Anda di halaman 1dari 2

Penulisan Jurnal

Minggu 5 ( 1 Mac 2015 5 Mac 2015 )

Masalah Pelajar Tidak Menguasai Kemahiran Proses Sains


Masalah / Isu
Minggu ini merupakan minggu yang kelima saya berada di Sekolah Kebangsaan Labok.
Untuk sesi pengajaran dan pembelajaran pada minggu ini, saya menghadapi masalah bagi
pelajar kelas 3 Pintar. Kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan
sebelum ini adalah tidak memuaskan kerana hanya 50% daripada hasil pembelajaran yang
telah ditetapkan untuk tajuk kemahiran proses sains dapat dicapai. Hal ini kerana masih
terdapat sebilangan besar pelajar yang masih keliru dan tidak menguasai kemahiran proses
sains dengan baik terutamanya kemahiran membuat inferens dan juga kemahiran meramal.
Pada minggu ini, ujian Latihan 1 telah dijalankan bagi kesemua pelajar dari tahun 1 sehingga
tahun 6. Saya dapat mengenal pasti masalah ini apabila kebanyakan pelajar melakukan
kesalahan pada soalan-soalan yang berkaitan dengan kemahiran proses sains terutamanya
bagi kedua-dua kemahiran tersebut semasa menyemak kertas ujian tersebut. Pada hari
Khamis, saya telah masuk ke kelas mereka dan bertanyakan tentang masalah tersebut. Saya
juga telah menyemak latihan yang pernah diberikan dalam lembaran kerja. Didapati
terdapat pelajar yang membuat kesalahan bagi memberikan maksud dan menentukan
situasi yang menggunakan kemahiran proses sains yang tertentu.
Analisis Masalah
Berdasarkan pemerhatian yang dilaksanakan oleh saya di dalam bilik darjah, masalah
ini timbul kerana saya tidak merancang aktiviti bersesuaian bagi mengajar topik kemahiran
proses sains. Untuk tajuk ini, aktiviti eksperimen merupakan satu aktiviti yang sesuai kerana
dengan membuat eksperimen pelajar dapat menggunakan kemahiran proses sains dengan
lebih baik melalui pengalaman yang dilalui sendiri oleh mereka terutamanya bagi kemahiran
membuat inferens dan meramal. Saya telah menggunakan pendekatan dengan memberikan
lebih banyak penerangan kepada pelajar berbanding melaksanakan aktiviti kerana saya
risau jika hasil pembelajaran tidak dapat dicapai kerana kemahiran ini agak sukar untuk
dikuasai oleh pelajar. Selain itu, saya juga tidak merancang untuk membuat eksperimen
kerana pelajar dalam kelas tersebut agak bermasalah dari segi disiplin dan sukar untuk di
kawal. Jadi, jika pelajar di bawa ke makmal sains untuk membuat eksperimen, mereka

mungkin tidak akan menumpukan perhatian terhadap pembelajaran kerana mereka tidak
pernah di bawa masuk ke sana. Kemungkinan juga masalah ini timbul disebabkan oleh
lembaran kerja yang diberikan adalah tidak sesuai dengan tahap kebolehan pelajar dan
menyebabkan mereka tidak dapat menjawabnya dengan baik. Hal ini kerana, terdapat
beberapa orang pelajar yang masih tidak menguasai kemahiran membaca dengan lancar.
Oleh itu, masalah ini telah menyebabkan hasil pembelajaran tidak dapat dicapai dengan
sepenuhnya.
Cadangan Untuk Memperbaiki
Sebagai cara untuk mengatasi masalah ini, saya akan mengambil tindakan seperti
yang berikut :

Mengulangi semula pembelajaran terutamanya bagi kemahiran proses sains membuat

ramalan dan juga membuat inferens.


Lebih peka dan cuba memberikan penerangan yang ringkas namun masih mampu

difahami oleh pelajar.


Merancang aktiviti pembelajaran yang sesuai seperti membuat eksperimen yang

melibatkan penggunaan kemahiran proses sains yang pelbagai.


Memperbanyakkan lagi latihan yang berkaitan tajuk kemahiran proses sains sebagai

aktiviti pengukuhan kepada pelajar.


Menyediakan lembaran kerja yang bersesuaian dengan tahap kebolehan pelajar
contohnya menggunakan bahasa yang lebih mudah dan difahami oleh pelajar.

Tempoh Masa
Tempoh masa yang diambil untuk mengatasi masalah ini adalah sehingga pelajar
dalam kelas ini betul-betul dapat menguasai kemahiran proses sains dengan baik.
Tindakan Susulan
Berikut merupakan langkah tindakan susulan yang akan dilakukan sekiranya masalah
ini masih lagi tidak dapat diatasi :

Melakukan banyak latih tubi


Memberikan pengulangan yang berterusan
Memberi struktur soalan yang lebih kurang sama

Anda mungkin juga menyukai