Anda di halaman 1dari 5

Bagaimana batuan di kelaskan ?

Kerak bumi terdiri daripada beraneka jenis batu-batan. Tiap-tiap batu-batan ini berbeza
daripada yang lainnya, baik tentang corak, bentuk rupa, warna, ketelusan air, cara terjadinya,
mahupun kekuatannya menahan kuasa gondolan. Bagi ahli-ahli geologi yang mengkaji
kandungan dan perkembangan bumi secara fizikal, pengetahuan tentang batu-batan ini sangatlah
penting. Begitulah juga bagi ahli-ahli Geografi. Mereka perlu mempunyai pengetahuan asas
tentang jenis jenis batu-batan yang biasa terdapat dan juga hubungannya dengan rupa bumi.
Batu-batan juga menjadi asas bagi tanah-tanih dan sedikit sebanyaknya menentukan jenis jenis
tumbuhan dan penggunaan tanah-tanih di sesuatu kawasan. Oleh itu kita perlu mengetahui dan
mengenal batu-batan yang terdapat di sekeliling kita.
Pengkelasan ini dibuat dengan berdasarkan
(a) kandungan mineral iaitu jenis-jenis mineral yang terdapat di dalam batuan ini.
(b) tekstur batuan, iaitu saiz dan bentuk hablur-hablur mineral di dalam batuan;
(c) struktur batuan, iaitu susunan hablur mineral di dalam batuan.
Secara umum, batu-batan boleh digolongkan kepada tiga kumpulan yang besar iaitu:
(a) batuan igneus;
(b) batuan enapan;
(c)batuan metamorfosis.


Batuan Igneus
Batuan igneus terjadi akibat daripada penyejukan dan pembekuan magma dari dalam kerak
bumi. Batu ini biasanya berbentuk hablur, tidak berlapis-lapis dan tidak mengandungi fosil. Batu
igneus boleh dikelaskan berdasarkan kandungan bahan-bahan logam di dalamnya. Jikalau
batuan ini mengandungi lebih banyak silika maka batu itu digolongkan sebagai batuan asid.
Sebagai batuan granit, batuan igneus jenis asid ini tidaklah padat dan lebih muda warnanya
daripada batuan bes. Batuan bes pula lebih padat dan lebih hitam warnanya kerana banyak
mengandungi oksid bes, seperti besi, aluminium dan magnesium. Dari segi asal kejadiannya,
batuan igneus boleh dikelaskan kepada dua jenis iaitu :
l. Batuan Igneus Plutonik atau Rejahan - Batu ini adalah batu igneus yang terjadi di bahagian
bawah kerak bumi. Penyejukan dan pembekuan cecair ini berlaku secara perlahan-lahan. Oleh
kerana itu terjadilah hablur-hablur kasar yang mudah dikenal. Batu jalar dalam ini, umpamanya
granit, diorit dan gabro terdedah di permukaan bumi akibat daripada proses gondolan dan
hakisan.
2. Batu Gunung Berapi atau Terobosan - Batu gunung berapi adalah batu cecair yang telah
melimpah keluar dari gunung berapi sebagai lava. Lava ini membeku dengan cepat di permukaan
bumi dan hablur yang dihasilkannya berbentuk halus. Batu gunung berapi atau batu jalar luar
yang biasa terdapat ialah batu basol. Batu basol ini menghasilkan hanyutan lava, litupan lava dan
daratan tinggi lava. Setengah-setengah batu basol membeku dengan cara yang luar biasa dan
menghasilkan menara-menara batu. Sebahagian daripada lava cair itu mungkin mengalir keluar
melalui rekahan-rekahan. Lava cair itu kemudian membeku dalam bentuk daik yang tegak dan sil
yang datar.
Kebanyakan batu igneus keras lagi kukuh. Oleh kerana itulah batu igneus biasanya
dipecahkan untuk kegunaan membuat jalan raya, tugu-tugu peringatan dan batu-batu nisan yang
berukir.


Batuan Enapan
Batu enapan terjadi daripada enapan yang terkumpul di kawasan perairan. Kejadiannya
memakan masa yang panjang. Batuan ini dapat dibezakan daripada batuan jenis lain oleh sifat-
sifatnya yang berlapis-lapis. Oleh sebab itu batuan ini disebut batu-batan berlapis. Tebal
lapisannya berbeza-beza dari beberapa sentimeter hingga ke beberapa meter. Bentuknya kasar
atau berbiji-biji halus, mungkin juga lembut atau keras. Bahan-bahan yang membentuk batuan
enapan ini mungkin telah diangkut oleh sungai-sungai, glasier, angin atau binatang-binatang.
Batuan enapan tidak berhablur dan seringkali mengandungi fosil-fosil binatang, tumbuh-
tumbuhan dan hidup-hidupan halus. Batuan enapan inilah yang paling berbeza sekali cara
kejadiannya jika dibandingkan dengan batuan lain, batuan enapan dapat dikelaskan berdasarkan
umurnya. Berbagai-bagai jenis batu-batan yang terjadi dalam jangka waktu yang sama telah
dijeniskan ke dalam satu golongan. Mengetahui sifat-sifat pelbagai jenis batu-batan itu sangatlah
penting. Batuan enapan boleh dikelaskan kepada tiga jenis utama dengan berdasarkan kepada
asal kejadiannya dan kandungannya iaitu :
l. Batuan enapan yang terjadi secara mekanik - Batuan jenis ini terjadi daripada pemaduan
bahan-bahan yang terkumpul daripada batuan yang lain. Batu pasir merupakan batuan enapan
yang paling banyak terdapat. Batuan ini terjadi daripada pasir dan kadang-kadang serpihan batu
kuarza. Susunan, kandungan dan warnanya sangatlah berbeza-beza. Batu pasir banyak
dipecahkan di kuari-kuari untuk kegunaan membuat rumah atau membuat batu penggiling. Batu
pasir yang lebih besar dikenal sebagai grit. Apabila batu-batu kelikir yang lebih besar berpadu
dengan kukuhnya sehingga menjadi batu besar, maka batuan itu disebut konglomeret (sekiranya
bulat) dan brekia (sekiranya bersegi-segi). Batuan enapan yang lebih halus menjadi tanah liat
yang banyak digunakan untuk membuat bata, syil atau batu lodak. Pasir dan batu kelikir
mungkin terdapat dalam bentuk yang tidak berpadu.
2. Batuan enapan yang terjadi secara organik - Batu ini terjadi daripada bangkai hidup-hidupan
yang halus. Contohnya, organisma seperti karang dan kerang yang telah reput dagingnya akan
meninggalkan kulit-kulit yang keras. Kebanyakan batu yang terjadi secara ini terdiri daripada
jenis kalkeria antaranya termasuklah batu kapur dan kapur. Batu yang mengandungi karbon juga
terjadi secara organik. Batuan ini terjadi daripada pemendapan tumbuh-tumbuhan yang telah
reput seperti yang terdapat di kawasan paya dan hutan. Batuan di atas memberikan tekanan
kepada tinggalan tumbuh-tumbuhan itu dan memampatkannya menjadi jisim karbon yang padat.
Akhirnya tinggalan ini menjadi gambut, lignit atau arang batu. Semua bahan-bahan ini sangat
tinggi nilainya dari segi ekonomi.
3. Batuan enapan yang terjadi secara kimia - Batu jenis ini terenap melalui tindakan kimia
larutan yang berbagai jenis. Natrium klorid (garam batu) berpunca daripada lapisan yang pada
satu masa dahulu berada di dasar laut atau tasik. Gipsum atau kulsium sulfat didapati dari
penyejatan yang berlaku di tasik-tasik masin seperti Laut Mati yang sangat masin airnya itu.
Kalium karbonat dan nitrat juga terjadi dengan cara yang sama.

Batuan Metamorfosis

Tekanan dan haba yang sangat tinggi akan menyebabkan semua batu-batuan, baik batuan
igneus mahupun batuan enapan akan bertukar menjadi batuan metamorfosis. Sifat-sifat asal
batuan tersebut mungkin berubah oleh kuasa-kuasa tersebut di atas taditerutamanya apabila
pergerakan bumi yang sangat kuat berlaku dan dengan cara ini tanah lempung akan berubah
menjadi batu loh, batu kapur menjadi batu marmar, batu pasir menjadi kuarzit, batu granit
menjadi gneis, syal menjadi syis, arang batu menjadi grafit dan grafit menjadi berlian. Batuan
metamorfosis seperti batu marmar dan syis banyak dijumpai di Malaysia. Batu marmar misalnya
boleh didapati di Pulau Langkawi dan syis pula boleh didapati di kawasan pergunungan di
Sarawak.
Batuan metamorfosis ialah batuan yang telah mengalami perubahan fizikal dan kimia
akibat haba dan tekanan yang sangat tinggi. Perubahan fizikal dan kimia yang dimaksudkan itu
ialah perubahan dari segi tekstur, struktur dan komposisi mineral batuan. Batuan metamorfosis
mungkin berasal daripada batuan igneus, batuan enapan atau batuan metamorfosis yang lain.
Suhu yang diperlukan untuk berlakunya proses metamorfisma ialah antara 100C hingga 800C.
Pada suhu ini batuan masih lagi berkeadaan lembut. Dalam keadaan yang lembut ini, batuan
boleh berubah dari segi susunan mineralnya. Hablur dalam mineral pula boleh berubah dari segi
saiz dan bentuknya. Komposisi batuan juga boleh berubah akibat tindak balas kimia. Tekanan
yang kuat mungkin menghimpit hablur menjadi rata atau panjang. Apabila magma panas
mengalir keluar ke permukaan muka bumi ataupun memasuki celah-celah rekahan, batuan kerak
bumi yang disentuhnya berubah menjadi batuan metamorfosis. Proses ini dikenali sebagai
metamorfisma terma. Batu marmar dan slat bintik terbentuk secara metamorfisma terma ini.
Metamorfisma yang berlaku secara besar-besaran adalah metamorfisma serantau. Di kawasan
kerak bumi yang pernah mengalami proses pembentukan gunung terdapat batuan metamorfosis
seperti syis dan gneis. Hal ini terjadi apabila batuan yang terdapat jauh di dalam kerak bumi
mengalami tekanan yang kuat dan haba yang tinggi. Tekanan dan haba yang tinggi menyebabkan
batuan mertgalami proses penghabluran semula.
Batuan metamorfosis mempunyai ciri-ciri yang jelas. Kesemua batuan metamorfosis
mempunyai struktur berhablur. Batuan metamorfosis mempunyai mineral yang sama seperti
batuan igneus, tetapi sering terdapat juga mineral yang hanya terbentuk pada suhu dan tekanan
yang sangat tinggi. Sesetengah batuan metamorfosis mampat dan menjadi lebih padat akibat
tekanan yang sangat tinggi yang dialaminya. Pemadatan batuan menyebabkan molekulnya
menjadi lebih rapat dan isipadu batuan lebih kecil. Sesetengah batuan metamorfosis yang
berjalur mempunyai mineral yang tersusun dalam lapisan-lapisan yang selari. Batuan
metamorfosis berjalur ini terjadi apabila mineral dalam batuan itu mengalami penghabluran
semula atau terhimpit akibat tekanan. Jaluran juga terjadi apabila mineral yang mempunyai
kepadatan berlainan terasing lalu membentuk lapisan-lapisan. Contoh batuan berjalur ialah batu
loh dan syis. Batuan ini boleh pecah menjadi lapisan-lapisan yang nipis. Batuan metamorfosis
tidak berjalur seperti batu marmar dan kuarzit pula tidak boleh pecah kepada beberapa lapisan.

Anda mungkin juga menyukai