Anda di halaman 1dari 2

Bahana Hedonisme

Oleh Radhi

Remaja saat ini masih banyak yang terpengaruh gaya hidup liberal dan hedonis. Ini menjauhkan dan mengeluarkan mereka dari gaya hidup yang beradab, iaitu dari hukum Allah yang menciptakan manusia. Remaja sekarang ini tergilas dengan arus hedonisme dan sulit untuk keluar dari keadaan itu. Atas nama kebebasan, ramai remaja terjebak dalam pergaulan bebas, narkoba, aborsi, dan silau dengan gemerlapnya demokrasi liberalisme. Remaja sebagai generasi penerus bangsa harus diselamatkan. Kamus Dewan mendefinisikan hedonisme sebagai pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan kesenangan hidup. Wikipedia mentakrifkan hedonism sebagai pegangan hidup yang menganggap bahawa kesenangan dan kenikmatan kebendaan adalah tujuan utama hidup. Hedonisme yang berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud kesenangan (pleasure) ialah suatu pola pemikiran dan budaya hidup yang terlalu sukakan kepada aktiviti hiburan dan keseronokan semata-mata. Berdasarkan definisi-definisi ini dapatlah dirumuskan yang hedonisme adalah satu pegangan hidup yang mementingkan kesenangan hidup, hiburan dan keseronokan semata-mata. Dan diantara umat manusia ada yang beriman, dan ada yang kafir kepadanya. Dia-lah yang menciptakan kamu maka di antara kamu ada yang kafir dan di antaramu ada yang mukmin. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Budaya hedonisme sudah sebati dalam kehidupan kita terutamanya remaja. Kita dapat lihat remaja begitu teruja dengan kehadiran program realiti menyanyi seperti Akademi Fantasia, Mentor, One In A Milion dan sebagainya. Yang amat membimbangkan apabila kanak-kanak mula mengikuti langkah abang dan kakakkakaknya yang suka berhibur. Maka lahirlah Idola Kecil dan Kamilah Bintang. Usaha serangan pemikiran atau ghazwatul fikr ini telah diingatkan kepada umat Islam supaya berwaspada dengan permainan musuh Islam. Firman Allah SWT Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka) (Surah An-Nisa, 4:89). Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan umat Islam agar berwaspada dengan musuh Islam agar tidak mengikuti mereka dengan meniru cara budaya orang kafir. Tidak cukup dengan program realiti nyanyian, di Malaysia begitu banyak konsert-konsert sama ada secara percuma atau berbayar. Tidak cukup artis Malaysia menyanyi, kita panggil pula artis-artis luar Negara untuk membuat konsert di Malaysia. Kebanyakan yang pergi ke konsert ini adalah remaja. Lebih malang lagi program-program sebegini mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat korporat, termasuk syarikat korporat yang diterajui oleh orang Islam. Rancangan-rancangan yang bersifat ilmiah dan bersandarkan ilmu tidak mendapat sambutan dan penajaan serta di anggap merugikan.

Apabila program-program hiburan dilambakkan, banyaknya kesan kepada minda masyarakat terbentuk dengan hiburan. Remaja lebih ghairah dan bersemangat untuk berbicara tentang gosip sensasi para artis, filem-filem terbaru di pawagam, lagu-lagu yang sedang popular dan pelbagai topik lain yang semuanya berkaitan dengan hiburan. Adakah remaja begini yang diharapkan menjadi barisan pelapis untuk menerajui dan mencorak pembangunan ummah,Negara dan Islam? Jelas sekali budaya Hedonisme bertentangan dengan akidah umat Islam. Hal ini kerana budaya Hedonisme mementingkan kebebasan fikiran sedangkan Aqidah Islam meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai paksi pemikiran. Firman Allah swt yang bermaksud: Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakah kamu mahu berfikir? (Al-Anam: 32). Firman Allah dalam kitab suci Al-Quran yang bermaksud: Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya. (Ali Imran: 185). Firman Allah yang bermaksud: Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).(Al-Qiamah: 20-21). Kesimpulan: Tidak salah untuk berhibur, berhiburlah selagi tidak melalaikan dan melanggari batas syariat. Islam sudah lama menyediakan jalan hiburan yang sesuai. Iaitu hiburan yang selaras dengan tuntutan agama dan bukannya menurut hawa nafsu dan melampaui batas. Justeru, cara terbaik bagi mengubati penyakit Hedonisme ini adalah mengubah dan berubah dengan mentarbiyah diri sendiri, ahli-ahli keluarga, sahabat-sahabat, masyarakat dan Negara supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Berubahlah dari kejahilan kepada ilmu dan berpengetahuan. Semoga kerisauan kita ini menyedarkan dan menyuntik kembali anak-anak muda kita supaya cintakan ilmu, kebenaran dan kebaikan.

Sumber : http://kearah.haluan.org.my/v2/bahana-hedonisme/

Anda mungkin juga menyukai