Anda di halaman 1dari 9

smkrmmTEn's

Info. Ilmu. Wadah Kecemerlangan.


Home

bea3077@yahoo.com

ME..MYSELF

MUKADDIMAH

Category Archives: CONTOH PENYELIDIKAN


SEP

30

Contoh Proposal
Posted on September 30, 2011 by cikgu aida

KEBERKESANAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM PENGAJARAN DAN


PEMBELAJARAN
KURSUS SIMPANKIRA DI KALANGAN PELAJAR
PROGRAM KEMAHIRAN HIDUP
(UPSI)

Archives
October 2011

BAB 1
PENDAHULUAN

September 2011
July 2011
October 2010

Pengenalan
Di dalam bab ini pengkaji akan membincangkan mengenai latar belakang sejarah penggunaan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (TMK) dalam bidang pendidikan dan kepentingannya kepada para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi.
Seterusnya pengkaji menjurus kepada penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kursus Simpankira /
Pendidikan Perakaunan yang menjadi fokus kajian ini. Pernyataan masalah bagi kajian ini diperjelaskan berserta dengan
objektif kajian, Hipotesis Kajian, kepentingan kajian, batasan kajian, kerangka konseptual, Definisi Operasional dan
Kesimpulan.
1.1 Latar Belakang Kajian
Perkembangan dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) kini dilihat semakin rancak berkembang sejajar dengan
perkembangan arus pemodenan dunia tanpa sempadan (globalisasi). Menurut Buyong (2002), cabaran dunia pendidikan
dalam meneroka dan mengaplikasikan ICT melalui pendekatan-pendekatan yang berkesan telah membawa para pengajar
dan pelajar mengenali dan seterusnya mempraktikkannya mengikut kesesuaian bidang yang diingini. Keberkesanan TMK
dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dilihat seawal peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah
menengah sehingga ke institusi pendidikan tinggi.
Di Malaysia perkembangan penggunaan TMK di kalangan masyarakatnya dilihat suatu yang positif di mana ia telah
menggalakkan semua lapisan masyarakat berlumba-lumba untuk melengkapkan diri dengan ilmu TMK. Namun demikian
masih ada golongan atau pihak yang memandang remeh dan tidak mengendahkan perkara ini kerana mereka
beranggapan penggunaan TMK tidak penting dalam kehidupan harian. Dalam usaha mengikis tanggapan negatif
segelintir masyarakat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah seperti kempen satu rumah satu komputer serta
membenarkan wang KWSP dikeluarkan untuk membeli komputer. Ini bertujuan untuk memastikan masyarakat Malaysia
tidak ketinggalan dalam arus teknologi yang serba canggih.
Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah mengambil langkah awal dengan memperkenalkan pelbagai
program seawal sekolah rendah dalam usaha untuk memperkenalkan dan mendedahkan penggunaan TMK di kalangan
generasi muda. Antara program tersebut ialah Program PPSMI, sekolah bestari, komputer dalam pendidikan, myschoolnet, Pusat Akses, portal my-GFL (Malaysian Great For Learning) dan portal EDUWEBTV. Ini kerana mereka
merupakan generasi akan datang yang diharap dapat menjadi generasi celik TMK yang cemerlang. Maka dengan itu,
wujudlah istilah pendidikan dan TMK yang sering dilaung-laungkan Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini dibuktikan
dengan petikan kata-kata dari Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein:
kementerian ini sentiasa mencari jalan terbaik bagi menyahut hasrat kerajaan untuk memajukan bidang teknologi
komunikasi dan maklumat (ICT) dalam pendidikan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga dilihat telah banyak mengaplikasikan penggunaan TMK dalam P&P. Secara
umumnya, proses P&P yang dijalankan di UPSI masih menggunakan cara tradisional iaitu kuliah syarahan dan tutorial
namun TMK memainkan peranan penting sebagai alat bantu mengajar dan belajar yang serba canggih dan lebih
berkesan daripada pendekatan Paper & Chalk. Coleman dan J. Nicholas et. al(1998), berpendapat teknologi yang
digunakan adalah sebagai alat bantuan mengajar dan bukannya sebagai pengganti guru, pensyarah, pengajar atau
pelajar. Dengan ini jelaslah penggunaan TMK dalam P&P bererti menggunakan teknologi maklumat secara efisien,
terancang dan bersesuaian dengan objektif pengajaran dan pembelajaran untuk meningkatkan kecekapan proses dan
keberkesanan P&P. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan membincangkan keberkesanan penggunaan Teknologi

September 2010
October 2009
July 2009
June 2009
May 2009

Meta
Register
Log in

Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan
pelajar Program Kemahiran Hidup di UPSI.
1.2 Penyataan Masalah
Teknologi Maklumat boleh memberikan impak signifikan terhadap keberkesanan, kecekapan dan produktiviti di dalam
aktiviti yang dijalankan. Pada pendapat pengkaji, faktor-faktor tertentu dapat mempengaruhi keberkesanan tersebut.
Antaranya ialah pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi.
Dalam faktor pengurusan, pengkaji memfokuskan kepada kecekapan pengurusan Fakulti Perniagaan dalam
mengendalikan kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan yang ditawarkan kepada pelajar Program Kemahiran Hidup
dan aktiviti yang lain bagi memastikan setiap pelajar Kemahiran Hidup mampu memperoleh pengetahuan tentang
teknologi maklumat. Menurut Nasrollah Ahadiat (2005) dalam jurnal Factors that May Influence or Hinder Use of
Instructional Technology Among Accounting Faculty, Association to Advance Collegiate Schools of Business
menyatakan pentauliahan memerlukan teknologi pengajaran yang bersesuaian yang disediakan oleh fakulti perniagaan.
(AACSB International,1993).
Selain itu, penggunaan komputer yang meluas serta perkembangan sains dan teknologi maklumat hari ini banyak
memberikan manfaat kepada para pensyarah seperti mempelbagaikan alat bantu mengajar (ABM), merekod serta
menyimpan maklumat pelajar dan sebagainya. ABM yang berasaskan TMK dapat meningkatkan minat pelajar di samping
meningkatkan kefahaman pelajar. Namun, Norazen, Hassan dan Mohd Ruzman dalam kajian Tahap Kompetensi
Pensyarah Menggunakan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran, menyuarakan terdapat satu cabaran penting yang
perlu dihadapi iaitu kesediaan dan kompetensi pensyarah mengaplikasi dan mengintegrasi teknologi maklumat dalam
pengajarannya. Dalam erti kata lain, faktor pengetahuan dan kemahiran pensyarah atau tenaga pengajar menyampaikan
ilmu pengetahuan turut menjadi ukuran kepada keberkesanan Teknologi Maklumat dan Komunikasi di kalangan pelajar
Program Kemahiran Hidup.
Seperti yang kita sedia maklum pelajar Universiti merupakan kumpulan pelajar yang perlu menghasilkan pelbagai bentuk
tugasan yang ditentukan oleh pensyarah sepanjang pengajian mereka. Pelajar Program Kemahiran Hidup yang mendaftar
kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan juga tidak terkecuali menghadapi situasi sebegini. Dalam jangka masa yang
terhad mereka perlu menyiapkan setiap tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Pada hari ini, sekiranya para pelajar
menggunakan teknologi komputer, khususnya perisian seperti Microsoft Word, Excel, PowerPoint Presentation, SPSS,
UBS Accounting dan sebagainya sudah tentu tugasan mereka dapat disiapkan dengan cekap, pantas dan tepat. Dalam
kajian Computer Based Accounting Education Techniques: A Response to A Dynamic Information Technology
Environment oleh Kathie Cooper dan Vivienne Coomb (2004), teknologi Computerized Assessment dalam Computer
Managed Learning (CML) membolehkan pelajar merekodkan urusan kemasukan jurnal, lembaran kerja dan penyata
kewangan. Justeru itu, faktor teknologi juga dilihat mampu memainkan peranan yang penting dalam memastikan
keberkesanannya di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan
Perakaunan.
Berdasarkan kepada apa yang dinyatakan di atas maka satu kajian mengenai keberkesanan penggunaan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan
pelajar Program Kemahiran Hidup perlu dijalankan. Kajian ini perlu dijalankan bagi memastikan keempat-empat faktor
yang dinyatakan benar-benar dapat meningkatkan keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran
Hidup.
1.3 Objektif Kajian
Di dalam objektif kajian ini, pengkaji ingin melihat sejauhmana faktor-faktor yang terlibat dapat mempengaruhi
keberkesanan penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di
kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup. Kajian ini dijalankan berdasarkan kepada objektif-objektif berikut :
1.3.1 Untuk mengenalpasti peranan TMK dalam keberkesanan pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira /
Pendidikan Perakaunan.
1.3.2 Untuk mengenalpasti sejauhmana penggunaan TMK dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan yang
ditawarkan kepada pelajar Kemahiran Hidup oleh Fakulti Perniagaan.
1.3.3 Untuk melihat hubungan di antara penggunaan teknologi maklumat dengan keberkesanannya dalam kursus
Simpankira / Pendidikan Perakaunan.
1.3.4 Untuk menilai tahap pengetahuan pelajar dalam bidang teknologi serta korelasinya dengan penggunaan TMK di
kalangan pelajar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan bagi Program Kemahiran Hidup.
1.3.5 Untuk melihat adakah kemahiran penggunaan teknologi yang mencukupi di kalangan pelajar Kemahiran Hidup yang
mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan dapat menyumbang kepada keberkesanan penggunaan TMK
dalam pembelajaran.
1.4 Hipotesis Kajian
Beberapa hipotesis telah dibangunkan bagi menjawab persoalan yang akan dikaji untuk mengetahui keberkesanan
penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran Kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar
UPSI:
1.4.1 Pengurusan fakulti yang efisien dan sistematik akan memberi kesan positif terhadap keberkesanan penggunaan
TMK di kalangan pelajar.
1.4.2 Pengetahuan yang mencukupi dalam bidang TMK akan membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran.
1.4.3 Kemahiran yang ada dalam penggunaan TMK dapat meningkatkan keberkesanan pelajar khususnya dalam
mengendalikan peralatan teknologi.

1.4.4 Teknologi dapat memudah dan meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.
1.5 Kepentingan Kajian
Menurut Amir Hassan Dawi (2006), kepentingan kajian bermaksud apakah kajian berkenaan berguna kepada mana-mana
pihak. Setiap kajian yang dijalankan selalunya mempunyai motif-motif tertentu atau untuk kepentingan pihak tertentu.
Kajian ini dijalankan bagi mengkaji faktor yang mempengaruhi keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar
Program Kemahiran Hidup Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam kajian ini, faktor yang dikaji adalah meliputi
aspek pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi. Aspek-aspek ini dianggap sebagai tunjang utama kepada
pengkaji bagi mengukur sejauh mana keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kursus
Simpankira / Pendidikan Perakaunan khususnya di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup dapat ditingkatkan.
Justeru itu, dengan adanya kajian seumpama ini, diharapkan ia dapat menarik pihak-pihak yang terlibat seperti
Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia, pihak Institusi Pengajian Tinggi, pensyarah dan pelajar bagi bersama-sama
memperbaiki kelemahan di samping mempertingkatkan lagi kecekapan yang ada bagi mempersiapkan diri pelajar yang
bakal menempuh alam pekerjaan yang lebih kompetitif dan mencabar pada masa hadapan.
Dalam pada itu, kajian ini juga berguna kepada pihak institusi pendidikan untuk memberi penekanan kepada beberapa
ciri-ciri utama bagi setiap aspek bagi mengoptimumkan penggunaan TMK seperti yang diharapkan oleh semua pihak.
Seterusnya, kajian ini juga diharapkan dapat mewujudkan kesedaran di kalangan pensyarah, pelajar dan institusi
pendidikan tinggi tentang betapa pentingnya TMK untuk di aplikasikan dalam kehidupan seharian. Akhir sekali, hasil
kajian ini diharapkan dapat memberi gambaran dengan jelas serta dapat dijadikan garis panduan yang berguna kepada
semua pihak untuk meningkatkan lagi prestasi pengajaran dan pembelajaran serta mutu perkhidmatan dengan
berbekalkan kemudahan dan kecanggihan teknologi yang ada bagi memastikan tahap keberkesanan dan kompetensi
dapat dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa bagi manfaat pada masa hadapan.
1.6 Batasan Kajian / Skop Kajian
Menurut Amir Hasan Dawi (2006), batasan kajian memberitahu tentang had-had atau kekurangan kajian. Dalam kajian
ini, penyelidik membataskan kajian kepada perkara-perkara tertentu sahaja supaya skop kajian tidak terlalu luas.
Batasan-batasan kajian meliputi tempat kajian, sampel kajian, aspek kajian yang dipilih serta masa kajian yang
digunakan. Tempat kajian yang dilakukan adalah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak. Kajian
ini hanya terbatas kepada pelajar-pelajar Program Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan
Perakaunan sahaja bagi semester empat. Bagi semester tersebut, pengkaji akan memilih 60 orang pelajar daripadanya
secara rawak untuk dijadikan sampel kajian. Oleh itu, jumlah keseluruhan sampel kajian adalah sebanyak 60 orang
responden sahaja.
Selain itu, terdapat faktor lain yang boleh digunakan bagi mengukur tahap keberkesanan penggunaan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan. Akan tetapi, kajian ini hanya
memfokuskan kepada beberapa aspek iaitu aspek pengurusan, pengetahuan, teknologi, dan kemahiran.
1.7 Kerangka Konseptual
Rajah 1 : Modifikasi Faktor yang Mempengaruhi Penggunaan Teknologi Instruksional
Berdasarkan kepada rajah di atas, empat faktor diatas menjadi fokus dalam kajian ini, iaitu faktor pengurusan, faktor
kemahiran, faktor teknologi dan faktor pengetahuan. Pernyataan masalah dan Objektif kajian berdasarkan kepada rajah
diatas. Faktor diatas akan diterangkan dalam bab seterusnya.
1.8 Definisi Operasional
Merujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), keberkesanan ditakrifkan sebagai perihal berkesan, atau berkesannya
sesuatu tindakan atau perubahan; sesuatu tindakan itu dapat dilihat daripada hasil yang diperoleh sesudahnya.
Manakala, penggunaan pula didefinisikan sebagai perihal perbuatan atau kegiatan menggunakan sesuatu. Selain itu,
menurut Kamus Dewan juga pengajaran bermaksud perihal mengajar, segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar
seperti cara atau sistem mengajar.
Ahmad Fuad (2003), dalam kajian Kesan Efikasi Kendiri Guru Sejarah Terhadap Amalan Pengajaran Berbantukan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) oleh Azwan Ahmad, Abdul Ghani, Mohamad Zohir et al (2005), menyatakan
dalam konteks pendidikan, teknologi maklumat merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul,
menyimpan, memproses, menyalur dan menyampai maklumat secara efektif, pantas dan banyak bagi membantu proses
pengajaran dan pembelajaran.
Ting Kung Shing (2007) dalam kajian Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar Jurusan Pendidikan
Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor pula, menyatakan pembelajaran elektronik atau
lebih dikenali sebagai e-learning adalah merupakan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi bagi memudahkan
cara pembelajaran. Dalam kajian itu juga pembelajaran ditakrifkan sebagai sebarang perubahan tingkah laku hasil
daripada pengalaman yang menyebabkan seseorang menghadapi situasi sesudah itu dengan cara yang berlainan
(Gagne, 1970). Dalam kajian yang sama juga Morgan (1995) mendefinisikan pembelajaran sebagai perubahan tingkah
laku dari segi perasaan, pemikiran dan tindak balas kesan daripada pengalaman yang berlaku pada pelajar melalui sistem
pendidikan secara formal di sekolah. Seterusnya, Eh (1994) dalam kajian tersebut, berpendapat pembelajaran dikatakan
telah berlaku apabila seseorang individu telah berjaya mengaitkan pengetahuan baru dengan pengetahuan yang sedia
ada padanya.
Selain itu, Ting Kung Shin (2007) dalam kajian Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar Jurusan
Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor, mentakrifkan E-pembelajaran sebagai
pendekatan pembelajaran di mana pendidikan, latihan dan maklumat yang berstruktur disepadukan dan disampaikan
oleh komputer melalui Internet khususnya web, atau dari cakera keras, CD ROM, storan mudah alih berkeupayaan tinggi
atau melalui sistem jaringan organisasi (Jamaludin Mohaiadin, 2000). Seterusnya dalam kajian yang sama Victor Jeurissen
(2004) mendefinisikan e-pembelajaran sebagai penggunaan teknologi berinovasi dan model pembelajaran yang dapat
menukarkan cara seseorang dan juga organisasi memperolehi kemahiran dan menambah pengetahuan yang baru. Bagi
beliau pembelajaran merupakan satu kerja secara berkumpulan yang melibatkan pertukaran penggunaan maklumat iaitu

berinteraksi secara perseorangan atau di dalam kumpulan.


1.9 Kesimpulan
Di dalam bab ini pengkaji telah menjelaskan latar belakang Teknologi Maklumat dan komunikasi dalam bidang pendidikan
di Malaysia serta hubungan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dengan pengajaran dan pembelajaran di
kalangan pelajar IPT. Seterusnya, beberapa isu yang wujud dalam mempengaruhi keberkesanan penggunaan teknologi
turut dikemukakan bagi menyokong permasalahan kajian ini. Tumpuan diberikan kepada empat faktor utama yang
menyumbang kepada keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan
pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan iaitu pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi.
Akhir sekali pengkaji mengemukakan pernyataan masalah, objektif kajian, hipotesis kajian, kepentingan kajian, batasan
yang dihadapi dan kerangka konseptual. Pengkaji turut menjelaskan beberapa istilah dalam kajian ini supaya tidak
berlaku kesilapan tafsiran terhadap beberapa perkataan dalam tajuk penyelidikan ini.
BAB 2
TINJAUAN PUSTAKA
Pengenalan
Di dalam bab ini, pengkaji membuat tinjauan kajian-kajian lepas berkenaan dengan faktor-faktor yang mempengaruhi
keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira
/ Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup. Tinjauan kajian memberi tumpuan kepada
empat faktor utama iaitu pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi. Di samping itu, pengkaji juga cuba
mengenal pasti faktor-faktor lain yang dapat menyumbang kepada fokus kajian yang dijalankan.
2.1 Kajian Keberkesanan Penggunaan TMK Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran
Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran bermaksud menggunakan
TMK secara efisien, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pengajaran
dan pembelajaran. Pada abad ke 21, kepentingan menguasai kemahiran TMK dilihat sebagai satu perkara yang amat
penting kepada sesebuah institusi terutamanya institusi pendidikan. Keupayaan setiap individu dalam menguasai
penggunaan TMK dapat membantu mengharungi dunia ledakan maklumat yang semakin pantas. Justeru, pendedahan
kepada alam perkomputeran perlu dilakukan pada peringkat awal secara sistematik dan terancang agar budaya
perkomputeran dapat dibina dalam suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih positif. Bagi menyahut cabaran
ledakan TMK, semua pihak tidak terlepas untuk merealisasikan cabaran ini kerana penggunaan TMK yang efektif akan
dapat menyumbang kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Oleh yang demikian, pengkaji
berpendapat terdapat faktor-faktor utama yang dapat membantu meningkatkan keberkesanan penggunaan TMK dalam
pengajaran dan pembelajaran. Ini dibuktikan melalui pembacaan kajian-kajian penyelidik yang lepas yang mana faktorfaktor keberkesanan itu adalah terdiri daripada pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi.
2.1.1 Keberkesanan Dari Aspek Pengurusan
Merujuk kepada artikel Applications Of Technology In Accounting Education And Analysis Of Its Use Among Faculty
yang ditulis oleh Nas Ahadiat, terdapat sebilangan badan-badan professional yang telah meminta supaya pihak fakulti
menggunakan teknologi dalam kursus yang disediakan. Berdasarkan The Association to Advance Collegiate Schools of
Business (1993), di dalam artikel ini juga meminta pihak fakulti menyediakan serta menggunakan teknologi instruksional
yang bersesuaian. Penggunaan TMK juga didapati boleh mengesan sebarang kesilapan human errors. Ini bukan sahaja
membolehkan tugastugas perakaunan dilakukan dengan cekap, malah lebih tepat dan jitu.
Walau bagaimanapun, hasil kajian jurnal Factors that May Influence or Hinder Use of Instructional Technology among
Accounting Faculty oleh Nasrollah Ahadiat (2005) mendapati pihak fakulti kurang memberi penekanan berkaitan
penggunaan teknologi. Ini adalah berpunca daripada kekurangan masa dan minat terhadap teknologi, bahan kursus yang
tidak relevan, ketiadaan peralatan serta perisian teknologi yang terkini, kurangnya sokongan dari aspek pentadbiran dan
aspek teknologi. Maka, pentadbiran universiti atau pengarah program harus berikhtiar mencari langkah-langkah yang
terbaik untuk memberikan kemahiran komputer dan teknologi keseluruhannya kepada semua pihak seperti staf akademik
dan pelajar. Di samping itu, sokongan dari pihak pentadbiran juga amatlah penting dalam menyalurkan tahap teknologi
yang sebenarnya kepada pihak fakulti.
Manakala, kajian yang dijalankan oleh Rohaila, Faridah dan Norasmah (2007) dalam jurnal Kesan Strategi Pembelajaran
Pengalaman Terhadap Pembangunan Kompetensi: Perspektif Pendidikan Perakaunan, mendapati kelemahan graduan
dalam mempamerkan kompetensi yang diharapkan terhadap diri mereka menyebabkan banyak pihak yang menuding jari
kepada pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak fakulti supaya inovasi
dalam pengajaran dan pembelajaran diberikan perhatian sewajarnya agar pembangunan kompetensi pelajar dijadikan
sebagai agenda utama. Bidang pendidikan yang dianggap tunjang dalam pembangunan modal insan perlu diberi
perhatian. Induk kepada pendidikan iaitu amalan pengajaran dan pembelajaran haruslah menjurus ke arah menyediakan
pelajar agar dapat menjadi tenaga kerja yang bertaraf antarabangsa dalam semua bidang kerjaya dan mampu bersaing
dalam pasaran kerja tempatan dan global.
Di samping itu, Suryanti Awang (2008) dalam jurnal ICT: Senario dan Cabaran Dalam Pendidikan, menjelaskan bahawa
terdapat juga universiti di Malaysia yang menyediakan nota atas talian (online notes) kepada pelajarnya. Para pelajar perlu
ke laman yang disediakan dan memuat turunkan nota berkenaan. Sesetengah universiti membenarkan sesiapa sahaja
yang melayari laman berkenaan untuk mencapai nota yang disediakan dan ada juga yang hanya boleh dicapai oleh para
pelajar mereka sahaja dengan menyediakan kata laluan dan kata kunci. Terdapat laman web yang menyediakan
perkhidmatan secara percuma untuk membaca buku elektronik atau nota atas talian. Laman tersebut juga menyediakan
nota pensyarah secara percuma. Pengguna boleh memasuki laman tersebut untuk melihat kandungan buku elektronik
berkenaan dan memuat turunnya dalam bentuk PDF.
Berdasarkan kajian-kajian lepas di atas, penggunaan TMK dapat membantu meningkatkan keberkesanan sesebuah
pengurusan kerana TMK dikatakan sebagai alat pemudah komunikasi yang membolehkan pelajar dan pihak tertentu
daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat yang pelbagai bentuk.
2.1.2 Keberkesanan Dari Aspek Pengetahuan Dan Kemahiran

