Anda di halaman 1dari 13

GURU SEBAGAI PEMBIMBING

Guru bukan sahaja memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat dan kemahiran mata pelajaran kepada
murid. Malah untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan, guru perlu memastikan bahawa pelajarnya membina kemahiran
untuk menangani masalah yang mungkin dihadapi dalam hidupnya. Sekiranya pelajar tidak tahu cara menangani masalah
emosi dan masalah peribadinya, maka hal ini akan menjejaskan pembelajarannya. Justeru dia tidak dapat mengikuti aktiviti
pembelajaran dalam bilik darjah.
Oleh itu, guru tidak boleh mengelakkan peranan sebagai pembimbing kepada pelajar, bukan sahaja dalam mata
pelajaran yang diajarnya, malah juga dalam menangani cabaran dan masalah harian yang dihadapinya. Di bawah topik ini kita
akan membincangkan maksud, matlamat dan prinsip-prinsip bimbingan, kemahiran yang digunakan dalam bimbingan, dan
peranan guru dalam membimbing pelajar yang menghadapi masalah dalam hidupnya.

Kita juga akan melihat jenis-jenis

bimbingan yang diberi oleh sekolah kepada pelajar secara ringkas, serta cara guru dan murid dapat menggunakannya.

Sebelum kita teruskan, berhenti sebentar dan buat refleksi mengenai soalan berikut.

Bagaimanakah anda telah membimbing pelajar anda untuk menangani masalah hariannya? Apakah isu-isu kehidupan dan
masalah emosi yang sering dihadapi oleh pelajar anda?

4.1

Matlamat dan Prinsip-prinsip Bimbingan

Sebelum kita melihat matlamat dan prinsip-prinsip bimbingan, mari kita teliti maksudnya dahulu. Umumnya, bimbingan merujuk
kepada proses membantu seseorang membina kefahaman dan kemahiran untuk menangani isu dan cabaran hidup dengan
berkesan. Dalam proses ini, seseorang itu belajar untuk berubah dan membina sikap, nilai dan kemahiran baru supaya dapat
menangani situasi yang sukar dengan lebih baik. Kita perlu faham bahawa bukan mudah untuk berubah; ia merupakan proses
yang berterusan dan sebagai guru kita perlu faham bahawa seseorang pelajar itu memerlukan masa untuk berubah.
Oleh itu, walaupun bimbingan ialah satu cara untuk membantu pelajar, namun ini tidak bermaksud bahawa guru atau
kaunselor harus menyelesaikan masalah pelajar. Sebaliknya, ini bermaksud guru haruslah mempunyai sikap mengambil berat
dan mendengar supaya pelajar dapat menerokai dan memahami situasi dan dirinya dengan lebih baik, lalu membina
kemahirannya sendiri untuk menangani masalahnya.
Matlamat utama bimbingan adalah untuk membantu pelajar:

Membina potensinya supaya ia boleh menjadi seorang yang sihat dan seimbang, dengan kebolehan dan sikap yang
akan membantunya menangani cabaran dan kesukaran hidup dengan berkesan.

Membina kemahiran menyelesaikan masalah dan kemahiran membuat keputusan.

Membina kemahiran menguruskan diri seperti menguruskan masa, menguruskan tekanan, dan menentukan matlamat
dan keutamaan untuk dirinya.

Memperbaik hubungan interpersonalnya dan membina kemahiran komunikasi yang baik.

Membina nilai dan sikap yang sihat dan positif terhadap dirinya dan orang lain, untuk meningkatkan kesedran dirinya
serta kefahaman peranan dan tanggung jawabnya dalam hidaup, dan

Membina kemahiran dan sikap bagi kejayaan akademik dan kerjayanya

Guru dan kaunselor harus memastikan bahawa bimbingan yang diberi kepada pelajar haruslah sejajar dengan prinsip
dan etika tertentu seperti yang berikut:

Bimbingan adalah bagi semua pelajar, kerana perkembangan diri, dijalankan secara sistematik dan terancang dan
tidak harus ditujukan kepada pelajar bermasalah sahaja.

Fokus utamanya ialah pencegahan iaitu, untuk mencegah masalah yang serius dalam kalangan pelajar dengan
memberi mereka kemahiran untuk menangani masalah sementara masalah itu masih boleh dikawal;

Ia harus dijalankan secara kolaborasi dengan kakitangan sekolah yang lain, seperti guru besar, guru-guru lain,
kaunselor, serta dengan kerjasama ibu bapa dan masyarakat;

Pelajar haruslah menyertai proses bimbingan ini sepenuhnya dan penuh rela, serta membina matlamat sendiri untuk
membantu dirinya iaitu, faham bahawa ia bertanggungjawab terhadap perkembangan dirinya serta keputusan yang
dibuat dalam hidupnya pada akhirnya. Guru atau kaunselor tidak membuat keputusan bagi pelajar;

Ia harus mengikut garis panduan etika bagi bimbingan dan kaunseling, seperti (i) semua keputusan yang dibuat
semasa sesi bimbingan dan kaunseling adalah sulit iaitu, maklumat mengenai pelajar dan hal yang dibincangkan
semasa sesi tersebut tidak harus didedahkan kepada orang lain tanpa kebenaran pelajar tersebut; (ii) guru/kaunselor
haruslah senantiasa bertingkah laku secara profesional terhadap pelajar, dan mengelakkan diri daripada menjalin
hubungan yang tidak sihat serta tidak beretika dengan pelajar tersebut; dan

Guru/kaunselor perlu menggunakakan kemahiran interpersonal seperti mendengar dengan aktif dan empati, dan
mempunyai perasaan prihatin dan bersikap positif terhadap murid, supaya dapat menjalin hubungan baik dengan
pelajar.

Berhenti sejenak dan buat refleksi terhadap soalan yang berikut.

Sebagai guru, apakah aspek yang paling sukar bagi anda semasa membimbing pelajar? Apakah halangan yang anda hadapi
dalam situasi sekolah anda untuk memberi bimbingan yang berkesan kepada pelajar apabila diperlukan oleh mereka?

Saya pasti anda sedar bahawa kebanyakan sekolah mempunyai guru bimbingan atau kaunselor yang terlatih untuk
memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.

Guru perlu berganding bahu dengan guru bimbingan/kaunselor untuk

memastikan bahawa pelajarnya mendapat bimbingan yang diperlukan.


Antara perkhidmatan bimbingan yang diberi di sekolah termasuklah:

Bimbingan pendidikan motivasi pelajar, pilihan mata pelajaran, kemahiran belajar, persediaan untuk peperiksaan,
penempatan untuk pengajian tinggi, dan lain-lain;

Sesi bimbingan kumpulan dan individu;

Bimbingan kerjaya kecerdasan dan tinjauan minat, bahan rujukan, memilih kerjaya yang betul, dan lain-lain; dan

Bimbingan perkembangan diri komunikasi dan kemahiran memimpin, menangani masalah hubungan dan masalah
emosi, kebajikan pelajar, perbincangan dengan ibu bapa.

Apakah caranya anda rasa seorang guru dapat bekerja secara kolaboratif dengan guru bimbingan dan kaunselor untuk
memberi bimbingan yang sesuai kepada pelajar apabila diperlukan? Antara tugas guru bekerjasama dengan perkhidmatan
bimbingan sekolah untuk pelajar dapat diterangkan seperti yang berikut:

Memberi maklumat serta maklum balas mengenai keperluan pelajar dan keberkesanan program bimbingan;

Memberi bimbingan awal kepada pelajar dan berbincang tentang keperluannya, sebelum merujukkannya kepada guru
bimbingan atau pegawai lain sekiranya diperlukan bantuan/bimbingan yang seterusnya.

Guru haruslah mengenal perkhidmatan bimbingan yang diberi oleh pihak sekolah supaya dapat memberi maklumat
yang berkaitan kepada pelajar dan menggalakkan mereka menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Memberi sokongan dan bantuan kepada program bimbingan yang ada di sekolah, dengan berperanan sebagai
fasilitator dalam kem motivasi, sebagai mentor bagi program mentor-menti, dan lain-lain;

Menyimpan rekod terkini mengenai pelajar dalam kelasnya, seperti maklumat latar belakang pelajar dan laporan
kemajuan kedatangan dan prestasi akademiknya;

Membina hubungan baik dengan pelajarnya, dan mempunyai sikap prihatin dan positif terhadap mereka, supaya guru
lebih peka dan memahami keperluan pelajar; dan

Membantu pelajar membina nilai dan sikap positif, dan mereka boleh menyesuaikan diri dan berkomunikasi dengan
lebih berkesan dalam menjalankan aktiviti dalam kelas.

4.2

Kemahiran Asas dalam Bimbingan


Sekarang kita akan mempelajari beberapa kemahiran asas dalam bimbingan. Apakah kemahiran yang diperlukan

oleh seorang guru untuk membimbing pelajar dengan berkesan, untuk membantu mereka menangani masalah isu-isu dalam
hidup mereka?

Kita perlu ingat bahawa tugas guru bukanlah untuk menyelesaikan masalah pelajar, tetapi membimbing

bermaksud guru perlu membantu pelajar membina sikap serta kemahiran yang baik untuk mengatasi masalahnya. Oleh itu,
peranan guru sebagai pembimbing adalah secara tidak langsung, dan guru perlu membina satu hubungan yang baik dengan
pelajarnya supaya ia bertanggungjawab mengatasi masalahnya, dan mempercayai bahawa gurunya akan membantunya.
Kemahiran asas bimbingan akan dibincangkan di bawah.
4.2.1

Menunjukkan hormat dan layanan yang positif


Apakah maksudnya? Ringkasnya, hal ini bermaksud bahawa guru menunjukkan sikap positif dan prihatin terhadap

pelajarnya, mesra dan tidak berat sebelah, serta menghargai pelajar sebagai individu yang unik dan berguna. Anda boleh
melakukan ini dengan mendengar pendapat pelajar itu dan menghormatinya, walaupun anda tidak bersetuju dengannya, serta
menunjukkan minat dan keikhlasan untuk memahami situasi dan pandangannya.
4.2.2

Kemahiran mendengar secara aktif


Mendengar ialah satu tindakan kasih sayang, tindakan prihatin, komitmen kita kepada orang lain
kita perlu mendengar sepenuh perasaan, iaitu peka, sekiranya kita mahu menyertai rahsia insan
laindengan mendengar kita memperoleh kuasa untuk meningkatkan atau menghapuskan
kehidupan orang lain yang berkaitan dengan kita
- daripada puisi On Listening oleh Reul L. Howe
Mendengar secara aktif bukan sekadar mendengar kata-kata lisan klien kita, tetapi juga cuba memahami maksud

klien kita dengan menjadi peka kepada petanda non-verbalnya, seperti intonasi serta nada suara, isyarat badan dan memek
muka, serta juga mengambil kira latar belakang peribadi dan sosialnya [Nelson-Jones, R., 1997].
Untuk menjadi pendengar yang baik kita perlulah mendengar dengan telinga, mata dan hati! Amalan mendengar
secara aktif, dapat membina hubungan baik dan kepercayaan pelajar, yang seterusnya dapat membina hubungan mesra
dengan pelajar. Ini akan membantu pelajar kita supaya menjadi lebih terbuka dan berterus terang dalam mengeluarkan
perasaannya apabila bercakap mengenai isu peribadi dan masalahnya.
Beberapa kemahiran mendengar yang penting disenaraikan di bawah:

Kemahiran Mendengar Yang Asas


Mendengar penuh perhatian :Menghantar mesej verbal dan non-verbal kepada klien; Mendengar kandungan
verbal mesejnya, dan memerhatikan tingkah laku non-verbalnya.
Imbas kembali : Mengulangi hal yang dikatakan oleh klien.
Memparafrasa

: Menyatakan kata-kata klien semula dengan menggunakan perkataan/ayat lain

Minta penjelasan: :Meminta klien menerangkan maksudnya dengan lebih terperinci,

Sekarang marilah kita melihat kemahiran mendengar yang disenaraikan di bawah:


(i) Kemahiran mendengar dengan penuh perhatian
Mendengar dengan penuh perhatian bermaksud memberi perhatian sepenuhnya terhadap klien, dan memberi
respons yang boleh menggalakkan klien meluahkan idea dan perasaannya dengan selesa. Tingkah laku mendengar penuh
perhatian membantu klien menerokai dan mengembangkan pendapatnya dan mengurangkan pendengar membuat respons dan
saranan yang tidak berguna. Baca dan cuba fahamkan garis panduan kemahiran mendengar dengan penuh perhatian yang
berkesan di bawah:

Garis panduan untuk kemahiran mendengar dengan penuh perhatian

Duduklah dalam kedudukan yang membolehkan anda melihat klien secara bersemuka, tetapi janganlah
merenung klien.

Air muka anda haruslah tenang, menunjukkan minat, dan konsisten dengan angin klien.

Suara anda haruslah tenang, jelas, tidak terlalu kuat atau berdominasi, dan menggunakan intonsi
perbualan.

Memerhati dan memahami mesej non-verbal yang ditunjukkan oleh klien - seperti gugup, tertekan, sedih
atau marah melalui pergerakan badan, air muka dan suaranya.

Galakkan klien memberi pendapatnya atau menerangkan pengalamannya dengan menggunakan


kenyataan atau soalan terbuka, tanpa mengkritik atau menolak pendapatnya.

Gunakan respon galakan yang minimum, seperti anggukan kepala, dan bisikan verbal untuk
menggalakkan klien supaya terus bercakap.

Contoh soalan terbuka yang menggalakkan klien supaya mula bercakap mengenai pengalamannya:

Bolehkah kamu beritahu apa yang berlaku dalam kelas Matematik semalam?
Kamu kelihatan tegang, tak perlu terburu-buru, kamu boleh beritahu saya jika kamu mahu.

Contoh bisikan verbal yang menunjukkan minat (respons galakan minimum):

Uh-hmm ; Lepas itu? ; Sila teruskan ; Dan? Oh?


Lepas itu apa yang berlaku..?

(ii) Kemahiran imbas kembali yang mudah


Kemahiran ini membantu anda memberi fokus terhadap hal yang dikatakan oleh klien, serta memberitahu klien
bahawa anda mendengar hal yang diperkatakan olehnya.

Dalam imbas kembali, anda mengulangi sebahagian atau

sepenuhnya hal yang diluahkan klien. Penting supaya intonasi suara anda menunjukkan minat, bukannya kritikan atau sindiran

atau merendah-rendahkan. Hal ini tidak bermaksud bahawa anda mengulangi segala yang dikatakan oleh klien, seperti burung
kakatua.
Contoh kemahiran mengimbas kembali;

Pelajar:
Guru:

Saya bimbang saya tidak mendapat gred yang baik dalam Matematik. Saya perlukan bimbingan
Awak perlu bimbingan dalam Matematik? (fokus anda adalah terhadap situasi)

ATAU
Guru:

Awak bimbang mengenai Matematik? (fokus anda adalah terhadap perasaan pelajar)

(iii) Memparafrasa
Dalam memparafrasa, anda menukar perkataan atau menukar ayat yang disebutkan oleh klien, supaya ia berpeluang
mendengar semula hal yang disebutnya serta mengembangkan maksudnya dengan anda. Contoh memparafrasa ialah;

Pelajar:

Saya tak tahu mengapa kawan-kawan saya senantiasa mengganggu saya. Saya tidak boleh
membuat kerja saya. Apabila saya cuba menjawab soalan dalam kelas, mere ketawakan
saya.

Guru:

Kamu rasa kamu tidak boleh membuat kerja dan menjawab soalan dalam kelas kerana tingkah
laku kawan-kawan kamu? Kamu tidak faham mengapa mereka ketawakan dan
mengganggu kamu?

Anda mungkin fikir bahawa respons pendengar seperti di atas adalah lewah, dan membuang masa.

Tetapi

memparafrasa memainkan peranan penting dalam mendengar secara aktif ia membantu anda memberi fokus terhadap hal
yang dikatakan oleh klien, lalu memastikan sama ada kita telah mendengar dengan tepat atau tidak. Ia juga memberitahu klien
bahawa kita telah mendengar dengan tepat hal yang dikatakannya,

ia dapat memberi peneguhan kepada klien dan

menggalakkannya untuk meneruskan perbualan.


(iv) Mendapatkan Penjelasan
Dalam kemahiran ini, anda meminta klien menjelas dan mengembangkan hal yang dikatakannya, supaya maksudnya
menjadi lebih jelas, dan anda membuat kepastian dengan klien sama ada anda telah faham mesejnya dengan tepat.
Kemahiran ini memastikan bahawa kedua-dua pihak memahami mesej klien dengan jelas. Contoh respons yang meminta
penjelasan daripada klien:

Pelajar:

Guru:

Saya tak tahu mengapa kawan-kawan saya senantiasa mengganggu saya. Saya tidak boleh
membuat kerja saya. Apabila saya cuba menjawab soalan dalam kelas, kawan-kawan saya
ketawakan saya.
Bila kamu kata kawan-kawan kamu mengganggu, apa yang dilakukan oleh mereka?

ATAU
Guru:

Apa yang saya faham ialah apabila kawan-kawan awak ketawakan dan mempermainkan awak, awak
rasa tidak selesa dan tidak boleh menumpukan perhatian terhadap kerja, maksud awak
begitu?

Cuba fikirkan soalan yang berikut buat beberapa ketika.

Mengapa anda rasa mendengar murid anda adalah penting? Adakah anda pendengar yang baik? Apakah kesulitan yang anda
alami apabila mendengar murid anda?

4.2.3

Berempati (atau menunjukkan kefahaman)


Apabila anda berempati dengan seseorang, anda sebenarnya menyelami pandangan atau perasaan orang itu, untuk

memahami pengalaman dan situasi hidupnya mengikut sudut pandangannya.

Carl Rogers menerangkan empati sebagai

kebolehan menyelami dunia dalaman seseorang yang sulit dan peribadi dan untuk menyampaikan kefahaman ini kepada
orang lain. Rogers lebih suka menganggap empati sebagai sikap atau cara hemah seseorang, dan bukan sebagai satu
kemahiran [Nelson-Jones, R., 1997].

Kefahaman empati melibatkan dua langkah utama:


1.
Penanggapan tepat mengenai dunia dalaman seseorang; kebolehan melihat sesuatu
dengan cara yang sama seperti orang lain; dan
2.
Berkongsi kefahamannya dengan orang lain secara lisan

Empati bukan bermakna kita bersetuju dengan orang lain (ia bukan simpati).

Ia hanya bermakna bahawa kita

memperlihatkan cara orang lain berasa atau berfikir mengenai situasinya.


Garis panduan menunjukkan empati:

Respons anda haruslah selari dengan perasaan atau angin orang itu;

Memberi respons dengan menyatakan hal yang anda fikirkan mengenai perasaannya, dan cuba menyemak semula
dengannya untuk melihat sama ada fahaman anda adalah tepat;

Gunakan pandangan orang tersebut dan bercakap dari sudut perspektif/pandangannya;

Selalu semak semula dengannya sama ada anda telah memahami pandangan/perasaannya dengat tepat, jangan
buat andaian;

Jangan memberi respons dengan menyatakan saya faham bagaimana anda rasa ini tidak menggambarkan sama
ada anda telah benar-benar memahami pandangan atau perasaannya. Kenyataan seperti saya rasa sama seperti
kamu juga tidak membantu, ia merupakan simpati dan bukan empati!

Contoh respons empati dalam sesi bimbingan

Contoh 1
Pelajar:

Guru:

Contoh 2

Saya gunakan wang saya untuk belanja kawan, Saya tak sukalah menyatakan saya tak mahu bayar
minuman mereka. Mereka mengharapkan saya boleh bayar kerana saya menang
perlawanan itu.
Awak rasa jika awak tidak bayar, mereka akan menganggap awak kedekut?

Pelajar:

Apabila saya cuba jawab dalam kelas, pelajar lain mula ketawa dan mempermainkan saya. Jadi
saya tidak lagi mengangkat tangan untuk menjawab.

Guru:

Awak rasa tidak selesa apabila mereka berbuat demikian. Awak rasa lebih baik berdiam diri dan
tidak menarik perhatian mereka terhadap awak.

Perhatikan bahawa dalam contoh di atas guru menunjukkan empati dengan menyatakan hal yang dirasakan oleh pelajarnya,
tetapi tidak perlu menyatakan sama ada ia bersetuju dengan pelajarnya atau mempunyai perasaan yang sama seperti
pelajarnya.
4.2.4

Kemahiran Memudah Cara (facilitative)


Dalam bimbingan, kita menggunakan soalan untuk membantu seseorang itu memfokus dan berfikir, serta

membantunya menganalisis situasinya lalu mengeluarkan maklumat relevan yang akan membantunya memahami situasinya
dengan lebih jelas. Penyoalan tidak harusnya dijalankan sebagai temu duga, atau sebagai soal siasat, atau bertujuan untuk
mendapatkan jawapan yang betul. Jangan menggunakan soalan untuk memaksa seseorang memberi maklumat terperinci
yang tidak rela diberi.
Ketika memudahcarakan, soalan dikemukakan dengan nada lembut, dan relaks, sebagai permintaan bukan paksaan.
Soalan terbuka lebih baik daripada soalan tertutup (lihat contoh di bawah), kerana soalan terbuka membantu seseorang berasa
lebih relaks dan bebas untuk memberi maklumat secara tak langsung, yang akan membantu untuk memulakan perbincangan.

Contoh soalan terbuka.

Aspek apakah yang awak suka bincang atau fokus dalam perbincangan kita?
Biasanya bagaimana awak belajar di rumah?
Bagaimana perasaan awak apabila tahu yang awak tidak dijemput?

Soalan mengapa selalunya tidak membantu contohnya

mengapa awak tidak menyiapkan kerja rumah?

kerana ia boleh menjadikan pelajar tersebut lebih defensif, dan mendorongnya mencari alasan, dan tidak membantunya
memberi penumpuan kepada situasi sebenar.

Soalan yang lebih baik harus berbunyi Apa masalah anda dalam membuat

kerja rumah?
Contoh soalan tertutup (yang tidak membantu, kerana ia menutup perbincangan, tidak menggalakkan untuk membuka
perbincangan).

Bila awak balik ke rumah?


Apa pekerjaan bapa awak?
Apa markah yang awak perolehi dalam Matematik?
Adakah awak lebih suka sukan atau muzik?

Soalan berbentuk tertutup membuatkan orang itu berasa tertekan untuk memberi jawapan, dan selalunya berasa dunianya
dicerobohi. Ini akan menutup kerelaannya untuk memberi respons.
4.2.5

Kemahiran membuat rumusan

Merumus melibatkan hal menyatakan kesemua aspek dan isu utama yang dibincangkan dan dijelaskan semula. Ia
juga membantu klien membuat tumpuan terhadap matlamat dan keperluannya semula, serta mengelakkan kedua-dua pihak
menyeleweng daripada isu-isu penting. Semasa sesi bimbingan, anda boleh membuat rumusan ringkas setelah klien bercakap
beberapa minit, atau anda boleh menunggu sehingga akhir sesi untuk membuat rumusan yang lebih panjang. Anda juga boleh
membuat rumusan ringkas pada permulaan atau pada akhir sesi untuk membantu klien membuat tumpuan mengenai hal yang
perlu dibincangkannya. Selepas membuat rumusan, pastikan anda menyemak semula dengan klien sama ada anda telah
mendapat isu yang betul. Berikut ialah contoh rumusan dalam sesi bimbingan.
Contoh rumusan ringkas pada pertengahan sesi:

Tadi kamu menyatakan bahawa kamu masih teringatkan kawan-kawan di sekolah lama, dan kamu berasa susah
untuk berkawan dengan pelajar dalam kelas sekolah ini. Kamu juga kata guru-guru sekolah ini tidak memberi
layanan seperti guru di sekolah lama. Jadi kamu berasa agak kecewa dan tidak berminat untuk datang ke
sekolah. Begitu?

Contoh rumusan yang lebih panjang apabila hampir tamat sesi:

Liza, ketika kamu bercakap, saya berasa bahawa kamu sering menekankan hal betapa pentingnya kamu disukai
oleh kawan-kawan sedarjah dan guru-guru kamu. Ia sangat penting kepada kamu, sehingga kamu berasa sangat
sedih dan tidak boleh membuat kerja kamu apabila kamu rasa mereka tidak suka kamu dan tidak menerima
kamu. Kamu cuba bersungguh-sungguh untuk menyukai kawan kamu, walaupun kamu rasa perkara yang
mereka mahu kamu buat adalah tidak betul. Meskipun begitu, kamu rasa betapa bersungguh-sunguh anda cuba,
namun tiada orang yang berpuas hati. Keadaan ini membuatkan kamu berasa tertekan dan tidak seronok
dengan diri dan hidup kamu. Dalam perbincangan seterusnya nanti, kita akan memberi fokus kepada sebabsebab pentingnya bagi kamu untuk memuaskan hati kawan-kawan kamu, dan kita cuba cari jalan, cara lain untuk
mendekati mereka. Boleh tak begitu?

Setakat ini kita telah membincangkan lima kemahiran asas yang anda boleh gunakan semasa sesi bimbingan dengan
klien anda, ia adalah (i) menunjukkan layanan positif dan hormat, (ii) kemahiran mendengar secara aktif seperti mendengar
penuh perhatian, kemahiran komunikasi non-verbal, imbas kembali, memparafrasa dan kemahiran menerangkan atau
menjelaskan; (iii) empati; (iv) menyoal bertujuan untuk memudah cara (facilitative), dan (v) kemahiran membuat rumusan.
Kemahiran ini memerlukan banyak latihan sebelum anda boleh menggunakannya secara alamiah.

Walau

bagaimanapun, kemahiran asas inilah yang akan membantu anda membimbing pelajar anda dengan lebih berkesan pada
setiap peringkat dalam proses bimbingan. Berikutnya adalah beberapa latihan kemahiran yang boleh anda lakukan dengan
rakan-rakan.
Latihan untuk dipraktikkan;
1.

Dalam pasangan, main peranankan satu sesi bimbingan, seorang memainkan peranan pembimbing dan seorang lagi
sebagai pelajar. Cuba gunakan setiap kemahiran secara bergilir-gilir, dapatkan seorang rakan lain untuk memerhati dan
mencatat nota untuk memaklumkan balik.

2.

Minta rakan atau pelajar anda berbincang dengan anda masalah yang sedang dialaminya. Minta kebenarannya
untuk merakam sesi perbincangan tersebut. Kemudian, dengar semula dan cuba buat penilaian mengenai bagaimana
anda menggunakan kemahiran asas dalam membimbing. Apa kekuatan anda? Apa kelemahan atau kekurangan
anda?

4.3

Masalah pelajar

Dalam bahagian ini, kita akan bincang beberapa masalah pelajar dan bagaimana mengenalpastinya, dan bagaimana
untuk melaksanakan proses bimbingan untuk menangani masalah tersebut.
4.3.1

Mengenalpasti masalah pelajar


Masalah pelajar boleh dikategorikan seperti berikut:

MASALAH PELAJAR

Isu-isu personal

Masalah akademik

Penyesuaian
sosial

Rajah 4.1 : Masalah Pelajar


Isi-isu peribadi yang menyebabkan masalah kepada pelajar termasuklah :

Masalah perhubungan dengan ahli keluarga, kawan-kawan, kawan wanita/lelaki, kawan sedarjah;
Masalah keluarga ibu bapa yang bercerai, kematian ibu bapa/ahli keluarga, persekitaran rumah yang tidak selesa,
dan lain-lain;

Masalah emosi konsep kendiri negatif, rendah harga diri, tekanan, perasaan takut dan tidak selamat, kemarahan
yang amat sangat, tidak upaya mengawal emosi, mood yang tidak stabil, kesukaran menyuarakan emosi yang sebenar,
tingkah laku menyendiri, dan lain-lain;

Masalah kesihatan - penyakit fizikal dan mental, kecacatan fizikal, kekurangan pemakanan, masalah makan,
berlebihan/kekurangan berat badan

Masalah kewangan pendapatan keluarga rendah - lemah dalam pengurusan kewangan, dan
Isu pengurusan kendiri lemah dalam mengurus masa, lemah kemahiran komunikasi, tidak mempunyai kemahiran
untuk menangani situasi yang tegang.

Masalah akademik termasuklah:

masalah pembelajar dalam mata pelajaran tertentu;

pencapaian akademik yang rendah;

masalah berkomunikasi dengan guru;

motivasi rendah dan kurang berminat untuk belajar;

tidak menyertai aktiviti kelas; dan

kemahiran belajar yang kurang baik


Masalah penyesuaian sosial merujuk kepada masalah tingkah laku yang disebabkan oleh kurang kebolehan pelajar

tersebut untuk mengadaptasikan diri dengan situasi sosial serta ekspektasi norma dalam masyarakat. Ia termasuklah:

tidak mematuhi peraturan sekolah;

ponteng, melepak;

salah guna bahan-bahan;

perhubungan sex secara rambang;

perosak;

bergaduh; dan

aktiviti jenayah mencuri, peras ugut, gangster, rusuhan, mengedar dadah kepada kawan sekolah, dan lain-lain.

Guru dan kakitangan sekolah harus mengenal pasti masalah pelajar dengan segera, supaya boleh memberi bantuan
kepada pelajar sebelum masalahnya menjadi lebih besar atau lebih serious. Sekiranya guru itu tiada masa atau tidak terlatih
untuk membimbing masalah tersebut, ia haruslah mempastikan bahawa pelajar tersebut dirujukkan kepada orang lain yang
lebih bertauliah supaya pelajar tersebut mendapat bantuan yang diperlukannya.
Beberapa cara yang boleh anda gunakan untuk mengenal pasti masalah pelajar ialah:

perhatikan tingkah laku pelajar anda di dalam dan di luar kelas, bagaimana ia berinteraksi antara satu sama lain,
bagaimana ia berkomunikasi dan menyuarakan perasaannya;

galakkan pelajar anda membincangkan masalah dan pengalamannya secara terbuka dengan anda .

Ini akan

membolehkan anda mengesan masalah yang serious lebih awal;

rujuk kepada rekod dan laporan prestasi pelajar. Ini membolehkan anda mengesan sejarah masalah tersebut;

bincangkan pemerhatian anda terhadap pelajar tersebut dengan guru lain yang berkenaan, untuk melihat sama ada
terdapat satu corak tingkah laku yang konsisten yang menyebabkan masalahnya;

berbincang dengan ibu bapa untuk meninjau sama ada mereka mempunyai maklumat terhadap anaknya, rekod
kesihatannya, tingkah laku di rumah, dan sebagainya; dan

ada sesi bimbingan secara peribadi dengan pelajar tersebut untuk membicangkan masalahnya yang telah anda
perhatikan, supaya mereka boleh mengenal pastinya dengan lebih awas dan langkah-langkah pencegahan boleh
diambil.

Berhenti sebentar dan buat refleksi mengenai soalan di bawah.

Apakah masalah yang dialami oleh kebanyakan pelajar? Apakah cara yang anda gunakan untuk mengenal pasti masalah
tersebut? Apa tindakan yang biasa anda ambil?

Seterusnya, kita akan pertimbangkan, bagaimana melaksanakan proses bimbingan dalam menangani masalah
pelajar.
4.3.2

Melaksanakan proses bimbingan


Membimbing pelajar untuk menangani masalahnya dengan berkesan adalah satu proses yang memakan masa dan

melibatkan beberapa peringkat. Jadual berikut menunjukkan garis panduan mengenai lima peringkat utama dalam proses
bimbingan [Nelson-Jones, R., 1997], dengan tugas-tugas yang sejajar dengannya untuk kedua-dua guru dan pelajar.
Jadual 4.1 : Peringkat Dalam Proses Bimbingan
Peringkat dalam proses
bimbingan
I. Bina perhubungan dan kenal
pasti masalah

bina rapo

bina saling mempercayaai &


saling hormat

iltizam untuk bekerja


bersama untuk matlamat
yang sama

jelaskan masalah dan


bentuk matlamat awal

Peranan guru sebagai pembimbing

Menunjukkan layanan yang positif dan


rasa hormat
Tingkah laku yang tidak menilai
Membentuk persekitaran yang mesra dan
selesa
Menggunakan kemahiran mendengar
secara aktif untuk mendengar dan
memahami masalah pelajar.
Menunjukkan empati
Realistik dalam membantu pelajar
menentukan matlamat awal untuk sesi
tersebut.

Peranan pelajar.

Mahu berbincang mengenai


masalah atau situasinya
Beriltizam untuk mencari
cara menangani masalahnya
Bekerjasama dengan
gurunya dengan menepati
temu janji untuk sesi
bimbingan
Jujur serta ikhlas
Mengambil tanggung jawab
untuk mencari penyelesaian
Berusaha membentuk

II. Teroka dan fahami masalah,


dan nyatakan semula masalah
dalam istilah yang lebih
praktikal

Mengenal pasti sumber atau


sebab masalah
Meneliti & mengenal pasti
komponen-komponen atau
bahagian masalah.
Menterjemahkan masalah
menggunakan istilah-istilah
yang lebih praktikal, supaya
mudah untuk kerja
membimbing

III. Bina matlamat, terokai


alternatif, buat keputusan
dan rancang tindakan

Bina matlamat yang


realistik untuk membina
kemahiran menangani
masalah dan mengubah
situasi yang bermasalah itu.
Mencari penyelesaian
masalah yang kreatif dan
praktikal
Membuat keputusan
Merancang tindakan
yang perlu diambil

IV. Mengambil tindakan untuk


membina kemahiran hidup,
mengubah sikap dan corak
tingkah laku supaya dapat
berhadapan dengan situasi
bermasalah dengan lebih
berkesan

Belajar kemahiran
baru, mengubah sikap dan
corak tingkah laku

Mengambil langkah
yang sesuai untuk
menangani situasi
bermasalah

V. Maklum balas, penilaian


mengenai keberkesanan
tindakan, memantau
kemajuan, serta mengakhiri
sesi bimbingan

Laporan-kendiri oleh pelajar


mengenai kemajuannya

Pemerhatian guru atau

matlamat awal untuk


menangani situasinya

Tidak memberi nasihat; tidak cuba


menyelesaikan masalah untuk pelajar.
Menggalakkan pelajar mengambil
tanggung jawab membina kemahirannya
sendiri untuk mengatasi masalahnya
Memikirkan tentang masalah tersebut dan
membuat penilaian pertama mengenai
situasi pelajar
Menggunakan empati dan kemahiran
membuat penjelasan untuk membantu
pelajar menyedari perasaannya
Menggunakan kemahiran menyoal dan
membuat rumusan untuk membantu
pelajar mengenal pasti punca kepada
masalahnya
Bantu pelajar menyatakan semula
masalahnya dengan menyatakan apa
kemahiran dan perubahan sikap yang
diperlukan
Bantu pelajar melihat pertalian antara
tindakan dan akibatnya

Bimbing pelajar dalam proses


menentukan matlamat untuk dirinya
Bantu pelajar menentukan matlamat
yang realistik untuk menangani situasinya
Menggalakkan pelajar berfikir secara
kreatif untuk mencari penyelesaiannya
sendiri dan cadangan untuk tindakan
Bimbing pelajar berfikir secara kritikal
dan menilai beberapa alternatif untuk
tindakan
Bimbing pelajar dengan proses
membuat keputusan
Menunjukkan sikap yang positif dan
optimistik, untuk memotivasi pelajar, dan
memberinya keyakinan untuk membuat
keputusannya sendiri

Memberi masa dan perhatian untuk


membimbing pelajar berlatih kemahiran
yang diperlukan untuk mengambil tindakan
seterusnya
Mengurangkan rasa bimbang pelajar
dengan berlatih di tempat yang selamat
terlebih dahulu, sebelum melaksanakan
tindakan yang telah dipersetujui
Membimbing dan
mendemonstrasikan kemahiran langkah
demi langkah, tidak mengharapkannya
memperoleh kemahiran dengan serta
merta
Memberi peneguhan kepada pelajar
dengan memberi maklum balas kepada
pelajar mengenai kemajuannya
Main peranan dengan pelajar untuk
membantunya berlatih kemahirankemahiran tersebut
Menggalakkannya untuk mencuba
tingkah laku baru, yang lebih sihat dalam
berhadapan dengan situasi harian dalam
hidupnya.

Memberi maklum balas positif dan


negative mengenai usaha pelajar untuk
membaiki dirinya
Menggalakkan pelajar untuk menilai
dirinya serta kemajuannya
Berbincang dengan pelajar mengenai
keberkesanan tindakan yang diambil, dan
samada rancangan tindakan yang baru

Menerokai pemikiran dan


perasaan sendiri
Menganalisa masalah dan
mengenal pasti sebabsebabnya
Meningkatkan kesedaran
kendiri dengan sentiasa
menyedar perasaannya
Memahami pertalian antara
pemikiran, perasaan dan
tindakan, dan akibatnya
Membentuk persepsi yang
tepat mengenai masalahnya
Bertanggung jawab membuat
pilihan untuk hidupnya
Membina keyakinan diri
dan motivasi dengan
menentukan matlamat dan
membuat keputusan
hidupnya sendiri
Menggunakan kreativiti
dan kemahiran berfikir untuk
menyarankan penyelesaian
yang kreatif yang sesuai
dengan situasinya.
Merancang tindakan
yang boleh diambil dan
beriltizam untuk menjalankan
dan menyelesaikannya

Berbincang mengenai
kebimbangan dan sangsi
mengenai tindakan yang
telah diputuskan
Berlatih kemahiran
menangani masalah untuk
menghadapi situasi
bermasalah
Mengambil risiko untuk
mencuba tingkah laku baru
untuk mengubah amalan
berfikir dan beraksi yang
tidak membantu
Mengambil tindakan
untuk menangani masalah
atau situasinya

Berbincang secara jujur


dengan gurunya mengenai
kemajuannya dalam
menggunakan kemahiran
barunya atau dalam
mengubah tingkah lakunya
Berbincang dengan gurunya
mengenai kerisauan

kaunselor
Maklum balas dari guru dan
orang lain mengenai
keberkesanan tindakan
Penilaian semula matlamat,
jika perlu
Pemantauan kemajuan
pelajar dalam mengubah
tingkah laku
Menamatkan sesi bimbingan

perlu dibuat
Semak dengan pelajar untuk melihat
sejauh mana matlamatnya telah dicapai
Berbincang dengan pelajar mengenai
menamatkan sesi bimbingan, serta
kerisauan pelajar mengenainya.
Menamatkan sesi bimbingan dengan
kedua-dua guru dan pelajar merasakan
matlamatnya telah dicapai, atau kemajuan
seterusnya tidak boleh dibuat melalui sesi
ini
Jadualkan perjumpaan susulan untuk
memantau kemajuan pelajar.

terhadap kemajuannya
Meminta maklumbalas
daripada guru, rakan atau
keluarganya
Sentiasa memantau
kemajuannya, dan
memotivasikan dirinya untuk
terus memperbaiki
kemahiran dan tingkah
lakunya dalam menangani
masalah
Menilai keberkesanan
tindakannya dan pencapaian
matlamat
Membuat keputusan untuk
menamatkan sesi bimbingan,
setelah berbincang dengan
gurunya.

Cuba buat refleksi mengenai soalan berikut

Fikirkan pengalaman yang anda telah ada mengenai membantu pelajar yang mempunyai masalah. Aspek mana yang
berkesan? Apa yang tidak berkesan? Manggunakan kemahiran membimbing dan peringkat-peringkat bimbingan, apakah
kelainan yang akan anda lakukan?

Rumusan
Topik ini membincangkan guru sebagai pembimbing. Isi-isi utamanya ialah:

Matlamat utama bimbingan ialah untuk membantu pelajar membina potensi dan kemahiran hidup supaya ia boleh
menjadi individu yang sihat dan seimbang, dengan kebolehan dan sikap yang membantunya menangani cabaran dan
kesukaran hidup dengan berkesan;

Prinsip melaksanakan proses bimbingan adalah berdasarkan kepada garis panduan etika seperti kerahsiaan dan
hormat kepada hak pelajar untuk menerima bimbingan;

Kemahiran asas bimbingan termasuk menunjukkan layanan positif dan hormat, kemahiran mendengar dengan aktif,
berempati, kemahiran menyoal, dan kemahiran membuat rumusan;

Masalah pelajar yang sering berlaku termasuk peribadi, akademik dan masalah perkembangan sosial; dan

Lima peringkat utama proses bimbingan telah diterangkan, dengan tugas-tugas guru dan murid.

Berikut adalah senarai teks bacaan dan buku rujukan yang digunakan

Teks bacaan asas


Abdul Rahman Aroff & Zakaria Kasa (1994). Falsafah dan Konsep Pendidikan. Edisi
Kedua. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Gutek, G.L. (1997). Philosophical and Ideological Perspectives on Education.
Second Edition. Needham Heights: Allyn and Bacon.
Pusat Perkembangan Kurikulum (2001). Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan Misi Kementerian Pendidikan
Malaysia. Kuala Lumpur: Kementerian
Pendidikan Malaysia.

Rujukan
Ead, H.A. (1998). Averroes As A Physician.
http://www.frcu.eun.eg/www/universities/html/hamed2.htm
Egan, G. (1990), The Skilled Helper, (4th Ed.), Pacific Grove: Brooks/Cole Publishing Co.
Armstrong, D.G., Henson, K.T. & Savage, T.V. (1995). Education: An Introduction.
New York: Macmillan Publishing Company.
Barrow,R. (1984). Giving Teaching Back to Teachers. A Critical Introduction to
Curriculum Theory. Brighton: Wheatsheaf Books.
Bondi, W. (1989). Curriculum Development: A Guide to Practice. (3rd ed.).Ohio:
Merrill Publishing Co.
Duke, D.L. (1990). Teaching: An Introduction. New York: McGraw-Hill Publishing Co.
Eisner,E.W. (1994). The Educational Imagination. New York: Macmillan College Pub.
Frazee, B. & Rudnitski, R.A. (1995). Integrated Teaching Methods. Albany, New
York: Delmar Publishers.
Glatthorn, A.A. (1987). Curriculum Leadership. Glenview: Scott, Foreman.
Jenkins, D. (1976). Curriculum Evaluation (Unit 19 till Unit 21). Walton Hall, Milton
Keynes: Open University Press.
Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim (1992), Pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan
Kaunseling di Sekolah, Kuala Lumpur: DBP
Nelson-Jones, R. (1997), Practical Counselling and Helping Skills, (4th Ed.), London:
Cassell Publications
Ozmon, H.A. & Craver, S.M. (1995). Philosophical Foundations of Education.
Englewood Cliffs: Prentice Hall.
Stenhouse. (1975). An Introduction to curriculum Research and Development.
London: Heinemann.
Taba, H. (1962). Curriculum Development: Theory and Practice. New York: Harcourt
Brace and World.
Tyler, R.W. ( 1969). Basic Principles of Curriculum and Instruction. Chicago: The
University of the Chicago Press
Teacher Education Division (2002). Education Resource Book for Lecturers. Kuala
Lumpur: Ministry of Education.
Teacher Education Division (1982). The Philosophy of Education (Report of the
National Workshop and Survey). Kuala Lumpur: Ministry of Education.
Titus, H. A. (1970). Living Issues in Philosophy. Fifth Edition. New York: Van
Nostrand Reinhold Company.
Raslan, Y.F. (1997). Ibn Rushd, Philosopher and Theologian. Al-Jadid, 3 (20).
http://www.aljadid.com/index.html
http://www.susancanthony.com/Workshops/philosophy_hand.html
http://www.moe.gov.my
http://cw.prenhall.com/bookbind/pubbooks/armstrong3/chapter3/chapter12/deluxe.html
http://www.siu.edueyctr/cdromsup.html
http://www.soe.purdue.edu/fac/georgeoff/phil am ed/essentialism.html
http://www.morehead-st.edu/people/w.willis/fourtheories.html
http://www.wikipedia.org/wiki/Philosophy
http://www.infed.org/biblio/b-curric.htm.
http://pages.nyu.edu/~asr209/curriculum.doc
http://www.cast.org/udl/EnvisioningFutureCurriculum189.cfm

Anda mungkin juga menyukai