Anda di halaman 1dari 11

PMI (plus, minus, interesting) TEORI BEHAVIORIS

NANTHINI A/P SINNATHAMBY

PLUS
Teori ini sangat sesuai untuk melatih atau mendidik kanak-kanak yang masih memerlukan bantuan daripada orang dewasa di sekeliling mereka. Sebagai contoh kanak-kanak tadika memerlukan bimbingan dan perhatian yang khusus daripada orang di persekitarannya terutamanya guru-guru mereka kerana mereka mudah mengikuti apa yang diajar dan disuruh selain suka meniru perlakuan orang di sekelilingnya. Mereka juga suka dengan bentuk-bentuk penghargaan yang diberi kepadanya seperti pujian dan melalui bentuk penghargaan tersebut ianya dapat membangkitkan semangat ingin belajar dalam diri mereka.

Kelebihan seterusnya, guru tidak perlu mengambil masa yang lama untuk memberi penerangan yang panjang tentang pembelajaran kepada murid-murid. Hal ini kerana murid-murid akan dibiasakan belajar dengan sendiri kecuali sekiranya murid menghadapi sesuatu masalah dan memerlukan penjelasan yang lebih daripada guru. Dalam hal ini guru perlu memberikan penerangan dengan jelas.

Selain daripada itu, teori ini juga menekankan kemahiran lisan berbanding kemahiran membaca dan menulis. Melalui aspek kemahiran lisan yang ditekankan dapat memberikan kelebihan kepada murid kerana aspek lisan iaitu mendengar dan bertutur penting dalam situasi harian murid. Boleh dikatakan bahawa kemahiran ini adalah kemahiran terkerap yang digunakan manusia untuk berkomunikasi antara satu sama lain.

MINUS
Dari segi kelemahan pula, penerapan teori behavioris yang kurang tepat dalam sesuatu situasi pembelajaran boleh mangakibatkan berlakunya proses pembelajaran yang tidak kondusif bagi murid-murid kerana pembelajaran berlaku dalam keadaan sehala dimana ianya berpusatkan kepada guru sahaja. Guru hanya mengajar dan melatih murid manakala murid hanya menerima apa yang diajar oleh guru mereka tanpa memberi sebarang maklum balas. Malah dalam teori pembelajaran ini murid berperanan sebagai pendengar dan mereka menghafal apa yang didengar dan dipandang sebagai cara belajar yang efektif. Penggunaan hukuman merupakan salah satu cara untuk guru mendisiplinkan murid dan hal ini akan mendatangkan akibat buruk kepada murid.

Selain itu, proses pembelajaran dikatakan kurang memberikan gerak balas yang bebas bagi pelajar untuk berinteraksi serta untuk mengembangkan idea. Hal ini kerana sistem pembelajaran tersebut lebih tertumpu kepada rangsangan dan gerak balas yang ditunjukkan. Sekiranya tiada rangsangan maka tindak balas tidak akan berlaku. Sebagai contoh, guru akan memberi rangsangan yang berupa hadiah dan dari situ barulah murid akan memberikan jawapan yang dikehendaki oleh guru. Sekiranya perkara ini berlaku secara berterusan dikhuatiri murid akan terlalu bergantung terhadap rangsangan dari luar sedangkan murid harus memiliki rangsangan dari dalam diri mereka sendiri sebagai satu cara pembelajaran.

Kelemahan yang ketiga menurut teori ini adalah penambahan ilmu pengetahuan lebih tertumpu kepada buku teks. Hal ini kerana mereka belajar mengikut urutan kurikulum yang sangat ketat sehinggakan buku teks merupakan buku wajib dalam pembelajaran mereka malah mereka juga perlu dikehendaki memahami dan mempersembahkan kembali isi pembelajaran di dalam buku teks tersebut dengan baik. Hal ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada pelajar kerana ilmu pengetahuan yang mereka peroleh tidak begitu berkembangan dengan hanya tertumpu kepada satu buah buku sahaja.

INTERESTING
Pembelajaran individu dipengaruhi oleh sejauh mana baiknya sistem saraf seseorang. S ekiranya seseorang individu baik sistem sarafnya maka mudah untuk mereka menguasai gerak balas tertentu melalui rangsangan terlazim dan rangsangan tidak terlazim. Namun sekiranya seseorang itu mempunyai masalah dalam sistem sarafnya maka individu tersebut akan memperoleh kesukaran di dalam pembelajarannya. Teori ini terlalu menekankan aspek ganjaran yang perlu diberikan guru kepada murid sekiranya murid dapat melakukan sesuatu perkara dengan baik. Hal ini dapat menjadikan murid melakukan sesuatu bukan atas dasar ingin memperbaiki pencapaian dan menambah pengetahuan, sebaliknya disebabkan oleh ganjaran semata-mata.

Guru adalah model bagi murid dalam berbahasa. Guru perlulah menggunakan bahasa yang betul daripada segenap aspek seperti aspek sebutan, nada, jeda dan intonasi semasa proses pengajaran dan pembelajaran bagi memudahkan murid mempelajari bahasa dengan betul dan berkesan. Sekiranya guru dapat mengambil peluang ini iaitu peluang menggunakan bahasa dengan baik semasa pengajaran dan pembelajaran,murid secara sendirinya akan terbiasa dengan cara berbahasa yang betul. Selain itu, guru perlulah mengamalkan pengajaran yang seimbang iaitu dengan mengurangkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berpusatkan guru tetapi sebaliknya lebih banyak mempraktikkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid dan aktiviti. Melalui teknik ini, murid akan dapat mengembangkan idea dan pendapat mereka. Murid juga akan mempunyai tahap keyakinan yang lebih tinggi.

Teori ini juga sangat mementingkan latih tubi yang intensif. Melalui latih tubi yang kerap dan intensif yang dijalankan oleh murid terhadap murid, kebiasaan dan kecekapan murid dalam berbahasa dapat dipertingkatkan. Selain itu juga, berdasarkan teori ini murid akan berasa termotivasi melalui ransangan yang diberikan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila murid melakukan perkara yang betul dan baik, guru digalakkan untuk memberikan ganjaran dan pujian atas pencapaian atau tingkahlaku murid. Perkara-perkara ini secara tidak langsung dapat menaikkan semangat dan motivasi murid untuk terus belajar.

Anda mungkin juga menyukai