Anda di halaman 1dari 8

KRITIKAN DAN PENAFSIRAN SUMBER

SEJARAH
Pengenalan
Sejarah merupakan satu cabang ilmu kemanusiaan yang tidak asing lagi pada masa ini.
Walaupun kepentingan dan masa depan subjek ini sering dipertikaikan, namun ,
terdapat pelbagai usaha untuk menjadikan sejarah sebagai suatu bidang ilmu yang
setanding dengan bidang-bidang ilmu yang lain. Perkataan sejarah diterbitkan daripada
pelbagai istilah khusus seperti syajaratun yakni dalam bahasa Arab, dan history
pula dalam bahasa Inggeris. Menurut J.B. Bury, sejarah ialah sains, tidak kurang dan
tidak lebih.[1]Pada pandangan R.G. Collingwood pula sejarah ialah pemikiran manakala
E.H. Carr menyatakan bahawa sejarah itu merupakan suatu proses interaksi yang
berterusan antara sejarawan dengan fakta-faktanya.[2] Melihat pengertian sejarah
daripada sudut pandangan sejarawan menjadikan bidang ini merupakan satu bidang
penyelidikan yang pada diri seseorang itu atau ahli sejarah itu perlu tahu sebelum layak
atau mampu untuk mengemukakan fakta-fakta tentang sesuatu yang diperkatakan.
Sejarah menuntut pengkajinya mencari kebenaran tentang sesuatu peristiwa melalui
kajian yang sistematik serta penghujahan yang kukuh, logik dan objektif. Ahli sejarah
perlu arif dan bijak dalam menentukan penggunaan sumber untuk dijadikan asas dalam
penulisannya. Sehubungan dengan itu, ahli sejarah perlu mengetahui dan memahami
apa itu proses kritikan sumber. Apakah yang diertikan dengan sumber dan kritikan itu ?.
Benarkah kritikan sumber menentukan nilai hasil penulisan sejarah ?. Dengan
wujudnya persoalan-persoalan ini, bidang sejarah menjadi satu subjek yang menuntut
pemikiran ahli sejarah, bukan lagi setakat mengesahkan sesuatu fakta secara bulatbulat tanpa penyelidikan terlebih dahulu.

KRITIKAN SUMBER
Makna sumber

Ahli-ahli sejarah amat mementingkan penggunaan sumber yang sahih dalam


penghasilan sesebuah penulisan sejarah. Sumber yang benar dan tepat tentang
sesuatu hasil kajian sejarah dapat membuktikan kesahihan sesuatu peristiwa atau
kejadian yang telah berlaku pada suatu ketika dahulu. Menurut Muhd. Yusof Ibrahim,
sumber ialah suatu yang boleh menjadi punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau
penulisan.[3] Selain itu, terdapat beberapa definisi atau tafsiran lain yang merujuk
kepada maksud sumber, antaranya seperti di dalam kamus Oxford English Dictionary,
sumber atau source bererti sesebuah karya, dan lain-lain, yang menyediakan
maklumat atau bukti (khusus yang bersifat tulen atau asli) berkenaan sesuatu fakta,
kejadian, atau siri hal-hal tersebut.[4] Sumber juga boleh diertikan seperti bahan-bahan
tinggalan sejarah yang berupa seperti dokumen, artifak, jurnal, buku catatan peribadi
dan lain-lain yang tersimpan di arkib, perpustakaan, pejabat khas, muzium dan
sebagainya. Bahan-bahan ini secara langsung atau tidak langsung menjadi rujukan
untuk tujuan penyelidikan bagi ahli-ahli sejarah mahupun pengkaji-pengkaji dalam
mana-mana disiplin ilmu. Sumber terbahagi kepada 2 jenis, yakni sumber primer dan
sumber sekunder. Sumber primer diklasifikasikan sebagai bahan-bahan asli atau tulen
seperti dokumen, surat (rasmi atau tidak rasmi), laporan, buku harian dan sebagainya
yang belum ditafsir atau diperlengkapkan lagi.[5]Bahan-bahan yang dikategorikan
sebagai sumber primer kerana keadaannya yang asli dan mengandungi maklumat asal
sama ada benar atau tidak benar untuk tujuan penyelidikan. Seterusnya ialah sumber
sekunder atau kedua yakni bahan-bahan penulisan tentang sesuatu peristiwa atau
biografi tentang tokoh-tokoh tertentu yang diterbitkan oleh seseorang penulis atau
sesebuah organisasi berdasarkan kajian terhadap sumber primer.[6] Penggunaan
sumber sekunder adalah penting bagi seseorang penulis sejarah kerana ia berfungsi
sebagai penyokong atau pengukuh bagi sesuatu hujah dan bukti yang dikemukakan.
Sumber-sumber kedua adalah seperti buku, majalah, surat khabar, disertasi atau tesis.

Penafsiran Sumber

Sumber terdapat dalam pelbagai bentuk yakni berupa seperti dokumen, surat, catatan
harian seseorang, koin , artifak, peninggalan peribadi dan sebagainya. Namun, sumber
sering kali disalahertikan dan menimbulkan keraguan sesetengah pihak dan pengkaji
kerana ia mempunyai pertalian atau cohesiondengan bukti. Hal ini kerana terdapat
anggapan bahawa bukti membawa maksud yang serupa dengan istilah sumber.
Kendatipun, anggapan itu ternyata tidak benar sama sekali kerana menurut ahli-ahli
sejarah, istilah sumber dalam konteks sejarah membawa makna bahan-bahan yang
menyediakan bukti berkenaan sesuatu yang dikaji itu. Di samping itu, bukti pula
bermaksud keterangan atau fakta-fakta yang dapat mengesahkan atau menyangkal
sesuatu hal yang khusus.[7] Fakta merupakan tulang belakang bagi sesebuah
penulisan sejarah, tanpanya, penulisan itu hanyalah sebuah cerita rekaan semata-mata
atau mungkin boleh menjadi sebuah penulisan falsafah atau sastera. Fakta sejarah
ialah sesuatu hakikat yang kukuh, stabil dan tidak boleh dipersoalkan lagi kewibawaan
mahupun kebenarannya[8]. Sungguh pun begitu, sesuatu fakta itu masih belum boleh
disahkan lagi pada peringkat fakta itu dianggap masih mudah dan terbukti sepenuhnya
akan kebenarannya.[9] Sekiranya terdapat unsur subjektiviti seperti pengadilan moral,
motif penulis dan sebagainya, fakta tersebut akan berubah daripada asalnya. Fakta
boleh menjadi sesuatu yang subjektif kerana ia terhasil daripada proses pemikiran ahliahli sejarah.[10] Proses ini dilakukan selepas seseorang pengkaji itu telah meneliti,
mentafsir dan membandingkan sumber-sumber yang digunapakai itu. Oleh itu, Ranke
menyarankan agar fakta tersebut tidak diwarnai dengan nilai-nilai subjektif agar fakta
tidak dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, agama, bangsa dan sebagainya.
Walaupun begitu, kepentingan sesuatu sumber itu adalah berdasarkan ahli sejarah
yang mengkaji sesuatu peristiwa atau tajuk penulisannya.

Kritikan Luaran
Istilah kritikan pada masa ini bukanlah satu pendirian negatif semata-mata tetapi
menjadi satu ujian untuk mengesahkan atau menyangkal kebenaran pensejarahan atau
sumber-sumber tertentu. Ia turut dianggap sebagai satu usaha untuk memastikan

ketulenan sesuatu sumber asli itu.[11] Perkembangan dalam kaedah penyelidikan


sejarah ini telah diperluaskan lagi oleh tokoh pensejarahan moden iaitu Leopold Von
Ranke pada abad ke-19. Kaedah ini disifatkan sebagai sejarah kritikal oleh R.G
Collingwood kerana ia telah menjadikan bidang sejarah setanding dengan pelbagai
disiplin ilmu moden yang lain seperti bidang sains khususnya. Kritikan luar lebih bersifat
fizikal ke atas sesuatu sumber atau pengkaryaan. Perkara ini merangkumi ujian kimia,
ujian bahasa, ujian tulisan tangan dan ujian bahan-bahan yang digunakan terdapat
dalam dokumen itu. Bagi ujian kimia, dokumen itu akan diuji keadaan kertas,
penggunaan dakwat pena dan cap kerana bahan-bahan ini akan berubah keadaan
fizikal mengikut perederan masa, justeru, pemalsuan dokumen boleh berlaku. Misalnya
kes Buku Harian Hitler yang didakwa dipalsukan yang telah menimbulkan
pertelingkahan sesetengah ahli sejarah yang akui akan kebenarannya, padahal
hakikatnya memang benar buku itu adalah palsu setelah ujian makmal dijalankan ke
atas penggunaan benang polyester yang digunakan untuk penjilidan yang tidak
pernah digunakan pada zaman pemerintahan Hitler. Manakala ujian bahasa penting
untuk memastikan ketulenan sesuatu dokumen itu kerana gaya bahasa sentiasa
berubah mengikut peredaran zaman dari segi tatabahasa, ejaan, ejaan, tanda baca dan
sebagainya.[12] Ujian-ujian ini tidaklah dilaksanakan oleh ahli sejarah semata-mata
kerana mereka tidak mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tersebut. Ahli-ahli
sejarah berperanan mentafsir kebenaran sesuatu sumber atau dokumen itu
berdasarkan hasil ujian-ujian tersebut.

Kritikan Dalaman
Kesulitan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan benar daripada sumber-sumber
adalah satu perkara yang tipikal dalam sejarah. Hal ini kerana fakta-fakta yang wujud
dalam sesuatu sumber adalah nyata dan bisu, oleh itu, ahli sejarah perlu meneroka
dengan lebih dalam lagi sumber-sumber tersebut untuk mendapatkan kebenaran yang
hakiki tentang sesuatu kejadian. Justeru, lahirlah satu proses dalam penyelidikan
sejarah iaitu proses kritikan dalaman yang bertujuan untuk memastikan kerasionalan

dan kemunasabahan yang terdapat dalam isi kandungan sesuatu sumber itu.[13] Selain
itu, proses ini bertujuan untuk menjamin bahawa setiap fakta yang diambil daripada
sumber-sumber boleh dipertanggungjawabkan dan disahkan oleh ahli
sejarah.[14] Menurut Profesor Kitson Clark, tidak ada dokumen, dan tidak ada
penyataan, rasmi atau bukan rasmi, yang tidak boleh disangsi. Kesangsian yang terbit
dalam pemikiran ahli sejarah adalah penting terhadap kajiannya ke atas sesuatu
sumber kerana terdapat fakta-fakta yang tersembunyi disebalik sumber yang nyata itu.
Dalam penelitian sesuatu sumber, maksud-maksud yang tersirat itu perlu dipersoalkan.
Ahli sejarah perlu bijak mengenalpasti tujuan atau latar belakang di sebalik surat atau
dokumen atau pengkaryaan. Hal ini penting kerana setiap ahli sejarah mempunyai
pandangan dan tafsiran yang berbeza tentang suatu kejadian tertentu. Akibatnya
terdapat bukti-bukti yang bercanggah antara satu sejarawan dengan yang lain.[15] Hal
ini demikian kerana penentu dalam sejarah bukanlah fakta-fakta yang yang wujud pada
sumber itu, penafsiran ahli-ahli sejarah yang mengkaji sumber itu yang mengawal fakta
tersebut. Sungguh pun begitu, ahli sejarah tidak boleh secara sewenang-wenangnya
memanipulasikan fakta jika tidak dapat mentafsir bukti dalam sumber itu, perkara
terbaik ialah mengakui kejahilannya. Hasil kajian ahli sejarah perlu bersandarkan
kepada apa yang didapatinya betul dan bukan apa yang difikirkannya betul
berdasarkan sumber yang ada.[16]

Contoh-contoh
Sejarah Melayu AS A HISTORICAL SOURCE
Karya oleh Kamaruzzaman Shariff ini menceritakan tentang kewibawaan Sejarah
Melayu sebagai satu sumber sejarah yang wajar dan berguna. Penulis berpendapat
bahawa pandangan dan kritikan membuta tuli yang dibuat oleh sejarawan Barat
terhadap kewibawaan Sejarah Melayu adalah tidak berasas. Misalnya,
R.J. Wilkinson dan R.O. Winstedt yang mengkritik Sejarah Melayu sebagai karya mitos
semata-mata kerana terdapat banyak unsur lagenda dan perlambangan dalam karya
tersebut.[17] Bagi penulis, sejarawan Barat perlu mengetahui dan memahami konsep

pensejarahan Melayu klasik sebelum menilainya dari sudut kerasionalan mereka.


Penggunaan unsur-unsur perlambangan atau metafora dalam pengkaryaan sebenarnya
bertujuan untuk pengarang menyampaikan luahan perasaan, kritikan dan pandangan
terhadap sesuatu perkara yang didapatinya tidak boleh disampaikan secara terangterangan. Hal ini perlu dipertimbangkan kewajarannya kerana pengarang merupakan
seorang pegawai istana yang ditugaskan untuk menulis cerita-cerita tentang raja dan
kisah-kisah berkaitannya. Misalnya, dalam kisah Singapura di-langgar Todak yang
mana pengarang cuba menyampaikan kritikan mengenai ketidakadilan Sultan secara
tersirat.[18] Perkara-perkara seperti nama pengarang asal tidak dapat dipastikan dan
tidak terdapat tarikh-tarikh penting dalam penulisannya menjadi permasalahan bagi ahli
sejarah untuk mengesahkan ketulenannya. Menurut Lienham dan Winstedt, versi
Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang dengan pengarang asal adalah jauh
berbeza[19] walaupun Tun Sri Lanang mempunyai kebijaksanaan dan pengetahuan
tentang asal usul kesultanan Melayu Melaka dan peristiwa-peristiwa pada zaman praMelaka. Dari sudut lain, Sejarah Melayu layak dijadikan sumber sejarah yang
fundamental bagi pengkaji-pengkaji sejarah kerana terdapat beberapa peristiwa yang
penting yang merupakan kejadian sejarah sebenar jika dibandingkan dengan beberapa
penulisan sejarah asing yang sezaman. Terdapat beberapa insiden yang berlaku dalam
Sejarah Melayu ada disebut dalam karya-karya asing lain seperti kronologi Siam yang
bertajuk Pongsawadai of Luang Praset[20] dan rekod China bertarikh 1537 iaitu Hai
Yu.[21] Dengan membandingkan sumber-sumber asing ini, sejarawan dapat
membezakan mitos daripada yang benar.
Hikayat Merong Mahawangsa
Naskah yang dikaji ini merupakan salinan semula daripada naskah salinan sebuah
naskah yang tidak diketahui penulisnya pada tahun 1899. Umumnya, naskah asal
karya ini tidak dapat dipastikan, justeru, setiap penulisan hikayat ini adalah berbeza dari
segi kandungan, fakta dan susun aturnya menurut sejarawan yang mengkajinya. Tarikh
penulisan karya ini dikatakan bermula selepas kedatangan Islam, namun terdapat
beberapa pertikaian mengenai tarikh kedatangan Islam yang sebenarnya di negeri

Kedah. Kehadiran unsur-unsur dongeng dan khayalan menjadikannya sukar untuk


diterima akal akan peristiwa tersebut. Misalnya, kisah pengislaman raja Kedah oleh
Sheikh Abdullah yang dikatakan telah mengembara dengan penghulu iblis kerana
hendak mengetahui tingkah laku dan perbuatan iblis.[22] Unsur-unsur mitos juga dapat
dikenalpasti melalui penceritaan tentang Raja Bersiong bertarung dengan Kampar,
...maka ia jadi-lah sa-ekor babi tunggal terlalu besar panjang-nya. Maka ia bertaring
dua siong-nya, segera ia berlari2 datang menyondol2 di-chelah kangkang Raja
Bersiong.[23] Elemen seperti ini diwujudkan oleh penulis untuk menyampaikan luahan
hati tentang kezaliman Raja Bersiong yang patut digulingkan pemerintahannya yang
berbeza sekali dengan pandangan sarjana Barat. Hikayat Merong Mahawangsa dapat
diterima sebagai hasil sastera Melayu yang bercorak sejarah kerana ia menceritakan
susur galur kesultanan Melayu, raja-raja, peranan menteri-menteri, pembesarpembesar dan sebagainya. Misalnya sewaktu Raja Merong Mahawangsa ingin
meminangkan putera rajanya dengan seorang anak raja perempuan, ...maka di-alatkan oleh menteri-nya dua buah perahu serta segala barang2 dagangan mana yang
patut-nya serta dua orang menteri jadi utusan-nya...pun belayar-lah sa-orang sa-buah
perahu, hala-nya pergi masing2 menuju ka-negeri yang di-kehendaki-nya
itu.[24] Walaupun ia menceritakan kebudayaan dan latar belakang masyarakat zaman
Melayu klasik, hikayat ini sepertimana juga Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Siak,
Bustan al-Salatin dan sebagainya hanya menumpukan kepada kisah-kisah golongan
raja dan bangsawan istana. Nama Langkasuka iaitu nama kerajaan Kedah yang disebut
dalam hikayat ini telah dibuktikan kesahihannya melalui sumber-sumber sejarah asing
seperti batu-batu bersurat serta catatan oleh pedagang-pedagang dan musafir
walaupun terdapat perbezaan dari sebutannya. Misalnya, catatan oleh I-Tsing (692M)
ada menyebut tentang negeri yang bernama Langkasu. Selain itu, dalam batu
bersurat Tanjore (1030M) terdapat nama Illangasogam dan Kadaram.[25]Justeru,
jika diperlihatkan semula sumber-sumber yang digunakan dan dikaji sedalam-dalamnya

hikayat ini, sudah pastinya sarjana Barat serta sejarawan moden akan mengakui
kesejarahannya.

Kesimpulan
Kritikan sumber bukan sahaja berperanan memastikan kesahihan bukti malah mencari
maklumat tambahan yang tersirat pada sumber. Telah ditegaskan bahawa fakta-fakta
merupakan entiti-entiti yang wujud secara hakiki dan nyata dalam sumber dan tugas
ahli-ahli sejarah ialah memilih dan menjelaskan fakta-fakta tersebut. Justeru, hasil
kajian ditentukan oleh ahli-ahli sejarah, bukan daripada sumber-sumber. Hal ini
menjelaskan lagi tentang mutu hasil kerja ahli-ahli sejarah kerana setiap ahli sejarah
mempunyai sudut pandangan yang berbeza. Menurut Profesor M.M. Postan, bukti baru
muncul serentak dengan kemunculan sudut pandangan yang baru menperjelaskan lagi
kepentingan tugas mentafsirkan sumber oleh ahli-ahli sejarah yang membawa kepada
nafas baru dalam kaedah penyelidikan dalam sejarah. Berbeza dengan pandangan
Ranke yang menuntut keobjektifan dalam penulisan sejarah iaitu wie es eigentlich
gewesen yang bermaksud sejarah sepertimana ia berlaku, berpendapat bahawa
sejarah sepatutnya berlandaskan bukti, bukan daya imaginasi. Namun begitu, sejarah
sepatutnya seperti apa yang diutarakan oleh R.G.Collingwood iaitu sejarah ialah
pemikiran iaitu memahami perkara yang berlaku dengan memahami pemikiran si
pelaku. Oleh itu, nilai hasil penulisan sejarah amat bergantung kepada proses kritikan
sumber. Setiap sumber menceritakan peristiwa yang tidak sepertimana ia termaktub
padanya kerana terdapat faktor-faktor lain yang mendorong sesuatu peristiwa itu
berlaku yang memerlukan penafsiran ahli-ahli sejarah.

Anda mungkin juga menyukai