Merujuk kepada artikel Tahap Kompetensi Pensyarah Menggunakan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran oleh
Norazen, Hassan Ash dan Mohd Ruzman pula, pengetahuan dan kemahiran mengguna serta mengintegrasikan TMK
dapat membantu meringankan beban tugasan di kolej. Kelebihan seseorang pensyarah dalam menyepadukan alat
teknologi pendidikan seperti komputer di dalam pengajaran, bukan sahaja dapat menarik minat dan rangsangan pelajar
untuk menguasai pelajarannya dengan lebih mudah, malah dapat memotivasikan pelajar berfikir secara kreatif di samping
menambahkan keseronokan kepada pensyarah itu sendiri dalam proses pendidikan (Budin, Kendall & Lengel, 1986).
Pengkaji berpendapat adaptasi TMK dalam proses pengajaran pensyarah dapat meringankan beban tugas pensyarah
yang semakin mencabar dewasa ini. Justeru itu, inovasi dalam pendidikan adalah merupakan agenda penting yang perlu
direalisasikan oleh para pensyarah selaras dengan apa yang terkandung di dalam misi reformasi pendidikan negara.
Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dari segi pengajaran memerlukan perancangan yang cekap dan efisien
supaya ilmu pengetahuan dapat disampaikan kepada setiap pelajar mengikut gaya pembelajaran masing-masing.
Teknologi maklumat dan komunikasi yang digunakan dalam pengajaran juga dapat memberi peluang pembelajaran yang
lebih dinamis, menarik minat serta meningkatkan ilmu pengetahuan yang relevan dan berguna kepada pelajar. Oleh yang
demikian, bagi melaksanakan tugas ini pensyarah seharusnya bijak dan kreatif mendidik serta merancang pelbagai
strategi, kaedah dan pendekatan dengan jayanya melalui bantuan TMK ini.
Berdasarkan kajian Tahap Kompetensi Pensyarah Menggunakan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran oleh
Norazen, Hassan Ash dan Mohd Ruzman, pensyarah atau tenaga pengajar perlu menguasai seberapa banyak
pengetahuan dan kemahiran seiring dengan keperluan semasa mengikut kesesuaian pelajar dan persekitaran masa kini.
Kajian ini menunjukkan kebanyakan pensyarah mempunyai sikap positif terhadap komputer dan ICT apabila hasil kajian
yang diperolehi memberikan perbezaan min yang ketara iaitu 0.81 berbanding 0.00. Justeru itu, pengetahuan dan
kemahiran pensyarah adalah kompeten terhadap penggunaan komputer. Menurut Gage dan Berliner (1984) dalam kajian
ini juga sikap positif terhadap penggunaan komputer merupakan faktor penting dalam meningkatkan motivasi pengajaran
dan pembelajaran.
Di samping itu, menurut Hawa binti Rahmat, Rohaidah Mashudi dan Noor Watee Rahman (2008) dalam artikel
Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Melalui IT Di Peringkat Universiti, mendapati hasil kajian yang dijalankan
melalui temu bual dengan responden (di kalangan pensyarah) dalam keberkesanan penggunaan IT dapat dilihat
berdasarkan kepada Academic Evaluation System (AES). Melalui AES pensyarah akan dinilai oleh pelajar mereka pada
setiap semester dan penilaian tersebut akan diakui sah sekiranya jumlah pelajar melebihi daripada 100 orang maka
peratus penilai haruslah lebih 50 peratus. Seramai 70 peratus daripada 30 responden menyatakan bahawa AES mereka
semakin menunjukkan kemajuan hasil penggunaan IT di dalam kelas.
Menurut Campeau dan Higgins (1995), dalam kajian Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar
Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor yang ditulis oleh Ting Kung
Shiung (2007), pengguna yang mempunyai tahap kecekapan diri yang tinggi akan kurang mengalami halangan ketika
menggunakan e-pembelajaran. Menurut Eastin & LaRose (2000) dalam kajian tersebut juga seseorang yang memiliki
tahap kecekapan diri terhadap Internet yang kurang akan merasa tidak yakin terhadap kebolehan beliau mengakses
Internet dan tidak cekap dalam menggunakan kemahiran tersebut dalam kehidupan.
Pengetahuan juga memainkan peranan yang penting untuk meramalkan kecekapan diri seseorang menggunakan
komputer. Tsai et al. (2001) dalam kajian Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar Jurusan
Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor oleh Ting Kung Shiung (2007),
mendapati pengetahuan sedia ada seseorang menggunakan Internet akan mempengaruhi sikap seseorang pelajar
terhadap internet. Pelajar yang berpengetahuan menggunakan internet mempunyai sikap yang positif terhadap Internet
begitu juga dengan penggunaan komputer. Menurut Tsai et al. (2001) dalam kajian tersebut, pengetahuan membantu
pengguna mempunyai sikap yang lebih positif terhadap Internet terutama kepada seseorang yang mempunyai sikap
bimbang dan kurang berkeyakinan terhadap Internet.
Menurut Tina dan Lim Swee Kim (2004) dalam kajian bertajuk Kesan Efikasi Kendiri Guru Sejarah Terhadap Amalan
Pengajaran Berbantukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang ditulis oleh Azwan Ahmad, Abdul Ghani,
Mohamad Zohir et al (2005), pula mendapati penggunaan ICT dalam P&P membolehkan pelajar bersikap aktif dalam
pencarian maklumat dan membina pengetahuan daripada maklumat yang diperolehnya serta berpeluang
menghubungkait pengetahuan merentas mata pelajaran tanpa disekat oleh masa dan jarak.
2.1.3 Keberkesanan Dari Aspek Teknologi
Menerusi kajian Aplikasi Tm Dalam Pembelajaran Penulisan Ilmiah: Tinjauan Dari Aspek Kemahiran dan Persepsi Pelajar
oleh Nasariah Mansor, Nafisah Mahmud dan Faizah Ahmad, Hansman dan Wilson (1998) mengatakan bahawa komputer
merupakan alat yang membolehkan para pelajar menguasai proses penulisan dengan lebih mudah berbanding kertas dan
pen. Walaupun pada peringkat permulaan, komputer berfungsi sebagai mesin taip untuk menaip draf akhir sahaja, lamakelamaan komputer menggantikan pen dan kertas sebagai alat menulis. Komputer dikatakan sebagai alat menulis dan
dapat membantu mewujudkan suasana kerjasama sama ada dalam menulis atau belajar menggunakan teknologi.
Menurut Nasariah Mansor, Nafisah Mahmud dan Faizah Ahmad dalam kajian Aplikasi Tm Dalam Pembelajaran Penulisan
Ilmiah: Tinjauan dari Aspek Kemahiran dan Persepsi Pelajar, Hansman dan Wilson (1998) berpendapat komputer juga
amat berguna dalam pencarian maklumat atau bahan. Para pelajar dapat menggunakan komputer untuk mencari artikel
dan jurnal-jurnal tertentu melalui pangkalan data perpustakaan online. Merujuk kajian ini juga Caverly (2000) menyatakan
keadaan ini akan dapat menjimatkan masa kerana mereka tidak perlu lagi ke perpustakaan untuk mendapatkan
maklumat. Nor Hafidah (2002) dalam kajian yang sama turut menjelaskan bahawa selain pelajar, guru-guru juga
menggunakan komputer, khususnya Internet bagi tujuan mencari bahan untuk pengajaran dan pembelajaran seperti
mencari bahan-bahan rujukan.
Selain itu, kajian Tahap Kompetensi Pensyarah Menggunakan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran oleh Norazen,
Hassan Ash dan Mohd Ruzman, mendapati bahawa penggunaan alat bantu mengajar dapat meningkatkan minat serta
merangsang minda para pelajar dan diakui sebagai pemangkin kepada proses pengajaran dan pembelajaran
(Kamps,1994; Slavin,1995; Jonassen,1996; Mackenzie & Jansen,1998; Heinich et al,1999). Antara teknik yang boleh
digunakan bagi mempelbagaikan penyampaian ialah penggunaan perisian Ms PowerPoint Presentation yang dapat
dipersembahkan dalam pelbagai bentuk grafik, animasi, warna, suara dan video. Alat-alat teknologi yang digunakan

secara efisien dan efektif bukan sahaja dapat menarik minat dan rangsangan pelajar untuk menguasai pelajaran dengan
mudah malah dapat memotivasikan mereka untuk berfikir secara kreatif (Budin, Kendall & Lengel, 1986).
Pada masa yang sama juga, kajian oleh Abdul Razak (2005) yang bertajuk Penggunaan Perisian Komputer dan LCD
Sebagai Bahan Bantu Mengajar dan Pemudahcara, turut menyatakan bahawa penggunaan teknologi seperti perisian
komputer iaitu PowerPoint dan Excel serta penggunaan LCD sebagai bahan bantu mengajar perlu diterapkan dalam
pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat pelajar untuk menguasai kemahiran IT. Melalui hasil kajian itu, beliau
telah dapat mengenalpasti keberkesanan penggunaan perisian komputer dan LCD dalam subjek tersebut. Ini dibuktikan
dengan berlakunya peningkatan kemahiran pelajar setelah mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan
perisian serta LCD dalam merekod dokumen perniagaan.
Kajian Computer Based Accounting Education Techniques: A Response to A Dynamic Information Technology
Environment yang ditulis oleh Kathie Cooper dan Vivienne Coomb (2004) pula melihat kepada beberapa teknik dalam
penggunaan teknologi kepada para pelajar. Sebagai contoh, salah satu teknik dalam Computer Managed Learning (CML)
iaitu computer based assignment membolehkan pelajar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan menyiapkan tugasan
seperti penyediaan jurnal, pengeposan ke lejar, imbangan duga, kunci kira-kira dan penyata kewangan.
Irfan Naufal Umar (2004) menerusi kajian Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar Jurusan
Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor oleh Ting Kung Shiung (2007) pula
mendapati penggunaan TMK dalam proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan bilik darjah bertemu dengan
dunia nyata serta membolehkan pelajar-pelajar sendiri mencari maklumat dan bahan asal; memudahkan kolaboratif dan
perbandingan global; serta membolehkan bahan-bahan multimedia dicipta dan disebarkan dengan mudah.
Hasil kajian Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di
Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor oleh Ting Kung Shiung (2007) terhadap 306 orang responden menunjukkan
bahawa terdapat sebanyak 81.4% responden menyatakan bahawa e-pembelajaran adalah berguna untuk pengajian
mereka. Sebanyak 15.4% orang responden tidak pasti sama ada e-pembelajaran berguna atau sebaliknya terhadap
pengajian mereka. Manakala, hanya 3.3% responden yang mengatakan e-pembelajaran tidak berguna untuk mereka. Ini
bermakna e-pembelajaran telah diperkenalkan sebagai satu strategi baru untuk menyokong kelemahan yang terdapat
dalam sistem pendidikan yang lama.
Menurut Wallace (1999) dalam jurnal Technology Readiness, Internet Self-Ecacy and Computing Experience of
Professional Accounting Students yang ditulis oleh Ming-Ling Lai (2008), menjelaskan bahawa mata pelajaran yang lebih
menekankan kepada pembacaan dan pemahaman seperti dari jabatan social and Human Science (SAHS) yang
merangkumi, Psikologi, Moral dan Etika, Pengajian Islam, Malaysia Studies, dan pembangunan Manusia, 75 peratus
memberikan reaksi positif terhadap keputusan AES mereka apabila mereka menggunakan banyak gambar dan animasi di
dalam kelas berbanding hanya menggunakan white board dan juga transparensi sahaja. Di samping itu juga, komen
daripada pelajar melalui AES menyatakan mereka sangat berpuas hati sekiranya pensyarah atau pengajar dapat
menggunakan pendekatan IT di dalam kelas. Ini disebabkan oleh persembahan yang berwarna warni dan penuh emosi
bukan sahaja dapat membantu penghayatan pelajar, bahkan juga cara penyampaian pensyarah menjadi lebih yakin dan
bersemangat.
Menurut Hawa binti Rahmat, Rohaidah Mashudi dan Noor Watee Rahman (2008), dalam artikel yang bertajuk
Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Melalui IT di Peringkat Universiti, hasil daripada pemerhatian dan temu
bual ke atas pensyarah yang tidak mengkhusus di dalam bidang IT juga turut memberikan reaksi yang positif (70 peratus)
terhadap kemahiran mereka mengendalikan komputer, aplikasi komputer dan internet. Para pensyarah boleh memuat
naik nota mereka ke dalam MMLS sendiri. Mereka tidak perlu menggunakan khidmat juruteknik atau pensyarah komputer
untuk memuat naik nota-nota mereka. Nota-nota tersebut bukan hanya dalam bentuk Ms words bahkan juga
menggunakan perisian terkini seperti flash. Dengan kemudahan MMLS juga mereka boleh berbual melalui chat room
dengan pelajar dan memuat naik markah.
Dalam jurnal Technology Readiness, Internet Self-Ecacy and Computing Experience of Professional Accounting
Students oleh Ming Ling Lai (2008), Wallace (1999) melihat kesan teknologi kepada para pelajar iaitu mereka tidak perlu
beratur di bilik pensyarah atau merasa kecewa pensyarah yang ditunggu tiada di bilik. Ini berikutan 80 peratus
memberikan respon positif ke atas kecanggihan IT pada masa sekarang yang membantu para pelajar menggunakan
talian komunikasi sebagai alat hubungan untuk mendapatkan informasi mengenai pembelajaran mereka. Sebagai contoh
khidmat General Packet Radio Service (GPRS) membolehkan pelajar menerima data seperti gambar, email, penggunaan
Internet dan Intranet.
Menurut Suryanti Awang (2008), dalam jurnal yang bertajuk ICT: Senario dan Cabaran Dalam Pendidikan, kaedah
pembelajaran e-Pembelajaran memberikan beberapa impak kepada keberkesanan dalam penyampaian ilmu dan
maklumat kepada pengguna. Antara kesan yang positif dari kaedah pembelajaran ini ialah penjimatan masa, lokasi dan
kos, capaian maklumat yang tidak terhad disebabkan maklumat yang di arkibkan serta mempunyai potensi tinggi untuk
meningkatkan bilangan pelajar apabila ia di sebarkan melalui Internet. Pendidikan di Malaysia juga tidak ketinggalan
dalam mengaplikasikan e-Pembelajaran selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat yang celik IT.
Kebanyakan universiti terutamanya Universiti Multimedia menggunakan e-Pembelajaran sebagai satu kaedah
pembelajaran di mana semua maklumat berkaitan pembelajaran dimasukkan ke dalam e-Pembelajaran bagi
memudahkan pelajar mencapai maklumat yang diperlukan sama ada nota, tutorial ataupun mendapatkan markah.
Bates (1997) dalam jurnal ICT: Senario dan Cabaran Dalam Pendidikan oleh Suryanti Awang (2008) pula percaya
terdapat empat tujuan utama yang menyebabkan penggunaan teknologi di Institusi Pendidikan Tinggi, antaranya
termasuk membaiki kualiti pembelajaran, membaiki pengaksesan kepada pendidikan dan latihan, mengurangkan kos
pendidikan serta membaiki kos efektif bagi pendidikan. Walaupun begitu, penggunaannya yang meluas dalam bidang
pendidikan adalah dipengaruhi oleh iklim atau persekitaran tempat seseorang itu belajar, institut atau kampusnya,
kelompok dan juga masyarakatnya.
2.2 Kesimpulan
Berdasarkan kajian-kajian lepas yang telah dibincangkan, dapatlah disimpulkan bahawa aspek pengurusan,
pengetahuan, kemahiran dan teknologi adalah faktor-faktor yang dapat meningkatkan keberkesanan penggunaan

teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di
kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup. Maka, pengkaji terdorong untuk mengadakan kajian terhadap empat faktor
tersebut ke atas pelajar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi
memastikan faktor-faktor tersebut mempunyai hubungan signifikan yang amat positif dengan keberkesanan penggunaan
TMK dalam pengajaran dan pembelajaran.
BAB 3
METODOLOGI KAJIAN
Pengenalan
Metodologi penyelidikan merujuk Nasariah Mansor, Nafisah Mahmud & Faizah Ahmad (2002), merupakan suatu kajian
yang berbentuk deskriptif dengan menggunakan kaedah tinjauan untuk mendapatkan maklumat. Pengumpulan maklumat
melibatkan proses yang memerlukan tempoh masa yang agak panjang, rumit serta mahal. Oleh itu, kegagalan
menggunakan kaedah pengumpulan data secara efisien akan menghasilkan maklumat yang kurang relevan serta akan
meningkatkan perbelanjaan sesuatu penyelidikan. Sehubungan itu, bab ini akan membincangkan reka bentuk untuk
kajian yang telah dijalankan, populasi dan sampel yang terlibat dalam kajian yang telah dijalankan, instrumen kajian yang
telah digunakan dalam kajian, prosedur-prosedur dalam menjalankan kajian ini serta penganalisisan data iaitu bagaimana
data dianalisis selepas kerja lapangan dijalankan.
3.1 Reka Bentuk Kajian
Reka bentuk sesuatu penyelidikan adalah teknik dan kaedah tertentu untuk memperoleh maklumat yang diperlukan untuk
menyelesaikan masalah. Khususnya, rekabentuk sesuatu penyelidikan membincangkan bagaimana untuk mencapai
sesuatu objektif penyelidikan. Rekabentuk merupakan keseluruhan rangka projek penyelidikan yang menyatakan apakah
corak jenis kajian yang hendak dilaksanakan, jenis maklumat yang perlu dikumpul, daripada mana sumber maklumat
boleh didapati dan dengan kaedah apa maklumat boleh diperolehi. Sekiranya penyelidikan direkabentuk dengan berhatihati, reka bentuk akan memastikan bahawa maklumat yang diperolehi adalah sesuai dengan persoalan masalah yang
ingin diselesaikan. Di samping itu, maklumat yang dikumpul akan diperolehi dengan kaedah yang paling berkesan (Mohd.
Majid Konting, 2005). Reka bentuk kajian ini dibuat dengan cara mengumpulkan maklumat atau data-data tentang
penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar
Program Kemahiran Hidup.
Menurut Mohd. Majid Konting (2005), reka bentuk kajian ini adalah bersifat kuantitatif dan mempunyai kebolehpercayaan
dan kesahan yang merujuk kepada ketekalan maklumat yang diperolehi daripada responden. Selain itu, kaedah ini juga
lebih cepat dari segi masa pengutipan data serta penyiapan tinjauan. Dalam menjalankan kajian ini, pengkaji
menggunakan kaedah tinjauan dan deskriptif. Kaedah tinjauan adalah satu cara yang spesifik untuk mengumpulkan
maklumat mengenai populasi. Kaedah tinjauan sering dijalankan dalam penyelidikan pendidikan. Dua jenis tinjauan yang
penting dan sering dilakukan dalam bidang pendidikan ialah tinjauan sekolah dan tinjauan komuniti (Mohd. Majid Konting,
2000). Kaedah tinjauan digunakan kerana kajian ini memfokus kepada pemboleh ubah yang dianggap boleh diukur.
Selain itu, data yang akan perolehi adalah bersifat empirikal. Melalui kaedah tinjauan, dengan melibatkan sekumpulan
elemen yang kecil dan terperinci, maka maklumat yang banyak boleh dikumpul dan direkodkan.
Walau bagaimanapun data yang lengkap atau mendalam jarang sekali dapat dihasilkan namun data yang dikumpulkan
adalah tepat. Strategi tinjauan ini juga sesuai digunakan kerana penyelidikan yang dijalankan ini hanyalah untuk membuat
kenyataan umum tentang sesuatu populasi (Mohamad Najib Ghaar, 1999). Justeru, pengkaji menyelaraskan teknik
tinjauan terlebih dahulu untuk menentukan cara dan alat penyelidikan yang sesuai dengan praktikal dengan mengambil
kira beberapa kriteria seperti faktor masa, kos dan peraturan-peraturan organisasi tempat kajian dijalankan.
Penyelidikan deskriptif pula merupakan penyelidikan yang bermatlamat untuk menerangkan sesuatu fenomena yang
sedang berlaku. Bagi mendapatkan maklumat mengenai sesuatu peristiwa yang sedang berlaku, kaedah deskriptif
digunakan. Seringkali juga penyelidikan deskriptif bermatlamat untuk menerokai sesuatu bidang yang belum atau kurang
dikaji. Sekiranya penyelidikan bermatlamat untuk menerokai sesuatu bidang, penyelidikan yang dijalankan adalah
berbentuk penerokaan. Kaedah penyelidikan deskriptif tidak memerlukan usaha mengawal sesuatu olahan. Ini adalah
kerana penyelidikan tidak menentukan terlebih dahulu faktor-faktor yang mendatangkan kesan ke atas sesuatu peristiwa
(Mohd Majid Konting, 1993:96).
Sungguhpun setiap penyelidikan akan menentukan teknik masing-masing, secara umumnya boleh dibezakan antara
teknik yang dipilih oleh penyelidikan kualitatif dan penyelidikan kuantitatif. Dalam penyelidikan ini borang soal selidik
digunakan telah digunakan untuk mengambilkira keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam
kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup yang mana ia menjurus
kepada objektif kajian ini. Amir Hasan Dawi (2006), berpendapat teknik menggunakan borang soal selidik mempunyai
kelebihan dan kekurangan. Teknik soal selidik dapat merangkumi jumlah sampel yang ramai, lebih cepat dan sesuai untuk
soalan-soalan yang sensitif. Namun penyediaan soalan-soalan mungkin memakan masa, tidak dapat mencungkil data
secara mendalam dan kemungkinan sampel tidak mengisi borang soal selidik berkenaan.
3.2 Populasi Dan Persampelan
Sebelum memilih sampel, populasi kajian ditentukan terlebih dahulu. Populasi ialah satu kumpulan perkara yang
mengandungi unsur, objek, individu atau ciri-ciri yang dipertimbangkan dalam suatu kajian yang ingin di ambil oleh
penyelidik (Azhar Harun dan Nawi Abdullah, 2004:52). Dalam kajian ini pengkaji telah memilih kaedah persampelan rawak
mudah (Simple Random Sampling). Dalam kaedah ini kebiasaannya dengan menggunakan nombor rawak atau angka
rawak sama ada bercetak atau digunakan secara elektronik. Teknik ini dipilih kerana jumlah populasi yang sedikit dan
mempunyai variasi yang kecil di antara unit-unit dalam populasi. Ini bermakna perbezaan yang terdapat antara ahli
dengan ahli yang lain adalah tidak ketara. Oleh itu, mana-mana ahli yang dipilih sebagai sampel mampu mewakili ciri-ciri
populasinya. Tiap-tiap ahli dalam populasi berkenaan mempunyai kebarangkalian yang sama untuk dipilih sebagai
sampel.
Dalam kajian ini, pengkaji telah memilih untuk menjalankan kajian ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim,
Perak. Populasi kajian adalah pelajar yang mengambil kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar
Program Kemahiran Hidup di universiti tersebut dan sampel kajian terdiri daripada pelajar Program Kemahiran Hidup

yang berada dalam semester empat yang pernah mengambil kursus Simpankira / Pendidikan Perakauan. Saiz sampel
bagi kajian ini adalah 60 orang pelajar yang dipilih secara rawak dalam semester yang dinyatakan. Maka, jumlah
keseluruhan responden dalam kajian ini ialah 60 orang pelajar dari Program Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus
Simpankira / Pendidikan Perakaunan.
3.3 Instrumen Penyelidikan
Instrumen penyelidikan yang digunakan dalam penyelidikan ini ialah soalan soal selidik yang ditadbirkan kepada 60 orang
pelajar Program Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di Universiti Pendidikan
Sultan Idris. Sebanyak 60 set soal selidik diedarkan kepada responden. Soal selidik merupakan alat untuk mengumpul
data bagi penyelidik sains sosial. Soal selidik sebenarnya tidak lebih daripada satu borang yang dibentuk khusus untuk
mengisi maklumat yang diberikan oleh setiap responden dalam temu bual (Ahmad Mahdzan Ayob, 2005). Bagi satu-satu
kajian, satu soal selidik yang sama hendaklah digunakan untuk semua responden. Ini bagi memastikan keseragaman
dalam jawapan yang diberikan. Keseragaman bermaksud semua mereka memberi jawapan yang sama, tetapi jawapan itu
diletakkan di ruang yang sama bagi membolehkan pemprosesan data melalui komputer. Soalan itu juga dikemukakan
mengikut urutan yang sama (Ahmad Mahdzan Ayob, 2005).
Dalam kajian ini, soal selidik yang dibuat adalah diambil daripada soalan-soalan yang terdapat di dalam jurnal dan kajian
yang dikaji oleh pengkaji. Soal selidik tersebut terdiri daripada empat bahagian. Bahagian A mengandungi maklumat
responden yang terdiri daripada 4 soalan yang berbentuk nominal iaitu yang berkaitan diri responden mengikut jantina
dan opsyen. Bahagian B, C dan D ialah soal selidik berkenaan empat faktor yang diandaikan oleh pengkaji yang dapat
mempengaruhi keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran
kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup seperti pengurusan,
pengetahuan, kemahiran dan teknologi.
Bahagian B soal selidik ialah bagi faktor yang pertama iaitu pengurusan oleh fakulti dalam meningkatkan keberkesanan
penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi di kalangan pelajar Progaram Kemahiran Hidup. Bahagian ini adalah
soalan berbentuk checklist di mana pelajar dikehendaki memberikan jawapan sama ada Ya atau Tidak bagi setiap
pernyataan yang telah diberikan. Bahagian C pula adalah soalan-soalan berkaitan faktor kemahiran dan pengetahuan. Di
bahagian ini pengkaji ingin melihat tahap pengetahuan kemahiran dan pengetahuan para pensyarah serta pelajar
terhadap penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran kursus ini. Dalam kajian soal selidik bahagian C ini
pengkaji menggunakan kod skala Likert, dan sebagai contoh respon yang disediakan ialah :
Sila bulatkan nombor jawapan. Pilihan anda mengikut skala berikut sekiranya anda:
Sangat
tidak setuju Tidak setuju Tidak pasti Setuju Sangat setuju
12345
Jadual 1 : Kod skala likert
Akhir sekali, dalam bahagian D terdapat 14 soalan yang berkisarkan faktor teknologi. Di bahagian ini responden perlu
membuat pilihan berdasarkan penyataan yang diberikan sama ada teknologi menjadi penghalang atau tidak kepada
mereka untuk menggunakan TMK.
3.4 Kaedah Analisis Data
Bagi kaedah analisis data ia bermula di mana borang soal selidik akan diedarkan untuk mendapatkan maklumatmaklumat yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan. Sebelum memulakan analisis, borang-borang soal selidik akan
ditapis dahulu bagi memastikan hasil yang diperolehi adalah tepat dan menjawab persoalan kajian.
Untuk soal selidik, data-data yang diperolehi akan dikumpul dan dianalisis secara prosedur statistik deskriptif. Skor-skor
mentah akan dianalisis menggunakan kekerapan, peratus, min dan sisihan piawai untuk menentukan keberkesanan
penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar
Program Kemahiran Hidup.
3.5 Prosedur Kajian
Prosedur kajian ialah langkah-langkah kajian yang perlu diambil oleh pengkaji untuk melaksanakan kajian dari awal
hingga kajian berakhir. Ini termasuklah menyediakan cadangan penyelidikan, melaksanakan modul dan menganalisis data
serta menyediakan laporan akhir penyelidikan. Segala prosedurnya perlu diperjelaskan secara terperinci dan satu
persatu. Untuk menjalankan kajian ini, prosedur-prosedur kajian adalah seperti berikut:
i. Menyediakan kertas cadangan penyelidikan iaitu proposal.
ii. Mengenal pasti masalah dan menyatakan objektif
iii. Mencadangkan hipotesis
iv. Menyediakan instrumen kajian
v. Memproses dan menganalisis data yang melibatkan pemprosesan maklumat daripada soal selidik yang diedarkan.
vi. Menulis laporan akhir kajian.
3.6 Kesimpulan
Secara keseluruhannya pengkaji menjelaskan tentang kaedah penyelidikan yang digunakan dari segi reka bentuk kajian,
pemilihan populasi dan sampel, instrumen penyelidikan, kaedah menganalisis data dan prosedur kajian. Semua kaedah
ini dilakukan secara berturutan bagi memudahkan pengkaji mencapai objektif kajian ini.
Filed under CONTOH PENYELIDIKAN and tagged penyelidikan | Leave a comment

smkrmmTEn's

Blog at WordPress.com. The Matala Theme.

Anda mungkin juga menyukai