Anda di halaman 1dari 5

TEKS UCAPAN TUAN PENGETUA SEMASA PERASMIAN HARI GURU SMK

TELOK KERANG 2010




Bismillah-ir-Rahman-ir-Rahim, Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.


Pertama-tamanya, marilah kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana
dengan limpah kurnia-Nya, dalam keheningan pagi yang berbahagia ini kita dapat bersama-sama
meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat SMKTK bagi Tahun 2010, dalam suasana yang ceria,
harmoni dan tenang.

Pada tanggal 16 Mei setiap tahun, warga pendidik akan meraikan sambutan hari guru. Pada tahun ini
perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan disambut di Kuantan Pahang. Justeru, tidak terlewat untuk
saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di sekolah ini. Sambutan Hari Guru yang
diadakan setiap tahun sesungguhnya banyak mengimbau kenangan manis tentang peranan guru yang
telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Masyarakat sentiasa memberikan
penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga terhadap tugas dan peranan guru. Pengiktirafan
ini menandakan harapan dan keparcayaan yang sangat tinggi terhadap komitmen dan kemampuan
guru dalam menyumbang ke arah pembangunan potensi masa depan pelajar. Justeru, amat wajar jika
Sambutan Hari Guru yang diraikan setahun sekali ini memberi kedudukan istimewa kepada insan
yang bernama guru. Inilah satu-satunya cara terbaik kita memberi ruang untuk menyatakan rasa
terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.

Dalam memantapkan bidang pendidikan selaras dengan matlamat pendidikan yang mahukan
keseimbangan dari segi JERI (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek) dan menjadikan Malaysia pusat
kecemerlangan pendidikan, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) telah dirangka meliputi
enam teras dengan matlamat meyelesaikan tugas yang belum selesai dengan kesamarataan peluang
pendidikan dan memastikan akses kepada pendidikan dan kecemerlangan institusi pendidikan dengan
mewujudkan kluster pendidikan. Enam teras yang menjadi pemangkin kepada pembangunan
pendidikan tersebut ialah pertama; Membina Negara Bangsa, kedua; Membangunkan Modal Insan,
ketiga; Memperkasakan Sekolah Kebangsaan, keempat; Merapatkan Jurang Pendidikan Bandar dan
Luar Bandar, kelima; Memartabatkan Pofesion Keguruan dan keenam; Melonjakkan Kecemerlangan
Institusi Pendidikan.

Berasaskan Teras pertama iaitu membina negara bangsa, maka tema Hari Guru pada tahun ini ialah
Guru Pembina Negara Bangsa. Pemilihan tema ini sesungguhnya sangat sesuai dan bertepatan dengan
peranan guru sebagai pendidik yang telah banyak melahirkan tokoh-tokoh pemimpin serta para
ilmuan yang banyak berjasa kepada pembangunan negara. Dalam usaha untuk melahirkan pendidik
cemerlang, nilai-nilai seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, akauntabiliti, sahsiah diri serta
mengawal emosi tidak harus diabaikan. Semua ini penting kerana guru adalah role-model kepada
keberkesanan pendidikan bukan sahaja kepada pelajar di sekolah, malah masyarakat. Guru
bertanggungjawab dalam membentuk tamadun manusia. Justeru, setiap guru mesti menyedari
tanggungjawab ini serta sentiasa menjaga nama baik sebagai pendidik serta pemimpin masyarakat
agar dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas.

Quality teaching produces quality learning. Quality learning produces quality education. Finally
quality education produces quality citizens. Tema ini masih relevan dan kekal relevan untuk masa-
masa akan datang. Tambahan pula kualiti adalah ibarat perjalanan, bukan distinasi; perjalanan yang
tiada noktahnya. Quality has no ends: it is a journey, not a distination.

Cabaran pendidikan alaf baru kini semakin bertambah. Walaupun kita telah berjaya membina suatu
sistem pendidikan yang amat dibanggakan, perkembangan politik dan ekonomi global menuntut satu
sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia. Persaingan pasaran kerja sangat sengit.
Persaingan ekonomi peringkat global pula semakin kompetatif. Oleh itu, kualitilah yang bakal
menentukan sama ada kita berjaya dalam persaingan tersebut atau sebaliknya. Pendidikan yang
berkualiti banyak ditentukan oleh pihak guru. Jika kualiti guru dapat ditingkatkan ke tahap yang
cukup tinggi, pastilah pendidikan kita dapat mencapai tahap gemilang, InsyaAllah.

Kita seharusnya rasa bersyukur kerana setelah 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, sistem
pendidikan kita telah berkembang dengan begitu pesat. Kemajuan pendidikan kita berada pada tahap
yang sangat membanggakan berbanding dengan negara-negara lain yang seangkatan dengan negara
kita. Kita juga harus sedar dan insaf bahawa cabaran mendidik adalah jauh lebih getir dan mencabar.
Justeru kesedaran itu harus diterjemahkan kepada bentuk tindakan di mana kesungguhan untuk terus
bersatu dan berkerja tanpa rasa jemu bagi mencapai matlamat membina sebuah negara bangsa yang
maju dan bermartabat.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,....

R. Smith pernah berkata, berilah peluang kepadaku untuk mengelola pelajaran nescaya aku akan
berjanji mengubah alam. Guru mempunyai potensi besar mempengaruhi dan merubah pemikiran
pelajar. Menurut Imam Al Ghazali, guru mesti ada tanggungjawab, ada rasa belas kasihan dan mampu
memperlakukan mereka sebagai anak sendiri. Seterusnya Imam Al Ghazali pernah berkata, hak
seorang guru adalah lebih besar daripada hak seorang bapa. Ibu bapa menjadi sebab ianya lahir ke
dunia sedangkan guru menjadi sebab anak itu memperolehi hidup kekal abadi. Tanpa guru, apa yang
diperolehi oleh anak akan hancur. Dalam pembentukan sahsiah pelajar pula, guru mempunyai peranan
yang sangat penting. Prof. Mohd Kamal Hassan berkata, contoh teladan pendidik inilah yang banyak
membantu pembentukan akhlak pelajar. Justeru, mereka seharusnya dilengkapi dengan ciri-ciri akhlak
mulia, berilmu, kasihkan ilmu dan luas pembacaan, mempunyai azam yang kuat dan tegas,
berkebolehan menimbulkan motivasi kepada pelajar, bersedia menerima dan menguasai kaedah baru
dalam pendidikan dan sebagainya.

Profesion perguruan memainkan peranan utama ke arah merealisasikan pendidikan bertaraf dunia bagi
melahirkan insan yang berketrampilan serta dapat memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Negara.
Dalam usaha untuk membangunkan modal insan, Kementerian Pelajaran Malaysia akan memberi
tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar. Warga pendidik
sekolah ini seharusnya menjadikan sistem pendidikan ini sebagai suatu wadah untuk membina
intergrasi nasional, menjadi agen Pembangunan Negara serta memberikan khidmat kepada
masyarakat dengan ikhlas supaya martabat keguruan sentiasa dihargai dan dihormati oleh masyarakat.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), kerajaan telah memberi peruntukan yang sangat besar
dalam membangunkan prasarana bidang pendidikan dan menyediakan kemudahan-kemudahan ICT di
sekolah-sekolah. Dalam dunia serba mencabar ini terutamanya dengan kecanggihan teknologi dan
kepesatan telekomunikasi, warga pendidik tidak seharusnya hanya menyediakan masa depan untuk
pelajar sahaja. Sebaliknya mereka harus juga menyediakan diri agar tidak terpinggir dengan arus
perubahan kerjaya keguruan yang sentiasa relevan dengan keperluan dan tuntutan semasa.

Impak daripada sistem pendidikan yang dirancang pada masa ini hanya akan dapat diukur selepas
tahun 2020. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab para pendidik berusaha untuk meletakbetulkan
(reposition) dan merekaraya (reengineer) sistem pendidikan supaya berkualiti dan berjaya melahirkan
modal insan mengikut acuan kita sendiri. Pendekatan pendidikan yang kita warnai kepada anak-anak
didik kita seharusnya lebih berupaya mencungkil bakat, kebolehan dan kreativiti agar mereka menjadi
insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Dalam usaha menilai kembali peranan guru dan mengembalikan semula peranan tersebut pada
landasan yang betul, para pendidik harus bekerjasama dengan ahli masyarakat setempat dalam usaha
mempertingkatkan kecemerlangan anak-anak didiknya. Walaubagaimana pun, masyarakat harus
disedarkan agar mereka tidak hanya meletakkan pengharapan kepada guru sahaja, sebaliknya ia
menjadi tugas bersama. Usaha sama harus dijalin agar masyarakat umum tidak mudah melenting dan
mula menuding jari kepada golongan guru apabila berlaku gejala sosial dalam kalangan pelajar.

Saya juga ingin mengingatkan guru-guru sekolah ini agar menunjangi tugas utama iaitu
membangunkan modal insan. Dalam konteks untuk merealisasikan perubahan ke arah membina dan
membangunkan modal insan yang gemilang, seseorang pendidik itu seharusnya kaya ilmu, segar dan
subur ciri kependidikannya malah harus memiliki ciri-ciri kepimpinan yang berupaya membawa
perubahan atau dalam konteks teoritisnya dinamakan kepimpinan transformasional.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara, kerajaan telah melaksanakan beberapa pendekatan
bagi meningkatkan pembangunan modal insan.

1. Dasar Teras Kementerian Pelajaran Malaysia perlu dilaksanakan secara berkesan. Contoh:
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Komputer dalam
Pendidikan (ICT), Pendidikan Pemulihan (Intervensi), Pendidikan Khas dan sebagainya.

2. Sistem penyampaian perlu dilaksanakan dengan berkesan. Misalnya penyampaian dalam
pengajaran guru. Hanya penyampaian yang efisyen dan efektif sahaja akan memberikan kesan kepada
pencapaian matlamat dan objektif pendidikan. Jika matlamat kita hendak meningkatkan
kecemerlangan pelajar, maka proses pengajaran sebagai suatu sistem penyampaian perlu ditingkatkan
seperti pendekatan pedagogi, teknik pengajaran, kawalan kelas dan sebagainya .

3. Mengamalkan budaya kerja cemerlang. Guru perlu mengamalkan budaya kerja cemerlang yang
perlu diterjemahkan dalam bentuk perlakuan, bersistem, penuh komited dan bertanggungjawab. Ini
penting kerana sistem pembelajaran kita kini bersifat terbuka, fleksibel dan harus berpusat pelajar.

4. Mengutamakan Kaedah Pengurusan Berkualiti (TQM) dan pengurusan berkesan. Meningkatkan
kualiti dalam bidang pendidikan menjadi tanggungjawab semua pihak kerana ia menjadi sumber
utama dan daya penggerak bagi mencapai wawasan 2020.

5. Meningkatkan budaya membaca terutama dikalangan guru. Budaya ini seharusnya menjadi amalan
semua guru kerana ia akan menjadi contoh kepada pelajar. Ini penting kerana guru adalah sumber
ilmu atau maklumat terdekat dan terkini.

6. Permaufakatan pendidikan. Peranan PIBG perlu digembling supaya semua pihak dapat mengambil
bahagian dalam melaksanakan hala tuju meningkatkan sistem penyampaian dan peningkatan tahap
profesionalisme. Masyarakat juga perlu diberi pengiktirafan di mana kemajuan sekolah harus dikongsi
bersama oleh ibu bapa.

Sebagai pelaksana berkesan dan untuk menghasilkan modal insan gemilang, guru seharusnya
menjadikan mereka sentiasa dikehendaki masyarakat dan disukai oleh pelajar. Untuk disukai oleh dan
disayangi pelajar, guru seharusnya peramah dan mesra, saling mempercayai, tidak menaruh syak
wasangka, bertanggungjawab terhadap pelajar, bersifat lemah lembut, bertolak asur, tegas dan adil,
berkomunikasi dengan baik, suka menolong dan mengasihi, menghargai dan bersimpati terhadap
kelemahan akademik pelajar.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya ingin mengajak warga pendidik sekolah ini
mengimbau sejenak tentang tugas dan peranan kita dalam mendidik anak bangsa?. Sejauh mana dan
setakat manakah usaha yang telah kita lakukan ini benar-benar menjadikan mereka insan yang benar-
benar berbudi luhur, berakhlak mulia, berjaya dan cemerlang dalam kehidupan?. Sesungguhnya ia
merupakan suatu tugas yang sangat berat serta amanah yang sangat besar. Di tangan kitalah letaknya
kejayaan mereka. Justeru kita seharusnya meletakkan harapan mereka lebih utama daripada
kepentingan diri kita. Sesungguhnya inilah ciri-ciri guru sebenar. Kita sanggup berkorban bukan
sahaja dengan masa dan tenaga, malah dengan wang ringgit.

Akhir kata, kepada semua warga pendidik sekolah ini, budi dan pengorbanan cikgu-cikgu yang
dicurahkan kepada anak didik di sekolah ini amat dihargai dan sangat disanjung tinggi.

Anda mungkin juga menyukai