Anda di halaman 1dari 16

KOMUNIKASI MASJID Pengenalan Manusia merupakan makhluk sosial yang memerlukan antara satu sama lain untuk saling

berkomunikasi bagi melaksanakan kehidupan mereka seharian. Komunikasi boleh berlaku dalam diri seseorang, dalam sebuah keluarga, sebuah organisasi dan dalam masyarakat. Manusia dikurniakan akal fikiran untuk mengembangkan proses komunikasi sehingga mereka mudah berhubung dengan mengunakan bantuan teknologi komunikasi baru seperti satelit, telefon, faksimili, telekonferens, internet dan sebagainya. Komunikasi bergerak sejak manusia lahir ke muka bumi ini. la merupakan suatu aktiviti yang mesti dilakukan setiap saat dalam kehidupan untuk meneruskan kehendak sosial dan psikologi manusia. Manusia perlu bergaul dengan orang lain. Mereka perlu berkomunikasi dengan manusia lain untuk melafazkan apa yang ingin diperkatakannya dan berkongsi pemikiran, pendapat, dan rasa dengan anggota masyarakat di sekelilingnya. Komunikasi menjadi kehendak yang perlu dalam kehidupan sehari-hari. Berkehendak untuk berkomunikasi ini merupakan satu kehendak selagi manusia mahu hidup bermasyarakat. Proses komunikasi tiada permulaan dan tiada pengakhirannya sama ada secara komunikasi interpersonal atau komunikasi intrapersonal.1 Perkataan komunikasi atau dalam bahasa Inggerisnya disebut Communication berasal dari perkataan communicare diterjemahkan sebagai perhubungan atau secara mudah disebut hubungan sama makna yang terjana dalam minda sumber atau pihak yang mencetuskan maklumat dengan apa yang terjana dalam minda pihak penerima maklumat atau pendengar. Ini bermakna komunikasi terjadi apabila maklumat yang disampaikan oleh pemberi sama makna difahami oleh perima maklumat. Selain berkongsi maklumat, komunikasi juga melibatkan proses perkongsian idea dan perasaan. Manusia boleh bertutur dan bertukar-tukar pendapat, gerak isyarat atau simbol, bertujuan untuk memberi dan bertukar-tukar pendapat, mempengaruhi tingkah laku, memujuk dan mengubah keadaan fizikal atau mental penerimanya. Komunikasi juga merupakan proses sesuatu idea, nilai doa dipindahkan dan dikongsikan oleh seseorang individu dengan orang lain. Hubungan sesama manusia dan objek sekelilingnya itu mendatangkan kefahaman dalam usaha menyampaikan sesuatu pesanan/maklumat. Profesor Dato 'Dr. Sulaiman Md Yasin menekankan empat konteks dalam pelaksanaan komunikasi; Pertama, komunikasi dalam konteks penyebaran dan pengiriman. Komunikasi dalam konteks ini menyampaikan maklumat, pemikiran, atau emosi daripada seseorang dengan menggunakan simbol-simbol

tertentu. Apabila seseorang mengirimkan maklumat, fikiran atau emosi kepada orang lain, maka komunikasi dikatakan telah berlaku, walaupun tanpa penerima mesej. Kedua, komunikasi dalam konteks perkongsian makna . Komunikasi merupakan perkongsian orientasi terhadap isyarat maklumat. Ini bermakna komunikasi berlaku apabila individu yang terlibat faham dengan maklumat, isyarat atau simbol yang disamakan oleh seseorang. Ketiga, komunikasi dalam konteks pembujukan. Sesuatu proses penyampaian rangsangan untuk tujuan mengubah tingkah laku individu. Ia berlaku apabila sesuatu sumber atau individu cuba mempengaruhi individu atau khalayak lain berdasarkan kemahiran komunikasi yang dimilikinya atau dengan memanipulasikan beberapa simbol alternatif yang boleh disampaikan kepada khalayak. Kejayaan komunikasi ini diukur berdasarkan balas penerima mesej. Keempat, Komunikasi dalam konteks individu. Apabila menerima maklumat, seseorang akan berusaha mencari maklumat yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Komunikasi ini lazimnya digunakan dalam aktiviti psikologi dan kaunseling. Walaupun komunikasi dilihat dari pelbagai aspek dan konteks, batas komunikasi seharusnya menjangkau pengertian yang lebih kudus. Ia bertolak dari dalam diri manusia iaitu hati dan akal. Keduaduanya merangsang manusia untuk kenal-mengenal antara satu sama lain. Allah berfirman surah alHujurat ayat 13 yang bermaksud; Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan

perempuan, dan telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). Cetusan idea-idea yang berbentuk pesanan ke arah kebaikan merupakan mesej utama dalam usaha membantu menyempurnakan hidup manusia, sebagaimana sempurnanya manusia itu sebagai makhluk istimewa yang dicipta oleh Allah SWT yang berusaha meletakkan akal dan hati sebagai inti interaksi dalam berkomunikasi. Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 125 bermaksud; "Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhan kamu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik." Bersandarkan matlamat dakwah, komunikasi Islam merupakan komunikasi yang dilakukan berasaskan kebenaran, menyampaikan dan menyeru kepada kebaikan dan melarang kebatilan. Malah apa yang disampaikan kepada orang lain adalah maklumat yang berusaha untuk mengubah

sikap, pandangan dan tingkahlaku khalayaknya dari baik kepada yang lebih baik dan dari yang tidak baik kepada yang baik. Ismail Haji Ibrahim menjelaskan tentang ciri-ciri komunikasi Islam adalah sesuai dengan fitrah kemanusiaan yang memerlukan pengisian rohani dan jasmani, boleh membetulkan keimanan umat Islam dan menggunakan al-Quran dan Hadis sebagai panduan untuk membentuk masyarakat yang mantap. Manakala Yusoff Mohd pula menekankan soal komunikator yang menjadi role model masyarakat yang mampu memberi idea baru dan menekankan aspek ilmu dan moral kepada peradaban manusia, sistem sosial Islam dan kesederhanaan dalam Islam serta bertanggungjawab sebagai hamba Allah. Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad mengatakan komunikasi Islam bertanggungjawab dalam usaha menyampaikan kalam Allah di atas muka bumi ini. Oleh itu, beberapa landasan prinsip berkomunikasi secara Islam perlu dijadikan garis panduan iaitu merangkumi dari aspek perancangan menentukan idea hinggalah bagaimana komunikasi itu berlangsung. Perancangan dan pengisian ini akan mampu membentuk penulisan atau pengucapan yang baik bagi menjamin keberkesanan seseorang komunikator itu menyampaikan mesej dakwahnya. Zulkiple Ab. Ghani menambah, oleh kerana komunikasi Islam bersifat mission yang menggesa umat Islam berterusan menyebarkan mesej Islam, maka komunikasi Islam perlu memberi manfaat ke arah kesejahteraan manusia sejagat. Manakala Mohd. Yusof Hussain lebih menekankn aspek proses menyampaikan maklumat berdasarkan kaedah yang digariskan oleh al-Quran yang keseluruhannya menggalakkan pendakwah menggunakan perkataan dan kaedah yang terbaik dan secara berhikmah (bijaksana)

1.

Bersikap lemah lembut seperti dalam surah al-Imran ayat 159 yang bermaksud, "Maka

disebabkan rahmat daripada Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhi diri daripada sekelilingmu.."

2. Menghindarkan perkataan buruk atau tidak sedap didengar seperti dalam Surah an-Nisa' ayat 148 yang bermaksud. "Allah tidak menyukai ucapan buruk yang diucapkan dengan terus terang kecuali orang yang dianiayai,, "

3.

Menggunakan kebijaksanaan dalam menyampaikan seni Islam serta menunjukkan teladan

yang baik seperti dalam Surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud, "Serulah manusia dengan

jalan Tuhammu dengan hikmah dan contoh teladan yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik."

4.

Mengungkapkan perkataan yang baik untuk mengikat hati orang yang diseru seperti firman Allah

dalam Surah al-Isra' ayat 53 yang bermaksud, "Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik(benar)

Oleh sebab itu, komunikasi Islam yang dilakukan mempunyai tujuan yang murni sebagai asas dalam menyampaikan hakikat kebenaran Islam yang berterusan bersandarkan al-Quran dan Hadis supaya mampu membentuk pandangan umum yang betul serta berkesan kepada kehidupan seseorang dari aspek akidah, ibadah dan muamalah. Muhammad Fathi Ali Syair pula memberikan empat prinsip utama dalam pelaksanaan komunikasi Islam iaitu menegakkan kebenaran (Siddiq), bersifat realiti (waqi'iyyah), bersifat anjal (murunah) dan bersifat sempurna (syumuliah). Sifat-sifat tersebut merupakan sifat yang mampu menjunjung kebenaran ke arah memenuhi keperluan jasmani dan rohani manusia. Kesimpulannya, komunikasi Islam membawa mesej kebenaran sama ada dalam pengkhabaran atau perkataan. Imej yang digunakan bersifat realiti dan sesuai dengan fitrah kemanusiaan yang mampu memenuhi jasmani rohani serta membuka ruang kreativiti kepelbagaian media penyampaian mesej Islam. Mesej yang disampaikan pula perlu merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia, sesuai dengan ajaran Islam.

Komunikasi Masjid Komunikasi adalah penyampaian maklumat melalui satu perutusan yang mempunyai pelbagai makna melalui simbol-simbol yang dialirkan kepada satu individu kepada individu yang lain, daripada satu anggota kumpulan kepada kumpulan yang lain.2 Proses komunikasi berlaku sekurang-kurangnya dua orang yang melibatkan menghantar mesej dan menerima mesej sehingga penerima akan bertindak atau memberi maklum balas terhadap mesej yang diterimanya. Komunikasi juga melibatkan proses perkongsian maklumat, idea dan perasaan. Menurut Mohd Yusof Hussain komunikasi dalam Islam merupakan proses menyampaikan atau bertukar perutusan dan maklumat dengan menggunakan prinsip dan kaedah komunikasi seperti yang terdapat dalam al-Quran dan al-Hadith. Komunikasi Islam menekankan aspek hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan makhluk lain. Kaedah dan prinsip komunikasi dalam Islam melibatkan amalan yang dikaitkan dengan dosa dan pahala dan melibatkan pembalasan selepas kematian. Ini bermakna komunikasi

dalam Islam mempunyai nilai yang dikaitkan dengan nilai baik dan jahat, amalan kebaikan dan amalan kejahatan.3 Komunikasi masjid mempunyai nilai yang amat akrab dengan Maha Pencipta, sesuai dengan peranannya sebagai pusat ibadat dan tempat manusia mensucikan jiwanya, di samping merapatkan hubungan antara manusia bagi melaksanakan tugas dakwah Islam ke arah mengajak masyarakat melakukan amalan kebaikan dan menegah aktiviti mungkar. Komunikasi masjid mempunyai fungsi yang sangat luas. Selain merapatkan hubungan dengan Allah, komunikasi masjid membantu dalam proses sosiologi umat Islam, melahirkan institusi sosial Islam dan berpengaruh ke atas budaya dan struktur sosial masyarakat Islam. Mc Quil (1975) mengatakan bahawa semua interaksi sosial semestinya komunikatif dan sebarang proses sosial dianggap proses komunikasi.4 Secara umum, komunikasi masjid merupakan proses manusia mendapatkan maklumat tentang Islam, proses pendidikan Islam, proses pemujukan dan untuk mendapatkan hiburan, sesuai dengan landasan Islam. Masjid sebagai tempat mendapatkan maklumat tentang Islam melalui khidmat nasihat dan rundingcara yang disediakan oleh pegawai masjid. Pegawai masjid perlu mempunyai kemahiran yang cukup dalam untuk menyampaikan maklumat Islam agar mampu memberi yang baik terhadap penerima. Maklumat juga boleh diperolehi melalui komunikasi yang dilaksanakan di masjid melalui ceramah, kuliah pengajian dan khutbah Jumaat. Masjid sebagai pusat pendidikan Islam pula mengaplikasikan komunikasi yang mampu mendidik masyarakat secara formal melalui kelas pengajian, kelas tusyen, tadika dan bengkel kemahiran yang melahirkan umat Islam yang mampu berdikari di samping mendekatkan diri dengan Allah SWT. Komunikasi juga berfungsi sebagai alat untuk memujuk iaitu mempengaruhi masyarakat untuk tunduk dan patuh kepada suruhan Allah SWT. Pelbagai teknik komunikasi boleh digunakan untuk memujuk masyarakat mendekatkan diri dengan masjid seterusnya meninggalkan amalan kebaikan untuk mencari redha Ilahi. Komunikasi masjid juga boleh dijadikan elemen untuk masyarakat mencari ketenangan dan kebahagiaan atau menghiburkan hati. Fitrah manusia ingin mencari hiburan bagi tujuan inginkan keselesaan, ketenangan dan kegembiraan dalam melangsungkan kehidupan seharian setelah penat bekerja mencari nafkah hidup. Masjid boleh mengisi kekosongan umat Islam melalui aktiviti komunikasi Islam melalui aktiviti membaca al-Quran, berzanji, marhaban, tarannum, nasyid dan sebagainya.

Model Komunikasi Masjid Komunikasi antara Allah dan manusia berlangsung apabila manusia menyedari hakikat kejadiannya sebagai hamba Allah. Manusia melakukan ibadat sebagai cara pengabdian kepada Allah SWT melalui ibadat solat, zakat, puasa dan haji sebagai cara membentuk ketakwaannya kepada Allah SWT dan kesyukurannya terhadap nikmat yang dikurniakan Allah. Oleh itu, komunikasi dengan Allah dilakukan dengan keikhlasan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Komunikasi dengan manusia berlangsung apabila manusia menyedari hakikat kejadiannya sebagai khalifah di muka bumi ini iaitu mewujudkan kesejahteraan hidup melalui hubungan sosial (muamalat), dalam seluruh aspek kehidupan seperti politik, ekonomi, seni, pendidikan dan sebagainya. Oleh itu, komunikasi antara manusia diperlukan untuk memenuhi tuntutan sosial mereka bagi membina kesejahteraan seterusnya mampu melaksanakan misi Islam itu sendiri. Usaha menyampaikan dakwah Islam pula memerlukan kemahiran seseorang berkomunikasi, terutamanya berkomunikasi secara Interpersonal atau komunikasi antara individu. Komunikasi ini melibatkan orang kedua atau ketiga dalam usaha merangsang pemikiran yang kemudian berkongsi makna berdasarkan mesej yang disampaikan. Menurut Maimunah Osman (2000), hubungan interpersonal memerlukan kemahiran dan gaya berkomunikasi supaya perhubungan yang berlaku dapat berjalan lancar tanpa gangguan sama ada berbentuk pemikiran, persekitaran, emosi atau dirinyasendiri. Abne M. Eisenberg (1975) telah menjelaskan sesuatu komunikasi interpersonal perlu mempunyai tindak balas dari penerima mesej dan akan terus berulang sehingga perbincangan tamat. Beliau menjelaskan model komunikasi mempunyai tiga (3) elemen yang penting iaitu penyampai (sender} mesej (message) dan penerima (receiver). Penyampai akan menyampaikan mesej melalui saluran tertentu kepada penerima. Tetapi penyampai dan penerima mempunyai latar belakang yang berlainan. Oleh itu, sekiranya seseorang mengetahui latar belakang individu yang berkomunikasi dengannya, maka proses mengekod dan mendekod mesej dilakukan berdasarkan keupayaan masing-masing. Walau bagaimanapun proses komunikasi akan mengalami gangguan yang wujud dari pelbagai faktor sama ada faktor dalaman atau luaran. Faktor dalaman (komunikasi intrapersonal merujuk kepada individu penyampai dan penerima itu sendiri yang mempunyai pelbagai pemikiran, emosi, latar belakang berbeza dan sebagainya manakala faktor luaran melibatkan persekitaran semasa komunikasi berlangsung. Kemampuan penerima memberikan maklum balas pula berkait rapat dengan konteks komunikasi, iaitu merujuk kepada suasana mengenai sesuatu hal yang dibincangkan.Gangguan ini menyebabkan maklum balas yang diperolehi tidak seimbang.

Bagi Islam, komunikasi dilaksanakan bagi menyampaikan risalah Allah S WT. Allah SWT mengutuskan hamba-Nya di kalangan para nabi dan rasul untuk tujuan memberikan petunjuk kepada sesuatu kaum. Mesej yang disampaikan oleh para nabi dan rasul adalah dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui perkhabaran gembira atau peringatan tentang azab dan balasan Allah SWT seperti firman Allah dalam Surat al-Fatir ayat 24 bermaksud,

"Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umatpun melainkan telah ada dc kalangannya dahulu seorang rasul pemberi ingatan amaran."

Walau bagaimanapun proses komunikasi itu mendapat ganguan persekitaran kaum yang ingkar dan membantah mesej dakwah tersebut seperti yang dijelaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 258; "Tidakkah engkau (pelik) memikirkannya (wahai Muhammad tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? ..." Kehadiran al-Quran membantu mengatasi gangguan yang ada kerana ia mampu memberi petunjuk jalan kepada umat manusia, seperti dalam Surah Maryam ayat 97 yang bermaksud; "Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya memberi khabar gembira dengannya kepada orang yang bertakwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya. Komunikasi Islam juga amat menitikberatkan maklumat mesej yang disampaikan benar-benar diterima dengan jelas oleh sasaran. Maklum balas berdasarkan mesej dakwah Islam akan diperkukuhkan dengan mesej dakwah susulan bagi menjelaskan sesuatu perkara. Ia boleh dilakukan melalui perbincangan atau perdebatan antara kedua-dua pihak.

Model 1: Komunikasi Masjid

Berdasarkan model di atas, pegawai masjid berfungsi sebagai komunikator yang membawa mesej dakwah yang mengajak masyarakat (sebagai penerima) untuk mendekatkan diri kepada Allah. Seseorang pegawai masjid yang baik sebelum menyampaikan mesejnya perlu memahami tugasnya sebagai khalifah Allah dan mempunyai komunikasi yang baik dengan Allah. Pegawai masjid akan menggunakan saluran yang sesuai untuk menyampaikan mesej dakwahnya sama ada melalui ceramah, kuliah, kelas pengajian atau melalui khutbah yang di sampaikan. Saluran penyampaian mesej komunikasi masjid juga boleh dipelbagaikan dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini. Semasa menyampaikan maklumat Islam, seseorang pegawai masjid akan berhadapan dengan gangguan yang melibatkan gangguan dalaman (peribadi) dan gangguan luaran (persekitaran). Walau bagaimanapun sebagai ahli komunikator yang baik seseorang pegawai masjid perlu berusaha meminimumkan gangguan yang ada agar proses komunikasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Apabila mesej dakwah dapat disampaikan dengan baik dan berkesan serta difahami oleh masyarakat sebagai penerima, kesannya masyarakat akan dapat mengeratkan hubungannnya dengan Allah dan memberikan maklum balas yang positif terhadap penyampai dan keyakinan kepada fungsi masjid. Gangguan juga akan dialami oleh penerima (masyarakat) apabila mereka sering dihambat kesibukan mencari kemuliaan dunia dan kekayaan. Mereka sering kekurangan masa untuk meluangkan masa ke masjid setelah seharian penat mencari rezeki. Lantaran itu, seseorang pegawai perlu mengambil inisiatif memperbaiki kaedah dan teknik komunikasi dakwahnya untuk memberi kekuatan kepada golongan ini mendekatkan diri dengan masjid, sekurang-kurangnya melaksanakan tanggungjawab sembahyang berjemaah di hari Jumaat.

Jenis-jenis Komunikasi Masjid

Masyarakat manusia mempunyai pelbagai kumpulan sama kumpulan kecil yang melibatkan tiga orang atau kumpulan besar y menyebabkan berlaku ahli anggota yang tidak saling mengenali. Manusia sentiasa berada dalam kumpulan bagi tujuan tertentu iaitu tujuan (ikatan perkahwinan), tujuan keselamatan, keakraban hubungan, penyertaan aktiviti, berkongsi minat, dan melaksanakan tugas tertentu. Kumpulan masyarakat berperanan untuk melahirkan idea, berkongsi maklumat, koordinasi usaha, penilaian aktiviti, menjelaskan peraturan, dan menggerakkan objektif organisasi. Melalui hubungan tersebut juga wujud kerjasama untuk mendapatkan sokongan, mengurangkan ketegangan dan memberi galakan untuk ahli kumpulan yang terlibat. Ia dicapai apabila komunikasi dalam kumpulan berlaku melalui proses penyelesaian masalah dan proses membuat keputusan.

a. Komunikasi intrapersonal Komunikasi dalam diri ini boleh berlaku kepada setiap individu yang telah dididik hatinya untuk memuhasabah diri terhadap segala dan kesalahan yang dilakukan sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah. Amalan berzikir, berdoa dan beriktikaf dalam masjid mampu menununaikan proses komunikasi intrapersonal ini dengan lebih ikhlas dan tenang.

b. Komunikasi Interpersonal Komunikasi Interpersonal melibatkan dua orang individu sedang berkomunikasi. Di masjid kaedah komunikasi ini boleh dilaksanakan dalam usaha memberi kaunseling, rundingcara atau khidmat nasihat Islam dan hal ehwal kehidupan seharian umat Islam seperti perbincangan persoalan rumah tangga, hukum hakam dan masalah kehidupan seharian. Melalui jenis komunikasi ini, seseorang pegawai masjid sentiasa bersedia mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan agama yang mantap dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa terutama apabila timbul hukum semasa yang mewujudkan fatwa baru. Kehidupan yang semakin kompleks akan memaksa masyarakat mencari jawapan yang selaras dengan kehendak Islam agar tidak tenggelam dalam dunia prasangka dan kesangsian. Peranan pegawai masjid boleh dimanfaatkan oleh umat Islam bagi memenuhi jawapan yang diperlukan.

c. Komunikasi Kumpulan Kecil Masjid juga boleh mewujudkan komunikasi kumpulan kecil melalui penubuhan kelab-kelab seperti Kelab Rakan Masjid, Kelas Tafakuh, Kelas Tarannum dan kelas kemahiran, kumpulan Usrah,

kumpulan tabligh, kumpulan Sukarelawan dan sebagainya yang hanya melibatkan kumpulan kecil. la amat penting dalam usaha membimbing masyarakat bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu aktiviti dan bertukar-tukarpandangan dalam melaksanakan masalah kehidupan seharian. Penubuhan Kelab Rakan Masjid yang ditaja oleh kementerian perlu dimanfaatkan oleh AJK masjid dalam usaha mendekatkan diri remaja dan belia dengan masjid seterusnya melahirkan generasi muda yang terarah dan menjauhkan gejala sosial yang semakin meruncing pada masa ini. Kelas-kelas kemahiran seperti kelas tajwid, tarannum, tafakuh dan miahiran rumahtangga pula menggalakkan masyarakat berkomunikasi sambil menjalankan aktiviti yang berfaedah dan meningkatkan kemahiran diri yang sesuai dengan tuntutan Islam. Pegawai masjid sebagai fasilitator berperanan menggerakkan kumpulan ini agar dapat dilaksanakan dengan teratur dan mencapai matlamat.

d. Komunikasi Organisasi Setiap masjid di Malaysia, selain pegawai masjid yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri, terdapat organisasi jawtankuasa masjid yang dianggotai oleh ahli kariah masjid yang terdiri dari pengerusi, setiausaha, bendahari dan ketua biro-biro mengikut keperluan masjid berkenaan. Sebagai sebuah organisasi yang terlibat dengan masyarakat, jawatankuasa masjid perlu sentiasa bermesyuarat dan berbincang dalam usaha membangun dan mengimarahkan masjid yang dianggotai oleh mereka. Perbincangan ini melibatkan kredibiliti pengerusinya dalam usaha memimpin dan mengurus organisasinya agar lebih cekap dan meyakinkan masyarakat. Walau bagaimanapun, nasihat imam tidak diketepikan, sebagai pemimpin masyarakat. Komunikasi dalam organisasi melibatkan penyampaian maklumat pegawai masjid sebagai penasihat dan pengerusi sebagai pemimpin organisasi kepada orang bawahannya. Manakala maklum balas dari orang bawahan akan mewujudkan interaksi yang baik dalam mengembalikan fungsi organisasi untuk disampaikan pula kepada masyarakat setempat. Perpaduan dan kesatuan dalam komunikasi organisasi masjid akan menjadi keutuhan fungsi masjid sebagai pembangun ummah.

e. Komunikasi Awam Komunikasi Awam pula berlaku di masjid apabila pihak jawatankuasa masjid mengadakan program yang melibatkan keseluruhan anggota masyarakat untuk menyertainya. Program yang diadakan melibatkan pelbagai bangsa dan usia sama ada kanak-kanak, remaja atau golongan dewasa. Penyertaan masyarakat yang ramai dan pelbagai ini memerlukan kecekapan pihak penganjur menangani karenah masyarakat yang pelbagai. Program yang boleh diadakan yang melibatkan komunikasi dakwah ialah

ceramah, majlis perayaan hari raya, sambutan Isra' mikraj, khutbah jumaat, forum Islam dan sebagainya.

f. Komunikasi Non-Verbal Komunikasi non-verbal merupakan komunikasi yang boleh dalam mana-mana jenis komunikasi. la merupakan kesan dari komunikasi verbal yang disampaikan dalam membantu kejelasan dan keberkesanan komunikasi verbal yang berlangsung. Komunikasi non-verbal yang berlaku di masjid ialah bagaimana masjid dibina untuk menarik khalayaknya, keheningan, keceriaan dan ketenangan yang ada dalam masjid akan mampu menarik hati pengunjungnya. Malah simbol masjid sebagai pusat ibadah dan kebudayaan Islam menjadikan agenda mendirikan satu keperluan dalam pembinaan masyarakat dan sebagai penghubung hamba dan Penciptanya. Komunikasi non-verbal juga boleh dilakukan oleh para penceramah atau komunikator masjid semasa menyampaikan mesej melalui gerak tangan, pertembungan mata, dan ketrampilan diri mereka di hadapan khalayak serta ketepatan masa dalam menghadiri sesebuah program. Ketepatan waktu sembahyang juga merupakan komunikasi non-verbal yang memastikan Islam amat menitikberatkan ketepatan waktu. Ketrampilan diri pegawai masjid juga membawa mesej kepada kariah. Pegawai masjid yang mempunyai kelebihan tertentu dan meyakinkan ahli kariahnya atau mampu menjadi role model akan menarik masyaraka untuk bertandang ke masjid.

g. Komunikasi baru Perkembangan teknologi komunikasi (ICT) perlu diambil peluang oleh pihak masjid dalam usaha menyampaikan dakwah dan mesej Islam kepada masyarakat, sebagai tanda meningkatkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti masjid dalam menangani isu masyarakat dan kepekaan mereka dalam perkembangan dunia. Masjid sebagai tempat rujukan masyarakat boleh memanfaatkan kemudahan ini melalui pembukaan laman web yang mengandungi maklumat tentang latar belakang masjid, kemudahan FAQ untuk masyarakat mengadu masalah agama, kemudahan mengakses internet, laman chatting yang membincangkan persoalan agama dengan pakar dalam bidang agama (pegawai masjid) dan kemudahan lain. Selain itu, pembukaan kiosk dan portal di masjid memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat yang dikehendakinya tanpa menunggu giliran atau membuat temujanji dengan pegawai masjid. Pihak masjid sudah menyediakan pangkalan data yangn lengkap terutama persoalan asas untuk panduan umat Islam. Bagi soalan yang semasa yang tiada dalam pangkalan data, kiriman e-mail atau sms boleh dilakukan untuk maklum balas dari pihakAJK masjid.

Secara keseluruhannnya komunikasi masjid mampu membina dan memantapkan pengurusan masjid dalam usaha melaksanakan tugas-tugas penyampaian ilmu Islam dan membangun umat Islam dari aspek ibadat, akidah dan akhlak. Kebijaksanaan pegawai masjid dan AJK masjid dalam usaha menarik ahli kariah untuk akrab dengan masjid merupakan kebolehan mereka dalam mengeksploitasi kemahiran komunikasi untuk mempengaruhi khalayaknya. Sasaran Komunikasi Masjid Komunikasi masjid perlu dilakukan sesuai dengan kehendak audien atau sasarannya. Ini kerana sifat kanak-kanak tidak sama dengan sifat remaja dan golongan tua. Masing-masing memerlukan pengisian dengan cara yang berbeza-beza, sesuai dengan fizikal dan psikologi mereka.

a. Komunikasi Terhadap kanak-kanak Pada usia 2 hingga 7 tahun, kanak-kanak sedang mengalami tahap praoperasi, iaitu menggunakan skima berasaskan bahasa dan simbol perwakilan sesuatu benda atau peristiwa. Pada waktu ini juga, mereka belum memahami prinsip logik, sehingga membuat andaian umum terhadap sesuatu yang dilihatnya.5 Oleh itu, bagi memahami persekitarannya, mereka sering bertanya dan menggunakan soalan-soalan yang tidak logik. Oleh kerana persekitaran memainkan peranan dalam pembentukan pemikiran mereka, maka komunikasi masjid perlu dijalankan kepada kanak-kanak bagi melahirkan rasa kecintaan kepada masjid di awal perkembangan pendidikan mereka. Kelas-kelas pengajian agama seperti kelas KAFAdan Tadika yang diadakan di persekitaran masjid tnampu melahirkan komunikasi masjid yang baik. Latihan amali solat di masjid akan mendekatkan hati mereka tentang peranan masjid dalam kehidupan umat Islam, sehingga masjid ditanggapi secara umum oleh mereka sebagai tempat mencari ilmu dan ibadat. Pada usia 7 hingga 12 pula, kanak-kanak mula mengalami tahap operasi konkrit, iaitu kanakkanak hanya mampu memahami imej dan objek yang nyata sahaja dan tidak faham kenyataan yang abstrak seperti ketuhanan, keindahan, keadilan dan sebagainya. Tetapi mereka sudah berupaya memfokus lebih dari satu ciri masalah yang mudah dan mampu menyelesaikan masalah tersebut secara mental.6 Oleh itu, komunikasi masjid boleh mengisi ruang ini melalui aktiviti yang mengajak kanak-kanak berfikir tentang peranan mereka sebagai manusia melalui kem ibadat, kelas mengaji dan majlis perayaan bulan Islam. Mereka mampu memahami perkara yang mereka perhatikan dan lakukan bersama orang dewasa. Contohnya, majlis Maulidur Rasul yang mengandungi program ceramah, selawat, marhaban dan hidangan makanan yang lazat. Mereka boleh memahami kepentingan Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan orang Islam sehingga hari kelahiran baginda diraikan secara besar-besaran.

b. Komunikasi Terhadap Remaja Masa remaja merupakan peringkat yang amat kompleks kerana pada masa ini berlaku perubahan pada fizikal, emosi, kognitif, penghargaan kendiri, krisis identiti, konflik dan keraguan memulakan perkara yang baru." Mereka akan berasa gembira apabila diri mereka diterima, dihargai dan diberikan perhatian oleh orang yang signifikan dalam hidup mereka termasuklah ibu bapa, guru, rakan sebaya, atau sesiapa sahaja yang berkenaan.8 Remaja sering menunjukkan tingkah laku dan tindakan yang aktif menyertai perbincangan dalam kelas dan sentiasa bekerjasama dalam aktiviti aktiviti pembelajaran. Mereka juga mengalami proses membentuk jati diri dan perhubungan sosial dalam masyarakat serta sudah memahami aspek logik dan abstrak.9 Pencarian identiti yang dilakukan oleh remaja adalah antara cara untuk memperolehi penghormatan, perhatian dan pengiktirafan masyarakat tentang peranan dan keupayaan mereka menjadi sebahagian dari ahli orang dewasa. Oleh itu, aktiviti komunikasi masjid terhadap remaja boleh dilakukan sesuai dengan fizikal remaja yang lasak dan keinginan mereka untuk melakukan aktiviti berpersatuan atau berkumpulan. Program rakan masjid yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu diaktifkan dengan menjalankan aktiviti seperti khemah ibadat, kem motivasi, kelas kemahiran al-Quran, dan sebagainya sebagai usaha mendekatkan diri remaja dengan masjid. Malah peluang penyertaan yang diberikan oleh pegawai masjid memberi ruang kepada remaja untuk membina keyakinan diri terhadap peranan masjid dalam membangun jiwa dan tingkah laku mereka ke arah yang positif dan baik.

c. Komunikasi Terhadap Masyarakat Awam Jawatankuasa masjid perlu sentiasa mengadakan aktiviti komunikasi masjid untuk ahli kariahnya sebagai cara mengumpulkan dan menyatupadukan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti keagamaan dan perayaan bulan Islam. Aktiviti yang melibatkan penyertaan masyarakat awam perlulah sesuai dengan kehendak masyarakat, sesuai dengan budaya dan pemikiran masyarakat dan sesuai dengan latar belakang pendidikan dan ekonomi mereka. Bagi masyarakat di kampung, mereka mahukan program yang membangun minda kerana mereka sukar mendapatkan maklumat luar, selain dari televisyen dan surat khabar. Pengisian melalui ceramah dan kuliah merupakan antara bentuk komunikasi awam yang diminati khalayak tersebut. Tetapi bagi masyarakat bandar, mereka hidup dalam situasi mengejar masa dan sentiasa dahagakan pengisian rohani bagi menyeimbangkan kehidupan mereka yang banyak ke arah

keperluan pembangunan fizikal dan material. Selain ceramah dan kuliah, mereka memerlukan kursuskursus tertentu bagi memantapkan keilmuan agama mereka dengan menyertai kelas-kelas tafakuh, kelas al-Quran dan sebagainya.

d. Komunikasi Terhadap Warga Emas Warga emas merupakan golongan yang sensitif dan meminta perhatian yang sewajarnya daripada masyarakat. Mereka mahu diri mereka diiktiraf sebagai golongan yang perlu diberi perhatian dan dihormati sebagai orang tua. Warga emas juga pada kebiasaannya merupakan golongan yang mula mendekatkan diri kepada Allah SWT. Mereka berusaha untuk mengisi sisa-sisa hidup dengan amal kebajikan yang tidak sempat mereka lakukan semasa muda. Oleh itu, sebagai merapatkan golongan ini dengan masjid, pihak masjid perlu merangka aktiviti berbentuk kerohanian yang sesuai, terutama aktiviti yang tidak memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Aktiviti seperti kelas membaca al-Quran, kelas tajwid, kelas tafakuh, kuliah, ceramah dan sebagainya mampu mengisi ruang masa mereka. Walau bagaimanapun, pengisian yang diberikan tidak boleh teriahi berat kerana keupayaan minda mereka yang semakin merosot, di samping keadaan fizikal mereka yang tidak sekuat golongan muda dalam melakukaa aktiviti yang memerlukan kekuatan fizikal seperti gotong- royong dan aktiviti yang melibatkan sepanjang hari. Pengamalan ibadat sunat juga perlu diajarkan agar mereka boleh menghabiskan masa dengan ibadat sebagai persediaan ke alam akhirat

e. Komunikasi Terhadap Saudara Baru (Mualaf) Di Malaysia, golongan saudara baru (mualaf) terdiri daripada beberapa bangsa yang berasal dari pelbagai latar belakang yang berbeza sama ada kepercayaan ataupun adat resam, iaitu orang asli, orang cina dan orang India. Kepelbagaian etnik dan bangsa ini memerlukan kepri pegawai masjid agar dapat mendekati mereka dengan baik dan tidak berasa terpinggir di kalangan masyarakat setempat. Golongan saudara baru ibarat kain putih yang minta dicorakkan. Mereka begitu dahagakan ilmu pengetahuan agama di samping diberi kekuatan untuk terus memeluk agama yang mulia itu. Dalam keadaan iman yang masih rapuh, mereka perlu didekati dan dibantu dari aspek kerohanian. Oleh itu, pegawai masjid perlu merancang aktiviti-aktiviti untuk golongan mualaf ini terutama yang berkait dengan ke pengetahuan Islam (ilmu fardhu ain) dan kemantapan akidah.

Selain itu bahasa dalam komunikasi amat penting untuk dikuasai oleh pegawai masjid. Ini kerana, ramai golongan mualaf ini tidak mahir berbahasa Melayu dan bahasa Arab (istilah Arab). Malah dalam kajian tentang pelaksanaan dakwah terhadap golongan baru di ABIM, Jabatan Agama Islam negeri, Masjid Negeri dan sebagainya penggunaan bahasa Melayu dalam ceramah dan bengkel untuk saudara baru mengalami masalah. Mereka tidak faham dan keliru kerana tidak faham bahasa Melayu dan membantutkan keinginan untuk menuntut ilmu. Manakala fasilitator atau penceramah pula tidak tahu berbahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan mereka. Keadaan ini semakin meluaskan jurang komunikasi antara pegawai agama dengan golongan muallaf.

f. Komunikasi Terhadap Orang Bukan Islam Orang bukan Islam merupakan sebahagian dari masyarakat dan berperanan dalam membangun aktiviti masyarakat setempat. Agama Islam tidak melarang umatnya berkomunikasi dengan golongan bukan Islam kerana sifatnya yang memelihara hubungan sesama manusia Bagi memelihara keutuhan fungsi masjid, pegawai masjid perlu mempunyai tentatif khas untuk mendekatkan diri mereka dengan Islam, sekurang-kurangnya membetulkan persepsi mereka terhadap Islam. Menurut Zaini Hamzah, masyarakat bukan Islam tidak menerima Islam kerana tanggapan mereka bahawa Islam adalah untuk orang Melayu.'' Malah terdapat juga tanggapan bahawa orang Melayu itu mundur seperti juga Islam.12 Candra Muzaffar pula berpendapat, dasar dan rancangan pemerintah yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu dan dasar Ekonomi Baru telah melahirkan sikap negatif orang bukan Islam terhadap bangsa Melayu dan kemudian dikaitkan dengan Islam. Sikap prejudis masyarakat barat terhadap Islam yang terpampang di media juga semakin mewar-warkan sikap negatif tersebut.13 Pelbagai lagi tanggapan negatif yang dilemparkan kepada umat Islam lantaran pandangan secara fizikal mereka terhadap sikap dan tabiat orang Islam itu sendiri. Oleh itu, pegawai masjid perlu membersihkan pandangan negatif ini dengan memaparkan nilai-nilai yang baik bahawa masjid merupakan tempat yang suci yang perlu dihormati dan agama Islam memandang tinggj nilai-nilai murni supaya umatnya bekerja dan menghormati hak orang lain. Mereka perlu diberi penerangan dan pendedahan, bahawa tanggapan salah terhadap Islam adalah kerana kesalahan yang dilakukan oleh umat Islam itu sendiri yang gagal memelihara syariat Allah SWT.14

Kesimpulan Pelaksanaan komunikasi masjid perlu dilakukan sebaik mungkin agar masyarakat berasa seronok dan mahu mendekatkan diri dengan masjid dengan penuh kerelaan dan ikhlas kerana Allah. Malah umat Islam sendiri perlu memperbaiki sikap dan tingkah laku mereka mengikut landasan yang disyariatkan oleh Islam agar mereka menjadi umat yang dihormati dan disegani.

Anda mungkin juga menyukai