Anda di halaman 1dari 2

RUMAH TERBUKA MASYARAKAT SEJAHTERA

Rumah terbuka sudah menjadi sambutan kebiasaan buat masyarakat di negara ini
terutamanya pada Hari Raya Aidilfitri. Pada hari perayaan tersebut, orang ramai akan
menghadiri rumah terbuka dan meraikan perayaan bersama-sama. Rumah terbuka bukan
sahaja untuk Hari Raya Aidilfitri malahan untuk perayaan seperti Tahun Baru Cina dan
Deepavali. Aktiviti perayaan ini dapat memberikan pelbagai manfaat kepada semua kaum
dalam memupuk perpaduan di Malaysia. Mari kita bincangkan kepentingan amalan rumah
terbuka dengan lebih mendalam.

Amalan rumah terbuka dapat mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota
masyarakat di negara kita. Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat mencapai visi negara
dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengutamakan perpaduan. Amalan
rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota masyarakat tentang pentingnya
perpaduan. Perpaduan dalam kalangan masyarakat dapat mengelakkan daripada sifat atau
sikap negatif yang mampu memecah belahkan keharmonian kaum. Setiap kaum seperti
Melayu, Cina, India, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain
tanpa sebarang kebimbangan. Kesannya, perasaan muhibah antara satu sama lain dapat
mewujudkan kehidupan yang harmoni. Tegasnya, konsep perpaduan dapat dihidupkan
melalui amalan rumah terbuka.

Selain itu, amalan rumah terbuka dapat membantu rakyat Malaysia memahami
budaya kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama tanpa mengira latar
belakang, budaya dan kaum. Amalan ini juga membolehkan kaum lain mengenali juadah
makanan kaum lain. Rakyat Malaysia juga dapat memahami adat-adat resam kaum lain.
Budaya ini akan mewujudkan semangat toleransi dalam kalangan generasi sekarang dan
generasi yang akan datang. Tuntasnya, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari
rakyat Malaysia melalui amalan murni ini.

Di samping itu, penganjuran rumah terbuka bukan sahaja tarikan rakyat Malaysia
malahan menjadi tarikan untuk pelancong luar negara. Selain daripada menikmati keindahan
di negara ini, mereka juga ingin mengalami dan menghayati sendiri keunikan dan
keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-
masing. Pengalaman pelancong luar negara yang meraikan perayaan-perayaan yang terdapat
di Malaysia akan menjadikan Malaysia sentiasa disebut selepas mereka kembali ke negara
asal mereka. Kesannya, pelancong luar negara yang lain akan ikut tertarik untuk melihat
sendiri keunikan dan keharmonian yang terdapat di Malaysia. Jelaslah bahawa konsep rumah
terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana
rakyat Malaysia yang berbilang kaum hidup di bawah payung harmoni.

Amalan rumah terbuka juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam


hubungan kekeluargaan. Amalan rumah terbuka merupakan medan pertemuan yang paling
sesuai untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Amalan ini amat
dititikberatkan agar hubungan kekeluargaan sentiasa wujud dan kukuh. Tanpa konsep rumah
terbuka, hubungan silaturahim akan terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan lesap
dalam kehidupan akan datang. Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah
mesra di samping mendapat perkembangan terkini antara satu sama lain. Ringkasnya,
hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh dan amalan rumah terbuka dapat dibudayakan.

Oleh itu, amalan rumah terbuka dapat memberikan banyak manfaat kepada
masyarakat dan negara. Amalan rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua
pihak untuk melahirkan generasi yang berguna pada masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai