Anda di halaman 1dari 5

SOALAN 2

Terangkan bagaimana ahli geologi mengenalpasti klasifikasi batu yang


dijumpai di suatu tempat.
KLASIFIKASI BATUAN
Kerak bumi terdiri daripada beraneka jenis batu-batan. Tiap-tiap batu-batan ini
berbeza daripada yang lainnya, baik tentang corak, bentuk rupa, warna, ketelusan
air, cara terjadinya, mahupun kekuatannya menahan kuasa gondolan. Bagi ahli-ahli
geologi yang mengkaji kandungan dan perkembangan bumi secara fizikal,
pengetahuan tentang batu-batan ini sangatlah penting. Begitulah juga bagi ahli-ahli
Geografi. Mereka perlu mempunyai pengetahuan asas tentang jenis jenis batu-batan
yang biasa terdapat dan juga hubungannya dengan rupa bumi. Batu-batan juga
menjadi asas bagi tanah-tanih dan sedikit sebanyaknya menentukan jenis jenis
tumbuhan dan penggunaan tanah-tanih di sesuatu kawasan. Oleh itu kita perlu
mengetahui dan mengenal batu-batan yang terdapat di sekeliling kita.
Pengkelasan ini dibuat dengan berdasarkan:
(a) kandungan mineral iaitu jenis-jenis mineral yang terdapat di dalam batuan ini.
(b) tekstur batuan, iaitu saiz dan bentuk hablur-hablur mineral di dalam batuan;
(c) struktur batuan, iaitu susunan hablur mineral di dalam batuan.
Secara umum, batu-batan boleh digolongkan kepada tiga kumpulan yang besar
iaitu:
(a) batuan igneus;
(b) batuan enapan;
(c) batuan metamorfosis.

Batuan Igneus
Batuan igneus terjadi akibat daripada penyejukan dan pembekuan magma
dari dalam kerak bumi. Batu ini biasanya berbentuk hablur, tidak berlapis-lapis dan

tidak mengandungi fosil. Batu igneus boleh dikelaskan berdasarkan kandungan


bahan-bahan logam di dalamnya. Jikalau batuan ini mengandungi lebih banyak
silika maka batu itu digolongkan sebagai batuan asid. Sebagai batuan granit, batuan
igneus jenis asid ini tidaklah padat dan lebih muda warnanya daripada batuan bes.
Batuan bes pula lebih padat dan lebih hitam warnanya kerana banyak mengandungi
oksid bes, seperti besi, aluminium dan magnesium.Dari segi asal kejadiannya,
batuan igneus boleh dikelaskan kepada dua jenis iaitu :
l. Batuan Igneus Plutonik atau Rejahan - Batu ini adalah batu igneus yang terjadi di
bahagian bawah kerak bumi. Penyejukan dan pembekuan cecair ini berlaku secara
perlahan-lahan. Oleh kerana itu terjadilah hablur-hablur kasar yang mudah dikenal.
Batu jalar dalam ini, umpamanya granit, diorit dan gabro terdedah di permukaan
bumi akibat daripada proses gondolan dan hakisan.
2. Batu Gunung Berapi atau Terobosan - Batu gunung berapi adalah batu cecair
yang telah melimpah keluar dari gunung berapi sebagai lava. Lava ini membeku
dengan cepat di permukaan bumi dan hablur yang dihasilkannya berbentuk halus.
Batu gunung berapi atau batu jalar luar yang biasa terdapat ialah batu basol. Batu
basol ini menghasilkan hanyutan lava, litupan lava dan daratan tinggi lava.
Setengah-setengah batu basol membeku dengan cara yang luar biasa dan
menghasilkan menara-menara batu. Sebahagian daripada lava cair itu mungkin
mengalir keluar melalui rekahan-rekahan. Lava cair itu kemudian membeku dalam
bentuk daik yang tegak dan sil yang datar.
Kebanyakan batu igneus keras lagi kukuh. Oleh kerana itulah batu igneus
biasanya dipecahkan untuk kegunaan membuat jalan raya, tugu-tugu peringatan dan
batu-batu nisan yang berukir.

