarta: Pustaka
Dunia.
Nagata, Judith A. 1978. The Chinese Muslims of Malaysia: New Malays or new
associates? A problem of religion and ethnicity. Dlm. Means, Gordon P (pnyt.).
Proceeding of the Annual Meeting of the Canadian Council for Southeast Asian
Studies, 25 November.
Nordin Selat. 1976. Kelas Menengah Pentadbir Melayu. Kuala Lumpur: Utusan
Printcorp Sdn. Bhd.
Rosey Wang Ma. t.th. Chinese Muslims ini Malaysia in different periods of history.
Dlm. Chinese Studies of the Malay World. Kuala Lumpur: Eastern Universities
Press. hlm. 140-172.
Rosey Wang Ma. 1995. Difficulties face by Chinese Muslim and the need to go through
education and counselling to overcome the problems. Tesis Sarjana. Pusat
Pascasiswazah, Universiti islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor,
Malaysia.

 31 
PROSIDING SIMPOSIUM ISU-ISU SEJARAH DAN TAMADUN ISLAM (SISTI 2011)

Rosey Wang Ma. 2009. Juggling dual cultural identities. http://www.malaysia-


today.net/mtcolumns/guest-columnists/29046-juggling-dual-cultural-identities [14
Februari]
Saravanamuttu, Johan. 1989. Kelas Menengah dalam Politik Malaysia: Tonjolan
Perkauman atau Kepentingan kelas?. Kajian Malaysia 7 (1 dan 2), June/Disember:
106-26.
Shirashi, T. 2004. The rise of New Urban Middle Classes in Southeast Asia: What is its
National and Regional Significance? Kertas Kerja RIETI siri 04-E-011.
Siaw, Laurence K.L. 1977. Characteristics of the ethnic Chinese community in
Malaysia – A sociological perspective. Dlm. Jurnal Antropologi dan Sosiologi.
5(1977): 43-52.
Terence Chong. 2005. The Construction of the Malaysian Malay Middle Class: The
Histories, Intricacies and Futures of the Melayu Baru. Social Identities. 11(6):
573-587.
Umran Mohd. Anas Khan. 1991. Kelas menengah Melayu bandar: satu kajian status-
ekonomi dan politik. Tesis Sarjana. Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti
Sastera dan Sains Sosial, Uniersiti Malaya, Kuala Lumpur.
World Bank. 2007. Global Economic Prospects 2007. Washington D.C.

 32 

Anda mungkin juga menyukai