Anda di halaman 1dari 3

NAMA MURID : SITI NOR BAYATI BINTI MOHD AZAHARI

NAMA SEKOLAH : SK BAKONG, PASIR MAS


NAMA PERTANDINGAN : BERCERITA BM SR
TAJUK : KERANA SEPASANG KASUT

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Air mu mengalir, dari gunung jauh disana,


Jernih dan sejuknya, sungguh indah dipandang mata.
Dari Kampung Jepak, hamba datang membawa cerita,
Kisah yang bermakna untuk kita hayati bersama.

Hai, apa khabar kawan-kawan? Nak dengar cerita tak? Pada hari ini, saya akan menyampaikan
sebuah cerita yang bertajuk Kerana Sepasang Kasut. Dengar dan hayati cerita ini.

“Kringggg!!!” Loceng Sekolah Kebangsaan Bakong telah pun berbunyi menandakan


sesi persekolahan sesi petang baru sahaja bermula. Kelihatan seorang budak lelaki berpakaian
lusuh memikul sebuah beg berlari dengan pantas menuju ke pintu pagar sekolah. Budak lelaki
itu telah ditahan oleh guru disiplin. Guru disiplin yang berbadan tegap dan bersuara kuat itu
bernama Cikgu Ruby. Setiap murid di sekolah itu berasa gerun apabila berhadapan dengan
Cikgu Ruby.

“Kenapa kamu datang lambat lagi hari ini Aiman?!” tanya Cikgu Ruby.

“Mmmaaaaffkan saya cikgu.” Belum sempat Aiman memberikan alasan, ‘zzzaap’ satu libasan
rotan hinggap di kakinya. “ Aduh!” Aiman mengerang kesakitan.

“Termasuk hari ini, dah lebih sepuluh hari kamu datang lewat ke sekolah Aiman! Cikgu tidak
mahu mendengar alasan kamu lagi. Pastikan esok kamu datang lebih awal. “ bentak Cikgu
Ruby dengan suara yang bagaikan halilintar itu.

Kasihan Si Aiman orangnya malang, Dibenci guru bukan kepalang,

Tiada tempat ingin berkawan, Hidup sendiri dalam kesusahan.

Selalu lewat datang ke sekolah, Lari laju sehingga lelah,

Tiada siapa ingin membantu,Seorang diri menanggung malu.


Aiman merupakan seorang murid yang datang dari sebuah keluarga miskin yang tinggal
di ceruk kampung. Dia mempunyai seorang adik perempuan bernama Farhana. Ibunya bekerja
sendiri seperti menjual sayur-sayuran yang ditanam untuk menyara hidup mereka. Ayahnya
pula sudah lama meninggal dunia. Kehidupan mereka sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi,
kais petang makan petang. Wang yang diperoleh hasil berjual cukup-cukup untuk makan dan
menghantar Aiman dan Farhana ke sekolah.

Pada suatu hari kasut yang dipakai oleh Farhana koyak teruk dan tidak boleh dipakai
lagi. Aiman berasa kasihan kepada adiknya. Tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa.
Aiman mendapat idea. Dia memberi cadangan kepada adiknya.

“Adik, adik gunalah kasut abang dulu. Biarlah abang tak pergi ke sekolah. Yang penting kamu
ke skolah,” kata Aiman kepada Farhana.

“Tidak mengapalah bang. Abang pergilah ke skolah, biar adik duduk di rumah,” kata Farhana
pula kepada Aiman.

“Baiklah, kalau begitu, kita bergilir-gilir pakai kasut ke skolah. Mula-mula, adik pakai dulu. Lepas
tu bila adik balik, abang pula yang pakai,” cadang Aiman kepada adiknya dan adiknya pun
bersetuju.

Sejak dari itu, setelah Farhana pulang dari sekolah, Aiman akan terus menyarungkan
kasutnya dan berlari sekuat hati untuk pergi ke sekolah. Oleh sebab itulah dia selalu lambat ke
sekolah dan selalu dimarahi oleh gurunya.

Pada suatu hari, Sekolah Kebangsaan Bakong hendak mengadakan pertandingan


Marathon. Hadiah pertama pertandingan itu adalah basikal. Namun Aiman tidak teruja dengan
hadiah pertama. Dia teruja dengan hadiah tempat ketiga iaitu sepasang kasut sekolah. Oleh
sebab itu, Aiman mengambil keputusan untuk menyertai acara tersebut dan dia merancang
untuk mendapat tempat ketiga supaya dia menerima sepasang kasut untuk dihadiahkan kepada
adiknya Farhana.

Kawan-kawan,

Sungguh mulia hati Aiman,ingin membantu adik sendiri dan teman-teman. Aiman seronok
masuk pertandingan, tempat ketiga menjadi pemenang. Hari pertandingan telah tiba, Aiman
berlari sekuat hatinya. Semua peserta ditinggalkannya, Aiman mendapat tempat pertama.
Aiman menangis teresak-esak kerana mendapat tempat pertama. Aiman menangis
bukan kerana gembira tetapi dia sedih kerana tidak dapat menunaikan hajatnya untuk
mendapatkan kasut untuk adiknya. Apa yang Aiman mahukan hanyalah sepasang kasut, bukan
untuk dirinya sendiri tetapi untuk adiknya. Mereka mahu bersekolah seperti biasa namun
apakan daya nasib tidak menyebelahi mereka.

Kisah Aiman ini sampai ke pengetahuan cikgu Ruby. Cikgu Ruby menitiskan airmata.
Dia menyesali perbuatannya yang terus menghukum tanpa mengetahui sebab sebenar. Sejak
dari itu, cikgu Ruby berusaha mengutip duit sumbangan untuk keluarga Aiman. Duit sumbangan
itu telah diberikan kepada keluarga Aiman untuk membeli barang-barang dapur dan barang
persekolahan. Aiman sangat berterima kasih kepada cikgu Ruby dan pihak sekolah atas
sumbangan yang diberikan. Dia sangat bersyukur kerana dia dan adiknya kini memiliki
sepasang kasut sekolah yang baru, cantik, putih dan selesa dipakai. Kelihatan airmata
berlinang membasahi pipi Aiman dan Farhana.

Kawan-kawan, begitulah kisah sepasang kasut itu tadi. Kerana sepasang kasut, seorang
abang sanggup berkorban demi adiknya. Kerana sepasang kasut, seorang abang sanggup
dimarahi dan dihukum oleh gurunya. Kerana sepasang kasut, seorang abang sanggup
menyertai pertandingan marathon untuk mendapat tempat ketiga, dan kerana sepasang kasut
juga, seorang guru telah sedar dari kesilapannya. Semoga cerita ini akan menjadi teladan dan
pengajaran kepada kita semua. Izinkan saya tinggalkan hadirin dengan madah untuk dihayati
bersama.

‘Hari ini, kita mendongak ke langit, kita mengharapkan matahari terus menyinari bumi. Tetapi
Tuhan turunkan hujan. Kita bersedih dan tertanya-tanya ke mana perginya matahari? Rupa-
rupanya Tuhan memberikan kita pelangi setelah hujan membasahi bumi. Janganlah kita mudah
putus asa. Kita usaha dan terus berusaha. Pasti kejayaan menjadi milik kita. Di penghujung
jalan pasti ada sinar harapan untuk kita.’

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai