Anda di halaman 1dari 7

UCAPAN Y.

B DATO’ SERI MOHAMED KHALED


NORDIN
KETUA BAHAGIAN UMNO PASIR GUDANG
MERANGKAP MENTERI PENGAJIAN TINGGI
DI MAJLIS PERASMIAN KELOMPOK PERWAKILAN
PEMUDA, WANITA & PUTERI UMNO BAHAGIAN
PASIR GUDANG
10HB OKTOBER 2008 JAM 8.30 MALAM
DI DEWAN SERBAGUNA TAMAN JOHOR JAYA

PENGARAHAN PERJUANGAN
Ucapan bersyukur kerana dapat berhimpun untuk merasmikan
mesyuarat perwakilan sayap-sayap dalam UMNO Bahagian Pasir
Gudang. Ucapan Selamat Hari Raya kepada semua. Tahniah kerana
dapat menjayakan proses ini bermula di peringkat cawangan-cawangan
hinggalah ke hari ini tanpa sebarang masalah. Tahniah kepada semua
ketua sayap di peringkat cawangan yang baru dilantik dan dipilih. Adalah
diharapkan perhimpunan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kita
semua untuk mengambil tempat dalam perjuangan tetapi dapat
memperteguhkan lagi kedudukan UMNO sebagai parti yang menjadi
wadah kita dan UMNO akan dapat terus diwarisi oleh generasi
kemudian daripada kita.

2. Kepada Pergerakan Wanita, UMNO Bahagian menganggap ia


sebagai faktor kestabilan dan sumber kekuatan parti. Wanita sentiasa
setia bersama parti dan kepimpinan dan tidak pernah memberi masalah.
Sentiasa bersedia memikul tanggungjawab dan menyahut apa saja
keperluan dan tuntutan parti. Kita dapat lihat bagaimana wanita
memenuhi kuorum mesyuarat dan wanita bertenaga menggerakkan
jentera pilihanraya. Dalam bertanding pun dilakukan dengan penuh
tertib, tidak riuh rendah seperti dilanda ribut taufan. Bagi pergerakan
Pemuda pula, sebagai pewaris perjuangan dan benteng kepada parti
perlu mewajarkan kehadiran mereka untuk terus mendapat dan tidak
mensia-siakan pengiktirafan tersebut. Sebagai aset parti, mereka perlu
menjadi penggerak dan golongan aktivis dalam parti, mampu menjadi
pergerakan yang boleh diharapkan dalam perjuangan. Mampu menjadi
tempat sandaran Bahagian dalam menghadapi pelbagai cabaran.
Memang sudah menjadi resmi golongan yang muda lagi bertenaga,
apatah lagi dalam masa cabar mencabar antara satu dengan yang lain,
perang mereka ibarat diiringi dengan gendang. Bagi Pergerakan Puteri,
masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memantapkan peranan
dan mengambil tempat dalam perjuangan. Walaupun masih baru dan
kecil, tetapi itu bukanlah alasan untuk tidak berperanan dan untuk tidak
menjadi kuat. Sebagai pergerakan yang baru, sudah tentu boleh
mendapat tunjuk ajar dan panduan daripada yang terdahulu supaya
dapat dibangun dan dimajukan Pergerakan Puteri supaya setanding
dalam perjuangan dengan Pergerakan Wanita dan Pemuda. Janganlan
di peringkat kecil lagi sudah berpecah dan bercelaru sehingga
menjejaskan hormat kawan dan lawan. Pergerakan Puteri perlu bangun
membuktikan kehebatan mereka supaya tidak terus diperlekehkan oleh
mana-mana pihak.

3. Oleh itu, UMNO Bahagian melihat mesyuarat perwakilan untuk


ketiga-tiga sayap ini amat penting bukan sahaja sebagai memenuhi
tuntutan demokrasi dalam perlembagaan parti tetapi lebih sebagai
usaha untuk memantap dan memperkasakan perjuangan UMNO. Lebih-
lebih lagi perwakilan ini dibuat selepas kita baru selesai melalui
pilihanraya umum yang ke-12 untuk negara kita. Dalam saya, bagi pihak
UMNO Bahagian ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada
sayap-sayap kerana telah bersama-sama menjayakan pilihanraya
umum yang lepas, saya juga ingin mengejut dan menyedarkan saudara-
saudari sekalian supaya bersama merenung samaada kita mampu
menebus kekalahan parti kita di beberapa negeri atau kita akan
menerima kekalahan yang lebih besar, hilang kuasa di peringkat
persekutuan dan seterusnya parti UMNO kita hilang di tanahair Melayu
ini semasa kita menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 akan datang.

