Anda di halaman 1dari 3

Baca petikan di bawah dengan teliti.

Berdasarkan petikan tersebut, tulis ringkasan tentang ciri-ciri


keselamatan rumah pintar. Panjang ringkasan anda hendaklah antara 80 hingga 100 patah
perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal
petikan.

Rumah pintar ialah tempat kediaman moden yang menggunakan sistem rangkaian elektronik
canggih. Selain itu, rumah pintar biasanya dijual dengan harga yang mahal kerana ciri-ciri
keselamatan yang ada pada rumah tersebut. Antara ciri utama yang ada pada rumah pintar ialah
kawalan pintu garaj. Hal ini membolehkan pemilik rumah pintar menggunakan alat kawalan jauh untuk
membuka dan menutup pintu pagar rumah. Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kes
rompakan, tetapi juga mengurangkan beban penghuni rumah untuk membuka dan menutup pintu
pagar pada hari hujan. Selain itu, penggera keselamatan biasanya dipasang di rumah pintar sebagai
ciri-ciri keselamatan utama. Sebelum ini, kes pecah rumah mudah berlaku kerana rumah tidak
dilengkapi alat penggera keselamatan. Di samping itu, kamera litar tertutup (CCTV) juga merupakan
ciri-ciri keselamatan rumah pintar yang penting pada masa ini. Hal ini dikatakan demikian kerana
kamera ini dapat merekodkan apa-apa sahaja yang berlaku di dalam dan di luar rumah. Dengan kos
pemasangan yang semakin berpatutan, penghuni berasa lebih selamat apabila CCTV dipasangkan.
Seterusnya, rumah pintar juga biasanya mempunyai alat kawalan pemanas air. Alat ini dapat
memberikan keselesaan dan keselamatan kepada anak-anak yang mahu menggunakan air panas.
Pemasangan alat ini juga berjaya mengurangkan renjatan elektrik dan anak kecil yang terkena air
panas. Pada masa yang sama, sistem keselamatan rumah tanpa wayar juga penting dalam
pembinaan rumah pintar. Ciri-ciri ini menjadikan sesebuah rumah itu selamat untuk didiami. Oleh
sebab itu, pilihlah rumah yang selamat untuk didiami.

Halaman 24, Buku Teks Tingkatan 1 KSSM, KPM Dewan Bahasa dan Pustaka
RINGKASAN 2

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis ringkasan tentang cara-cara
remaja memanfaatkan media sosial. Panjang ringkasan anda hendaklah antara 80 hingga 100 patah
perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal
petikan.

Media sosial ialah medium komunikasi utama yang popular pada masa ini. Laman sosial yang sering
digunakan ialah Facebook, WhatsApp dan Instagram. Remaja dan media sosial seolah-olah sudah
tidak dapat dipisahkan. Para remaja menggunakan medium ini untuk meluahkan perasaan yang
terpendam di dalam hati. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka kurang mendapat kasih sayang
daripada ahli keluarga. Ada juga yang berasa lebih lapang dada setelah meluahkannya dalam media
sosial. Selain berkongsi maklumat peribadi, dan memuat naik gambar, remaja juga menggunakan
media sosial untuk berkawan dengan orang lain. Telefon pintar yang mempunyai capaian Internet
memudahkan remaja mengemaskinikan maklumat mereka. Oleh hal yang demikian, mereka terdedah
kepada ancaman maya seperti kecurian data peribadi, buli siber, komplot Internet, gangguan seksual,
dan penggodaman. Pendedahan aktiviti harian secara keterlaluan dalam media sosial akan
memudaratkan pengguna, misalnya mendedahkan barang berharga dan lokasi diri. Walau
bagaimanapun, remaja selesa menyimpan maklumat peribadi dan nota-nota pelajaran dalam fail-fail
yang ada dalam sesetengah media sosial. Ada juga yang memuat naik gambar peribadi dan
keluarga. Situasi ini akan menarik perhatian orang ramai untuk memanipulasikan maklumat dengan
niat yang tidak baik. Jenayah siber juga berlaku kepada netizen yang sering mendedahkan maklumat
secara melampau. Menurut kajian, warga siber di Malaysia menghabiskan masa tidak kurang 20 jam
sehari untuk melayari laman sosial. Hal ini akan menjejaskan kesihatan mental dan fizikal pengguna
media sosial tegar. Namun begitu, remaja yang melayari Internet untuk memasuki laman media sosial
untuk mengenali budaya dan adat resam pelbagai agama dan budaya amat digalakkan. (Dipetik dan
diubahsuaikan daripada Halaman 15, Buku Teks Tingkatan 1, KSSM, Dewan Bahasa dan Pustaka)
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut , tulis sebuah ringkasan

tentang faktor-faktor berlakunya kemalangan jalan raya. Panjang ringkasan anda hendaklah

antara 80 hingga 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda

sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Isu kemalangan jalan raya senantiasa diperkatakan oleh banyak pihak. Hal ini demikian

kerana kadar kemalangan dewasa ini masih membimbangkan. Mengapakah situasi ini berlaku?

Sudah tentu terdapat banyak sebab yang menjadi penyumbang kepada keadaan ini.

Kes kemalangan jalan raya berlaku disebabkan oleh sesetengah pemandu dan

penunggang motosikal yang tidak mematuhi had laju yang dibenarkan walaupun tanda had laju

terpampang di hadapan mereka. Sikap pengguna jalan raya yang suka memotong kenderaan lain

di selekoh tajam dan di garisan berkembar turut mengundang risiko kemalangan. Tindakan ini

bukan sahaja membahayakan diri sendiri bahkan juga pengguna jalan raya yang lain. Tambahan

lagi, terdapat segelintir pemandu yang baru memperoleh lesen hanya memikirkan keseronokan

tanpa menduga bahawa maut sedia menanti di hadapan mereka.

Di samping itu, jalan raya yang sempit dan berlubang-lubang di sesetengah tempat turut

mengundang terjadinya kemalangan terutamanya pada waktu malam dan ketika hujan lebat.

Keadaan ini bertambah buruk apabila terdapat kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan

baik masih digunakan di jalan raya. Oleh itu, setiap pemilik hendaklah memastikan kenderaan

mereka diselenggarakan mengikut jadual agar selamat digunakan.

Jelaslah kepada kita bahawa kemalangan jalan raya yang berlaku banyak disebabkan

sikap pengguna itu sendiri. Oleh itu, diharapkan agar semua pengguna jalan raya lebih berhati-

hati ketika memandu dan ingatlah orang yang tersayang.

Anda mungkin juga menyukai