Anda di halaman 1dari 1

Terima kasih kepada Pengerusi Majlis.

Yang Berusaha Ustaz Naziri bin Mad Isa, Pengetua SAM Tengku Ampuan Jemaah,

Yang dihormati Tuan Haji Mohd Nizam bin Idris, Guru Penolong Kanan Pentadbiran,

Yang diraikan Ustaz Zakeria bin Suboh serta isteri Puan Hajah Narimah bt. Hamzah,
Yang dihormati Puan Zuraida binti Fuad Guru Penolong Kanan Kokurikulum,

Yang Berbahagia En. Kamaruddin bin Sulaiman, Naib YDP PIBG SAMTAJ,

Yang saya kasihi guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Assalamulaikum warah matullah
hiwabarakatuh.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Yang Maha Berkuasa Allah SWT kerana
dengan limpah rahmat dan kuasanya, dapat kita bersama-sama meraikan majlis perpisahan Sekalung
Budi Seindah Kenangan yang sangat bermakna dan penuh erti pada hari ini. Selawat dan Salam
kepada Nabi Muhammad SAW Rasul penunjuk kebenaran.

Hadirin Sekalian,

Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Yang pastinya setiap perpisahan pasti amat
menyedihkan. Apabila mengenang kembali saat-saat ketika bersama, pasti ia akan menjadi detik
kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan. Hari ini, kami berasa terharu kerana kehilangan
seorang guru yang amat kami sayangi dan cintai. Pada kami, guru kami ini, iaitu Ustaz Zakeria bin
Suboh bukan sahaja guru, tetapi ibarat bapa kami di SAMTAJ ini. Lembut, tenang namun tetap tegas
dalam melaksanakan tanggungjawab. Itulah butir-butir kata yang dapat digambarkan tentang Ustaz
Zakeria bin Suboh

Beliau bukan sahaja seorang guru yang penyayang, melakukan tugas dengan hati yang tulus ikhlas,
malah mementingkan kebajikan pelajar melebihi dirinya sendiri. Beliau juga dikenali sebagai seorang
yang sangat pemurah, berhati murni dan senantiasa memberikan yang terbaik buat para pelajarnya.
Beliaulah sangat mengambil berat akan hal kami, terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan sakit
pening, demam kami.

Pada kesempatan ini, saya sebagai wakil pelajar SAMTAJ merakamkan setinggi-tinggi ucapan
penghargaan dan terima kasih kepada Ustaz Zakeria bin Suboh yang tidak pernah mengenal jemu
mendidik dan mengorbankan waktu demi kami, anak muridmu. Kami berdoa, semoga Allah S.W.T
akan melimpahkan rahmat dan peliharaan-Nya kepada Ustaz Zakeria bin Suboh serta keluarga,
dipanjangkan usia, diberikan kesihatan tubuh badan dan ditambahkan ilmu pengetahuan bagi
manfaat agama, bangsa dan negara.

Benar kata pepatah Melayu, patah kan tumbuh, hilang kan berganti, namun yang hilang akan tetap
kekal abadi.

Alangkah dinginnya menjelang senja,


Mentari terbenam di ufuk barat,
Doa kami untuk guru tercinta
Bahagia di dunia hingga ke akhirat

Saya akhiri ucapan saya dengan Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warah matullah
hiwabarakatuh. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai