Anda di halaman 1dari 12

TEKS PENGACARA MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU

PERINGKAT SK AGAMA SIBU 2014



PERINGATAN AWAL
Perhatian. Minta kerjasama semua pelajar untuk memberi laluan
majlis sambutan hari guru yang akan berlangsung sebentar lagi.
Terima kasih.

PERARAKAN GURU
Mengumumkan perarakan masuk warga pendidik SK Agama Sibu ke
dalam Dewan Ijtimaiyah. Anak- anak sekalian marilah sama-sama kita
berikan tepukan yang gemuruh kepada warga pendidik SK Agama
Sibu.

NYALAAN LILIN SIMBOLIK DAN PERSEMBAHAN VIDEO
Perumpaan orang yang mengajar orang ramai kebaikan tetapi
melupakan dirinya sendiri adalah seperti lilin yang memberikan
cahaya ke atas orang lain dan pada masa yang sama membiarkan
dirinya terbakar. Perumpamaan seorang yang berilmu yang
mengajarkan kebaikan kepada orang ramai, dan melupakan
kepentingan dirinya adalah seperti lampu pelita yang memberikan
cahaya untuk manusia dan membakar dirinya

Begitulah hebatnya penangan seorang guru dalam mendidik dan
mengubah hidup setiap insan. Oleh itu, nyalaan lilin telah dipilih
sebagai simbolik kepada sambutan hari guru di mana lilin yang
terbakar melambangkan semangat juang warga pendidik yang tidak
mengenal erti penat lelah dan putus asa dalam memastikan kejayaan
anak-anak didik mereka.
(Tayangan Video) Guru-guru boleh mematikan lilin.
Dengan hembusan lilin itu tadi, maka bermulalah Sambutan Hari Guru
Peringkat Sekolah bagi tahun 2014. Saya, Muhammad Farid Bin Aziz,
dan saya, Suzieyana Binti Mohamad akan bersama dengan anda
sehingga ke penghujung majlis.

PERMULAAN MAJLIS
Bismillahirrahmanirrahim Assalamulaikum WBT dan Salam
Sejahtera.
Yang Berusaha,
En. Sharkawi Bin Hamdan,
Guru Besar SK Agama Sibu.

Yang Di Hormati,
Puan Anisah Binti Pungut,
Penolong Kanan Kurikulum,

Yang Di Hormati,
Puan Rokiah Binti Julaihi,
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Yang Di Hormati,
En. Azizee Bin Alli Ahmad,
Penolong Kanan Ko-kurikulum.

Barisan pendidik SK Agama Sibu yang disegani,
dan barisan anak pelajar yang di kasihi sekalian.

Bersyukur kita ke hadrat ilahi, kerana pada pagi ini kita diberi
kelapangan waktu untuk sama-sama kita berkumpul di dewan ini bagi
meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah bagi tahun 2014.

Bermain dititi, kawan disisi,
Pohonan ru, setia menemani,
Guru pencetus kreativiti, Penjana inovasi,
Begitulah tema sambutan hari guru, tahun ini.

BACAAN DOA

Disuruh membaca, walau kepenatan,
Disuruh menulis, tiada henti,
Doa dibaca, memohon keberkatan,
Moga majlis, sentiasa diberkati.

Bagi memberkati majlis kita pada hari ini, marilah sama-sama kita
mengaminkan bacaan doa oleh Ustaz Zailan Bin Awang Seman. Majlis
dengan segala hormatnya mempersilakan.

Amin Amin Ya Rabbal `Alamin. Majlis merakamkan ucapan terima
kasih kepada Ustaz Zailan Bin Awang Seman atas bacaan doa itu
sebentar tadi.

UCAPAN ALU-ALUAN

Sidang dewan yang yang dimuliakan,

Tak molek jika ada alu tiada lesungnya,
Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya
Tak berkat ilmu tanpa amalnya,
Tak lengkap majlis jika tidak ada yang berbicara.

Sebagai pembuka persada ucapan, majlis dengan hormatnya
mempersilakan En. Sharkawi Bin Hamdan, Guru Besar SK Agama Sibu
bagi menyampaikan ucapan alu-aluan. Majlis dengan segala
hormatnya mempersilakan.
Majlis merakamkan jutaan terima kasih atas kesudian Yang Berusaha,
En. Sharkawi Bin Hamdan, Guru Besar SK Agama Sibu atas kesudian
beliau menyampaikan ucapan sebentar tadi.

UCAPAN PERUTUSAN HARI GURU
Sidang majlis sekalian, majlis diteruskan dengan ucapan perutusan
hari guru oleh Penyelaras Kebitaraan Bahasa Melayu, En. Abdul Razak
Bin Tahir. Majlis dengan segala takzimnya mempersilakan.

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas ucapan
perutusan hari guru yang telah disampaikan oleh En. Abdul Razak Bin
Tahir sebentar tadi.

BACAAN IKRAR GURU

Pegang kaca, harus beringat,
Terluka dijari, susah nanti,
Ikrar dibaca, penuh semangat,
Janji terpatri, disudut hati.

Beralih kita ke acara seterusnya dengan menjemput semua guru
untuk berdiri bagi menyempurnakan bacaan ikrar yang akan diketuai
oleh En. Muhammad Hakimi Bin Abu Hassan.

Sekarang, kita akan diperdengarkan dengan kelunakan suara warga
guru dengan nyanyian lagu Kami Guru Malaysia dan Pendidik Bumi
Kenyalang.
Demikianlah tadi bacaan ikrar sambutan hari guru dan nyanyian lagu
Kami Guru Malaysia serta Pendidik Bumi Kenyalang daripada guru-
guru yang kita sayangi.

BACAAN SAJAK

Ke Gunung Tahan, meredah rimba,
Ilmu diajar, penuh didada,
Arena persembahan, telah pun tiba,
Dari pelajar, gurupun ada.

Tidak lengkap majlis jika tiada persembahan dari anak-anak didik
kepada guru-gurunya. Untuk itu, majlis diteruskan lagi dengan
deklamasi sajak oleh wakil-wakil murid dari tahun 1 hingga tahun 6.
Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada anak-anak yang telah
mendeklamasikan sajak yang begitu menyentuh hati.



PERSEMBAHAN LAKONAN DAN NYANYIAN
Bagi memeriahkan lagi sambutan hari guru kita pada hari ini, majlis
diteruskan lagi dengan pementasan drama pendek oleh guru-guru
baru SK Agama Sibu. Adakah anda sudah bersedia? Sama-samalah
kita saksikan.

Buat pengetahuan semua, pementasan drama pendek itu tadi di bawah
pimpinan Cikgu Mohd Shafik Bin Said. Diharap semua terhibur.

ACARA PEMOTONGAN KEK
Sekarang, kita telah sampai ke acara memotong kek oleh Tuan Guru
Besar, En. Sharkawi Bin Hamdan diiringi oleh guru-guru Penolong
Kanan dan warga pendidik sekalian. Majlis dengan segala hormatnya
mempersilakan.

Majlis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru
atas kerjasama yang diberikan. Guru-guru dipersilakan duduk.

ANUGERAH KHAS HARI GURU

Anugerah diberi, mencuit hati,
Pilihan dibuat, anak didik sendiri,
Undian diberi, seikhlas hati,
Jasamu terpatri, dekat di hati.

Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian anugerah kepada
beberapa orang guru yang telah berjaya menambat hati para pelajar
SK Agama Sibu. Buat pengetahuan semua, undian telah dijalankan
pada hari Isnin yang lalu oleh pegawai SPR yang telah dilantik
diketuai oleh Cikgu Saiful dan Cikgu Khairizan. Semua guru telah
dicalonkan dan pemilihan telah dilakukan oleh semua pelajar SK
Agama Sibu. Undian tertinggi menentukan pemenang bagi setiap
kategori anugerah guru yang dipertandingkan. Bagi menyempurnakan
majlis penganugerahan ini, majlis dengan segala takzimnya
mempersilakan Yang Berusaha, Tuan Guru Besar, SK Agama Sibu, En.
Sharkawi Bin Hamdan diiringi oleh Puan Anisah Bt. Pungut selaku
Penolong Kanan ke pentas. Para pemenang diminta untuk kekal berada
di atas pentas bagi sesi penggambaran.

Dimulakan dengan:
Anugerah Guru Senyuman Paling Manis
Anugerah Guru Paling Lucu
Anugerag Guru Paling Segak/Cantik
Anugerah Guru Paling Bergaya
Anugerah Guru Paling Tegas
Anugerah Guru Paling Sporting
Anugerah Guru Paling Baik Hati
Anugerah Guru Paling Berdedikasi
Anugerah Guru Paling Penyayang
(Rujuk kepada Senarai Nama Pemenang)

Tahniah diucapkan kepada guru-guru yang berjaya. Kepada yang
kurang bernasib baik, cuba lagi tahun depan untuk memikat hati anak-
anak didik kita.

PENYAMPAIAN HADIAH DAN CENDERAHATI
Sekarang, dijemput barisan pengawas untuk menyerahkan cenderhati
kepada warga pendidik SK Agama Sibu. Dipersilakan.

ACARA BOLING
Pada 13 Mei yang lalu, sekolah kita telah menganjurkan Pertandingan
bowling antara guru-guru dan kakitangan staff SK Agama Sibu yang
bertempat di Sibu Superbowl.
Bagi acara boling berpasukan, kategori lelaki:
Tempat Ketiga, jatuh kepada kumpulan yang diwakili oleh Cikgu Halis,
Hakimi, dan Syahir.
Manakala bagi Naib Johan, dipersilakan, kumpulan yang diwakili oleh
Sir Farid, Sir Fahmie dan Cikgu Syabil.
Dan Johan bagi acara boling berpasukan kategori lelaki, dipersilakan
kumpulan yang diwakili oleh Cikgu Rosdi, Ustaz Zailan dan Cikgu
Hamzan.


Bagi acara berpasukan, kategori perempuan:
Tempat Ketiga, jatuh kepada kumpulan yang diwakili oleh Cikgu
Mastura Bujang, Ustazah Fatimah Affandi dan Siti Khadijah.
Manakala bagi Naib Johan, dipersilakan, kumpulan yang diwakili oleh
Ustazah Hayati, Cikgu Aizat dan Ustazah Siti Maryam.
Dan Johan bagi acara boling berpasukan kategori perempuan,
dipersilakan kumpulan yang diwakili oleh Cikgu Suzila, Cikgu Nurul
Huda, dan Cikgu Suzieyana.
Bagi kategori jatuhan pin boling tertinggi lelaki, dengan jatuhan pin
sebanyak 447 pin, jatuh kepada Cikgu Hamzan.
Manakala, bagi kategori jatuhan pin boling tertinggi perempuan,
dengan jatuhan pin sebanyak 302 pin, jatuh kepada Cikgu Suzila.
Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Kepada yang kurang
berjaya, kita cuba lagi tahun hadapan.

CABUTAN BERTUAH
Majlis dihangatkan lagi dengan hadiah cabutan bertuah. Dengan ini,
majlis diserahkan kepada Sir Amirul Fahmie. Dipersilakan.
Dijemput: Yang Berusaha, En. Sharkawi Bin Hamdan, Guru Besar
SK Agama Sibu.
diiringi oleh: Yang Di Hormati, Puan Anisah Binti Pungut, Penolong
Kanan Kurikulum,
Yang Di Hormati, Puan Rokiah Binti Julaihi, Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid,
Yang Di Hormati, En. Azizee Bin Alli Ahmad, Penolong Kanan Ko-
kurikulum.

JAMUAN HARI GURU
Hadirin sekalian, dengan berakhirnya hadiah cabutan bertuah itu
tadi, maka berakhir sudah majlis kita pada pagi ini. Syabas dan
tahniah diucapkan kepada AJK Induk bagi Sambutan Hari Guru bagi
tahun ini.
Selaku wakil AJK Induk Sambutan Hari Guru tahun ini, kami
menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya ada
terlanjur kata, terlampau cara sepanjang kami mengendalikan majlis
ini dan merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak
yang memberikan kerjasama dalam menjayakan majlis pada hari ini
samada secara langsung atau tidak langsung.

Majlis berakhir penuh syafaat
Menjadi ingatan sepanjang zaman
Amalan sepakat membawa berkat
Hidup beramal bertunjang iman.

Kalau ada jarum yang patah
Banyak kain tidak berjahit
Kalau ada silap dan salah
Jangan jadikan kenangan pahit

Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T dan
kekurangan itu wujudnya daripada kelemahan kami sendiri.

Sekian wabillahi taufik wal hidayah assalamulaikum WBT.
Majlis menjemput Yang Berusaha, Tuan Guru Besar, En. Sharkawi Bin
Hamdan diiringi Guru-guru Penolong Kanan dan warga guru sekalian
bergerak ke bilik mesyuarat bagi menikmati jamuan yang disediakan.

Anda mungkin juga menyukai