Anda di halaman 1dari 3

Rangsang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (HOTS)

Kaedah HOTS membantu pelajar dan guru berfikiran kritikal dan kritis serta dapat dapat
diterap dalam aktiviti kokurikulum.

Transformasi kurikulum pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013-2025 memberi penekanan kepada konsep kemahiran berfikir aras tinggi
(HOTS) yang berupaya melahirkan generasi mempunyai pemikiran kritikal dan kreatif.

Secara umumnya, mengikut taksonomi Bloom, HOTS merujuk kepada empat aras teratas
kemahiran berfikir (lihat grafik) iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta,
manakala aras paling bawah yang merujuk kepada kemahiran berfikir aras rendah (LOTS)
iaitu memahami dan menghafal.


Kemahiran berfikir antara enam ciri utama murid yang menjadi aspirasi kementerian untuk
mereka berupaya bersaing pada peringkat global.

Pelajar tak lagi menghafal

Ini bermakna, kurikulum yang digubal menerusi PPPM berhubung HOTS ialah inisiatif
supaya pelajar tidak lagi hanya menghafal untuk menghadapi peperiksaan, sebaliknya tahu
menggunakannya.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Dr
Amin Senin, berkata transformasi itu akan mengubah pengajaran dan pembelajaran yang
sebelum ini lebih bertumpu kepada peperiksaan dan menghafal.

Kita dapati keputusan pelajar Malaysia dalam ujian Trend Pendidikan Matematik dan Sains
Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) tidak berada
pada tahap memuaskan.

Kajian mendapati antara punca kepada keadaan itu ialah soalan dalam kedua-dua ujian
yang menjadi penanda aras tahap pendidikan antarabangsa berbentuk HOTS, iaitu bukan
mengingat sesuatu fakta, tapi bagaimana hendak menggunakannya.

Kita menyedari kelemahan itu, seterusnya membuat cadangan dalam PPPM supaya
HOTS diberi penekanan, katanya.

Beliau berkata, walaupun HOTS wujud dalam kokurikulum sebelum ini, tidak dilaksanakan
secara berfokus, sebaliknya konsep pemikiran itu hanya diharap digunakan pelajar secara
semula jadi.

Katanya, pelaksanaan HOTS di bawah PPPM kali ini difokuskan kepada subjek Sains,
Matematik dan Sejarah serta dilakukan secara menyeluruh membabitkan proses
pengajaran dan pembelajaran, soalan peperiksaan, penyediaan alat bantuan mengajar,
malah diterapkan dalam aktiviti kokurikulum seperti kuiz dan pertandingan.


Transformasi ubah pengajaran, pembelajaran lebih bertumpu kepada peperiksaan dan
menghafal

Konsep soalan peperiksaan ada elemen HOTS

Katanya, bagi memastikan pelajar mengaplikasi kemahiran berfikir, kementerian juga
mengubah konsep soalan peperiksaan dengan memasukkan elemen HOTS dalam soalan
Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara
berperingkat.

Sasaran Kementerian Pendidikan ialah sebanyak 40 peratus soalan HOTS dimasukkan
dalam kertas soalan UPSR, manakala SPM (50 peratus) menjelang 2016, katanya.

Beliau berkata, untuk memastikan pelaksanaannya berjaya, guru terlebih dulu perlu
mengikuti kursus jangka pendek dalam program i-Think kendalian Agensi Inovasi Malaysia,
bagi membolehkan mereka menguasai teknik berfikir HOTS.

Tahun ini, guru dari 500 sekolah dihantar mengikuti program ini dan tahun depan, kita
mahu guru dari semua sekolah negara ini mengikuti kursus itu.

Mereka akan pulang ke sekolah dan berkongsi kemahiran itu dengan rakan sejawatan
seterusnya mengajar murid menggunakan teknik terbabit, katanya.

Lebih interaktif

Mengulas lanjut, Amin berkata, penekanan terhadap HOTS secara tidak langsung
mengubah corak dan proses pembelajaran dalam kelas, menjadikannya lebih interaktif
kerana memerlukan pembabitan aktif pelajar dan guru.

Kita tidak lagi melihat proses sehala dengan guru berada di depan kelas mengajar,
manakala murid hanya menyalin dan menghafal.

Sebaliknya guru perlu menggalakkan murid banyak bertanya dan membiarkan mereka
meneroka rasa ingin tahu terhadap sesuatu perkara yang diajar, seterusnya mengaitkannya
dalam kehidupan, katanya.

Amin berkata, kejayaan pelaksanaan itu akan dinilai daripada keputusan peperiksaan
pelajar, terutama cara pelajar menjawab peperiksaan berbentuk HOTS.

Oleh Ifwan Tun Tuah

Anda mungkin juga menyukai