Anda di halaman 1dari 2

WANITA PENJALIN KEMAJUAN

( Sumbangan dan Penglibatan Wanita Dalam Kemajuan Negara )


Wanita adalah ibu, isteri, kakak dan juga adik. Wanita seringkali dianggap kaum yang lemah dan sering
dipergunakan dalam kehidupan bermasyarakat kini. Namun kita tidak menyedari, di sebalik kelembutan
seorang wanita tersirat satu ketabahan yang ketara yang mampu melakukan sesuatu untuk pembangunan
negara. Malah telah biasa kita dengar tangan yang menghayun buaian boleh menggegarkan dunia.
Namun kata-kata ini biarlah berpaksikan kepada peranan dan sikap yang lebih positif demi kemajuan
bersama. Ledakan teknologi maklumat, proses globalisasi, transformasi politik serta iklim ekonomi di
peringkat nasional, mahupun global memberi pelbagai cabaran kepada wanita menjadikan wanita lebih
berwibawa, hebat dan terus menyinar.
Pendedahan di media masa mahupun elektronik telah banyak menampilkan kehebatan wanita kini.
Kejayaan demi kejayaan kaum wanita juga telah banyak membuka mata semua pihak. Peranan wanita
bukan setakat menjadi suri rumah tangga, mendidik anak dan menjaga makan dan pakai suami tetapi tetap
turut memberi sumbangan mental dan fizikal di dalam perkembangan ekonomi, pelajaran dan sebagainya.
Wanita di seluruh dunia telah diiktiraf dalam kehebatan dan kepakaran masing-masing. Segala kemahiran
dan kepakaran diaplikasikan sepenuhnya dalam kehidupan yang semakin mencabar masa kini supaya
memberi impak yang lebih besar dalam kemajuan negara. Ini jelas terbukti apabila seorang surirumah juga
mampu memainkan peranan dalam merealisasikan pembangunan sesebuah keluarga, institusi dan
seterusnya negara.
Antara tugasan wanita yang amat besar adalah bermula dengan tugas mendidik. Kelembutan dan sifat
penyayang seorang wanita, mampu mendidik anak-anak untuk menjadikan mereka golongan muda yang
berguna di masa hadapan. Secara automatik, wanita bertindak sebagai guru kepada anak-anak di dalam
mendidik serta menerapkan nilai-nilai murni bagi membentuk keperibadian dan modal insan. Segalanya
dicurahkan dengan sepenuh hati bagi memastikan anak-anak membesar sebagai seorang manusia yang
berguna demi bangsa dan negara. Secara tidak langsung, kejayaan mendidik anak-anak menjamin satu
kelompok masyarakat yang lebih berjaya di masa akan datang. Pendidikan awal yang bermula di rumah
telah dicurahkan sepenuhnya oleh wanita yang bergelar ibu atau penjaga kepada anak-anak. Peranan besar
ini jugalah yang akan mencorakkan generasi akan datang bagi membolehkan mereka menjadi insan yang
lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Wanita kini juga telah banyak menyumbang dalam sosio ekonomi negara. Segala kemahiran dan
kepakaran yang ada diadaptasikan untuk sesama menjana pendapatan keluarga. Antaranya kepakaran
memasak, menggubah, menjahit dan segala macam kepakaran diserapkan dalam aktiviti ekonomi. Antara
aktiviti yang dijalankan adalah seperti menubuhkan persatuan untuk menjalankan perniagaan katering,
andaman dan juga barangan perhiasan. Aktiviti ini banyak membantu wanita dan masyarakat setempat
dalam menjana pendapatan keluarga kerana ia terbukti dapat membuahkan hasil lebih besar dengan
pasaran yang lebih meluas. Hubungan sesama mereka dalam sesebuah persatuan atau organisasi telah
dapat dieratkan. Secara tidak langsung telah melahirkan masyarakat yang bersatu dan membentuk
perpaduan demi kebahagiaan dan kejayaan bersama. Tidak kurang juga, segelintir individu yang telah
berjaya membuka perniagaan sendiri hasil daripada kemahiran yang dimiliki. Impak yang diperolehi
daripada kejayaan wanita ini telah mendorong kaum lelaki untuk terus bergandingan dengan wanita bagi
memacu kejayaan bersama.
Tidak ketinggalan juga di dalam arus pertanian dan penternakan moden, wanita turut sama memerah
keringat menabur bakti dan budi pada tanah dan juga menternak bagi tujuan komersial. Segala ilmu terus
digali sebagai pemangkin keberkesanan arus pertanian & penternakan moden disamping mempelajari
selok belok pemasaran yang disediakan oleh kerajaan melalui pertubuhan-pertubuhan berkaitan seperti
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Disamping itu, jabatan pertanian juga menubuhkan Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW) yang
ternyata lebih berdaya maju, mempunyai nilai komersial serta mempunyai daya saing yang tinggi. Justeru

itu, kita seharusnya merasa bangga apabila wanita terus diberi penghargaan melalui bidang ini, contohnya
Anugerah Peladang Jaya Wanita, Anugerah Usahawan Wanita Jaya dan segala macam penghargaan lain
yang diraih oleh kaum wanita.
Wanita kini juga telah aktif bergerak dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali sebagai
NGO. Hasil daripada penyertaan ini telah mendedahkan mereka kepada input-input yang amat berguna
dalam mempertingkatkan pengetahuan dalam sesuatu bidang. Disamping itu juga , bidang komunikasi
dapat diperluaskan. Pihak kerajaan juga amat perihatin dengan pertubuhan-pertubuhan seperti ini dan telah
memperuntukkan sejumlah wang agak besar bagi melaksanakan program-program kemasyarakatan yang
berteraskan ekonomi. Antaranya ialah program pembangunan kapasiti wanita seperti seperti I-Kit di
seluruh negara, program Kraf Kreatif dan Jejari Bestari yang dijalankan di kawasan parlimen dengan
kerjasama Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga. Aktiviti-aktiviti seperti ini telah menarik minat
wanita untuk bersama-sama melibatkan diri sekaligus menjana pendapatan.
Kumpulan wanita ini juga sangat rajin dan tekun, menjadikan mereka sasaran utama dalam industri kilang
di mana secara tidak langsung telah menyumbang pada perkembangan ekonomi negara. Keupayaan
wanita dalam pekerjaan seumpama ini, berperanan meningkatkan proses perindustrian dan permodenan
negara. Pendekata, tanpa feminisme buruh tidak mungkin sektor industri ini dapat diperkembangkan.
Peningkatan teknologi juga membolehkan pengeluaran kilang menjadi lebih berkualiti dan menjamin
permintaan yang tinggi di pasaran. Produk hasil tenaga wanita ini juga telah berjaya dipasarkan dengan
meluas di Amerika Syarikat, negara Eropah dan juga negara-negara lain.
Pendedahan kepada teknologi maklumat juga memberi manfaat kepada wanita dalam kepelbagaian ilmu.
Segalanya ini membawa perubahan teknologi kepada wanita kepada kepelbagaian perniagaan di mana
mereka mampu mencipta barangan yang berkualiti bagi pasaran dalam dan luar negara. Mereka juga hebat
dalam perniagaan MLM atau pun Networking yang ternyata semakin hangat melanda di alam maya
dan alam nyata. Wanita kini semakin berminat menambahkan ilmu pengetahuan dalam segala bidang,
sekaligus menjadikan mereka wanita yang berilmu tinggi. Segala ilmu dan pengetahuan yang ada
menjadikan wanita serba boleh dalam melaksanakan sesuatu misi atau tugasan yang mendorong kepada
sesuatu kemajuan.
Wanita kini juga telah banyak mencurahkan tenaga dalam aspek keselamatan negara di mana semakin
ramai wanita menyertai pasukan tentera dan polis. Tidak terkecuali juga penyertaan wanita dalam pasukan
RELA dan juga badan sukarela. Keupayaan mereka dalam pasukan ini juga standing dengan kaum lelaki
dan malah sesama bergandingan untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara tercinta. Ada juga
tugasan yang memerlukan khidmat wanita sahaja. Secara keseluruhannya, jelas sekali penglibatan wanita
amat penting dalam kemajuan sesuatu organisasi.
Segala ciri-ciri yang dinyatakan begitu mencerminkan peranan hebat wanita dalam sebuah kemajuan.
Cogankata pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara mengingatkan kita tentang peranan besar
wanita dalam kemajuan negara. Ternyata, untuk menjadi negara maju dan hebat, khidmat dan usaha
wanita tetap diperlukan. Bersesuaian benar dengan tema kita Wanita Penjalin Kemajuan

Anda mungkin juga menyukai