Anda di halaman 1dari 8

BAB 2

TINJAUAN LITERATUR

2.1 PENDAHULUAN

Kajian ini adalah mengenai tahap penguasaan murid-murid tahun 3 terhadap
penggunaan huruf besar pada pangkal kata nama khas. Oleh sebab itu, pengkaji akan
membincangkan mengenai beberapa perkara seperti teori dan kajian terdahulu yang
berkaitan dengan huruf besar, kata nama khas, kaedah serta strategi kajian.

2.2 TEORI BERKAITAN

Dalam kajian ini saya akan menggunakan Teknik Bulatan untuk memantapkan
penguasaan murid-murid terhadap penggunaan huruf besar pada pangkal kata nama
khas. Teknik yang akan digunakan memerlukan latih tubi selain dari kefahaman
konsep yang baik. Watson (1930) berpendapat untuk mengukuhkan perkara yang
dipelajari dalam ingatan, latihan hendaklah dijalankan berulang kali. Vygotsky
(1934) pula menyatakan, ilmu pengetahuan dibina melalui proses saling pengaruh
dengan pembelajaran terdahulu.

Dalam peringkat perkembangan kognitif menurut Piaget, (1954) kanak-kanak
berumur 7 11 tahun berfikir secara logik dan konkrit. Pemikirana kanak-kanak
tidak lagi bersifat egosentrik dan mula menerima pandangan orang lain. Ini
bermakna mereka boleh menerima mengapa mereka harus diberikan latih tubi untuk
memperbaiki kelemahan mereka. Pada peringkat ini juga, mereka boleh
menyelesaikan masalah secara cuba-jaya serta belajar dari kesilapan.

Menurut Havighurst (1953) proses pertumbuhan kanak-kanak 6 12 tahun
menyediakan kanak-kanak untuk pengalaman pembelajaran seperti membaca,
menulis dan mengira. Dalam aktiviti latih tubi juga akan dapat mengekalkan ingatan
jangka pendek di mana maklumat baru diaktifkan secara ulang sebut berkali-kali.
Menurut Woolfolk (1998) pemprosesan maklumat bermaksud aktiviti mental
manusia berkaitan dengan menerima maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya
semula untuk digunakan seperti yang ditunjukkan dalam Model Pemprosesan
Maklumat Gagne (1985) berikut.









Rajah 3 : Model Memproses Maklumat Gagne, 1985




2.3 KAJIAN LEPAS

Kamarudin Hj Husin (1988) menyatakan bahawa tulisan ialah bahasa yang bertulis
dengan lambang- lambang bunyi. Ketika tulisan itu dibunyikan semula, ia dikatakan
bahasa.

Oleh sebab itu, kemahiran menulis mestilah dikuasai oleh murid semenjak
daripada sekolah rendah lagi sebelum masuk ke alam sekolah menengah untuk
mengelak permasalahan yang berkaitan dengan kemahiran menulis berlaku seperti
kekeliruan dalam penggunaan huruf besar dan huruf kecil dalam penulisan.
Zailan Jemat ( 2005 ) ada menyatakan bahawa huruf besar tidak boleh
dituliskan di tengah sesuatu perkataan kerana perbuatan itu merupakan suatu
kesalahan tanda baca. Kaedah imej visual dipilih bagi membantu masalah murid
dalam menggunakan huruf kecil pada huruf pertama perkataan pertama sesebuah
ayat, menggunakan huruf kecil pada Kata Nama Khas dan menggunakan huruf besar
pada Kata Nama Am.

Menurut Abdul Karim Jaafar, huruf besar digunakan pada huruf pertama
yang memulakan ayat, kata nama khas, pada huruf pertama selepas tanda seru, tanda
soal dan tanda petik.

Azman Wan Chik (1987) dalam kajiannya mendapati kekerapan kesilapan
tanda baca 75 orang murid tahun lima dan enam di Melaka umumnya melebihi 50%.
Secara khusus, peratus kesilapan 40 orang murid dalam kumpulan satu bahasa adalah
seperti yang berikut:
Tidak menggunakan huruf besar pada huruf pertama awal ayat (68.83%)
Tidak menggunakan noktah pada akhir ayat (65.85%)
Tidak menggunakan koma bagi memisahkan anak kalimat yang mendahului
induk kalimat (32.93%)
Menggunakan huruf besar pada tempat yang tidak diperlukan (29.87%)

Sementara Mohd. Isa, Haradin dan rakan-rakan (1996) dalam kajian mereka
melaporkan 96% pelajar tingkatan 2 di sebuah sekolah menengah di Sabah
melakukan kesilapan tanda baca, termasuk penggunaan huruf besar dan huruf kecil.
Dalam ujian berbeza di sekolah sama, mereka melaporkan 80% pelajar yang sama
melakukan kesilapan dalam penulisan huruf besar dan huruf kecil.

Menurut Mohd Salim Ahmad (1994), aspek tanda baca dan ejaan seolah-olah
seperti masalah kecil dalam aspek kemahiran bahasa pendidikan Bahasa Melayu di
sekolah rendah dan menengah. Hal ini menyebabkan pelajar kurang memberi
perhatian terhadap tanda baca dalam penulisan mereka. Guru pula kurang memberi
penekanan terhadap tanda baca dalam pengajaran mereka.

Menurut Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa dan Abdullah
Hamid Mahmood (2007), kata nama am ialah perkataan yang merujuk kepada benda
atau perkara yang umum sifatnya. Kata nama am dapat dibahagikan kepada dua
jenis, iaitu kata nama am konkrit dan kata nama am abstrak. Dari aspek penulisan
kata nama am, huruf pertama tidak semestinya huruf besar. Kata nama khas ialah
kata yang mendukung makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan,
benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat dan
seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf
besar. Kata nama khas pula dibahagikan kepada dua, iaitu nama khas hidup dan
nama khas tidak hidup. Nama khas hidup pula dibahagikan kepada dua, iaitu
manusia dan bukan manusia.
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), kata nama khas dieja dengan huruf
besar pada awal perkataan. Kata nama khas digunakan khusus merujuk manusia,
benda, tempat, negara, bangsa, institusi dan seumpamanya.

Menurut Sulaiman Masri (2006), nama am dan nama khas merupakan dua
unsur mekanik dalam penulisan. Penulisan nama am dan nama khas perlu mematuhi
peraturan tertentu. Misalnya, penggunaan huruf besar, dianggap penting kerana
huruf ini member makna serta pengertian tersendiri apabila digunakan dalam konteks
yang tertentu.

Nik Safiah Karim (2003) juga menyatakan, satu lagi aspek penggunaan tanda
sempang yang mengelirukan adalah yang melibatkan huruf besar. Sebagai contoh
ialah huruf besar bagi menandakan rujukan kepada Tuhan. Misalnya, rahmat-Mu
dan hamba-Nya. Di sini, tanda sempang digunakan untuk merangkaikan huruf kecil
yang mendahuluinya dengan huruf besar yang mengikuti. Hal ini berlaku juga pada
nama khas yang lain. Misalnya, anti-Rusia, pro-Malaysia dan pan-afrika, termasuk
bagi huruf besar yang mendahului huruf kecil, misalnya KDN-nya. Gelaran si pula
lazimnya dieja dengan huruf kecil, kecuali ketika berada pada permulaan ayat atau
sebagai nama khas.

Sulaiman Masri (2006) juga menyatakan, singkatan nama khas untuk gelaran
dan jawatan ditulis dengan huruf besar dan dibubuh tanda titik selepas setiap huruf.
Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan menggunakan teknik dan
kaedah berbeza bagi mengatasi masalah penggunaan huruf besar pada kata nama
khas. Carmelya (2010) telah menggunakan imej visual untuk membantu
mengurangkan masalah murid dalam penggunaan huruf besar dan huruf kecil dalam
penulisan yang mana beliau menggunakan keluarga ayam sebagai bahan bantu
utama untuk mengatasi masalah penggunaan huruf kecil pada huruf pertama dalam
perkataan pertama pada sesebuah ayat dalam penyelidikan beliau. Penyelidikan
beliau berakhir dengan sebuah kejayaan yang bermakna kerana beliau berjaya
mengatasi masalah yang murid beliau hadapi.

Siti Saadiah (2012) di dalam kajiannya terhadap beberapa murid tahun
tiga telah melaksanakan teknik pengajaran berkumpulan, teknik warna dan latih
tubi bagi mengatasi masalah penggunaan huruf besar.

Norhaidi (2009) pula menyenaraikan cara-cara yang digunakan untuk
membantu kanak-kanak yang menulis dengan mencampur-adukkan huruf besar dan
huruf kecil iaitu;
Latih tubi menyalin ayat atau tulisan.
Terapkan konsep tatabahasa dalam ayat.
Arahkan murid menyalin ayat dalam huruf kecil sahaja.
Kemudian terangkan kepada murid di mana fungsi huruf besar dalam ayat
yang di salin.
Salin latihan ayat dalam buku garis tiga
Sediakan lembaran kerja tulisan.
Praktis tatabahasa-salin Kata Nama Am dan Kata Nama Khas
Galakkan murid menulis perkataan berdasarkan gambar.
Menggunakan keratan akhbar, minta pelajar menyalin ayat yang
mengandungi Kata Nama Am dan Kata Nama Khas yang diperoleh daripada
keratan akhbar.
Permainan bahasa.


2.4 KESIMPULAN

Pelbagai kaedah dan teknik telah digunakan dalam kajian lepas ini untuk mengatasi
masalah penguasaan penggunaan huruf besar pada pangkal kata nama khas. Kajian-
kajian tersebut amat menarik perhatian saya untuk mengkaji permasalahan sama
yang dihadapi oleh murid-murid tahun 3 yang saya ajar. Maklumat-maklumat dari
kajian-kajian lepas ini akan saya gunakan untuk mengatasi masalah murid-murid
saya pula melaui teknik yang saya pilih iaitu Teknik Bulatan.

Anda mungkin juga menyukai