Anda di halaman 1dari 24

1

MENGURANGKAN TINGKAH LAKU DISTRUPTIF MURID MASALAH PEMBELAJARAN


DALAM KELAS MATEMATIK DENGAN KAEDAH GANJARAN DAN HUKUMAN
Oleh :
Nurul Imani binti Abd Halim
Jabatan Pendidikan Khas,
Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, 56000 Cheras, Kuala Lumpur.


1.0 PENDAHULUAN

Kajian yang akan dijalankan oleh pengkaji adalah untuk menilai keberkesanan pelaksanaan
kaedah ganjaran dan hukuman terhadap murid bermasalah pembelajaran yang menunjukkan
tingkah laku distruptif. Murid tersebut adalah murid bermasalah pembelajaranyang
menunjukkan tingkah laku distruptif di dalam kelas Matematik yang telah diajar oleh pengkaji
semasa menjalani latihan praktikum di sebuah sekolah sekitar Kuala Lumpur.


1.1 Pengenalan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah diumumkan secara rasminya pada tahun 1988
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001). Oleh itu, arah haluan, asas dan sumber aspirasi bagi
semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan adalah merujuk kepada falsafah
tersebut (Tajul dan Noraini, 1992). Sekolah pula merupakan sebuah institusi yang memainkan
peranan penting dalam merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Manakala,
salah satu elemen utama bagi merealisasikan matlamat tersebut pula adalah keberkesanan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Namun, keadaan ini bukanlah sesuatu yang
mudah sekiranya peranan dan tanggungjawab guru dalam arena pendidikan tidak
dilaksanakan.

Hakikatnya, perbezaan dalam kalangan murid merupakan satu norma dalam
pendidikan. Perbezaan ini mewujudkan pelbagai kebolehan serta kemampuan dalam menjalani
kegiatan fizikal, menyelesaikan masalah, ingatan, mengurus dan mengawal emosi serta
berkomunikasi dan bergaul dengan rakan sebaya (Santrock, John W., 2008). Namun, terdapat
kanak-kanak yang menunjukkan ciri-ciri perkembangan yang berbeza daripada kanak-kanak
biasa, misalnya keupayaan kognitif yang terhad, kesukaran berinteraksi atau berkomunikasi.
Kanak-kanak ini mungkin menghadapi masalah tertentu seperti masalah ketidakupayaan dari
2

segi fizikal, masalah penglihatan, pendengaran, pertuturan, masalah emosi dan tingkah laku,
masalah pembelajaran, terencat akal atau pintar cerdas (Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar
Samuel, 2009). Kanak-kanak ini dikategorikan sabagai murid bekeperluan khas.

Pendidikan juga adalah berteraskan kesedaran terhadap hak sama rata murid. Menurut
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Pendidikan Khas), Azizah Abd Gani (2007)
sebagai warganegara Malaysia pelajar golongan istimewa in mempunyai hak untuk menikmati
arus pembangunan dan juga hak sama rata dalam apa jua bidang termasuklah pendidikan.
Oleh itu, konsep hak sama rata dalam pendidikan telah membuka peluang kepada murid
bekeperluan khas untuk sama-sama belajar di institusi pendidikan yang dinamakan sekolah.
Pendidikan untuk murid bekeperluan khas juga dikenali sebagai Pendidikan Khas.
Perkembangan Pendidikan Khas di negara kita telah mewujudkan program pendidikan kepada
murid bekeperluan khas seperti Program Integrasi Pendidikan Khas di sekolah-sekolah tertentu.

Secara umumnya, terma Pendidikan Khas merujuk kepada pendidikan yang disediakan
untuk kanak-kanak dengan keperluan khas (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2007).
Pendidikan khas juga satu program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai
keperluan murid-murid khas. Perkara ini termasuk penggunaan bahan-bahan khas, peralatan
khas, teknik pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap kebolehan dan keupayaan murid.
(Chua Tee dan Koh Boh Boon,1992). Menurut Calcutta dan Tompkins (1999), pendidikan khas
ialan pendidikan yang bercorak individu yang direka untuk memenuhi keperluan-keperluan
pendidikan yang berkaitan dengan murid-murid kurang upaya. Pendidikan khas juga
menyediakan peluang-peluang pembelajaran yang tidak dapat disediakan dalam kurikulum
yang standardize atau biasa. Oleh itu, pengkaji merumuskan bahawa Pendidikan Khas merujuk
kepada pendidikan yang disediakan kepada murid bekeperluan khas dalam pelbagai kategori
masalah dengan menggunakan bahan bantu mengajar, kaedah dan teknik yang sesuai dengan
murid.

Dalam konteks pendidikan juga, bilik darjah ataupun kelas merupakan medan
perjuangan utama insan yang bergelar guru. Guru merupakan golongan profesional yang
menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab di dalam sesebuah bilik darjah. Tuntasnya,
tugas utama seorang guru adalah menjalankan sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran
dengan mengaplikasikan pendekatan, kaedah, teknik dan strategi yang bersesuaian dengan
situasi murid supaya mereka dapat mempelajari sesuatu yang baharu setiap kali datang ke
sekolah. Oleh yang demikian, tidak hairanlah sekiranya setiap hari guru akan berhadapan
dengan pelbagai ragam dan tingkah laku murid yang tidak dijangka.
3


Peluang dalam pendidikan yang diberikan kepada murid tersebut telah mewujudkan
satu senario yang berbeza berbanding dengan murid normal terutamanya dari segi kognitif dan
tingkah laku. Tingkah laku bermasalah dalam kalangan murid bekeperluan khas boleh
menyebabkan ketidakseimbangan dan gangguan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
yang dilaksanakan oleh seseorang guru. Menurut Akhbar Pardi dan Shamsina Shamsuddin
(2012), tingkah laku bermasalah merujuk kepada semua perlakuan yang menjadi halangan atau
menyebabkan gangguan proses pengajaran dan pembelajaran serta menimbulkan gangguan
kepada pihak guru atau ahli bilik darjah berkenaan daripada menumpukan perhatian kepada
pelajaran.

Menurut Robert H Woody (1992) di dalam bukunya berjudul The School and the
Behaviour Problem Child menyatakan semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan
dalam berbagai bentuk dan ragam. Kanak-kanak tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan
keadaan dan suasana pembelajaran. Keadaan begini selalu menjejaskan pelajaran dan
keupayaan mereka untuk belajar dan berhubung dengan orang lain.

Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah
laku pelajar yang boleh menjejaskan kelicinan atau keberkesanan pengajaran dan pengajaran
khasnya di dalam bilik darjah. Tingkah laku bermasalah boleh berupa negatif atau positif. Yang
pastinya tingkah laku bermasalah ini boleh membawa kesan yang tidak baik atau
memudaratkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian,
adalah menjadi tanggungjawab seorang guru mengenal pasti murid-murid yang bertingkah laku
bermasalah di dalam kelasnya agar strategi atau teknik tertentu dapat digunapakai bagi
memastikan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dapat
berjalan dengan lancar serta berkesan.

Berdasarkan kepada bacaan terhadap beberapa sumber, pengkaji mendapati bahawa
salah satu ciri yang asas untuk menjadi guru Pendidikan Khas yang baik adalah kemampuan
mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar agar proses pengajaran dan
pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar. Kemampuan mengawal tingkah laku murid
menjadi sangat penting sekiranya seseorang guru mengajar di sesebuah bilik darjah yang
menghadapi masalah tingkah laku yang serius.



4

1.2 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran
Pada semester ini, pengkaji telah menjalankan latihan praktikum di sebuah sekolah sekitar
Kuala Lumpur. Pengkaji telah diberi tanggungjawab untuk mengajar mata pelajaran Matematik
bagi kelas Iswara. Kelas tersebut terdiri daripada murid tahap tinggi yang mempunyai tiga orang
murid lelaki. Pengkaji dan murid-murid tersebut telah menjalankan sesi perkenalan yang
dinamakan sesi Ice-breaking pada hari pertama kelas tersebut. Pengkaji mendapati bahawa
murid kelihatan agak malu semasa mereka memperkenalkan diri masing-masing. Sesi Ice-
breaking tersebut mengambil masa lebih kurang 10 minit. Pada hari pertama pengkaji berada
di kelas tersebut, pengkaji mendapati bahawa murid berada keadaan yang terkawal serta
mendengar arahan yang diberikan oleh pengkaji seperti diam dan duduk tegak. Hal ini
mungkin disebabkan oleh perasaan malu apabila berhadapan dengan guru yang baru mengajar
mereka serta mungkin murid takut untuk menunjukkan tingkah laku yang sebenar kepada
pengkaji.

Seterusnya, pengkaji telah menjalankan sesi temu bual tidak berstruktur kepada murid-
murid tersebut. Tujuan temu bual tidak berstruktur diadakan adalah bagi menguji tahap murid
dalam kemahiran Matematik. Beberapa soalan telah pengkaji ajukan kepada murid melibatkan
kemahiran dalam Matematik. Contohnya, pengkaji meminta murid untuk menyebut dan menulis
nombor yang pengkaji sebutkan, operasi tambah dan tolak dalam lingkungan 1 hingga 20 dan
beberapa perkara yang berkaitan dengan aplikasi Matematik dalam kehidupan seharian. Hasil
daripada temu bual secara spontan tersebut menunjukkan bahawa majoriti murid dapat
menjawab hampir keseluruhan jawapan dengan betul serta mendengar arahan yang diberikan
oleh guru. Hal ini menunjukkan bahawa, murid boleh mengikuti aktiviti pengajaran dan
pembelajaran dengan memahami beberapa arahan yang diberikan oleh pengkaji.

Pada hari kedua pula, pengkaji telah memberikan satu ujian yang dinamakan Ujian
Diagnostik untuk mengesan kelemahan mereka dalam kemahiran-kemahiran Matematik. Hasil
daripada ujian diagnostik tersebut, pengkaji mendapati bahawa murid dapat menguasai
kemahiran asas dalam Matematik seperti nombor bulat, menambah dan menolak. Oleh itu,
pengkaji berpendapat bahawa murid di dalam kelas tersebut telah dapat menguasai kemahiran
dalam Matematik tetapi memerlukan banyak aktiviti latih tubi.

Pada 4 Februari 2014, pengkaji telah memulakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
bagi tajuk Operasi Tambah. Sebelum memulakan kelas, murid dilatih memberikan salam
kepada pengkaji. Kemudian, pengkaji melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
dengan set induksi iaitu menyanyi lagu Nombor. Walaubagaimanapun, beberapa minit
5

kemudian, pengkaji mendapati bahawa terdapat seorang murid menangis dengan tiba-tiba
semasa pengkaji berpaling pada papan putih untuk menulis. Apabila ditanya kepada murid
tersebut, dia memberitahu bahawa Murid X mengganggunya dengan mengejek melalui memek
muka. Kemudian, pengkaji menegur Murid X dan memberikan arahan kepada kedua-dua murid
tersebut untuk memberikan fokus semasa pengkaji mengajar.

Walaubagaimanapun, selepas 2 minit Murid X ditegur, dia mengganggu seorang lagi
rakannya. Saya berasa sedikit tercabar dengan kelakuan murid X kerana tidak mendengar
teguran yang telah saya berikan. Oleh itu, emosi saya sebagai seorang guru pelatih agak
terganggu kerana saya perlu memikirkan perkara yang patut saya lakukan untuk menguruskan
tingkah laku murid tersebut. Sebelum saya mengakhiri kelas saya pada hari tersebut, saya
memberikan nasihat dan amaran kepada murid supaya berkelakuan untuk kelas saya yang
seterusnya.

Pada minggu kedua saya meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran Matematik
yang telah dirancang dalam minggu tersebut. Setelah mengimbas kembali aktiviti pengajaran
dan pembelajaran yang telah saya laksanakan, saya mendapati bahawa murid kelas Iswara
mempunyai masalah tingkah laku distruptif yang agak ketara. Ketiga-tiga murid sering kali
menunjukkan tingkah laku yang boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang
telah dilaksanakan. Saya mendapati bahawa kawalan kelas merupakan masalah utama yang
sering saya hadapi. Terdapat banyak tingkah laku distruptif murid yang perlu saya uruskan
setiap hari, antaranya murid tidak mendengar arahan, tidak menghantar kerja rumah, berbual
dengan kawan ataupun bising sewaktu pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Keadaan
ini menyebabkan kelas tidak berjalan dengan lancar dan dari segi pengurusan masa juga turut
terjejas.

Sebelum ini, saya selalu berpegang kepada nilai dan kepercayaan bahawa sekiranya
aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang disediakan adalah berpusatkan kepada murid dan
menarik, maka kawalan kelas tidak akan menjadi satu masalah kerana apabila murid-murid
tertarik dengan aktiviti tersebut, mereka tidak akan mengundang masalah kepada guru. Namun,
pada hakikatnya hasil yang saya perolehi adalah berbeza dengan nilai dan kepercayaan saya.
Masalah kawalan kelas ini boleh wujud disebabkan oleh kurangnya kesedaran murid-murid
tentang pentingnya menjaga kelakuan dan kesan tingkah laku mereka terhadap proses
pengajaran dan pembelajaran harian. Selain itu, saya juga boleh mengesan bahawa terdapat
sebahagian daripada murid-murid saya tidak berminat untuk belajar terutamanya mereka yang
lemah. Faktor ini juga menyumbang ke arah tingkah laku negatif yang ditunjukkan mereka
6

dalam kelas. Selain itu, kawalan kelas yang lemah dan tidak memuaskan boleh menyebabkan
proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan baik
dan berkesan.

Sekiranya saya tidak membetulkan keadaan ini, saya pasti murid-murid dalam kelas ini
tidak akan mengubah tingkah laku negatif yang ada pada mereka sekarang. Lama-kelamaan
masalah akan menjadi lebih serius dan seterusnya mengundang pelbagai masalah sosial
kepada diri, keluarga, sekolah, masyarakat dan juga tanah air kita. Bak kata pepatah Melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai seorang guru, saya harus berusaha untuk membantu
sewaktu mereka masih lagi di peringkat sekolah rendah sebelum terlambat.


1.3 Refleksi Nilai Pendidikan
Berdasarkan kepada masalah yang dihadapi oleh pengkaji semasa menjalani latihan praktikum
tersebut, pengkaji bercadang untuk menggunakan modifikasi tingkah laku dengan
menggunakan kaedah ganjaran dan hukuman. Saya memilih kaedah tersebut kerana
bersesuaian dengan murid Pendidikan Khas yang mempunyai masalah tingkah laku.
Hakikatnya, murid sedemikian sangat suka mendapat pujian atau mendapat hadiah dan
mereka akan menunjuk-nunjuk di hadapan kawan yang lain. Kaedah ini turut membantu dalam
kawalan kelas kerana murid yang berkelakuan baik sahaja yang akan mendapat hadiah dan
pujian. Kebanyakan murid Pendidikan Khas mempunyai ego yang sangat tinggi. Oleh sebab itu,
emosi dan tingkah laku mereka cepat berubah dan tidak menentu kerana mereka tidak akan
kalah kepada rakan mereka yang lain justeru membawa kepada kelakuan yang diingini.

Pada asasnya, pengurusan tingkah laku merupakan kemahiran yang agak sukar
dikuasai walaupun banyak teori dan teknik yang telah dipelajari oleh guru di universiti mahupun
di institut-institut perguruan. Sekiranya kemahiran ini dapat dikuasai dan dihayati oleh guru,
proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah akan menjadi pengalaman yang
menyeronokkan. Bilik darjah yang mempunyai murid-murid yang bertingkah laku baik
menjadikan tugas pengajaran guru one of the most wonderful jobs in the world kerana setiap
hari guru mengalami pelbagai pengalaman yang baru dan berbeza di bilik darjah. Salah satu ciri
yang asas untuk menjadi guru yang baik adalah kemampuan mengurus bilik darjah dan
mengawal tingkah laku murid agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan
dengan lancar.

7

Modifikasi tingkah laku boleh ditakrifkan sebagai satu rancangan untuk memodifikasikan
tingkah laku bermasalah ke satu matlamat yang telah ditetapkan dengan teknik yang sesuai
(Ragbir Kaur a/p Joginder Singh, 2005). Setiap guru mesti ada satu bentuk sistem pengurusan
tingkah laku kawalan kelas, pembelajaran yang sihat dan produktif. Menurut Eileen (2000)
dalam kajiannya tentang kawalan kelas, kebiasaannya sistem kawalan kelas yang lemah
menjadi punca utama kebanyakan proses pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dijalankan
dengan baik. Keadaan ini timbul disebabkan oleh beberapa perkara seperti kurangnya minat
murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran serta kaedah tradisional dalam proses
tersebut masih digunakan. Tambahan pula, kurangnya rasa hormat kepada guru serta hilang
rasa tanggungjawab sebagai seorang murid juga menyebabkan mereka sering tidak
mengendahkan tugasan dan arahan yang diberikan oleh guru.

Murid bermasalah pembelajaran cenderung untuk mempunyai masalah tingkah laku.
Menurut Atkinson (1990), tingkah laku bermasalah ataupun negatif merupakan tingkah laku
yang terkeluar daripada kehendak, norma-norma dan nilai sesuatu masyarakat. Tingkah laku
negatif ini boleh merangkumi tingkah laku destruktif, tingkah laku desruptif, pergantungan
berlebihan, tingkah laku kebimbangan dan sebagainya.

Menurut Stone (2007), sekiranya tingkahlaku boleh dipelajari maka sudah tentu ianya
boleh diubah atau diubah suai. Oleh itu, saya juga percaya bahawa tingkah laku negatif yang
ada pada murid-murid saya dapat diubah dengan menggunakan Kaedah Ganjaran dan
Hukuman yang bakal saya laksanakan. Kaedah Ganjaran dan Hukuman ini merupakan sebuah
kaedah yang diolah dari Teori Pelaziman Operan Skinner. B. F. Skinner (1958) mempercayai
bahawa sesuatu tingkah laku itu dipengaruhi oleh faktor peneguhan sama ada ganjaran atau
dendaan. Dengan adanya ganjaran dan hukuman yang sesuai, maka tingkah laku positif dapat
dikekalkan manakala tingkah laku yang negatif murid-murid akan diubah. Menurut Skinner,
pelaziman operan terdiri daripada empat konsep utama iaitu, peneguhan, denda, prinsip
premack dan pelupusan.

Peneguhan positif ialah memberikan sesuatu ganjaran setelah perlakuan itu ditunjukkan
yang menyebabkan perlakuan itu diulangi atau diteguhkan lagi. Menurut Rahil Mahyuddin
(2002), peneguhan positif meningkatkan berlakunya sesuatu bentuk tingkah laku dengan
adanya rangsangan tertentu. Sesuatu peneguhan itu boleh merupakan benda, sosial seperti
pujian atau token. Segala bentuk rangsangan yang boleh menambahkan kebarangkalian
sesuatu tingkah laku itu akan disifatkan sebagai peneguhan positif.

8

Dendaan dan hukuman adalah satu proses atau tatacara untuk melemahkan atau
mengurangkan berulangnya tingkah laku yang tidak diingini. Tegasnya, dendaan adalah kesan
negatif yang membawa kepada pengurangan dalam kekerapan berlakunya tingkah laku
tersebut. Kaedah ini juga bertujuan untuk menghentikan sesuatu tingkah laku yang tidak
diingini. Menurut Charles (2008), pada tahun 1960-an, kebanyakan guru-guru Pendidikan Khas
mengaplikasikan Teori Operasi Operan dalam kawalan kelas mereka dengan memberi ganjaran
kepada murid-murid yang menunjukkan tingkah laku baik.

Skinner (1958) telah merumuskan Jadual Peneguhan Skinner seperti yang ditunjukkan
di dalam Rajah 1. Pengkaji bercadang untuk mengaplikasikan peneguhan yang berunsurkan
peneguhan Skinner ketika melaksanakan intervensi tersebut.


Rajah 1. Jadual Peneguhan Skinner








PENEGUHAN
Peneguhan
Berterusan
Peneguhan
Berkala
Jadual Nisbah
tetap
berubah
Jadual Masa
tetap
berubah
9

2.0 FOKUS KAJIAN
Walaupun terdapat pelbagai masalah yang ada di dalam kelas Pendidikan Khas, namun saya
ingin memfokuskan kepada penggunaan kaedah ganjaran dan hukuman untuk mengawal
tingkah laku murid.

2.1 Isu Kajian
Kajian ini lebih berfokus kepada kaedah ganjaran dan hukuman untuk memodifikasikan tingkah
laku murid dalam kelas Iswara yang menunjukkan tingkah laku distruptif semasa saya mengajar
kelas Matematik. Kajian ini juga menjurus kepada strategi penyelesaian masalah untuk pengkaji
menguruskan murid yang mempunyai masalah tingkah laku distruptif.

Pengkaji mendapati bahawa tingkah laku distruptif iaitu mengganggu dan menyakat
rakan serta bising di dalam kelas perlu dikurangkan dan diubah suai. Justeru itu, kajian ini
menyarankan penggunaan kaedah ganjaran dan hukuman sebagai teknik modifikasi tingkah
laku.


2.1.1 Tinjauan Awal
Pengkaji menjalankan tinjauan awal bagi mengesan tingkah laku sasaran yang hendak
dikurangkan. Kaedah tinjauan awal yang dilakukan adalah pemerhatian, temu bual berstruktur
dengan tiga orang guru yang mengajar kelas Iswara dan juga analisis dokumen murid.
Kesemua kaedah yang dilaksanakan semasa analisis awal kajian adalah bertujuan untuk
mengenal pasti punca masalah dan merancang intervensi yang sesuai untuk mengurangkan
tingkah laku distruptif murid kelas Iswara iaitu mengganggu dan menyakat rakan serta membuat
bising murid semasa mata pelajaran Matematik yang diajar oleh pengkaji.

Rajah 1. Turutan kaedah tinjauan awal yang dilaksanakan


i) Pemerhatian
Pemerhatian 1 Temu bual Pemerhatian 2
Analisis
Dokumen
10

Langkah pertama yang diambil oleh pengkaji sebagai tinjauan awal adalah membuat
pemerhatian. Sebanyak dua pemerhatian telah dilakukan oleh pengkaji. Pengkaji telah
melabelkan kajian tersebut sebagai Pemerhatian 1 dan Pemerhatian 2. Pemerhatian 1
merupakan pemerhatian yang dilakukan sendiri oleh pengkaji dan Pemerhatian 2 pula adalah
pemerhatian yang dilakukan dengan bantuan pembantu pengurusan murid.

Pemerhatian 1 dilaksanakan oleh pengkaji semasa minggu yang pertama mata
pelajaran Matematik bagi kelas Iswara. Pemerhatian tersebut dilakukan bagi tiga sesi yang
mana setiap sesi adalah 30 minit. Pemerhatian tersebut telah dicatatkan pada borang
pemerhatian. Pengkaji menggunakan kaedah pemerhatian dalam tinjauan awal kerana kaedah
tersebut dapat membantu pengkaji dalam mengklasifikasikan sendiri masalah yang berlaku di
dalam kelas. Pendapat ini disokong oleh Lim Chong Hin (2007) yang menyatakan bahawa
kaedah pemerhatian akan membenarkan penyelidik berganjak daripada data yang berasaskan
persepsi. Dalam konteks ini, pengkaji percaya bahawa masalah yang dikenal pasti sendiri dan
secara langsung oleh pengkaji melalui pemerhatian mempunyai tahap kebolehpercayaan dan
kesahan yang konsisten berbanding dengan hasil temu bual yang dibuat bersama dengan guru.
Oleh itu, pengkaji mendapati bahawa murid kelas Iswara menunjukkan banyak tingkah laku
distruptif semasa pengkaji menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Setelah membuat pemerhatian untuk mengenal pasti masalah, pengkaji mendapati
bahawa masalah yang menjadi penghalang kepada pengkaji untuk melaksanakan proses
pengajaran dan pembelajaran ialah masalah tingkah laku distruptif. Pemerhatian 2 dibuat
setelah pengkaji membuat Pemerhatian 1 dan juga selepas temu bual bersama guru.
Walaubagaimanapun, pengkaji telah meminta bantuan daripada seorang pembantu pengurusan
murid yang bertugas semasa pengkaji menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
Matematik di dalam kelas tersebut. Pengkaji telah menyediakan satu borang senarai semak
untuk kekerapan tingkah laku semua murid. Tingkah laku yang disenaraikan di dalam senarai
semak tersebut adalah berdasarkan kepada catatan pemerhatian dan juga hasil temu bual
bersama tiga orang guru. Sebanyak lima tingkah laku distruptif telah disenaraikan dalam
senarai semak yang disediakan oleh pengkaji. Oleh itu, pembantu pengurusan murid akan
memerhati dan mencatat kekerapan tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid. Hasil daripada
kekerapan yang dicatat, pengkaji akan memilih subjek kajian yang perlu menjalankan
intervensi.

Pemerhatian tersebut dilaksanakan sebanyak tiga kali aktiviti pengajaran dan
pembelajaran oleh pengkaji dalam tempoh masa 30 minit untuk setiap pemerhatian. Kaedah ini
11

juga adalah salah satu prosedur pengumpulan data secara kualitatif iaitu triangulasi data dan
triangulasi penyelidikan bagi mengukuhkan kesahan dan kebolehpercayaan kajian yang
dijalankan oleh pengkaji (Kartini Abdul Mutalib, Ahamad Shabudin Yahya, Rosli Sahat, Badrul
Hisham Alang Osman).


ii) Temu bual berstruktur

Setelah pemerhatian dibuat oleh pengkaji, temu bual pula dilaksanakan bersama guru yang
mengajar kelas Iswara. Tiga orang guru telah ditemu bual iaitu guru Kemahiran Hidup, guru
Pendidikan Muzik dan Guru Bahasa Melayu. Pengkaji menjalankan temu bual bersama guru
yang mengajar subjek lain juga kerana pengkaji ingin mendapatkan keseragaman jawapan
daripada guru-guru yang berpengalaman untuk pengesanan awal tingkah laku distruptif yang
berlaku di dalam kelas Iswara bagi mata pelajaran Matematik.
.
Temu bual menurut Sabitha (2009) ialah situasi yang mana penemu bual akan bertanya
soalan pada seseorang atau lebih responden secara bersemuka.Dalam konteks kajian tersebut,
pengkaji melaksanakan temu bual berstruktur yang berpandukan soalan-soalan yang telah
dibina oleh pengkaji yang mana semua guru disoal dengan soalan yang sama (rujuk Lampiran).
Sebanyak lapan item telah dibina untuk pengkaji menjalankan temu bual. Temu bual berstruktur
yang dijelaskan oleh Johnson (2008) iaitu aktiviti perbualan dan soal jawab yang mana bentuk
dan kandungan soalan-soalan yang hendak ditanya adalah pada sesuatu tajuk atau bidang
tertentu sahaja. Oleh itu, saya mengfokuskan temu bual tersebut kepada tingkah laku murid di
dalam kelas Iswara.


Temu bual tersebut adalah bagi mendapatkan kesahan dapatan bagi data pemerhatian
yang dilaksanakan oleh pengkaji. Hal ini bermakna pengkaji mengaplikasikan triangulasi
kaedah iaitu kaedah pemerhatian dan kaedah temu bual berstruktur dalam kajian tersebut.
Triangulasi kaedah merupakan proses penyemakan data yang mana melibatkan penggunaan
pelbagai kaedah untuk menyelidik fenomena yang sama (Ngu Kok Mee, 2012). Maka,
penggunaan kaedah pemerhatian dengan kaedah temu bual membuktikan bahawa pengkaji
melaksanakan triangulasi kaedah.

12

Setiap temu bual telah dirakamkan dalam bentuk audio dan pengkaji akan mencatat
semula hasil temu bual tersebut dengan rapi dan tersusun di dalam borang catatan temu bual
supaya tiada mana-mana maklumat tercicir.


iii) Analisis Dokumen

Pengkaji juga telah membuat tinjauan awal dengan menganalisis dokumen seperti maklumat
peribadi, laporan perubatan dan juga laporan tingkah laku bagi meninjau punca masalah
tingkah laku distruptif yang timbul dalam kalangan murid kelas Iswara semasa pengkaji
menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Berdasarkan kepada penganalisisan dokumen tersebut terutamanya laporan tingkah
laku murid, pengkaji dapat mengetahui dengan lebih lanjut permasalahan dan tingkah laku yang
telah dilaporkan oleh yang berpengalaman mengajar subjek kajian.Hal ini dapat memberikan
bukti untuk dikaitkan dengan pemerhatian dan hasil temu bual yang telah dijalankan sebelum
ini. Maklumat daripada dokumen tersebut dianalisis dalam bentuk kualitatif.


2.1.2 Analisis Tinjauan Awal
Hasil analisis tinjauan awal berdasarkan kaedah pemerhatian, temu bual berstruktur dan
analisis dokumen adalah seperti yang berikut.

i) Pemerhatian
Pengkaji telah melaksanakan dua pemerhatian terhadap murid kelas Iswara bagi mengesan
masalah dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu Pemerhatian 1 dan Pemerhatian 2. Kedua-
dua pemerhatian menggunakan instrumen yang berbeza iaitu Pemerhatian 1 menggunakan
borang pemerhatian manakala Pemerhatian 2 pula menggunakan senarai semak.

2.1.3 Kriteria Pemilihan Fokus Kajian
Kajian yang akan dijalankan oleh pengkaji adalah berfokuskan kepada tingkah laku distruptif
murid-murid kelas Iswara bagi mata pelajaran yang diajar oleh pengkaji iaitu Matematik.
Pengkaji akan mengaplikasikan kaedah ganjaran dan hukuman sebagai alat intervensi untuk
mengurangkan tingkah laku distruptif iaitu mengganggu dan menyakat rakan serta bising di
dalam kelas.

13

Pemilihan fokus kajian dan kaedah intervensi yang akan digunakan adalah berdasarkan
kepada beberapa kriteria yang telah dikenalpasti.

Kebolehtadbiran
Pengkaji mendapati bahawa tingkah laku negatif dapat dikurangkan dengan menggunakan
peneguhan negatif dan peneguhan positif. Oleh itu, pengkaji akan melaksanakan kaedah
ganjaran dan hukuman untuk mengurangkan tingkah laku distruptif tersebut. Selain itu juga,
pengkaji tidak mempunyai masalah kekangan masa memandangkan dua orang subjek kajian
tersebut adalah murid yang diajar oleh pengkaji sendiri. Oleh itu, intervensi boleh dilaksanakan
semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Pengkaji juga yakin untuk melaksanakan kajian tersebut kerana pengkaji mempunyai
pengetahuan dan kemampuan untuk mengumpul data menggunakan beberapa kaedah.
Antaranya adalah kaedah temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen. Setelah intervensi
dilaksanakan, pengkaji percaya bahawa tingkah laku subjek kajian dapat menunjukkan
perubahan tingkah laku. Jadi, pengkaji mengganggap bahawa kajian yang dijalankan dapat
dipraktikkan di sekolah.

Kepentingan
Pada asasnya, kajian ini bertujuan untuk mengurangkan tingkah laku distruptif dua orang subjek
kajian iaitu mengganggu dan menyakat rakan serta bising di dalam kelas. Pengkaji perlu
menyelesaikan masalah tersebut kerana pengkaji mendapati bahawa tingkah laku yang
ditunjukkan oleh subjek kajian akan menyebabkan fokus murid lain terganggu. Oleh itu, guru
perlu memberhentikan seketika proses pengajaran dan pembelajaran untuk menguruskan
tingkah laku yang ditunjukkannya. Melalui intervensi yang dilaksanakan, pengkaji akan dapat
menyedarkan murid supaya dapat menunjukkan tingkah laku yang positif pada masa akan
datang ataupun semasa bersama dengan guru-guru lain. Justeru itu, fokus kajian ini adalah
penting untuk diberi penekanan.

Kebolehgunaan
Kaedah Ganjaran dan Hukuman dapat digunakan oleh guru untuk menguruskan tingkah laku
bagi mata pelajaran yang lain juga. Kaedah ini boleh diguna secara berkesan kepada semua
murid bermasalah pembelajaran dan juga murid normal mengikut modifikasi tingkah laku yang
bersesuaian. Kaedah ini juga dapat menggalakkan sikap dan nilai murni dalam kalangan murid
ketika di dalam kelas. Kaedah yang digunakan oleh pengkaji juga bersesuaian untuk digunakan
oleh guru-guru untuk menegurangkan tingkah laku negatif yang lain kerana
14

penggunaannyaadalah melibatkan win-win situation iaitu sekiranya murid buat, guru akan
memberikan ganjaran setimpal sesuai dengan tingkah laku yang ditunjukkan.

Kawalan
Dari segi kawalan, pengkaji berkuasa untuk membuat keputusan sendiri dan mengawal aspek-
aspek tertentu dalam kajian iaitu dari segi subjek kajian, pengkaji menentukan skop kajian yang
kecil dan juga memilih sendiri siapa subjek kajian berdasarkan kepada tinjauan awal yang
dilaksanakan. Pengkaji juga telah memilih subjek kajian yang merupakan murid pengkaji
sendiri. Dalam konteks masa intervensi pula, pengkaji tidak mengganggu proses pengajaran
dan pembelajaran guru lain kerana pengkaji menjalankan intervensi tersebut semasa waktu
pengkaji sendiri.

Kolaboratif
Pengkaji telah menjalankan kolaborasi dengan pelbagai pihak di sekolah. Dalam konteks ini,
pengkaji telah mendapatkan kebenaran daripada pihak Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas
sekolah tersebut untuk menjalankan kajian terhadap murid-murid yang telah dipilih.

Di samping itu juga, pengkaji telah membuat kolaborasi semasa tinjauan awal tersebut
bersama-sama guru yang mengajar kelas Iswara. Selain itu juga, pengkaji telah meminta
bantuan daripada pembantu pengurusan murid untuk membuat pemerhatian terhadap tingkah
laku murid semasa pengkaji melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Kerelevanan kepada sekolah
Intervensi ganjaran dan hukuman untuk mengurangkan tingkah laku distruptif perlu dilakukan
kerana relevan kepada pihak sekolah iaitu kepada guru-guru yang mengajar murid Pendidikan
Khas. Di samping itu juga, pencapaian akademik, sahsiah, emosi dan jasmani murid juga dapat
ditingkatkan sekiranya tingkah laku tersebut berjaya dikurangkan kerana kerana ianya tidak
mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.

2.2 Tinjauan Literatur berkaitan Isu Kajian
Tinjauan literatur juga dibuat oleh pengkaji untuk mengukuhkan lagi kajian yang dilaksanakan
oleh pengkaji.

2.2.1 Teori/ model/ pendekatan/ strategi yang berkaitan
Ada banyak model pengurusan tingkah laku. Antaranya adalah model disiplin
tegas (assertive discipline model). Model ini diperkenalkan oleh Lee Canter(1976), dimana
15

perkara-perkara yang melanggar peraturan bilik darjah dinyatakan, peraturan bilik darjah yang
dibentuk oleh guru dan diamalkan di dalam bilik darjah. Canter percaya, sistem disiplin tegas
membolehkan guru menguruskan bilik darjah dengan lebih berkesan. Apabila murid melanggar
peraturan, namanya akan dicatat sama ada pada papan hijau, papan klip ataupun buku catatan.
Murid yang namanya dicatat lebih daripada sekali akan dihantar berjumpa guru besar ataupun
ibu bapanya dipanggil berjumpa guru. Canter juga menegaskan, sistem disiplin bercirikan
tanggapan murid adalah bertujuan mengganggu guru dan mengelak daripada belajar ataupun
supaya guru tidak mengajar. Satu lagi masalah dengan disiplin tegas adalah guru menganggap
murid dapat melakukan sesuatu mengikut disiplin.

Guru yang berpengalaman menganggap murid dapat mengetahui yang sesetengah
tingkah laku boleh diterima di sekolah dan sebahagiaannya tidak. Guru yang percaya murid
mempunyai keinginan kuat hendak belajar menganggap tanggapan ini tidak
wajar. Mereka tahu belajar biasanya mengambil masa, perlu bimbingan dan
ulangan pengalaman. Sistem disiplin tegas menganggap apabila murid diberitahu
peraturan dan manghukum mereka yang melanggarnya akan mengelakkan
perlakuan yang tidak diingini. Pendekatan ini mengawal tingkah laku murid pada waktu itu,
tetapi murid tidak tahu mengapa perlakuan itu tidak diterima atau pun adakah mereka belajar
menyesuaikan diri pada situasi yang lain. Sistem pengurusan tingkah laku yang
menguatkuasakan peraturan oleh golongan dewasa yang berautoriti tidak
membantu murid belajar bertanggungjawab. Walau bagaimanapun, sistem inimengajar murid
mematuhi peraturan yang diamalkan melalui kuasa yang tegas.

Teknik Modifikasi Tingkah Laku merupakan intervensi yang diaplikasikan oleh pengkaji
dalam menguruskan tingkah laku subjek kajian. Teknik Modifikasi Tingkah Laku menggunakan
prinsip peneguhan positif dan peneguhan negatif. Di dalam teori peneguhan, tingkah laku
subjek kajian ditentukan oleh akibat yang bakal diterima selepas tingkah laku ditunjukkan.
Tingkah laku ini akan dipelajari oleh subjek kajian berdasarkan akibat atau peneguhan tersebut.

Subjek kajian akan mempelajari tingkah laku yang diterima atau yang tidak diterima
berdasarkan respon yang diperoleh daripada persekitaran. Oleh itu, akibat memainkan peranan
penting dalam menguatkan atau melemahkan tingkah laku yang akan ditunjukkan pada masa
akan datang.

Secara keseluruhannya, teori peneguhan menyatakan tingkah laku dipengaruhi oleh
akibat selepas tingkah laku ditunjukkan. Selain itu juga, tingkah laku boleh dibentuk, dikekalkan,
16

diteguhkan atau dilemahkan berdasarkan akibat yang diberikan. Malahan, Teknik Modifikasi
Tingkah Laku bertindak berdasarkan tingkah laku yang diberi ganjaran akan diulangi manakala
yang tidak diberi ganjaran akan lupus. Mengikut kajian, peneguhan positif iaitu ganjaran adalah
lebih berkesan daripada dendaan. Maka, guru digalakkan menggunakan peneguhan positif
berbanding peneguhan negatif.

Prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah sangat penting sebagai garis panduan
kepada tingkah laku pelajar di bilik darjah yang diharapkan oleh guru pelatih. Jelaslah untuk
mengurus bilik darjah dengan baik, guru pelatih perlu menetapkan peraturan di bilik darjah yang
telah dipersetujui bersama oleh pelajar sebagai satu kontrak yang dapat mengawal tingkah laku
mereka. Antara contoh peraturan yang perlu diwujudkan ialah seperti peraturan mengenai apa
yang perlu dilakukan oleh pelajar ketika guru mengambil kedatangan pelajar, penggunaan
cecair pemadam, bagaimana prosedur menjawab pertanyaan guru dan juga peraturan khusus
apabila aktiviti kumpulan dijalankan. Kontrak yang ditandatangani ini akan dirujuk sekiranya
pelajar melakukan kesalahan. Robertson (1989) menyatakan guru pelatih perlu yakin, tegas
dan mengetahui tentang haknya untuk bertindak dalam menguruskan tingkah laku pelajar di
bilik darjah. Oleh itu, guru perlu tegas dan konsisten dengan apa yang telah ditetapkan dalam
prosedur peraturan tanpa ada pengecualian kepada mana-mana pelajar. Guru juga perlu
menjelaskan harapannya terhadap pelajar dan perkara-perkara yang tidak disukai
dilakukan oleh pelajar.

Model Modifikasi Tingkah Laku menggunakan prinsip peneguhan. Pendekatan ini
menjurus kepada elemen-elemen luaran untuk mempengaruhi tingkah laku murid. Elemen-
elemen luaran ini berupa peneguhan-peneguhan yang menjadi rangsangan untuk
meningkatkan tingkah laku yang diiingini. Terdapat dua jenis peneguhan, iaitu peneguhan
positif dan peneguhan negative. Peneguhan positif berlaku apabila rangsangan diberikan
seperti hadiah, pujian, markah merit dan sebagainya. Peneguhan ini bertujuan untuk
meningkatkan tingkah laku murid yang diiingini.
Skinner (1931) mendapati tingkah laku individu banyak dipengaruhi atau dibentuk oleh
peneguhan yang diterima sebaik sahaja tingkah laku tersebut ditunjukkan. Oleh itu, menurut
Skinner, untuk mendapat tingkah laku yang diingini, peneguhan dan ganjaran perlu diberi
selepas seseorang menunjukkan tingkah laku tersebut. Rangsangan peneguhan ini diperoleh di
dalam bilik darjah dalam bentuk kejayaan yang diraih selepas berusaha, persetujuan atau
penerimaan rakan sebaya, hadiah, senyuman, anggukan atau pujian yang diperoleh daripada
guru.
17



2.2.1 Kajian lepas yang berkaitan
Kajian yang akan saya laksanakan telah disokong oleh kajian-kajian lepas. Berdasarkan
kepada kajian oleh Mohammad Azman bin Zainuddin (2013), penggunaan kaedah peneguhan
yang berkesan dan terancang akan membolehkan murid-murid pendidikan khas bermasalah
pembelajaran memaksimumkan potensi diri mereka sama ada dalam bidang akademik
mahupun sahsiah diri. Kajian yang dijalankan beliau, menjurus kepada keberkesanan
penggunaan kaedah ganjaran bintang bagi mengurangkan masalah tingkah laku distruptif
murid-murid pendidikan khas bermasalah pembelajaran.
Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif untuk mengumpul data. Pengkaji telah memilih
seramai tiga orang pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran yang berumur lapan tahun
sebagai subjek kajian. Keputusan kajian menunjukkan bahawa kaedah peneguhan secara
pemberian ganjaran berkesan dalam mengurangkan tingkah laku distruptif murid-murid
pendidikan khas bermasalah pembelajaran. Pengkaji telah mendapati bahawa dengan
menggunakan kaedah ganjaran bintang, murid akan lebih patuh akan arahan guru serta tingkah
laku distruptif murid menjadi lebih terkawal. Oleh yang demikian, melalui kajian ini, murid-murid
pendidikan khas akan dapat memaksimumkan dapatan pembelajaran apabila dapat
mengurangkan tingkah laku distruptif yang telah menjadi kebiasaan dalam diri
mereka.Manakala, kajian yang akan saya laksanakan juga telah merujuk kepada kajian yang
telah dilaksanakan oleh Tuan Hazirah binti Tuan Hussin (2013).
Kajian yang dilaksanakan beliau adalah bagi mengatasi masalah tingkah laku distruptif
murid bermasalah penglihatan Tahun 4 Ros dengan menggunakan kaedah peneguhan positif
serta membuat kajian tentang keberkesanan kaedah yang digunakan dalam menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Pengkaji telah melaksanakan kajian terhadap seorang murid
bermasalah penglihatan daripada kelas Tahun 4 Ros di Sekolah X. Fokus kajian ini adalah
untuk melihat sejauh mana keberkesanan kaedah peneguhan positif dalam mengatasi masalah
tingkah laku distruptif murid bermasalah penglihatan.
Pengkaji telah mendapati bahawa semasa membuat tinjauan awal, subjek kajian telah
menunjukkan tingkah laku distruptif seperti tidak membuat tugasan, menconteng tugasan dan
mengganggu rakan. Oleh itu, pengkaji telah menggunakan kaedah peneguhan positif iaitu token
ekonomi dan pujian bagi mengatasi masalah ini. Hasil dapatan kajian ini menunjukkan
kekerapan tingkah laku distruptif murid sudah berkurang setelah menjalankan intervensi pada
kitaran 1 dan 2. Selain itu, keputusan kajian juga telah menunjukkan peningkatan tingkah laku
18

positif oleh subjek kajian setelah kaedah peneguhan positif dijalankan semasa proses
pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, kajian ini jelas menunjukkan bahawa peneguhan positif
dapat mengatasi masalah tingkah laku distruptif murid bermasalah penglihatan Tahun 4 Ros.

Kajian seterusnya dijalankan oleh Nor Ramizah binti Zulhaimee (2013). Kajian ini juga
adalah bertujuan untuk mengurangkan tingkah laku distruptif dalam kalangan murid slow
learner menggunakan kaedah token ekonomi melalui Carta Tingkah Laku Sasaran (CarTLaS).
Walaupun terdapat beberapa masalah tingkah laku distruptif yang lain, kajian ini hanya
memberikan tumpuan terhadap tingkah laku distruptif yang sering dilakukan oleh murid slow
learner iaitu bising, mengejek dan terlalu suka bercakap. Dapatan tinjauan awal yang diperoleh
melalui pemerhatian, senarai semak, temu bual dan analisis dokumen menunjukkan bahawa
tingkah laku bising , mengejek dan terlalu suka bercakap merupakan tingkah laku yang
mempunyai kekerapan tertinggi dan berada di tahap kritikal. Pengkaji mendapati bahawa
masalah ini perlu diberi perhatian kerana mengganggu kelancaran pengajaran dan
pembelajaran. Masalah tingkah laku distruptif ini juga sering berlaku di sekolah-sekolah. Oleh
yang demikian, pengkaji telah memilih kaedah kajian token ekonomi melalui penggunaan Carta
Tingkah Laku Sasaran (CarTLaS) sebagai langkah intervensi.
Instrumen pengumpulan data yang digunakan dalam kajian ini ialah melalui pemerhatian
iaitu perekodan kekerapan masa dan persampelan masa. Manakala, instrument lain ialah temu
bual dan analisis dokumen. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa penggunaan CarTLaS
berjaya mengurangkan masalah tingkah laku distruptif bising, mengejek dan terlalu suka
bercakap dalam kalangan murid slow learner.








3.0 OBJEKTIF KAJIAN
19

Kajian ini dilaksanakan adalah bertujuan supaya murid dapat memenuhi beberapa objektif
tertentu.


3.1 Objektif Umum
Secara umumnya, objektif umum kajian ini dilaksanakan adalah bagi mengurangkan tingkah
laku distruptif yang sering dilakukan oleh murid di dalam kelas Iswara iaitu mengganggu rakan
dan tidak membuat tugasan yang diberikan semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran
dengan menggunakan kaedah ganjaran dan hukuman.


3.2 Objektif Khusus
3.2.1 Meningkatkan keberkesanan kawalan kelas dengan menggunakan kaedah
ganjaran dan hukuman.

3.2.2 Menarik minat murid terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran Matematik
dengan menggunakan kaedah ganjaran dan hukuman.

3.2.3 Mengurangkan tingkah laku distruptif iaitu mengganggu rakan dan tidak
membuat tugasan dengan menggunakan kaedah ganjaran dan hukuman.











4.0 KUMPULAN SASARAN
20


Setelah analisis awal dilaksanakan, pengkaji mendapati bahawa terdapat dua orang murid yang
perlu menjalankan intervensi untuk mengurangkan tingkah laku distruptif yang ditunjukkan
semasa di dalam kelas Matematik.


Murid tersebut merupakan murid bermasalah pembelajaran yang berada di dalam kelas
Iswara yang mana kedua-duanya adalah berbangsa Melayu dan jantina lelaki. Kedua-dua
orang murid tersebut emrupakan murid berkefungsian tinggi iaitu boleh menulis, membaca dan
mengira.Walaupun mereka merupakan murid berkefungsian tinggi, mereka mempunyai
masalah tingkah laku distruptif yang perlu dikurangkan. Pengkaji memilih dua orang murid
tersebut kerana mereka menunjukkan tingkah laku distruptif yang paling menonjol iaitu
mengganggu dan menyakat rakan yang lemah serta bising semasa pengkaji sedang
menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, pengkaji telah melabelkan subjek
kajian sebagai Murid X dan Murid Y.

Murid X merupakan murid yang berumur 12 tahun yang mempunyai masalah
pembelajaran kategori hiperaktif dan juga kurang upaya intelek yang minimum.
Walaubagaimanapun, Murid X tidak mepunyai masalah keupayaan fizikal serta boleh bergerak,
menguruskan kehidupan seharian serta boleh berkomunikasi dengan individu di sekeliling.
Walaubagaimanapun, Murid X mempunyai masalah tingkah laku iaitu mengganggu dan
menyakat rakannya yang lemah di dalam kelas tersebut. Oleh itu, pengkaji mendapati bahawa
Murid X perlu menjalankan intervensi untuk menguruskan tingkah lakunya.

Manakala, Murid Y pula adalah murid yang berumur 13 tahun yang merupakan murid
bermasalah pembelajaran kategori lembam. Murid Y juga tidak mempunyai masalah fizikal dan
boleh menguruskan diri serta berkomunikasi dengan individu di sekeliling. Pengkaji mendapati
bahawa Murid Y pula suka membuat bising semasa pengkaji menjalankan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran.





5.0 TINDAKAN YANG DICADANGKAN
21

Pengkaji akan menjalankan kajian dengan mengadaptasi Model Kemmis dan McTaggart seperti
yang dinyatakan oleh Pasukan Penyelidik (2013) dalam Penyelidikan Tindakan Panduan Penulisan
Laporan. Pengkaji memilih model kajian tindakan tersebut kerana pengkaji yakin dan percaya
bahawa model tersebut dapat membantu pengkaji untuk menyelesaikan masalah yang dapat
membantu penambahbaikan amalan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran (Mertler, 2006).


5.1 Kitaran Kajian 1




Rajah 2. Kitaran 1

5.1.1 Perancangan
Tingkah laku sasaran adalah tingkah laku yang dipilih untuk diberi keutamaan dalam proses
perubahan. Pengkaji akan memilih tingkah laku sasaran
5.1.2 Tindakan
5.1.3 Pemerhatian
5.1.4 Refleksi

MERANCANG
- Menetapkan
peraturan-peraturan di
dalam bilik darjah
BERTINDAK
- Melaksanakan
ganjaran dan
hukuman pada masa
murid menunjukkan
tingkah laku distruptif
MEMERHATI
- Tingkah laku murid
semasa pengkaji
menjalankan aktiviti
pengajaran dan
pembelajaran
Matematik
REFLEKSI
- Murid
memberhentikan
tingkah laku apabila
ditegur
KITARAN 2

KITARAN 1
22

5.2 Cara Pengumpulan Data/ Penganalisisan Data
5.2.1 Pemerhatian
5.2.2 Temu bual

5.3 Cara Menganalisis Data
5.3.1 Pemerhatian (Senarai Semak)
5.3.2 Temu bual

5.4 Perancangan Pelaksanaan Tindakan
Pengkaji telah mengstrukturkan penyelidikan yang dijalankan mengikut tempoh masa dan
peruntukan kewangan sebagai panduan kepada pengkaji.

5.4.1 Jadual Pelaksanaan
Pengkaji telah merangka dan merancang jadual kajian tersebut kepada beberapa aktiviti mengikut
bulan. Jadual menunjukkan perancangan tindakan yang bermula daripada latihan praktikum Fasa 3
hingga ke pembentangan. Walabgaimanapun, tarikh aktiviti bagi pelaksanaan kajian mungkin
diubah mengikut keperluan semasa dan keadaan.

Jadual. Jadual Perancangan Pelaksanaan Tindakan.
Bil Aktiviti Bulan
J F M A M J J O S O
1 Suai kenal bersama murid /
2 Menjalankan tinjauan awal /
3 Menganalisis tinjauan awal /
4 Mengenal pasti masalah pengajaran
dan pembelajaran.
/
5 Mengumpul maklumat murid /
6 Menulis kertas cadangan kajian /
7 Merancang dan membina instrumen /
8 Pra-intervensi /
9 Melaksanakan Kitaran 1 /
10 Menganalisis data /
11 Menghantar kertas cadangan /
12 Melaksanakan kitaran 2 /
13 Menganalisis data /
14 Pasca Intervensi /
15 Refleksi Kajian /
16 Menulis laporan / / /
17 Pembentangan dapatan kajian /
23


5.4.2 Kos Kajian

Pengkaji telah membuat anggaran kos untuk melaksanakan kajian tindakan tersebut. Jadual
menunjukkan kos semasa bagi item yang akan digunakan semasa melaksanakan kajian tindakan
tersebut.

Sumber kewangan diperolehi melalui peruntukan elaun kajian tindakan yang telah diberikan
kepada pengkaji dan juga sumber persedirian.

Bil Item Harga Seunit (RM) Kuantiti Jumlah
(RM)
1 Kertas 12.50 5 62.50
2 Dakwat pencetak 10.00 4 40.00
3 Penjilidan 100.00 5 500.00
JUMLAH (RM) 602.50




















Rujukan
24

Pasukan Penyelidik. (2013). Penyelidikan Tindakan Panduan Penulisan Laporan. Insitut Pendidikan
Guru Kampus Ilmu Khas. Kuala Lumpur: Freemind Horizons.
Mertler, C.A. (2006). Action Research: A guide for the teacher researcher (2
nd
ed.). Upper Saddle
River, NJ: Pearson, Merrill Prentice Hall

Anda mungkin juga menyukai