4. Kesan langsung daripada hasil pilihanraya yang lepas ialah


terhakisnya kuasa politik Melayu. Politik adalah benteng terakhir yang
dikuasai orang Melayu. Melalui kuasa politik, kita meluaskan perjuangan
dalam bidang lain. Jika kita tidak pertahankan, kita tidak akan
meningkatkan kedudukan dan martabat Melayu. Kegagalan kita juga
bermakna orang bukan Melayu mempunyai peranan yang besar dalam
menentukan nasib orang Melayu kini dan akan datang. Saya percaya
kita semua tidak mahu parti UMNO kita hilang kuasa kerana itu akan
menyebabkan politik Melayu terhina, ekonomi tercicir, budaya lenyap,
bahasa mundur dan pendidikan terabai. Oleh itu kita ada 4 tahun untuk
membuat persediaan dan pemilihan hari ini khususnya yang akan dilalui
oleh ketiga-tiga sayap adalah antara langkah awalan persiapan parti
kita.

5. Atas sebab itu saya berharap, pemilihan hari ini bukan sekadar
untuk melaksanakan amalan demokrasi seperti yang dituntut dalam
perlembagan UMNO, tetapi satu kesempatan untuk melahirkan
kepimpinan yang kuat, tegap dan teguh. Adalah diharapkan, melalui
kepimpinan yang akan lahir, maka dapat disegarkan semula UMNO,
membina kekuatan baru dan meneguhkan kekuatan sedia ada. Justeru
saya berharap agar proses ini, yang kemuncaknya adalah hari esok,
dapat dilalui dengan penuh matang, rasional dan bertanggungjawab,
selari dengan usia parti kita yang sudah berumur 62 tahun.

6. Saya berharap saudara saudari sudah pun dapat mengesan


kesedaran politik setiap calon yang bertungkus lumus menawarkan diri
bertanding, adakah kerana mahukan kedudukan atau meneruskan
perjuangan suci UMNO. Jika ianya kerana perjuangan, saya percaya
penilaian telah pun dibuat terhadap setiap formula dan rancangan
mereka masing-masing untuk mengukuh dan menguatkan parti, agar
memastikan parti terus berjaya pada setiap masa. Saya percaya
sepanjang musim kempen, setiap calon sudah pun mengariskan dengan
jelas kefahaman, matlamat, pendekatan, amalan dan kaedah ia hendak
memimpin saudara saudari dan ke arah mana hendak di bawa UMNO
ini. Setiap daripada mereka dapat tunjukkan apa perbezaan dan
kelainan yang akan mereka amalkan jika berpeluang menjadi pemimpin.

7. Dan saya yakin saudara saudari bukan golongan buta dan tuli
dalam membuat pilihan tanpa mempedulikan semua ini. Saya tidak fikir
saudara saudari anggap melahirkan pemimpin seperti buat rumah,
kalau tak suka boleh robohkan atau pindah. Saya juga tidak fikir saudara
saudari ahli UMNO yang hebat-hebat belaka di Pasir Gudang ini
menganggap pemimpin boleh dilahirkan semata-mata dengan
mendewa-dewakannya. Kita semua inilah yang melahirkan pemimpin.
Maka dengan itu pilihlah yang terbaik di kalangan yang menawarkan diri
ini untuk menjadi ketua dan memimpin saudara saudari sekalian,
dengan tidak berasaskan kepada kepentingan yang sempit mahupun
berasaskan kepada amalan berpuak atau fanatik, atau berasaskan
kepada nafsu yang berbentuk peribadi mahupun perjuangan untuk diri
sendiri. Jangan mempersiakan tanggungjawab kita ini kerana jika kita
tersalah pilih, bukan sahaja musibah yang menimpa kita semua tapi parti
UMNO ini juga yang akan menerima kesannya.

8. UMNO Bahagian berharap, setelah selesai perwakilan ini, usaha


dan tumpuan pertama ialah kita dapat menyatupadukan semua. Seruan
ini dibuat kerana didapati ada yang mengamalkan sifat permusuhan
dalam proses penawaran diri ini yang membenihkan perpecahan. Ada
golongan yang ’desperado’, yang terdesak cuba rosakkan segala usaha
dan kekuatan parti dengan membuat fitnah dan tohmahan. Kekecewaan
yang lahir daripada sesuatu isu atau sesuatu perkara yang gagal
didapati daripada kepimpinan bahagian di kipas untuk melahirkan sikap
marah dan benci oleh ahli kepada kepimpinan. Mereka berkempen
menggunakan nafsu dan perasaan iri hati serta benci sebagai alat
menjayakan matlamat mereka. Mereka berbuat demikian kerana kesan
perasaan ini adalah lebih kuat dan lebih mudah menjayakan gerakan
atau kempen mereka. Maka direkalah pelbagai cerita, maklumat diputar
belit dan kekuatan dan tenaga dihala kepada usaha menghasut, tak kira
puasa tak puasa.

9. Saya rasa sudah cukuplah kita berpolitik secara begini, kita berada
dalam zaman maklumat, zaman orang lebih berilmu dan
berpengetahuan, dan parti kita menghadapi tentangan yang kuat dan
hebat dari luar. Kita mesti bersihkan gelanggang kita daripada orang
seperti ini. Jangan jadikan orang seperti ini menguasai kewarasan kita
dan kita jangan terikut-ikut dengan orang seperti ini, yang cuba
mempengaruhi kita dengan kepentingan sempit dan pandangan
melampau mereka. Sebaliknya, bersama-samalah kita membangun,
mempertahan dan memelihara perpaduan di setiap peringkat parti
UMNO kita. Kerja membina perpaduan ini bukan satu kerja bermusim
sebaliknya perlu dijayakan oleh parti dan kepimpinan kita pada setiap
masa. Perpaduan yang hendak dilahirkan ini bukan terhad kepada
perpaduan dalaman setiap sayap masing-masing, tetapi perpaduan
yang lebih besar iaitu antara sayap dengan sayap, sayap dengan
bahagian dan sebagainya. Jadikanlah perpaduan, muafakat dan
musyawarah sebagai perhiasan dan pakaian setiap pejuang UMNO
dalam bahagian Pasir Gudang ini.
10. Sudah menjadi adat dalam pertandingan, ada kalah ada menang.
Yang penting kita terima keputusan itu. Yang menang mesti dihormati
dan dibenarkan menjalankan amanah dan mandat yang telah diperolehi.
Yang kalah jangan di pinggirkan kerana parti UMNO ini akan terus
menjadi kecil jika di kesampingkan golongan yang kalah. Atas sebab itu,
ujian dan cabaran yang pertama kepada kepimpinan yang berjaya ialah
untuk membawa perpaduan. Ukuran hebat kepimpinan ialah boleh atau
tidak menyatu padukan semua. Ini penting kerana perpaduan asas dan
sumber kekuatan. Ingatlah, perpaduan itu adalah senjata yang terkuat
untuk parti kita dan orang Melayu, maka peliharalah ia baik-baik.

11. Perkara kedua yang perlu menjadi tumpuan kepimpinan yang


berjaya melalui perwakilan ini ialah menunaikan segala tanggungjawab
dan amanah yang lahir daripada kedudukan yang diberi oleh anggota.
Peranan dan matlamat kita yang berjaya tidak berakhir dengan
kemenangan. Malah peranan dan matlamat bermula sebaik saja
menang dalam pemilihan esok. Perlu kita sedari bahawa persaingan
dalam parti bermusim, iaitu dikala adanya agenda pemilihan parti tetapi
persaingan diluar parti berlaku pada setiap masa samaada kita suka
atau pun tidak. Mampukah dan bolehkah kita bergerak setiap masa
seperti kehebatan yang saudara saudari tunjukkan semasa di dalam
kempen sekarang? Bergerak dan bersaing dengan parti lawan dengan
sepenuh kekuatan dan kehebatan pada setiap masa untuk melahirkan
kefahaman dan menarik sokongan rakyat dan masyarakat terhadap parti
UMNO kita. Atau kita ini hanya jaguh kampung, jaguh yang hebat
dikampong halaman sendiri sahaja. Atas sebab itu hendaklah kita insafi,
menjadi pemimpin bukan kerja mudah, bukan keistemewaan, tapi satu
bebanan amanah yang perlu dipikul dengan penuh komitmen dan
tanggungjawab.

12. Tanggungjawab sebagai pemimpin antaranya ialah dengan


menunjukkan contoh teladan kepada ahli, memberi tunjuk ajar dan
panduan. Maka itu cakap kita mestilah serupa bikin, dan perbuatan kita
hendaklah dijaga. Kita mesti jelas apakah misi UMNO dan berusaha
membangunkan kemampuan dan keupayaan untuk menterjemah dan
menjayakannya. Pendek kata kita mesti bangunkan dan hidupkan parti
kita. Usaha berterusan mesti dilakukan untuk menambah keahlian,
keahlian yang merata, terdapatnya gabungan cerdik pandai dan
bertenaga, golongan tua dan muda. Kita mesti sedaya upaya
merealisasikan UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO. Dalam
keadaan sedemikian maka kita tidak berhak, untuk menahan sesiapa
daripada ingin menyertai UMNO.

13. Kehadiran UMNO dan kehadiran saudara saudari sebagai


pemimpin mesti dirasai, bergerak ikut peredaran masa kerana UMNO
bukan parti pinggiran yang tidak berperanan. UMNO wujud di tengah-
tengah masyarakat Melayu, menjadi induk, teras dan paksi masyarakat.
Sudah tentulah ini bergantung kepada usaha kita untuk membina
hubungan rapat antara UMNO dengan masyarakat supaya perkara ini
menjadi kenyataan. Apabila ini berlaku maka dengan sendirinya
pemimpin UMNO akan diterima sebagai pemimpin masyarakat.
Pengiktirafan itu diberikan adalah kerana khidmatnya yang disalur ke
arah usaha-usaha yang berguna kepada masyarakat. Dan pengiktirafan
ini tidak berlaku kerana dipaksa atau terpaksa. Janganlah apabila kita
memimpin, kita bukan sahaja membuat UMNO menjadi kaku dan tidak
berperanan kerana tiada pengisian yang berfaedah untuk ahli dan
masyarakat tetapi mesyuarat pun langsung kita tidak pernah buat.
Haruslah di sedari, ketiadaan mesyuarat bermakna tidak ada
musyawarah dan tanggungjawab bersama, ’collective responsibility’
yang menyumbang kepada perpaduan dan kestabilan institusi yang kita
pimpin. Dalam keadaan sedemikian, kita sebenarnya pemimpin yang
lemah, kesannya tidak ada sesiapa yang akan menghormati kita. Bila itu
berlaku, jangan kita cuba hendak menyalahkan sesiapa, sebenarnya kita
tidak bersedia menjadi pemimpin.

14. Agar UMNO terus kuat dan kukuh, ia perlu dimajukan melalui
amalan nilai dan budaya yang positif. Ia termasuk nilai etika, moral dan
kerohanian yang merupakan nilai-nilai keperibadian yang tinggi
disamping nilai-nilai yang mampu membawa kejayaan kepada UMNO
seperti semangat sepasukan, kesukarelaan, mengutamakan
kepentingan ramai dengan mengenepikan kepentingan peribadi,
keikhlasan dan pengorbanan. Adalah menjadi tanggungjawab saudara
saudari sebagai pemimpin untuk menyemarakkan nilai-nilai murni ini.
Pengamalan nilai ini juga akan meningkatkan kemampuan serta
keupayaan kita dalam melaksanakan tanggungjawab. Ini membolehkan
kita juga menjadi penyedar dan penyebar fikiran dan nilai yang baik
untuk kepentingan Melayu dan umat islam di negara ini.
15. Tidak ada formula ajaib selain dari kerja kuat dan komited kepada
tanggungjawab kita. Jangan jadikan kedudukan sebagai alat mencapai
matlamat selain daripada majukan UMNO dan melaksanakan
tanggungjawab kita. Buktikan kita benar-benar sayang kepada UMNO
dan perasaan sayang itu kita bangunkan dikalangan ahli-ahli supaya
mereka menjiwai perjuangan UMNO secara berterusan, supaya mereka
tidak bosan, supaya mereka terus tekun dan ghairah mahu tentukan
UMNO terus kuat. Marilah kita sama-sama tentukan UMNO terus kekal
sebagai sebuah parti perjuangan, dan perjuangan melalui UMNO inilah
yang hendak kita wariskan. Jika UMNO tiada perjuangan, maka ia bukan
sahaja tak akan capai kejayaan, tetapi UMNO juga tak akan berani
hadapi cabaran. Dan samaada UMNO parti perjuangan atau tidak,
terletak kepada kita semua yang ada di sini hari ini.

16. UMNO Bahagian yakin inilah asas pertimbangan saudara saudari


semua dalam menghadapi perwakilan kali ini. UMNO sedang sakit dan
tenat, ia perlukan rawatan yang tepat. Ini bukan masa untuk beretorik,
mengadu domba, hasad dengki, fitnah dan sebagainya. Pilihlah yang
terbaik, UMNO Bahagian menunggu untuk bekerjasama dengan semua
sayap untuk melahirkan benteng menghadapi pelbagai rintangan dan
cabaran dari luar sekali gus mempertahankan kedudukan UMNO.

17. Oleh itu, saya berdoa mudah-mudahan, perwakilan sayap-sayap


UMNO dalam bahagian Pasir Gudang yang diadakan pada tahun ini
dapat melahirkan barisan kepimpinan masing-masing yang bertenaga,
mempunyai kekuatan untuk bertindak, berani, bersemangat dan memiliki
daya juang yang tinggi. Sebagai pemimpin kepada pergerakan masing-
masing, mereka juga dapat mengupayakan barisan dan ahli-ahli mereka
mengenai kefahaman dan kesedaran terhadap visi dan tujuan UMNO,
membangunkan nilai yang mendasari pergerakan, penuh komitmen,
mempunyai kesungguhan politik (’political will’), sentiasa bersepadu dan
bersepakat, dan tidak pernah mengabaikan perjuangan dan
tanggungjawab. Marilah kita bersama-sama, memperkukuhkan
kedudukan dan kekuatan UMNO kita, marilah kita bersama2
mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap UMNO kita. Selamat
bersidang dan selamat berjuang untuk bangsa, agama dan negara.

Anda mungkin juga menyukai