Anda di halaman 1dari 5

1.

0 Pengenalan

Menurut Faridah Abdul Rahman (2017), gaya hidup sihat merupakan tubuh badan yang sihat
merupakan tonggak kehidupan sejahtera. Tambah beliau, sihat didefinisikan sebagai tubuh
badan yang tidak mengidap sebarang penyakit. Sememangnya keadaan ini dapat dicapai
melalui pengetahuan tentang kesihatan, pemakanan yang seimbang, beriadah atau
melakukan aktiviti fizikal dan seterusnya mencegah daripada penyakit. Sehubungan itu,
sistem pendidikan di Malaysia mengambil berat untuk melahirkan seseorang individu yang
seimbang dari segi rohani, jasmani, mental, emosi dan intelek. Selaras dengan itu,
Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil inisiatif menyusun kurikulum Pendidikan
Jasmani dan Pendidikan Kesihatan khasnya supaya murid dipupuk dan diberi pengetahuan
tentang kecergasan fizikal, kemahiran sukan dan rekreasi, gaya hidup sihat serta kebersihan
dan keselamatan persekitaran. Gaya hidup sihat sebenarnya perlu diamalkan oleh setiap
individu tanpa mengira usia. Sekiranya gaya hidup sihat ini tidak diikuti, seseorang individu
mungkin akan berisiko untuk menghadapi obesiti, mempunyai konflik dan stres atau terjebak
dalam masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, merokok dan sebagainya.

2.0 Isu Obesiti


Obesiti atau kegemukan yang berlebihan ditakrifkan oleh Kamus Dewan Bahasa (2012)
sebagai kegemukan yang disebabkan terdapatnya lemak yang berlebihan. Menurut Heyward
(2015), obesiti merupakan satu masalah kegemukan di mana jumlah lemak badan adalah
sebahagian daripada jumlah berat badan. Ini juga dikenali sebagai berat badan berlebihan.
Kajian terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2016 mendapati 5.5 juta atau
30.6% rakyat Malaysia adalah gemuk dan obes. Trenda yang membimbangkan ini akan
meningkatkan lagi penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, diabetes dan penyakit
kardiovaskular dan akan membebankan lagi kewangan negara untuk menampung
perbelanjaan sistem kesihatan negara. Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian
Kesihatan turut menunjukkan lebihan berat badan dan obesiti adalah faktor risiko pada
penyakit kardiovaskular. Lebihan berat badan dan obesiti merupakan faktor primer bagi
penyakit koronari jantung dan bersama faktor risiko lain yang telah dibuktikan seperti
diabetes, hiperkolesterolemia atau kekurangan tahap lipoprotein kepadatan tinggi (Pollock &
Wilmore, 2015). Hipertensi yang di alami oleh mereka yang obes adalah signifikan lebih
tinggi jika dibandingkan dengan yang tidak obes.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada obesiti antaranya ialah peranan
ibu bapa. Melalui institusi kekeluargaan, ibu bapa merupakan pihak yang memainkan
peranan penting dan paling berpengaruh dalam menentukan tahap kesihatan anak-anak. Hal
ini adalah kerana ibu bapa yang menyediakan persekitaran bagi perkembangan kanak-
kanak seperti menyediakan makanan dan peluang melibatkan aktiviti fizikal di rumah. Ibu
bapa juga merupakan contoh kepada kanak-kanak untuk melakukan aktiviti fizikal. Menurut
Dietz & Gortmaker (2017), pengambilan makanan dan aktiviti fizikal dalam kalangan kanak-
kanak sangat dipengaruhi oleh ibu bapa. Pengaruh ini juga terbukti terhadap kanak-kanak
berlebihan berat badan atau obes. Kajian yang telah dilakukan oleh Birch (2015)
menunjukkan bahawa ibu bapa yang mempunyai anak yang berlebihan berat badan
menggunakan pendekatan kurang paksaan terhadap anak mereka dalam pengambilan
makanan tetapi menggunakan sekatan dalam pengambilan makanan yang lebih. Kalakanis
(2016) telah membuktikan bahawa kanak-kanak obes menjadikan ibu bapa sebagai contoh
peranan dalam melakukan aktiviti fizikal. Davison & Birch (2012) juga telah menunjukkan
bahawa ibu bapa yang melaporkan pengambilan makanan yang tinggi dan tahap aktiviti
fizikal yang rendah mempunyai anak perempuan yang mempunyai Indeks Jisim Tubuh (IJT)
dan lipatan kulit trisep yang tinggi.

Selain itu, beberapa kajian turut mendapati terdapat perkaitan langsung antara obesiti
dengan penglibatan dalam aktiviti fizikal yang rendah. Ekoran kemajuan dalam teknologi dan
pengangkutan mengakibatkan penglibatan dalam aktiviti fizikal bukannya satu keperluan
penting dalam fungsi harian seperti elevator yang mengurangkan aktiviti berjalan serta
penggunaan alat kawalan jauh untuk menggantikan aktiviti berjalan. Justeru, keperluan
pengeluaran tenaga mengakibatkan peningkatan berat badan. Hal ini disokong oleh Rabiatul
Adawiyah (2017) yang menyatakan pertambahan berat badan atau obesiti selalunya
disebabkan ketidakseimbangan tenaga dan pengambilan kalori lebih dari keperluan. Tambah
beliau, bagi mengurangkan berat badan, individu perlu mencipta tenaga defisit dengan
mengambil makanan yang kurang kalori, memperbanyakkan senaman atau aktiviti fizikal.

Lantaran daripada obesiti yang dialami oleh seseorang individu, ia didapati


meninggalkan impak negatif kepada kesihatan sosial remaja (Puhl & Latner, 2017).
Kesihatan sosial yang negatif yang disebabkan oleh obesiti boleh mempengaruhi dan
membebankan kesejahteraan remaja dari pelbagai sudut aspek kehidupan. Sebagai
contoh, individu akan terdedah untuk menjadi mangsa buli atau ejekan. Remaja obes
cenderung menjadi mangsa buli terutamanya buli secara lisan dan fizikal. Perbuatan
memanggil dengan gelaran nama yang tidak menyenangkan merupakan antara contoh
buli secara lisan manakala perbuatan menendang, memukul dan menolak merupakan buli
secara fizikal. Manakala buli dalam perhubungan juga boleh berlaku dengan cara
memutuskan hubungan persahabatan, menyebarkan cerita negatif dan penipuan (Janssen,
Carig, Boyce & Pickett, 2014).

3.0 Cadangan Bagi Mengatasi Isu Obesiti


Terdapat beberapa cadangan bagi mengatasi isu obesiti dalam kalangan masyarakat
antaranya ialah mengamalkan gaya pemakanan yang sesuai, bersenam secara teratur
serta mengajurkan kempen berbentuk kesihatan.

3.1 Gaya Pemakanan Yang Sesuai

Antara langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan obesiti adalah dengan
mengamalkan gaya pemakanan yang sesuai. Pemakanan berkualiti adalah faktor
penting bagi menjamin kesihatan mental dan fizikal seseorang. Pengambilan diet
makanan yang seimbang serta jadual pemakanan yang konsisten perlu dititik
beratkan dalam kehidupan seharian Menurut Samuelson (2015), menjadikan
piramid makanan sebagai panduan dalam pemilihan menu atau jenis makanan
dapat mengelakkan seseorang individu daripada risiko obesiti. Sebagai contoh,
mengambil kira keperluan karbohidrat, lemak dan zat-zat pemakanan yang sesuai
dengan peringkat umur. Petikan akhbar Metro pada tahun 2014 turut menyatakan
gaya pemakanan mengikut waktu secara teratur terutamanya tiga waktu makan
yang utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam merupakan
amalan yang ideal dalam memastikan kesihatan badan sentiasa terjaga. Malah,
menurut William (2016) orang dewasa serta remaja yang mengabaikan sarapan
pagi cenderung untuk makan lebih banyak pada waktu makan berikutnya.
Pengabaian sarapan pagi juga dikaitkan dengan meningkatnya kadar obesiti.

Haga (2017) menyatakan bahawa BMI meningkat pada mereka yang memiliki
tahap aktiviti fizikal yang rendah. Individu yang hidup dengan aktif memerlukan
pengambilan kalori yang lebih berbanding mereka yang kurang aktif. Ini
menunjukkan mengimbangkan pengambilan dan penggunaan kalori dapat
mengekalkan berat badan yang unggul. Pengawalan pengambilan kalori ini bukan
sahaja dapat menurunkan berat badan namun secara tidak langsung dapat
menurunkan peratusan lemak dalam badan.

