Anda di halaman 1dari 2

Ucapan Cikgu Hajjah Hamidah binti Mustafa,Guru Besar SK Taman Pelangi

Sempena Perasmian Penutupan Bulan Kebangsaan SK Taman Pelangi 2022

Assalamualaikum WBT …
Selamat pagi dan “Salam Keluarga Malaysia” ….
Yang dihormati barisan Penolong Kanan SK Taman Pelangi, Guru-guru serta murid-murid yang dikasihi
sekalian…

Tetap terserlah si askar platun,


Mara menghala barisan hadapan,
Ucap Bismillah selembar pantun,
Bicara bermula titisan ucapan.

Di sangkar merbah bertelur helang,


Punai terlepas di hutan tarah;
Berkibar megah Jalur Gemilang,
Bagai mengibas lipatan sejarah.

Setiap tahun menyambut merdeka


Jalur gemilang berkibar megah
Sejarah negara jangan dilupa
beratus tahun kita dijajah

Terlebih dahulu saya ingin melahirkan rasa gembira dan bersyukur pada hari ini kita dapat bersama-
sama berkumpul pada Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan Malaysia peringkat sekolah untuk tahun 2022.

“Keluarga Malaysia Teguh Bersama” merupakan tema sambutan Bulan Kebangsaan Malaysia tahun
ini. Tema tahun ini dilihat bukan sekadar bertujuan untuk melahirkan semangat kecintaan terhadap negara
sahaja tetapi turut mendorong kita semua rakyat Malaysia agar bersama-sama menjaga tanah air tercinta ini
tanpa mengira warna kulit, bahasa atau kaum. Setiap seorang daripada kita tidak terkecuali untuk menjaga
tanah air tercinta ini.

Setiap warganegara dari kecil hingga dewasa mempunyai peranan dan tanggungjawab begitu juga
para pemimpin masyarakat dan rakyat jelata terhadap negara ini. Bagi murid SK Taman Pelangi, dengan
adanya infrastruktur yang lengkap untuk belajar kita haruslah bersyukur dan berusaha dengan gigih utk
mencapai cita-cita. Secara tidak langsung anda juga dapat menyumbang kepada pembangunan Malaysia di
masa akan datang. Harapan saya agar anda semua mengekalkan ciri-ciri warganegara yg baik , berakhlak
mulia ,berdisiplin serta hormat menghormati antara satu sama lain apabila dewasa nanti.

Murid-murid sekalian,

Kalau kita lihat senario dunia sekarang peperangan berlaku di mana-mana, ramai anak- anak kecil
tidak berdosa mati dan tidak kurang juga yang kehilangan tempat tinggal serta kematian orang-orang yang
mereka sayang. Nasib kita di sini jauh lebih baik dan kita bebas melakukan perkara yang kita suka termasuk
pergi ke sekolah tanpa sebarang ketakutan. Oleh yang demikian bersama-samalah kita bersyukur dan berikrar
untuk hidup bersama dengan aman dan damai sesuai dengan TEMA kita pada tahun ini “Keluarga Malaysia
Teguh Bersama”. Janganlah kita lihat Malaysia ini untuk satu kaum sahaja, tetapi lihatlah Malaysia ini untuk
keluarga besar kita yang terdiri daripada pelbagai kaum. Maka, saya menyeru agar kita semua sebagai ahli
keluarga Malaysia bersama-sama menjaga negara ini dengan semangat cintakan negara yang kukuh.

Untuk menjaga negara ini bukanlah suatu perkara yang mudah sekrianya laungan MERDEKA hanya
sekadar meniti di bibir semata. Sebaliknya, kita perlulah memahami , menghayati dan menterjemahkannya
dalam kehidupan harian kita dengan lebih bermakna. Alhamdulillah, saya lihat anak-anak SK Taman Pelangi
dapat menterjemahkan kefahaman ini melalui penglibatan yang aktif dalam aktiviti yang disediakan sepanjang
Bulan Kebangsaan SK Taman Pelangi pada tahun ini. Syabas anak-anak Taman Pelangi. Saya berharap selepas
berakhirnya Bulan Kebangsaan ini, api semangat cintakan negara kita ini tidak semakin malap tetapi sentiasa
marak dari hari ke hari.

Guru-guru dan murid-murid sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah
kepada ahli-ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus menjayakan Program Majlis Penutupan Bulan
Kebangsaan Malaysia peringkat sekolah kali ini. Saya menyeru agar kita sama-sama menyemarakkan bulan
kebangsaan ini dengan mengibarkan jalur gemilang termasuk di rumah kita sendiri.  Semoga dengan cara itu
kita akan dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme kepada tanah air tercinta. Kerja sama- sama yang
ditunjukkan  dalam program ini serta program akan datang memberi kekuatan untuk kita meneruskan
perjuangan mempertahankan kemerdekaan negara Malaysia yang kita cintai.

Tanpa melengahkan masa lagi dengan lafaz Bismilahirahmannirrahim” saya dengan ini menutup
sambutan Bulan Kebangsaan Malaysia ke- 65 peringkat SK Taman Pelangi 2022 dengan serangkap pantun …

Pakcik Wak menjahit kopiah,


kopiah dijahit baldu yang utuh,
wabillahi taufik walhidayah,
wassalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai