Anda di halaman 1dari 6

Di dalam sebuah kampung yang bernama Kampung Tok Rawa tinggal seorang budak lelaki bersama-sama ibunya yang

sudah tua. Budak lelaki itu bernama Fadhil. Ayah Fadhil sudah lama meninggal dunia kerana menghidap penyakit kencing manis. Ibu Fadhil, Mak Senah merupakan seorang ibu tunggal yang rajin. Dia menyara dirinya dan Fadhil dengan membuat kuih-muih. Dia menjual kuih-muihnya di kedai-kedai kopi. Fadhil seorang budak yang malas. Dia selalu ditegur oleh ibunya kerana sifat malasnya itu. Suruh belajar, dia malas. Suruh membantu membuat kuih pun dia malas. Fadhil hanya rajin apabila disuruh makan dan ketika bermain sahaja. Sikap Fadhil itu amat merunsingkan hati Mak Senah.

Fadhil akan menduduki peperiksaan UPSR. Mak Senah amat berharap agar Fadhil akan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Dia sedar, seseorang itu tidak akan berjaya tanpa ilmu. Oleh sebab itulah dia berusaha menyekolahkan Fadhil, walaupun kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bagi diri Fadhil, dia tidak mengerti erti kejayaan. Dia pergi ke sekolah pun kerana takut dimarahi oleh ibunya. Di sekolah, Fadhil tidak menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran. Kadang-kadang dia mengusik rakan-rakan sekelasnya, terutama murid-murid perempuan. Sudah puas guru-guru menasihati Fadhil agar berubah sikap tetapi bak kata pepatah, 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'. Lantaran sikap malasnya itu, Fadhil sering mendapat mendapat tempat tercorot dalam ujian-ujian yang ditempuhinya. Selain itu, Fadhil juga sering ponteng sekolah. Biasanya, dia akan ponteng seorang diri kerana tidak mahu perbuatannya itu diketahui oleh orang lain. Semasa ponteng, Fadhil akan melakukan aktiviti-aktiviti lain seperti mencuri buah-buahan di dusun orang kampung, mandi sungai, melastik burung, dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, segala aktiviti yang dilakukannya adalah yang tidak berfaedah dan membuang masa sahaja. Pada suatu hari, Fadhil telah ponteng sekolah. Dia bangun awal seperti biasa dan seolah-olah telah bersedia untuk ke sekolah. "Mak, Fadhil pergi dulu," ucap Fadhil sambil menuruni tangga rumahnya.

Mak Senah yang sedang menggoreng kuih karipap memerhatikan anak tunggalnya itu sehingga hilang daripada pandangan. Namun, di pertengahan jalan menuju ke sekolah, Fadhil telah melencong ke suatu arah yang lain, iaitu ke dalam semak berhampiran sebatang sungai. Tempat tersebut merupakan tempat yang biasa ditujuinya apabila ponteng sekolah. "Seronok juga ponteng sekolah. Tidak perlu aku ke sekolah dan membebankan otakku untuk belajar," ujar Fadhil di dalam hatinya. Fadhil tersenyum. Kini dia berasa seolah-olah seperti burung. Bebas, sebebas-bebasnya. Fadhil menghamparkan beberapa helai kertas surat khabar yang dibawanya dari rumah, lalu membaringkan badannya. Tiba-tiba pandangannya tertumpu kepada seekor labah-labah yang sedang membuat sarangnya. Dia memerhatikan labah-labah itu dengan khusyuk. Labah-labah itu kecil tetapi amat tangkas dan pantas membuat sarangnya. Sarang yang pada mulanya kecil telah menjadi semakin besar.

Semasa Fadhil sedang asyik melihat labah-labah itu, tiba-tiba angin bertiup kencang. Sarang labah-labah itu telah rosak dan terkoyak. Walaupun begitu, labahlabah itu segera membaiki semula sarangnya. Kejadian itu berlaku berulang kali. Akhirnya sarang labah-labah itu siap. Tidak lama kemudian, seekor lalat telah terperangkap pada sarang labah-labah itu. Labah-labah yang dari tadi sedang menunggu mangsanya segera mendapatkan lalat yang akan menjadi makanannya. Fadhil yang sedang memerhatikan kejadian itu tiba-tiba merasakan suatu perasaan timbul dalam dirinya. Dia membandingkan dirinya dengan labah-labah itu. "Labah-labah itu, walaupun kecil tetapi amat rajin. Sedangkan aku yang dikurniakan akal fikiran ini tidak menggunakannya untuk kebaikan diriku," hati kecil Fadhil berkata. Fadhil mulai insaf dan berazam untuk mengubah dirinya.

Keesokannya, Fadhil pergi ke sekolah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk berjaya. Dia menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar. Dia juga menyiapkan kerja-kerja rumah yang diberikan oleh gurunya. Perubahan sikap Fadhil itu amat menggembirakan semua guru dan rakannya. Begitu juga dengan Mak Senah. Dia berasa amat gembira dan bersyukur kerana Fadhil tidak malas lagi. Malah, Fadhil sering membantunya di rumah. Beberapa bulan kemudian, peperiksaan UPSR tiba. Fadhil melangkah ke dewan peperiksaan dengan penuh keyakinan. Dia menjawab semua soalan dengan berhati-hati. Tidak lama selepas itu, keputusan peperiksaan UPSR diumumkan. Fadhil menuju ke sekolah dengan perasaan berdebar-debar. Sebaik-baik sahaja dia sampai di sekolah, Fadhil telah diserbu oleh guru-guru dan rakan-rakannya yang datang mengucapkan tahniah. Dia telah mendapat 5A dan menjadi salah seorang murid yang cemerlang di sekolahnya. Fadhil tidak menyangka bahawa seekor labah-labah yang kecil telah berjaya mengubah dirinya hingga mencapai kejayaan yang selama ini tiada pernah diimpikannya.

NILAI

MURNI

Sesuatu kejayaan tidak akan datang secara menggolek. Orang yang malas berusaha sudah tentulah tidak akan memperoleh apa-apa kejayaan. Sebaliknya, orang yang cekal dan terus gigih berusaha, akhirnya pasti akan dapat mencapai kejayaan.

Anda mungkin juga menyukai