Batuan Enapan
Batu enapan terjadi daripada enapan yang terkumpul di kawasan perairan.
Kejadiannya memakan masa yang panjang. Batuan ini dapat dibezakan daripada
batuan jenis lain oleh sifat-sifatnya yang berlapis-lapis. Oleh sebab itu batuan ini

disebut batu-batan berlapis. Tebal lapisannya berbeza-beza dari beberapa


sentimeter hingga ke beberapa meter. Bentuknya kasar atau berbiji-biji halus,
mungkin juga lembut atau keras. Bahan-bahan yang membentuk batuan enapan ini
mungkin telah diangkut oleh sungai-sungai, glasier, angin atau binatang-binatang.
Batuan enapan tidak berhablur dan seringkali mengandungi fosil-fosil binatang,
tumbuh-tumbuhan dan hidup-hidupan halus. Batuan enapan inilah yang paling
berbeza sekali cara kejadiannya jika dibandingkan dengan batuan lain, batuan
enapan dapat dikelaskan berdasarkan umurnya. Berbagai-bagai jenis batu-batan
yang terjadi dalam jangka waktu yang sama telah dijeniskan ke dalam satu
golongan. Mengetahui sifat-sifat pelbagai jenis batu-batan itu sangatlah penting.
Batuan enapan boleh dikelaskan kepada tiga jenis utama dengan berdasarkan
kepada asal kejadiannya dan kandungannya iaitu :
l. Batuan enapan yang terjadi secara mekanik - Batuan jenis ini terjadi daripada
pemaduan bahan-bahan yang terkumpul daripada batuan yang lain. Batu pasir
merupakan batuan enapan yang paling banyak terdapat. Batuan ini terjadi daripada
pasir dan kadang-kadang serpihan batu kuarza. Susunan, kandungan dan warnanya
sangatlah berbeza-beza. Batu pasir banyak dipecahkan di kuari-kuari untuk
kegunaan membuat rumah atau membuat batu penggiling. Batu pasir yang lebih
besar dikenal sebagai grit. Apabila batu-batu kelikir yang lebih besar berpadu
dengan kukuhnya sehingga menjadi batu besar, maka batuan itu disebut
konglomeret (sekiranya bulat) dan brekia (sekiranya bersegi-segi). Batuan enapan
yang lebih halus menjadi tanah liat yang banyak digunakan untuk membuat bata, syil
atau batu lodak. Pasir dan batu kelikir mungkin terdapat dalam bentuk yang tidak
berpadu.
2. Batuan enapan yang terjadi secara organik - Batu ini terjadi daripada bangkai
hidup-hidupan yang halus. Contohnya, organisma seperti karang dan kerang yang
telah reput dagingnya akan meninggalkan kulit-kulit yang keras. Kebanyakan batu
yang terjadi secara ini terdiri daripada jenis kalkeria antaranya termasuklah batu
kapur dan kapur. Batu yang mengandungi karbon juga terjadi secara organik.
Batuan ini terjadi daripada pemendapan tumbuh-tumbuhan yang telah reput seperti
yang terdapat di kawasan paya dan hutan. Batuan di atas memberikan tekanan
kepada tinggalan tumbuh-tumbuhan itu dan memampatkannya menjadi jisim karbon

yang padat. Akhirnya tinggalan ini menjadi gambut, lignit atau arang batu. Semua
bahan-bahan ini sangat tinggi nilainya dari segi ekonomi.
3. Batuan enapan yang terjadi secara kimia - Batu jenis ini terenap melalui tindakan
kimia larutan yang berbagai jenis. Natrium klorid (garam batu) berpunca daripada
lapisan yang pada satu masa dahulu berada di dasar laut atau tasik. Gipsum atau
kulsium sulfat didapati dari penyejatan yang berlaku di tasik-tasik masin seperti Laut
Mati yang sangat masin airnya itu. Kalium karbonat dan nitrat juga terjadi dengan
cara yang sama.

Batuan Metamorfosis

Tekanan dan haba yang sangat tinggi akan menyebabkan semua batu-batuan,
baik batuan igneus mahupun batuan enapan akan bertukar menjadi batuan
metamorfosis. Sifat-sifat asal batuan tersebut mungkin berubah oleh kuasa-kuasa
tersebut di atas taditerutamanya apabila pergerakan bumi yang sangat kuat berlaku
dan dengan cara ini tanah lempung akan berubah menjadi batu loh, batu kapur
menjadi batu marmar, batu pasir menjadi kuarzit, batu granit menjadi gneis, syal
menjadi syis, arang batu menjadi grafit dan grafit menjadi berlian. Batuan
metamorfosis seperti batu marmar dan syis banyak dijumpai di Malaysia. Batu
marmar misalnya boleh didapati di Pulau Langkawi dan syis pula boleh didapati di
kawasan pergunungan di Sarawak.
Batuan metamorfosis ialah batuan yang telah mengalami perubahan fizikal
dan kimia akibat haba dan tekanan yang sangat tinggi. Perubahan fizikal dan kimia
yang dimaksudkan itu ialah perubahan dari segi tekstur, struktur dan komposisi
mineral batuan. Batuan metamorfosis mungkin berasal daripada batuan igneus,
batuan enapan atau batuan metamorfosis yang lain. Suhu yang diperlukan untuk
berlakunya proses metamorfisma ialah antara 100C hingga 800C. Pada suhu ini
batuan masih lagi berkeadaan lembut. Dalam keadaan yang lembut ini, batuan boleh
berubah dari segi susunan mineralnya. Hablur dalam mineral pula boleh berubah
dari segi saiz dan bentuknya. Komposisi batuan juga boleh berubah akibat tindak
balas kimia. Tekanan yang kuat mungkin menghimpit hablur menjadi rata atau

panjang. Apabila magma panas mengalir keluar ke permukaan muka bumi ataupun
memasuki celah-celah rekahan, batuan kerak bumi yang disentuhnya berubah
menjadi batuan metamorfosis. Proses ini dikenali sebagai metamorfisma terma. Batu
marmar dan slat bintik terbentuk secara metamorfisma terma ini. Metamorfisma
yang berlaku secara besar-besaran adalah metamorfisma serantau. Di kawasan
kerak bumi yang pernah mengalami proses pembentukan gunung terdapat batuan
metamorfosis seperti syis dan gneis. Hal ini terjadi apabila batuan yang terdapat
jauh di dalam kerak bumi mengalami tekanan yang kuat dan haba yang tinggi.
Tekanan dan haba yang tinggi menyebabkan batuan mertgalami proses
penghabluran semula.
Batuan metamorfosis mempunyai ciri-ciri yang jelas. Kesemua batuan
metamorfosis mempunyai struktur berhablur. Batuan metamorfosis mempunyai
mineral yang sama seperti batuan igneus, tetapi sering terdapat juga mineral yang
hanya terbentuk pada suhu dan tekanan yang sangat tinggi. Sesetengah batuan
metamorfosis mampat dan menjadi lebih padat akibat tekanan yang sangat tinggi
yang dialaminya. Pemadatan batuan menyebabkan molekulnya menjadi lebih rapat
dan isipadu batuan lebih kecil. Sesetengah batuan metamorfosis yang berjalur
mempunyai mineral yang tersusun dalam lapisan-lapisan yang selari. Batuan
metamorfosis berjalur ini terjadi apabila mineral dalam batuan itu mengalami
penghabluran semula atau terhimpit akibat tekanan. Jaluran juga terjadi apabila
mineral yang mempunyai kepadatan berlainan terasing lalu membentuk lapisanlapisan. Contoh batuan berjalur ialah batu loh dan syis. Batuan ini boleh pecah
menjadi lapisan-lapisan yang nipis. Batuan metamorfosis tidak berjalur seperti batu
marmar dan kuarzit pula tidak boleh pecah kepada beberapa lapisan.

Anda mungkin juga menyukai