Anda di halaman 1dari 2

Nabi Yunus dan ikan paus.

Bertahun-tahun lamanya Nabi Yunus a.s menyeru kaumnya agar menyembah Allah s.w.t..
Tetapi, tidak ada seorang pun yang mempedulikan seruannya itu. Sebaliknya, kaumnya
itu terus menyembah berhala bagi meneruskan tradisi nenek moyang mereka. Sebagai
manusia biasa, kesabaran Nabi Yunus ada batasnya. Baginda berasa amat marah dengan
sikap tidak ambil peduli kaumnya itu dan memutuskan untuk meninggalkan negeri
tersebut.
Sebelum meninggalkan kampong halamannya, Nabi Yunus a.s. sempat
menyampaikan peringatan terakhir kepada kaumnya. Dengan perasaan sedih,kecewa dan
putus asa, baginda mengingatkan tentang balasan Allah yang akan menimpa kaumnya
nanti.
Nabi Yunus a.s. membawa diri sehinggalah baginda tiba di sebuah pelabuhan dan
menumpang sebuah kapal yang sedang bersiap sedia hendak belayar. Malangnya, kapal
yang baginda tumpangi itu sarat dengan penumpang dan barang-barang. Setibanya di
tengah lautan, laut bergelora. Kapal itu hilang keseimbangan. Lalu, terumbang-ambing
dilambung ombak yang ganas.
Untuk menyelamatkan kapal dan juga para penumpangnya, nakhoda kapal terpaksa
membuat keputusan untuk mengurangkan muatan kapal tersebut. Maka, beliau pun
mengarahkan agar kesemua muatan barang-barang dibuang ke dalam laut.
Akan tetapi, walaupun kesemua barang telah dibuang, namun kapal masih juga
tidak seimbang. Sekali lagi nakhoda terpaksa mencari jalan untuk menyelamatkan kapal
itu. Dengan hati yang amat berat, beliau membuat undi untuk membuang sebahagian
penumpang ke dalam laut.
Takdir Allah s.w.t. telah menentukan segalanya. Nabi Yunus a.s. termasuk dalam
senarai orang-orang yang akan dicampak ke laut. Pada masa itu barulah Nabi Yunus sedar
bahawa Allah sebenarnya telah murka kepada baginda, akibat perbuatan baginda
meninggalkan kaum dan negerinya. Maka dengan hati yang pasrah Nabi Yunus menerima
keputusan nakhoda itu. Semasa Nabi Yunus hendak dicampak ke dalam laut, Allah telah
memerintahkan seekor ikan paus yang besar agar menelan tubuh Nabi Yunus.
Nabi Yunus a.s. terselamat didalam perut kan paus yang sangat gelap. Dalam
keadaan sedemikian itu, tidak ada apa yang boleh dilakukannya kecuali menyesali atas
segala perbuatannya. Setiap masa baginda memohon keampunan daripada Allah s.w.t.
sambil mengulang-ulangi doa berikut sepanjang masa;
“Tiada Tuhan melainkan Engkau (Ya Allah), Maha Suci Engkau, sesungguhnya
adalah aku dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri).”
Allah yang Maha Pengampun mendengar doa Nabi Yunus itu. Lalu, Allah
mengeluarkan baginda dari dalam perut ikan paus. Baginda didamparkan oleh ikan paus
ke sebuah pulau. Keadaan baginda pada masa itu sangat lemah. Maka Allah s.w.t.
menumbuhkan sejenis tumbuhan di pantai pulau itu untuk memulihkan kekuatan baginda
sehingga kembali sihat seperti sedia kala.
Setelah itu, Allah s.w.t. memerintah agar Nabi Yunus berdakwah ke negeri yang
penduduknya hampir seratus ribu orang. Mereka semua menerima dakwah Nabi Yunus
dengan hati yang terbuka dan beriman kepada ajaran tauhid yang dibawa oleh baginda.

Anda mungkin juga menyukai