Anda di halaman 1dari 3

Bismillahirrahmanirrahim.

Terima kasih, saudari pengacara majlis.



Yang Dihormati, Encik Hairul Anuar Bin Ashaari,
Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan 2.

Guru-guru Penolong Kanan,
Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG,
Ahli-ahli Jawatankuasa Pengelola,
Guru-guru dan para pelajar yang dikasihi,
Seterusnya para hadirin yang dihormati sekalian.

Alhamdulilah, bersyukur kita kehadrat llahi dengan limpah kurniaNya, dapat kita
bersama-sama berkumpul untuk menjayakan Kejohanan Balapan & Padang
Kali ke-47, Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan 2.

Terlebih dahulu saya mewakili pihak sekolah, dan PIBG, mengucapkan selamat
datang, dan merakamkan jutaan terima kasih atas kehadiran tuan-tuan dan
puan-puan yang akan menambahkan lagi kemeriahan bagi Kejohanan
Balapan & Padang pada pagi ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sememangnya aktiviti sukan sama ada sukan permainan atau sukan olahraga
cukup penting kepada rakyat dan negara, khususnya generasi anak bangsa,
pewaris nusa yang tercinta. Selain dapat menjamin kecergasan, kecerdasan
minda dan kesihatan, aktiviti sukan yang melibatkan murid daripada pelbagai
kaum dan agama dapat memupuk semangat kesukanan dan perpaduan
sekaligus mengeratkan hubungan silaturrahim dan muhibah dalam kalangan
mereka. Aspek-aspek yang saya sebutkan ini amat penting sekali dalam usaha
kerajaan kita untuk membina negara bangsa, membangunkan modal insan
dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Seperti yang telah kita maklum, melalui kegiatan sukan, kita mampu
membangun modal insan yang berkualiti atau insan yang memiliki minda kelas
pertama yang menjadi peneraju negara pada masa hadapan. Dalam konteks
memperkasa Sekolah Kebangsaan, murid-murid yang memiliki minda kelas
pertama yang didorong melalui kegiatan sukan, akan menjadi faktor
penyumbang kepada kecemerlangan sekolah. Melalui kegiatan sukan bukan
sahaja akan melahirkan murid yang sihat fizikalnya tetapi murid yang memiliki
cergas mindanya. Oleh itu, konsep membangun modal insan dan
memperkasakan sekolah melalui sukan amat bersesuaian dan perlu dijalankan
secara berterusan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Untuk makluman semua, bermula bulan Januari 2014 sehingga bulan Jun 2014,
SK Jalan Kuantan 2 telah mendapat pencapaian yang membanggakan dalam
bidang sukan permainan dan sukan olahraga. Antara pencapaian bagi sukan
permainan adalah sepak takraw dan catur. Bagi permainan sepak takraw,
pasukan sekolah yang telah dilatih oleh Encik Rosli B. Yusuff telah mendapat
naib johan bagi zon keramat pada bulan Mei yang lalu. Pasukan sepak takraw
ini akan mewakili zon keramat bagi perlawanan yang akan diadakan selepas
Hari Raya Aidilfitri. Sukan permainan yang seterusnya adalah permainan catur.
Permainan ini telah merangkul naib johan bagi pasukan perempuan dan
tempat kelima bagi pasukan lelaki pada peringkat zon keramat. Kedua-dua
pasukan ini akan mewakili zon keramat bagi peringkat negeri. Kejayaan sekolah
terus meningkat apabila kejayaan seorang atlet muda, Eiman Zachary telah
berjaya meraih naib johan bagi acara Lompat Jauh dan mewakili zon keramat.

Akhir kata, tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat bagi
menjayakan Kejohanan Balapan & Padang ini. Saya akhiri ucapan saya pada
pagi ini dengan sebuah pantun yang bertemakan semangat kesukanan.

Burung undan burung tempua,
Hinggap berehat di pohon kayu;
Amalan sukan untuk semua,
Rakyat sihat negara maju.


Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai