Anda di halaman 1dari 3

Minda: Pendidikan sejarah pengukuh patriotisme

31 0 Google +1 0 3

Cetak

Oleh Dr Aminudin Mansor JIKA diteliti dan difahami pendidikan sejarah bertujuan memupuk dan memperkukuh semangat setia negara dan jati diri sebagai warga negara Malaysia dan warga dunia. Melalui pengetahuan dan pengajaran sejarah serta penghayatan sejarah tanah air dan sejarah luar yang berkaitan, pelajar dapat memahami keadaan masyarakat dan negara serta hubungannya dengan sejarah dunia. Selanjutnya, usaha ini untuk mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan bangsa dan negara Malaysia. Jika selama ini semangat itu telah disemai, dipupuk dan dibaja ia seharusnya diperkukuhkan lagi bagi menghadapi era globalisasi yang semakin mencabar. Sejarah juga dapat mewujudkan ingatan bersama terhadap peristiwa sejarah sebagai rangka rujukan kesedaran kebangsaan dan persefahaman. Sejarah mengajar kita supaya tidak mengulangi kesalahan dan kelemahan yang menjadikan sesebuah negara itu mudah dijajah pemikiran, budaya dan negaranya. Oleh itu, sewajarnya langkah kerajaan memperkenalkan semula mata pelajaran di peringkat sekolah rendah dan mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat penting dalam kelulusan peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia (SPM). Langkah ini bukan saja menjadikan mata pelajaran Sejarah akan dipelajari dengan bersungguh-sungguh malah akan difahami dan dihayati secara mendalam. Sebenarnya, mata pelajaran Sejarah dapat memupuk jati diri, akal budi, semangat cintakan tanah air yang mendalam kepada setiap pelajar. Ia juga mempunyai kaitan dengan prinsip kedua dan ketiga dalam Rukun Negara iaitu melalui pelajaran Sejarah akan dapat memupuk kesetiaan kepada raja dan negara serta memahami keluhuran perlembagaan. Kesetiaan kepada negara adalah jiwa kebangsaan kita. Melalui semangat kesetiaan dari sanubari seseorang itu akan lahir rasa setia kepada raja dan tanah airnya yang sekali gus mampu menyatukan kita semua daripada pelbagai rumpun menjadi satu bangsa bersatu padu. Melalui pelajaran Sejarah juga seseorang itu akan memahami keluhuran perlembagaan negara yang memberi perlindungan kepada setiap anggota masyarakat di negara ini dari segi melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warga negara. Selain itu, dapat memahami bagaimana negara ini mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Perlembagaan juga meletakkan rasa tanggungjawab dan kewajipan warga negara yang mendukungnya. Sejajar dengan itu, setiap warga negara harus menghormati, menghargai serta

memahami maksud dan kandungan serta latar belakang penggubalannya bagi memastikan Malaysia terus aman, makmur dan maju dalam segenap bidang. Oleh sebab perlembagaan negara digubal berasaskan kesepakatan semua kaum di negara ini, maka ia merupakan kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat mana-mana pihak. Perlembagaan negara juga adalah sumber rujukan kepada semua perkara berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio ekonomi rakyat Malaysia. Mereka yang tidak memahami sejarah saja akan mempertikaikannya. Begitulah pentingnya mata pelajaran Sejarah di sekolah dapat mendidik, memberi kefahaman dan pengetahuan kepada rakyatnya apabila dewasa. Dasar Pendidikan Kebangsaan telah terbukti dapat melahirkan masyarakat bersatu padu sehingga ke hari ini. Melalui pendidikan juga dapat menyemai semangat patriotisme iaitu perasaan cinta terhadap tanah air yang dapat dididik dan diterapkan dalam hati dan jiwa pelajar. Perasaan ini perlu wujud dalam hati setiap individu rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Sehubungan itu, semangat patriotik dapat membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Melalui pendidikan, berdasarkan pengetahuan dan pemahaman aspek-aspek sejarah negara, pelajar dibimbing untuk menganalisis peristiwa dan menilai fakta sejarah secara rasional. Daripada pemahaman dan penghayatan sejarah negara, pelajar dapat membina kekuatan dalam diri dengan semangat cintakan negara. Mereka akan memberikan perkhidmatan dan bertugas di negara ini atas rasa cinta kepada negara yang tidak berbelah bagi. Setiap rakyat Malaysia disarankan berusaha ke arah menjadikan negara maju mengikut acuan kita sendiri. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu mempunyai pengetahuan mengenai sejarah dunia luar supaya berkemampuan untuk bersaing dengan mereka. Dalam era globalisasi, persaingan tidak dapat dielakkan kerana kuasa politik dan ekonomi dikuasai orang yang berilmu dan bermaklumat. Adalah penting pendidikan Sejarah memperkenalkan pelajar kepada dunia luar menerusi kurikulum futuristik yang turut menekankan kepada pendidikan bertaraf dunia yang berkait rapat dengan teknologi maklumat dan komunikasi. Semangat daya tahan perlu disuburkan di jiwa pelajar. Menerusi kemahiran pembelajaran, pemahaman dan pemikiran sejarah berupaya menyediakan individu pelajar dalam mempelajari sesuatu yang baru, memahaminya dengan mendalam, dan memilih maklumat yang penting dan relevan.

Pendidikan Sejarah juga sebagai satu disiplin ilmu yang dinamik, dilakukan melalui pendekatan pembelajaran yang melibatkan pelajar secara aktif dan berterusan. Sehubungan itu, sejarah sebagai satu cabang ilmu perlu ditekankan sebagai ilmu yang praktikal dalam kehidupan seharian bagi memupuk dan membentuk rakyat Malaysia berjiwa patriotik. Melalui pendidikan Sejarah, kita bukan saja mempelajari riwayat hidup mereka yang berjaya dan agung. Malah, kita juga belajar bagaimana sesebuah negara itu terbentuk dan merdeka seterusnya menjadikan rakyatnya hidup dalam aman dan sejahtera. Apa yang kita pelajari daripada sejarah menunjukkan kepada kita yang kehidupan ini melalui liku dan zaman. Sejarah mengajar kita supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah kita alami sebelumnya. Sejarah mestilah ditulis dengan tepat, benar dan tidak dipengaruhi politik. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), guru seharusnya dapat menjadikan Sejarah itu hidup, menyeronokkan dengan penggunaan teknologi terkini supaya minat pelajar terhadap sejarah dapat dipertingkatkan. Selanjutnya, proses perpaduan kaum di Malaysia dapat ditingkatkan jika semua rakyat memahami dan menghayati sejarah negara ini. Perpaduan masyarakat juga dapat dikukuhkan bagi menghadapi cabaran baru yang sedang dihadapi akibat perubahan yang dibawa arus dan proses globalisasi. http://www.hmetro.com.my/articles/Minda_Pendidikansejarahpengukuhpatriotisme/Article

Anda mungkin juga menyukai