Anda di halaman 1dari 12

Cerita Rakyat - Beruk Tunggal

Kononnya, ada sebuah istana terletak di tebing sebatang sungai. Rajanya mempunyai tujuh orang
puteri. Baginda amat sayang kepada Puteri Bongsu.
Di tebing sebelah istana ada sebuah pondok buruk. Penghuninya seorang perempuan setengah
umur. Kerjanya bertani. Perempuan itu sangat inginkan seorang anak.
Pada suatu hari, dia minum air di sebuah tempurung. Selepas itu dia mengandung lalu melahirkan
seekor beruk. Ia dinamakan Beruk Tunggal.
Setelah besar, Beruk Tunggal menolong ibunya bertani. Tahun itu padi menjadi tetapi diserang
tikus. Beruk Tunggal menangkap semua tikus yang menyerang padinya. Kemudian dia mencari
Raja Tikus.
Apabila bertemu, Raja Tikus itu diberi amaran. Raja Tikus ketakutan kerana ia tahu Beruk Tunggal
jelmaan seorang anak raja kayangan. Hamba tidak tahu huma ini kepunyaan tuanku, kata Raja
Tikus. Padi aku sudah habis. Apakah tindakan kamu? Tanya Beruk Tunggal. Hamba akan suruh
rakyat hamba mengumpulkan butir emas, kata Raja Tikus. Baiklah, aku terima pemberian itu!
kata Beruk Tunggal.
Kemudian, segala tikus itu datang membawa butir emas. Banyaklah emas di pondok Beruk
Tunggal. Beruk Tunggal meminta emaknya meminang puteri raja. Emaknya pun pergi ke istana.
Raja terkejut mendengar permohonan perempuan itu. Namun raja menyampaikan juga
permohonan itu kepada ketujuh-tujuh orang puterinya. Kahwin dengan beruk? Tanya Puteri
Sulung. Puteri yang lain turut hairan. Hanya Puteri Bongsu yang bersopan-santun sahaja yang
sanggup menjadi isteri Beruk Tunggal.
Raja dan permaisuri kasihan kepada Puteri Bongsu. Baginda meminta hantaran sebentuk cincin
berlian. Pada fikiran raja, tentulah perempuan miskin itu tidak berdaya menyediakannya. Beruk
Tunggal memohon kepada ayahandanya, Raja Kayangan.
Pada malam itu, ayahanda Beruk Tunggal menghantar secupak cincin berlian. Emak Beruk
Tunggal pun mempersembahkan cincin berlian yang secupak itu ke istana. Dia meminta baginda
memilih sebentuk cincin yang sesuai. Raja tidak dapat mengelak. Puteri Bongsu pun dikahwinkan
dengan Beruk Tunggal. Selepas itu baginda tidak mahu mereka tinggal di istana.
Puteri Bongsu mengikut Beruk Tunggal tinggal dipondoknya. Pada malam pertama, Puteri Bongsu
menemui sarung beruk. Esoknya, Beruk Tunggal tidak bersarung lagi. Dia bertukar menjadi
seorang pemuda yang kacak. Kekanda sebenarnya putera Raja Kayangan. Bakarlah sarung
beruk itu. Taburkan sedikit debunya di luar pondok. Pintalah sesuka hati adinda, kata putera Raja
Kayangan. Puteri Bongsu mengikut suruhan putera raja itu. Sebentar itu juga pondoknya bertukar
menjadi istana, lengkap dengan taman yang indah.
Pengajaran : 1. Jangan mencuri hak orang lain. 2. Jangan memandang hina kepada orang miskin.

Cerita Rakyat - Si Tanggang Derhaka


NAKHODA TANGGANG
Si Talang dan isterinya Si Daruma tinggal di sebuah kampung yang terpencil.
Kehidupan mereka sangat miskin. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama
Si Tanggang. Si Tanggang suka berburu dan mendayung sampan.
Pada suatu hari, dia mendayung sampan menyusuri sungai sehingga sampai ke
muara. Di muara sungai , terdapat sebuah kapal sedang berlabuh. Nakhoda kapal
itu tertarik hati apabila melihat kecekapan Si Tanggang mendayung sampan lalu
mengarahkan orang suruhannya menangkap Si Tanggang. Akhirnya, Si Tanggang
ditangkap dan telah dibawa belayar.
Semasa dalam pelayaran, Si Tanggang melakukan semua kerja di atas kapal itu.
Kerajinannya telah menambat hati nakhoda lalu mengambilnya sebagai anak
angkat. Akhirnya, nakhoda telah mengahwinkan Si Tanggang dengang anaknya.
Kemudian Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda yang baru dan digelar Nakhoda
Tanggang.
Pada suatu petang, setelah jauh belayar, Nakhoda Tanggang telah mengarahkan
anak kapalnya berlabuh di muara sungai. Kebetulan pula tempat kapal berlabuh
ialah kampung asal Nakhoda Tanggang. Beberapa orang penduduk kampung
ternampak Nakhoda Tanggang lalu memberitahu ibunya. Ibunya segera datang
untuk menemui Nakhoda Tanggang kerana dia terlalu merindui anaknya itu.
Namun begitu, Nakhoda Tanggang berasa malu untuk mengaku bahawa
perempuan tua itu ibunya. ini kerana keadaan ibunya yang miskin dan uzur.
Nakhoda Tanggang telah menghalau ibunya. Ibunya, Si Deruma berasa sangat
sedih dan pilu kerana Si Tanggang anak yang dilahirkan dan disusuinya telah
melukakan hatinya.
Dia memandang ke langit sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dan
berseru,"Oh,Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu
kandungannya." Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup dengan kencang. Kapal
yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing dipukul ribut. Keadaan pada masa itu
sungguh cemas.
Ketika itu barulah Nakhoda Tanggang berasa sangat kesal. Dia insaf bahawa Tuhan
telah memperkenankan doa ibunya. " Oh ,Ibu! Ampunkanlah anakanda ....," teriak
Nakhoda Tanggang, tetapi sudah terlambat. Gelombang yang kuat telah
memecahkan kapalnya. Setelah ribut reda, kapal yang pecah dan anak-anak kapal
termasuk Si Tanggang telah bertukar menjadi batu.
Pengajaran, Itulah balasan kepada anak yang derhaka

Cerita Rakyat - Bunga Cengkih


Kononnya, disebuah negeri, raja dan sekalian rakyatnya malu untuk bercakap
kerana mulut mereka tetap berbau busuk.
Apakah wabak yang menyerang negeri ini? tanya raja. Apabila raja dihadap oleh
pembesar dan rakyatnya, semuanya diam membisu. Mereka takut hendak bercakap
kerana mulut mereka berbau busuk.
Pada suatu hari, di dalam taman larangan, puteri raja bersama dayang-dayangnya
keluar bermain-main. Mereka juga diam tidak bercakap. Mulut mereka semuanya
berbau busuk.
Tiba-tiba seekor burung murai terbang dan hinggap di sepohon bunga. Murai itu
berkicau dengan rancak. Ia seolah-olah sedang bercakap dengan tuan puteri. Puteri
raja tetap membisu. Murai itu berkicau lagi dan mematuk-matuk bunga yang ada di
dahan tempat ia berpijak.
Akhirnya puteri raja pergi ke pokok bunga itu. Bunga kecil itu diambil dan
dimakannya. Selang beberapa hari dia berbuat begitu, akhirnya bau busuk di
mulutnya hilang. Mulutnya berbau wangi pula.
Sejak hari itu, puteri raja seorang sahajalah yang tidak malu bercakap-cakap. Raja
pun bertanya akan rahsia puteri baginda itu. Perihal pokok bunga itu pun diceritakan
oleh puteri baginda.
Sejak itu, baginda memerintahkan rakyatnya menanam dan memakan bunga pokok
itu. Sejak itulah juga penyakit mulut berbau itu hilang.
Semua rakyat terlalu gembira. Mereka boleh berkata-kata dan tidaklah diam lagi.
Raja memerintahkan rakyat menanam pokok itu. Akhirnya bunga itu menjadi hasil
negeri. Bunga itu dikenali dengan nama bunga cengkih.
Pengajaran : 1. Jangan takut mencuba perkara baru. 2. Fikir selalu keajaiban
ciptaan tuhan.

Cerita Rakyat - Ahli Sihir Yang Angkuh


Thenaliraman tinggal di sebuah pekan di India. Pada suatu hari, datang seorang ahli
sihir termasyhur di pekan itu lalu mencabar penduduk di pekan itu. " Wahai
penduduk kampung, saya seorang ahli sihir terkemuka di India. Adakah sesiapa
antara anda yang berani mencabar saya? Saya boleh melakukan atau menunaikan
apa-apa sahaja yang anda pohon."
Thenaliraman pun tampil ke hadapan dan berkata, " Wahai Tukang Sihir, saya ingin
mencabar anda. Bolehkah Tukang Sihir menunaikan permintaan saya?" "Boleh,
mintalah apa-apa sahaja, akan saya kabulkan permintaan anda," kata Tukang Sihir.
"Baiklah Tukang Sihir, saya akan melakukan sesuatu dengan mata saya tertutup,
tetapi Tukang Sihir melakukannya dengan mata yang terbuka," kata Thenaliraman.
"Ha! Ha! Ha! Mudahnya permintaan anda," kata Tukang Sihir. Thenaliraman pun
duduk bersila dan menutup matanya. Dengan menggunakan tangan kanannya, dia
mengambil segenggam pasir dan melemparkan ke arah matanya.
" Baiklah Tukang Sihir, sekarang tunjukkanlah kehandalan Tukang Sihire dengan
melakukan seperti yang saya lakukan tadi dengan mata yang terbuka," kata
Thenaliraman. Tukang Sihir itu terdiam, Dia tahu bahawa dia tidak boleh melakukan
seperti yang diminta. Tukang Sihir itu sedar akan kesalahannya yang terlalu
bersikap angkuh. Dia meminta maaf kepada Thenaliraman dan terus meninggalkan
pekan itu

Cerita Rakyat - Burung Layang-Layang


Dalam sebuah hutan yang tebal, tinggal seekor burung layang-layang yang suka
meniru.
Pada suatu petang, burung layang-layang telah mendengar suara teriakan daripada
burung-burung yang lain. "Ke tepi! Ke tepi! beri laluan kepada raja Burung. " Burung
layang-layang berasa hairan mendengar teriakan tersebut. Tidak lama kemudian,
beberapa ekor burung merak melalui kawasan itu. Burung layang-layang terpegun
melihat kecantikan bururng merak.
Maka, timbullah perasaan pada burung layang-layang yang ingin menjadi seperti
burung merak. burung layang-layang menoleh ke kiri dan ke kanan lalu melihat
beberapa helai bulu burung merak tercicir di atas tanah. Apabila kumpulan burung
merak telah berlalu, burung layang-layang mengutip semua bulu merak yang tercicir
di atas tanah dan menyisipkan ke badannya.
Apabila selesai, burung layang-layang berjalan di atas laluan burung merak
tadi.Burung-burung lain yang melihatnya berteriak," Ke tepi! Ke tepi! Berikan laluan
kepada Raja Burung." Burung layang-layang berasa sangat seronok dan berjalan
lebih pantas sehingga terlupa tentang bulu-bulu burung merak yang disisipkan di
badannya. Lalu, satu demi satu bulu burung merak tertanggal dan tercicir di atas
tanah.
Burung-burung lain yang menyaksikan kejadian tersebut ketawa berdekah-dekah
sambil berteriak, " Rupa-rupanya burung layang-layang menyamar menjadi Raja
Burung." Burung layang-layang berlalu dari situ sambil menundukkan kepalanya
kerana berasa sangat malu. Semasa berjalan dengan kepala bertunduk, burung
layang-layang telah terlanggar burung merak.
Apabila burung layang-layang mendongak, dia mendapati burung merak sedang
berdiri di hadapannya dengan muka yang bengis. Burung merak berkata, " kami
tidak suka kepada burung yang cuba menyamar menjadi burung yang lain. Pergi
dari sini!" Burung layang-layang segera terbang meninggalkan kawasan tersebut.
Semasa terbang, burung layang-layang ternampak sekumpulan burung seakanakan serupa dengan dirinya. Burung layang-layang mendekati burung dalam
kumpulan tersebut. Seekor burung dalam kumpulan itu bertanya, "Anda ahli baru
dalam kumpulan inikah?" Burung layang-layang pun menjawab, "Ya, saya ahli baru
dalam kumpulan ini." Burung layang-layang berasa sangat gembira kerana telah
mendapat sahabat baru.

Anda mungkin juga menyukai