Anda di halaman 1dari 3

Fadhilat Puasa Enam Syawal

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : Barangsiapa yang berpuasa di


bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawwal, maka
(pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun (Hadis riwayat Imam Muslim.
Kitab Puasa).
Dua jenis amalan menentukan peribadi seseorang Muslim iaitu amalan wajib dan
amalan sunat. Wajib bermaksud sesuatu yang dituntut untuk melakukannya dan
berdosa jika ditinggalkan seperti solat fardu, puasa pada Ramadan dan membayar
zakat.Sunat pula bermaksud sesuatu yang dianjurkan untuk melakukannya dan
tidaklah berdosa jika ditinggalkan. Antara contoh amalan sunat ialah solat,
mengucapkan amin apabila membaca fatihah dalam solat dan banyak lagi.
Walaupun meninggalkan amalan sunat tidaklah menyebabkan berdosa, ia adalah
amalan sangat disukai Allah.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
"Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa yang memusuhi waliKu, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada
seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang
lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas
dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku
dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku
telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia
mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya,
dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang
ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan
kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi."
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Antara ibadat sunat yang amat digalakkan selepas puasa wajib Ramadan ialah puasa
enam hari semasa Syawal. Persoalannya, bilakah waktu terbaik melakukannya, dan
bagaimanakah cara untuk menunaikannya jika puasa wajib belum lagi diganti atau
diqada?
Kelebihan Hadis Puasa Sunat Enam Syawal.
Puasa enam hari pada Syawal sebenarnya amat besar ganjaran yang ditawarkan Allah.
Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW.
Dilaporkan daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW
bersabda bermaksud:
"Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa
enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun." (Hadis
riwayat Muslim,Abu Dawud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah)
Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa
wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun.
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah telah
menggandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadan
setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal
yang menggenapkannya satu tahun." (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah)
Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini
bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi
300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari.
Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari.
Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1
Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu
Said al-Khudri berkata: Nabi s.a.w. melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan
(Aidil) Adha. [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1991
(Kitab al-Shaum, Bab berpuasa pada hari Aidil Fitri).]
Persamaan yang lain, jika berpuasa selama sebulan pada Ramadan akan menyamai 10
bulan, kemudian diikuti puasa selama enam hari pada Syawal akan menyamai dua
bulan. Justeru genaplah berpuasa selama setahun.
Bagaimana melakukan puasa Enam Syawwal
Ada dua pendapat ulama mengenai hal ini. Majoriti ulama berpendapat, puasa enam
dilakukan secara berturut-turut selepas Hari Raya. Ia dimulai pada hari raya kedua

dan seterusnya sehingga genap enam hari. Sebahagian ulama pula berpendapat puasa
enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang
Syawal.
Justeru, kita mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sama ada melakukannya
secara berturut-turut ataupun berselang seli.
Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan
masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan.
Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan
puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka
akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada
terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.
Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid
dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.
Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan
mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada
Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang
wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba.
Ada juga ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia
hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan
dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.
Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli.
Begitu juga dengan puasa qada. Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam
dengan puasa qada ataupun secara berasingan.
Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini
kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada
kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.
Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama melakukan ibadat puasa enam yang
digalakkan oleh Rasulullah SAW ini. Samada ingin menggabungkan puasa enam dengan
puasa yang lain atau ingin melakukannya secara berasingan, itu terpulanglah kepada
diri kita sendiri berdasarkan kemampuan yang ada pada diri kita. Apa yang penting
ialah kita ingin ia menjadi saksi di hadapan Allah SWT nanti sebagai tanda bahawa diri
ini benar-benar ingin mencari dan memburu keredhaanNya. Semoga kita dimasukkan
di dalam golongan yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat.
Amin............

Anda mungkin juga menyukai