Anda di halaman 1dari 1

Jati Diri Anak-Anak Bermula Di Rumah

Institusi keluarga yang lengkap perlu ada ibu bapa, anak-anak dan saudara-mara.
Setiap individu mempunyai peranan yang jelas dan tersendiri. Ibu bapa dianggap mempunyai
peranan paling penting dalam keluarga kerana anak-anak diumpamakan seperti kain putih.
Maka ibu bapalah yang menjadi pencoraknya. Oleh yang demikian, setiap pasangan yang
mahu mendirikan rumah tangga perlulah bersedia untuk menerapkan jati diri anak-anak
supaya menjadi insan berguna.
Penerapan jati diri dalam kalangan anak-anak di rumah perlu dimulakan di pihak ibu
bapa terlebih dahulu. Mereka perlulah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Bak
kata peribahasa “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Oleh itu, didiklah anak-anak
dengan baik dan sepenuh kasih sayang sejak mereka kecil lagi.
Selain itu, ibu bapa perlulah melatih anak-anak dengan saling bekerjasama dan
berkasih sayang untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia. Memberikan sepenuh
kasih sayang kepada diri anak-anak biarlah bak kata peribahasa “Menatang minyak yang
penuh”. Kesannya, anak-anak akan menyedari kesungguhan kita mencurahkan kasih sayang
kepada mereka. Gunakanlah nama panggilan manja untuk anak-anak seperti ‘Kak Long’ atau
‘Abang Long’ bagi anak sulung dan ‘Kak Ngah’ atau ‘Abang Ngah’ bagi anak kedua dan
sebagainya yang sesuai. Semoga kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak akan
luput.
Akhir sekali, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak supaya mengamalkan cara
hidup bersederhana dan bertanggungjawab. Contohnya, menyediakan jadual tugasan kendiri
di rumah. Elemen di atas turut dapat membentuk akauntabiliti dalam kalangan anak-anak dan
mereka akan lebih mahir menguruskan diri tanpa disuruh seperti membasuh dan menggosok
pakaian sendiri, serta menyimpannya di dalam almari. Ajarlah mereka juga sifat bersyukur
dan menerima seadanya apa-apa sahaja kurniaan material mahupun spiritual yang ada di
sekeliling. Akhirnya, nilai bersederhana ini juga akan menjadikan mereka mengamalkan sikap
berjimat-cermat dan tidak boros dalam berbelanja.
Kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menerapkan jati diri
anak-anak di rumah. Lengkapkanlah diri dengan segala ilmu keibubapaan yang begitu penting
kerana pembentukan sahsiah anak-anak akan bertitik-tolak daripada institusi keluarga itu
sendiri.
(270 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai