Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PERASMIAN SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN

Bismillahirahmanirahim...Assalamualaikum w.b.t...

Yang saya hormati GPK 1 Cik Rahimah binti Md. Kormin, GPK Hal Ehwal Murid, Puan
Sem Wai Han, GPK Ko-kurikulum Encik Wan Mohd Hafizi bin Wan Hazit, guru-guru serta para
pelajar yang dikasihi sekalian.

“Laungan merdeka suara keramat,


Ribuan hadir pelbagai bangsa,
Malaysia kini negara berdaulat,
Semangat berjuang penuh perkasa.”

Pantun sebentar tadi sudah cukup untuk menggambarkan sketsa sebentar tadi yang
menggambarkan pengorbanan nenek moyang kita yang terdahulu dalam usaha untuk
mempertahankan negara kita daripada penjajah. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat ilahi
kerana sehingga hari ini kita masih boleh bersama-sama dalam majlis perasmian Bulan
Kebangsaan ke-65 Peringkat SK Taman Pelangi tahun 2022.

Perasmian ini juga bukan sekadar majlis rasmi biasa, tetapi sebagai panggilan keramat
kepada kita semua warga SK Taman Pelangi untuk bersama-sama meneruskan perjuangan nenek
moyang kita terdahulu untuk mempertahankan kemerdekaan negara. Tidak semestinya kita perlu
mengangkat senjata untuk mempertahankan negara, tetapi kita boleh turut sama menyumbang
dengan memupuk rasa cinta yang mendalam kepada negara. Apabila adanya rasa cinta, maka
akan wujudlah rasa sayangkan negara yang akan diterjemahkan dalam cara kita tersendiri untuk
mempertahankan kemerdekaan negara.

Justeru, melalui program-program yang akan dijalankan semasa bulan kebangsaan ini
saya berharap dapat memupuk semangat cintakan negara yang mendalam dalam hati kamu
semua. Kamu semua pelajar SK Taman Pelangi, adalah harta paling berharga negara yang akan
menentukan nasib negara pada masa hadapan. Tanpa adanya generasi muda yang cintakan
negara mana mungkin sesebuah negara itu akan bertahan pada masa hadapan. Oleh itu, saya
menyeru kepada semua pelajar SK Taman Pelangi agar melibatkan diri dengan penuh aktif dan
rasa cintakan negara dalam semua program-program yang akan berlangsung pada bulan
kebangsaan ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kepada semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan program bulan kebangsaan ke-65 ini.
Sehubungan dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Perasmian Bulan
Kebangsaan Yang ke-65 Peringkat SK Taman Pelangi bagi tahun 2022.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai