Anda di halaman 1dari 3

Segalanya Kerana Niat

Sunday, 23 August 2009

Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Menjelang ramadhan setiap kita berusaha meningkatkan pembersihan jiwanya. Mendekatkan diri
kepada Allah. Mengakui sesuatu yang benar itu benar sekalipun ia menyanggahi kepentingan dan
kehendak diri kita. Mengakui yang salah itu salah, sekalipun kita sudah terbabit dengan yang salah
tersebut.

Ini bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan kekentalan jiwa yang dibina di atas niat yang ikhlas
dalam perjuangan hidup di atas muka bumi ini. Hidup yang berteraskan keyakinan bahawa setiap
kita akan mengadap Allah s.w.t, dan Dia menghisab segala amalan baik dan buruk yang telah kita
lakukan.

Perjalanan hidup insan sebenarnya mewakili apa yang tersirat dalam jantung hati, atau niatnya.
Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada niat, kefahaman
dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu. Bahkan apa yang dirancang, keinginan,
harapan yang akhirnya menjelma dalam bentuk tindakan, berpunca dari niat.

Justeru dalam hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya
mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau
untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.”
(Riwayat al-Bukhari).

Salah Faham

Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu
ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian..”. Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan
lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang di atur dalam minda
yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga
terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya.

Niat adalah keazaman seseorangan untuk melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya merangkumi
segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn
Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):

“Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama
sekali. Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat sebarang lafaz
bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum
bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was. Syaitan
memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan
lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam
mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan
sesuatu perbuatan. Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar
terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada
niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat
hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat. Tiada
seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara
semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha
mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya
dia tidak mampu. Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa
yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa
bersusah payah untuk mendapatkan niat?. Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah
sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang
yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri
belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?!
Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan,
aku ingin solat zohor. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat:
awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat zohor bersama imam. Jadi,
bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia
mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144).

Dr Yusuf al-Qaradawi pula menyebut:

Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak
juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf
umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya,
apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka
menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat
kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan
sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada
faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak
ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya
memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu mudah, namun apa yang menyusahkan
ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was” (http//:qaradawi.net).

Salah Niat

Penegasan niat sering kita sebutkan apabila hendak solat, puasa, zakat, haji dan ibadah-ibadah
khusus yang lain. Malangnya, itu pun dengan konsep yang ‘silap’ seperti yang dijelaskan oleh dua
tokoh ilmuwan di atas. Sehingga ada yang mempersendakan konsep niat dengan membuat
ungkapan-ungkapan yang kononnya mewakili niat, walaupun ada maksud tersirat yang lain.

Berapa banyak operasi kewangan yang menggunakan nama ‘Islam’ dengan berbagai lafaz ketika
akad, tetapi maksud yang tersirat berbeza dengan lafaz di lidah. Maka berbagai keuntungan yang
sebahagiannya mempunyai unsur penindasan dan kesamaran dibuat atas nama Islam dengan kata-
kata yang indah, walaupun niat sebenar amat berbeza. Sebabnya? Orang kita faham niat itu
bermaksud lafaz.

Maka niat atau hasratlah yang tersirat di sebalik setiap tindakan. Kita diperintahkan untuk
mengikhlas niat kerana Allah dalam ibadah. Membetulkan tujuan setiap tindakan. Inilah yang
menjadi antara tujuan utama pendidikan Ramadan. Justeru itu Nabi s.a.w menyebut dalam hadis
qudsi:

“Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untukKu dan hanya Aku yang
membalasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Puasa adalah manifestasi keikhlasan yang ada dalam jiwa. Tiada siapa yang boleh tahu seseorang
benar-benar puasa atau menipu melainkan Allah. Puasa bukan pergerakan jasad yang boleh dilihat,
tetapi pengawalan dalaman diri yang hanya diketahui oleh Allah.

Jika ruh puasa dibawa dalam kehidupan, maka pasti banyak masalah umat Islam hari ini dapat
diselesaikan. Umat kita hari ini fakir dan miskin ‘niat yang ikhlas’ dalam banyak keadaan. Walaupun
niat tidak dapat kita lihat, namun sebahagian besar tindakan dan perbuatan insan mampu
memberikan tanda atau menafsirkan niat yang tersirat.

Kita kemarau keikhlasan dalam ilmu, pergaulan, persaudaraan, politik, muamalat dan berbagai
cabang kehidupan. Inilah krisis kita. Setiap kita, termasuklah yang menduduki tempat yang penting
dalam masyarakat menyimpan niat yang berbagai. Politik umpamanya, sepatutnya setiap individu
yang terlibat dalamnya, mengikhlaskan niat kerana Allah, dengan itu maka semua tindakannya
dipastikan memenuhi tuntutan keperluan umat dan rakyat.

Namun, apabila ahli-ahli politik muslim menempatkan niat yang lain, maka tujuan politik yang
sepatutnya menuju kepada kepentingan umat dan rakyat bertukar menjadi agenda parti atau
peribadi yang akhirnya menyusahkan rakyat. Demikian juga urusan agama, sepatutnya ilmu Islam itu
membimbing manusia memahami kehendak al-Quran dan Sunnah, tapi telah dijadikan agenda
peribadi untuk mengaut untung, atau perniagaan, atau kuasa atau seumpamanya, akhir agama
menjadi alat pencapai matlamat peribadi dan kumpulan. Maka, politik tidak mengenai tujuan,
urusan agama pun tidak mencapai matlamat.

Hari ini kita melihat banyak pihak yang seruannya indah, bahkan sebahagian menggunakan nama
Islam, tetapi jalan dan tindakannya amat berbeza dengan ajaran Islam. Apa sebabnya? Semuanya
kerana niat. Slogan memang cantik, ramai yang boleh buat dan ada-adakan, namun niat siapa yang
tahu?

Anda mungkin juga menyukai