3.2 Mengamalkan Senaman Secara Teratur

Hockey (2016) menyatakan senaman yang dilakukan secara konsisten dapat


mengurangkan risiko obesiti. Kajian beliau mendapati bahawa senaman yang
konsisten dapat mengurangkan tekanan yang dialami oleh individu yang
mempunyai lebihan berat badan. Hal ini adalah kerana kekuatan fizikal akibat
bersenam dapat menimbulkan keyakinan diri dan individu akan berasa bertenaga
serta yakin dengan ketrampilan diri. Malah, melakukan senaman atau latihan
fizikal adalah sesuatu aktiviti yang baik untuk kecergasan diri. Ini menunjukkan,
selain dapat meningkatkan tahap kecergasan diri, aktiviti ini juga mampu
mengurangkan berat badan yang berlebihan serta mengelakkan risiko serangan
penyakit kronik. Seterusnya, ia juga mampu mengurangkan tekanan hidup yang
adakalanya mengganggu kehidupan seperti tekanan emosi, sosial dan mental.
Hal ini disokong oleh Fox dan Mathew (2016) yang menyatakan bahawa
kecergasan fizikal ialah kebolehan seseorang individu menyaingi kehidupan dan
dapat memberi sumbangan terhadap dirinya dan orang lain dengan sempurna.
Kecergasan menyeluruh melibatkan aspek-aspek fisiologi, sosiologi dan psikologi.
Kesemua faktor ini dipengaruhi oleh persekitaran, tingkahlaku, jantina, umur dan
cara hidup seseorang.

3.3 Kempen Kesihatan

Selain usaha daripada individu dan pihak keluarga, intitusi kerajaan turut
memainkan peranan bagi mengatasi isu obesiti dalam kalangan masyarakat.
Misalnya, konsep gaya hidup sihat merupakan satu kempen aspirasi kerajaan
bagi melahirkan masyarakat yang sihat, cergas, sejahtera dan bebas dari
penyakit yang disebabkan oleh gaya hidup sedentari. Kempen komunikasi
kesihatan dijalankan dalam usaha memberikan kesan tingkah laku yang sihat
dalam kalangan populasi semasa di sesebuah negara (Randolph, Whitaker, &
Arellano, 2012). Hal ini demikian kerana kadangkala terdapat anggota
masyarakat yang memiliki kesedaran yang tinggi di samping mempunyai
pengetahuan ataupun maklumat tentang cara gaya hidup yang sihat, tetapi tidak
menjadikannya sebagai satu amalan dalam gaya hidup seharian (Krishnan &
Rahim, 2014). Justeru, kempen kesihatan yang dijalankan berperanan untuk
menyebarkan maklumat tentang kesihatan awam dan ancaman-ancaman dalam
isu obesiti ini, sekaligus memujuk anggota masyarakat untuk menerima
perubahan tingkah laku yang dicadangkan.

Sasaran utama kempen ini ialah semua golongan rakyat Malaysia


terutamanya remaja dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Sebagai contoh,
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif mengajar semua lapisan
masyarakat bersenam dan mempelajari kaedah terkini untuk sentiasa kekal
cergas melalui gerakan FitMalaysia. Melalui konsep 3M (Mudah, Menarik dan
Murah), empat kegiatan utama iaitu larian, berbasikal, seni mempertahankan diri
dan aktiviti berbentuk kecergasan. Di samping itu, pihak kerajaan juga perlu
menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan serta pertubuhan bukan
kerajaan memainkan peranan sebagai satu usaha secara bersama dalam
meningkatkan kualiti pekerja di negara ini agar sentiasa sihat dan produktif. Ini
adalah bertujuan bagi melahirkan pekerja yang cemerlang dan berdisplin kerana
tahap kesihatan yang baik memainkan peranan penting dalam menyumbang
kepada mutu kerja pada negara. Hal ini disokong oleh Hassali (2012) yang
menyatakan bahawa pihak kerajaan dinilai sebagai sumber informasi terbaik
dalam mempromosikan sesuatu isu atau aktiviti berkaitan kesihatan.

4.0 Penutup

Kesimpulannya, gaya hidup sihat adalah gaya hidup yang memberikan keutamaan
kepada amalan hidup yang aktif, mengekalkan kesihatan dan mencegah daripada
berlakunya sebarang gejala penyakit. Bukan menjadi satu kemustahilan bagi
seseorang itu menikmati kesihatan yang berpanjangan dan mengalami kehidupan
yang selesa. Melalui gaya hidup sihat segalanya bukan mimpi dan mampu dicapai
oleh sesiapa jua. Gaya hidup sihat perlu diamalkan oleh setiap orang tanpa halangan
usia, latar belakang kehidupan, perkauman, agama mahupun status kehidupan. Selain
itu, sebuah kehidupan manusia akan selesa dengan mempunyai kesihatan yang baik.
Kesibukan menjalani ranjau kehidupan menyebabkan sesetengah manusia alpa
sehingga tidak sempat untuk memikirkan tentang kesihatan diri sendiri. Penyataan ini
disokong oleh Sam Rachmat (2016) yang menyatakan sebahagian besar penyakit
berpunca daripada amalan hidup seseorang individu.

Anda mungkin juga menyukai